Tuesday 13 February 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 20 - SAAD BIN MUAZ ]






SAAD BIN MUAZ








     Marilah berjuang wahai kawan-kawan
     Keberanian mengejar kita
     Tidak takut mati
     Kalau belum sampai ajal

Saad bin Muaz bersyair bagi menaikkan semangatnya dan semangat kawan-kawannya. Al-Haris bin Auf yang berjalan di belakangnya turut mengucapkan bait-bait syair yang dibacakan bapa saudaranya itu.

     Pagi itu giliran Saad bin Muaz dan anak saudaranya Al-Haris bin Aus membuat rondaan di sepanjang parit atau khandaq itu. Selepas memastikan keadaan terkawal, kedua-duanya menuju ke perkampungan Bani Harithah bagi memastikan tempat perlindungan kamu wanita dan kanak-kanak juga dalam keadaan selamat.

     Apabila sampai di tempat itu, Saad bin Muaz mendendangkan semula syairnya sehingga didengar oleh ibunya Hindun bin Simmak dan Aisyah, isteri Rasulullah.

     "Benarkah itu suara anakku, Saad?" tanya Hindun inginkan kepastian.

     "Benar," jawab Aisyah selepas memastikan lelaki itu sememangnya Saad bin Muaz.

     Hindun segera mendapatkan Saad lalu berkata, "Kamu tidak mengecewakan Rasulullah dalam Perang Badar dan Uhud. Semoga kali ini kamu lakukan sesuatu yang lebih menggembirakan hatinya."

     "Baiklah ibu," balas Saad.

     "Pergilah segera berjuang wahai anakku. Jangan terlambat," pesan si ibu penuh harapan.

     "Baiklah wahai ibuku. Saya akan menggempur musuh sekarang juga," kata Saad. Dia begitu bersemangat selepas mendengar kata-kata ibunya itu.

     Aisyah yang turut berada di situ berasa kurang senang apabila melihat baju besi yang dipakai Saad.

     "Wahai ibu Saad, alangkah baiknya sekiranya anakmu itu memakai baju besi yang sesuai dengan badannya," kata Aisyah.

     Saad seorang lelaki yang berbadan besar. Baju besi yang dipakainya kecil menyebabkan separuh dari badannya terdedah. Kerana itu Aisyah cuba menegurnya. Namun Saad tidak menghiraukannya. Dia mendendangkan semula syairnya.

     Marilah berjuang wahai kawan-kawan
     Keberanian mengejar kita
     Tidak takut mati
     Kalau belum sampai ajal

Selesai mendendangkan syair itu maka Saad mengajak anak saudaranya menyerbu musuh yang berada di seberang parit. Jihan bin Qais, salah seorang pemanah pasukan Quraisy melihat kedatangan Saad dari seberang parit. Dia bersedia melepaskan anak panahnya. Apabila Saad berada dalam jarak sasaran anak panah maka Jihan melepaskan anak panahnya lalu mengenai pangkal lengan kiri Saad. Dia tersungkur sambil menahan kesakitan.

     "Terimalah bahagianmu. Aku lebih hebat daripada engkau!" teriak Jihan dengan gembira kerana berjaya mencederakan Saad, seorang pahlawan Islam yang digeruni pasukan Quraisy.

     Melihat Saad tewas, maka Al-Haris segera mendukung bapa saudaranya itu lalu dibawanya ke markas tentera Islam. Kemudian Saad dihantar ke Masjid Nabi bagi diberikan rawatan.

     Masjid Nabi dijadikan tempat merawat mereka yang cedera dalam pertempuran itu. Antara tenaga penting yang berkhidmat di situ adalah Kuaibah binti Saad. Dia yang memberikan rawatan kepada Saad. Namun luka Saad agak berat kerana urat tangannya putus akibat terkena anak panah itu.

     Orang Aus berasa sangat marah apabila ketua mereka dipanah musuh. Mereka berkumpul dan bersumpah mahu menuntut bela. Rasulullah menyuruh mereka bersabar dan jangan bertindak terburu-buru. Pasukan Islam hanya dibenarkan menyerang musuh sebaik mendapat perintah daripada Rasulullah. Buat masa ini tidak siapa dibenarkan menyeberang parit. Mereka diarahkan bersiap sedia menghadapi serangan pasukan bersekutu.

     "Saad bin Muaz pahlawan Aus yang gagah perkasa," kata Ubaidillah. Dia pun menceritakan kehebatan Saad.

     Saad bin Muaz adalah pemimpin Bani Abdul Asyhal daripada suku Aus. Pada mulanya beliau menentang keras kedatangan Mus'ab bin Umair yang dilantik Nabi Muhammad sebagai wakilnya mengajar Islam kepada penduduk Madinah. Ketika Mus'ab mendatangi perkampungan Bani Abdul Asyhal, Saad datang dengan membawa sebatang tombak.

     "Apa tujuan kamu datang ke sini? Tergamak kamu memecah-belahkan penduduk kampung ini?" tanya Sa'ad bin Muaz dengan wajah menyinga.

     "Sabarlah dahulu, wahai saudaraku. Tuan seorang pemimpin kaum Aus yang dihormati. Saya dan sahabat saya As'ad juga menghormati tuan. Alangkah gembiranya hati kami sekiranya tuan sudi duduk bersama kami. Selepas itu sekiranya tuan masih marah, dengan rela hati kami pergi dari sini." Kata-kata Mas'ab yang penuh hikmah dan bersopan santun itu berjaya meredakan kemarahan Saad bin Muaz. Lantas dia duduk di hadapan Mas'ab.

     Mas'ab pun membacakan ayat-ayat Quran pilihannya bagi melembutkan hati pemimpin terulung kaum Aus itu. Apabila mendengar kemerduan suara Mas'ab mengalunkan bacaan Quran dan keindahan ayat-ayat yang dibacanya, ia terus meresap ke dalam jiwa Saad. Akhirnya kemarahan Saad bertukar dengan kasih sayang. Saad mengucapkan kalimat syahadat mengaku tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah dan mengaku Muhammad itu Rasulullah.

     Keesokan harinya, Saad mengumpulkan semua orang Bani Abdul Asyhal daripada kaum Aus lalu beliau pun berkata, "Saya dengan rela hati menganut agama Islam yang dibawa Nabi Muhammad. Apa pendapat kamu berkenaan tindakan aku ini?"

     "Tuan adalah ketua kami. Tuan lebih cerdik daripada kami kerana itu kami tidak membantah apa sahaja tindakan tuan kerana tuan yang lebih tahu kebaikannya daripada kami," kata kaumnya.

     "Saya menyeru kamu semua turut beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Saya tidak mahu memaksa kamu masuk Islam. Terserah kepada kamu sendiri bagi membuat keputusan. Namun saya tidak akan bercakap dengan kamu sekiranya kamu menolak seruanku ini," kata Saad lalu memberi tempoh sehingga keesokan harinya bagi membuat keputusan.

     Keesokan harinya, semua Bani Abdul Asyhal mencampak keluar patung-patung yang terdapat di dalam rumah mereka. Patung-patung itu berserakan di halaman rumah masing-masing sebagai tanda mereka bersetuju memeluk Islam.

     Dengan bantuan Saad bin Muaz, Mas'ab berjaya menjalankan tanggungjawab yang diberikan Rasulullah dengan baik. Dengan usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh kerana mencari keredhaan Allah itu akhirnya semakin ramai penduduk Madinah menganut Islam.

     Saad bin Muaz turut serta dalam Perang Badar. Sebelum membuat keputusan berperang, Nabi Muhammad berbincang dahulu dengan orang Muhajirin dan Ansar. Saad bin Muaz yang mewakili orang Ansar berkata, "Demi sesungguhnya kami mempercayai tuan. Dan menyaksikan sendiri apa yang tuan bawa itu adalah penuh dengan kebenaran. Lakukanlah apa yang tuan kehendaki. Demi Allah yang mengutus tuan dengan kebenaran, sekiranya tuan membawa kami menghadapi laut dan tuan mengharunginya, tentu kami akan mengharungi lautan itu bersama tuan.

     "Tidak seorang pun yang terkecuali daripada kami. Kami sudah siap bertempur dengan musuh kami. Kami adalah orang sabar dalam peperangan. Sungguh kami tidak akan mundur apabila bertempur dengan musuh. Mudah-mudahan Allah akan memperlihatkan apa yang menyenangkan tuan berkenaan kami. Silalah tuan bertindak dengan berkat Allah," kata Saad bin Muaz.

     Semasa berlaku Perang Badar, Saad bin Muaz menunjukkan kehebatannya dengan menumpaskan beberapa orang musuh. Dalam Perang Uhud juga Saad bertempur dengan gagah berani. Beliau bersama-sama melindungi Nabi Muhammad daripada serangan musuh. Kerana itu apabila Jihan bin Qais dapat memanahnya dia mendabik dada dengan mengatakan, "Aku lebih hebat daripada engkau, wahai Saad."









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment