Tuesday 20 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 5 - HELAH PEPERANGAN ]






HELAH PEPERANGAN








Abdullah bin Ubai berasa sakit hati kerana Nabi Muhammad melantik Siba' bin Arfatah sebagai pengganti beliau di Madinah. Dia berpendapat dirinya lebih layak daripada Siba'. Maka dicarinya jalan bagi menghancurkan orang Islam di Madinah.

     "Muhammad dan pasukan tenteranya berada di Khaibar. Saya yakin mereka tidak akan menang tetapi pulang dengan membawa kekalahan dan kehancuran," kata Abdullah bin Ubai kepada pengikutnya.

     "Saya juga yakin begitu tambahan pula kita sudah memaklumkan perkara itu kepada Salam bin Misykam. Sudah tentu dia mengerahkan pasukan tenteranya membuat persiapan bagi menangkis serangan," kata Abdullah bin Malik pembantu yang paling dipercayai Abdullah bin Ubai.

     "Tidakkah kamu sedar inilah masa paling baik bagi kita mengambil alih pemerintahan Madinah," kata Abdullah bin Ubai.

     "Saya juga sedar peluang itu tetapi kita tidak boleh bertindak sendirian. Maksud saya kita perlu mendapat bantuan pihak luar," kata Yadir pula.

     "Saya sudah fikirkan perkara itu. Kita akan minta bantuan Arab Badwi Najd," kata Abdullah bin Ubai lalu mengemukakan perancangannya. Arab Badwi Najd menyerang Madinah dan mereka akan bertindak dari dalam.

     "Pahlawan Islam yang hebat daripada Ansar dan Muhajirin tidak ada di Madinah. Siba' pula tidak akan berkemampuan menjadi pemimpin. Kerana itu saya yakin rancangan ini akan berjaya," kata Abdullah bin Ubai yang berusaha meyakinkan para pengikutnya.

     "Kaum Arab Badwi di Nejd itu tentu tidak mahu membantu kita secara percuma. Pasti mereka mahukan keuntungan. Apa yang dapat kita tawarkan kepada kita?" tanya Abdullah bin Malik pula.

     "Kita tawarkan apa sahaja yang mereka mahukan. Tetapi yang pastinya mereka tidak akan menetap lama di sini. Selepas mengambil apa yang dimahukan mereka akan pulang semula ke Najd dan kita yang akan memerintah Madinah," jawab Abdullah bin Ubai. Semua pengikutnya bersetuju dengan rancangan itu. Mereka yakin pasti berjaya.

     Abdullah bin Ubai segera menghantar seorang wakilnya menemui ketua kaum Arab Badwi di Najd. Bagaikan orang yang mengantuk disorongkan bantal, mereka bersetuju menyerang Madinah.

     Pada masa yang sama, Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya sedang dalam perjalanan ke Khaibar. Beliau juga bimbang sekiranya musuh mengambil kesempatan menyerang Madinah semasa ketiadaan mereka. Satu-satunya pihak yang paling dicurigainya adalah kaum Arab Badwi di Najd. Tambahan pula sudah lama mereka menunjukkan permusuhan.

     Selepas berbincang dengan para sahabat, Nabi Muhammad melantik Aban bin Said memimpin sepuluh orang tentera pergi ke Najd. Tugas mereka menakut-nakutkan kaum Arab Badwi itu supaya tidak menyerang Madinah. Aban dan kawan-kawannya menerima tugas itu dengan penuh tanggungjawab.

     Apabila sampai di Najd mereka sengaja merayau-rayau di kawasan kebun kurma supaya dilihat oleh para petani. Mereka bertanya apa tujuan datang ke situ lalu Aban memberi jawapan yang menakutkan mereka. Kononnya tentera Islam akan datang menyerang Najd. Mereka adalah perisik yang akan menjadi penunjuk jalan.

     Helah Aban dan kawan-kawannya berjaya menakutkan kaum Arab Badwi di Najd. Mereka membuat persiapan bagi menghadapi musuh. Rancangan bagi menyerang Madinah terpaksa dibatalkan. Tambahan pula Aban dan kawan-kawannya melakukan beberapa serangan mengejut pada waktu malam di perkampungan Najd. Tujuan mereka hanya bagi menakutkan musuh bukan menimbulkan bencana.

     Pada masa yang sama Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya sudah sampai di Ar-Raji'. Penduduk perkampungan Huzail yang terletak berhampiran dengan kawasan itu terkejut apabila melihat Nabi Muhammad dan pengikutnya berkhemah di situ. Mereka menjadi kelam kabut kerana menyangka akan diserang oleh orang Islam sebagai membalas dendam atas kematian rakan-rakan mereka kira-kira tiga tahun yang lalu. Berita itu segera disampaikan kepada suku Qura, Wail dan Lihyan. Kesemua mereka terkejut dan ketakutan tambahan pula pahlawan-pahlawan mereka sudah berada di dalam Kota Khaibar. Sekiranya Nabi Muhammad menyerang perkampungan mereka tidak ada siapa lagi yang dapat mempertahankannya kerana yang tinggal cuma wanita, kanak-kanak dan orang tua.

     "Kita perlu menghantar utusan ke Kota Khaibar bagi memaklumkan kepada mereka berkenaan kedatangan Muhammad dan pengikutnya di Ar-Raji'. Suruh pahlawan kita pulang bagi mempertahankan perkampungan ini," kata Aswad seorang lelaki tua yang diberi tanggungjawab menjaga perkampungan Huzail.

     "Kita tidak boleh pergi ke Khaibar kerana jalan menuju ke sana sudah ditutup oleh Muhammad dan pengikutnya," kata kawan Aswad yang juga sebaya dengannya.

     "Sekiranya begitu kita berserah sahaja kepada nasib. Semoga Muhammad tidak berlaku zalim kepada kita," kata Aswad lalu menyuruh suku Huzail jangan keluar dari rumah.

     Ar-Raji' terletak di kawasan lalu antara perkampungan itu ke Kota Khaibar. Kerana itu apabila pasukan tentera Islam berkhemah di situ, secara tidak langsung menghalang bantuan dari luar sampai ke Khaibar. Kerana itu penduduk perkampungan di sekitar Ar-Raji' tidak dapat meminta bantuan dari Khaibar lalu bersembunyi di dalam rumah masing-masing. Nabi Muhammad berpesan kepada pengikutnya supaya jangan mengganggu mereka.

     Sepanjang hari itu pasukan tentera Islam membuat persiapan bagi menyerang Kota Khaibar. Mereka mengasah senjata serta membuat perancangan bagi menyerang kota yang menjadi kebanggaan Yahudi Khaibar itu. Sekiranya tiada jalan perdamaian maka pertempuran menjadi penentuannya.

     Cuaca yang panas terik sejak pagi beransur redup apabila menjelang petang. Cahaya mentari yang kemerahan itu menyinari Kota Khaibar. Penghuninya mula keresahan kerana selepas menunggu beberapa hari Nabi Muhammad dan pasukannya masih belum datang. Penduduk Khaibar mula berasa bosan. Pasukan tentera yang diperintahkan berjaga-jaga siang dan malam juga mula berasa letih dan jemu.

     "Wahai saudara-saudaraku sekalian, saya yakin Muhammad dan pengikutnya tidak berani menyerang Kota Khaibar. Ataupun dia sudah membatalkan hasratnya itu. Ataupun mungkin juga Abdullah bin Ubai menyebarkan berita palsu," teriak Kinanah dengan suara yang lantang.

     "Saya sependapat dengan Kinanah!" balas Sallam pula.

     Orang ramai menyambut pengumuman itu dengan gembira. Mereka bersorak kegembiraan kerana yakin Nabi Muhammad dan pengikutnya tidak berani menyerang Kota Khaibar.

     "Sekiranya keadaan sudah selamat maka kami memohon dibenarkan keluar dari benteng Khaibar bagi bekerja di kebun kerana buah kurma kami sudah boleh dipetik," kata Basyir salah seorang petani Khaibar.

     "Izinkan kami membawa ternakan ke padang rumput di luar sana," kata penternak kambing pula.

     Sallam dan Kinanah membenarkan permintaan mereka kerana yakin Nabi Muhammad tidak akan datang menyerang. Tambahan pula sudah hampir seminggu mereka terkurung di dalam Benteng Khaibar sejak tersebarnya berita serangan itu.

     "Saya mencadangkan kita teruskan rancangan menyerang Yathrib. Tambahan pula kita sudah membuat persiapan. Ramai tentera daripada kabilah Yahudi dan Arab Ghatafan sudah berkumpul di sini. Alangkah rugi dan sia-sianya sekiranya kita suruh mereka pulang," kata Kinanah yang kelihatan seolah tidak sabar mahu berperang dengan Nabi Muhammad.

     "Saya setuju dan panggillah ketua kabilah Ghatafan, Wail, Qura, Fada', Taima' dan Fazarah datang bermesyuarat pada malam  ini. Sekiranya sudah mendapat persetujuan ramai maka esok kita mulakan serangan ke Yathrib," kata Sallam bin Misykam pula.

     Dia juga sudah tidak sabar lagi hendak menyerang Madinah. Walaupun dia sudah menjadi ketua di Khaibar serta memiliki pelbagai penghormatan dan kekayaan namun dendamnya kepada Nabi Muhammad tidak pernah padam maka semakin menyala. Kerana itu dia sanggup menyerahkan separuh hasil kurma Khaibar kepada mereka yang membantunya menyerang Madinah.

     Pada masa yang sama, di Raji' Nabi Muhamamd sudah siap memakai pakaian perang. Beliau memakai baju besi dan topi besi dan menunggang kuda yang diberi nama Az-Zarbu. Selepas memberi taklimat kepada pasukan tenteranya mereka pun mara ke Kota Khaibar. Apabila sudah hampir dan mereka dapat melihat kota itu dengan jelas maka Nabi Muhammad memerintahkan pasukannya berhenti.

     Kemudian baginda berdoa, "Wahai Allah, Tuhan sekalian langit dan semua yang ada di bawahnya. Dan Tuhan sekali bumi dan segala yang ada di atasnya. Tuhan sekalian syaitan dan sekalian yang disesatkan syaitan. Tuhan sekalian angin dan segala yang diterbangkan angin. Kami memohon kepada Engkau akan kebaikan negeri ini. Kebaikan penduduknya dan kebaikan segala apa yang ada di dalamnya. Dan kami berlindung kepada Engkau daripada kejahatan negeri ini, kejahatan penghuninya dan segala kejahatan yang ada di dalamnya."

     Doa yang dibacakan Nabi Muhammad itu diaminkan oleh 1600 orang sahabatnya. Ketika itu hari sudah pun senja. Nabi Muhammad menyuruh mereka bermalam di situ kerana sudah masuk waktu maghrib. Ada yang menjangka Nabi Muhammad akan memerintahkan menyerang Kota Khaibar pada waktu tengah malam ketika semua penghuninya sedang nyenyak tidur. Sekiranya itu berlaku maka semakin mudah kota itu dapat ditawan. Namun Nabi Muhammad tidak mahu melakukannya. Serangan mengejut pada waktu malam tidak sesuai dilakukan kerana dikhuatiri membahayakan keselamatan wanita dan kanak-kanak yang berada di dalam benteng Khaibar itu.

     Nabi Muhammad juga berpesan kepada sahabatnya, apabila sampai di sebuah perkampungan yang hendak diserang maka bermalam dulu. Menjelang subuh hendaklah mendengar sekiranya ada seruan azan subuh pada perkampungan itu. Sekiranya ada terdengar suara azan maka jangan diserang. Tetapi sekiranya tidak kedengaran suara azan baru boleh dilancarkan serangan itu pun selepas mereka diseru kepada Islam lalu menolaknya.

     Malam itu di dalam benteng Khaibar diadakan mesyuarat yang dihadiri ketua-ketua Khaibar, Ghatafan, Qura, Wail, Fada', Taima' dan Fazarah. Mereka sebulat suara bersetuju menyerang Madinah tetapi berbeza pendapat berkenaan tarikhnya. Kabilah Ghatafan mencadangkan supaya ditangguhkan sebulan lagi bagi membolehkan mereka menuai buah kurma yang sedang masak.

     "Kerana Kota Khaibar dalam keadaan selamat dan Muhammad tidak berani menyerangnya maka kami akan pulang ke perkampungan kami pada malam ini juga kerana esok pagi kami hendak memetik buah kurma di kebun kami," kata ketua Ghatafan dan Sallam bin Misykam tidak dapat menghalangnya.

     Malam itu juga pasukan tentera Ghatafan pulang ke perkampungan mereka yang terletaknya agak terpisah dari Kota Khaibar. Mereka belum menyedari Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya sudah berada hampir dengan Kota Khaibar.

     Sepanjang malam itu tidak ada apa-apa yang berlaku kerana pasukan Islam tidak melakukan serangan kerana mereka mematuhi perintah Rasulullah. Apabila masuk waktu subuh mereka sembahyang berjemaah serta mendengar amanat Rasulullah. Kemudian mereka bersiap sedia menunggu perintah Rasulullah.

     "Kita tidak mendengar azan dilaungkan sepanjang malam tadi hingga ke subuh. Maknanya tidak ada seorang pun penduduk Kota Khaibar yang beragama Islam," kata Salman Al-Farisi.

     "Saya yakin Rasulullah akan memerintahkan kita menyerangnya selepas ini. Bersiap sedialah ke medan jihad," kata Abu Ubaidah pula.

     "Saya sudah pun bersiap sedia. Apabila Rasulullah memberi perintah kita laksanakan dengan segera," kata Sa'ad bin Abi Waqas pula.

     Seperti yang dijangka sebelum matahari terbit Nabi Muhammad menggerakkan pasukan tentera Muslimin ke Kota Khaibar. Pada masa yang sama petani Khaibar sudah keluar dari benteng menuju ke kawasan pertanian masing-masing. Mereka terkejut apabila melihat Nabi Muhammad sedang memimpin pasukannya menuju ke Kota Khaibar. Sebelum ini baginda sudah berpesan supaya jangan mengganggu para petani, penternak dan orang awam yang sedang mencari rezeki. Apabila melihat kedatangan orang Islam itu maka para petani Khaibar kelam-kabut.

     "Muhammad dan pasukan tenteranya sudah datang!" Terdengar jeritan ketakutan.

     "Selamatkan diri!" teriak yang lain pula.

     "Masuk semula ke benteng Khaibar!" balas yang lain.

     Maka bertempiaran para petani dan penternak itu lari menyelamatkan diri walaupun tidak dikejar tentera Islam. Ketika itu pintu utama Kota Khaibar masih terbuka. Penjaga pintu tidak dapat menutupnya kerana para petani sedang berpusu-pusu masuk. Nabi Muhammad dan pengikutnya segera menerobos masuk melalui pintu utama itu. Namun masih belum dapat menguasai Kota Khaibar kerana pintu dan bentengnya berlapis-lapis.

     Apabila melihat tentera Islam sudah berjaya memasuki pintu utama Kota Khaibar maka Sallam bin Misykam memerintahkan tenteranya membawa masuk makanan ke dalam benteng Na'im. Kaum wanita dan kanak-kanak pula dimasukkan ke dalam benteng Al-Watih dan Sulalim.

     "Makanan dan keluarga kita berada di tempat yang selamat," teriak Sallam dengan harpaan pasukan tentera Khaibar akan berjuang bersungguh-sungguh.

     Antara tiga benteng itu, benteng Na'im yang paling kukuh dan penting kerana di situ disimpan makanan. Kerana itu Sallam bin Misykam menempatkan bilangan tentera yang ramai di situ bagi mempertahankannya.

     Nabi Muhammad membawa pasukan tenteranya menyerang di kawasan bukit kerana di situ terletaknya tiga benteng yang kukuh dan penting. Kawasan pertanian dan ternakan di kawasan pamah tidak diusik. Benteng pertama yang dikepung pasukan Islam adalah benteng Na'im.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment