Monday 19 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 2 - API DENDAM MENYALA DI KHAIBAR ]






API DENDAM MENYALA DI KHAIBAR








Pagi itu Salam bin Misykam menemui Uzair bagi menyampaikan permintaan Bani Nadhir yang mahu cukai ke atas mereka dikurangkan serta diberikan layanan sama rata seperti penduduk Khaibar yang lain.

     "Orang Bani Qainuqa' juga ada yang menumpang di sini. Mereka mendapat layanan yang sama rata dengan penduduk Khaibar. Tetapi mengapa kami Bani Nadhir dipaksa membayar cukai diri, cukai tanah dan cukai hasil tanaman?" kata Sallam sambil merayu cukai itu tidak lagi dikenakan kepada kaumnya.

     "Penduduk Khaibar tidak suka dengan kedatangan kamu ke sini. Tetapi atas belas kasihan saya maka saya terima juga kedatangan kamu. Kerana itu saya mahu tunjukkan kepada mereka yang kehadiran kamu menguntungkan mereka dengan membayar cukai. Mungkin tidak selamanya cukai itu dikenakan ke atas kamu. Apabila keadaan sudah reda dan penduduk Khaibar sudah dapat menerima kehadiran kamu, ketika itu baru semua cukai itu dihapuskan," kata Uzair pula sambil menasihatkan Sallam supaya menyuruh orang Bani Nadhir bersabar.

     "Kamu datang ke sini bukan sehelai sepinggang tetapi membawa banyak harta termasuk kayu dan atap rumah. Kerana itu orang Bani Nadhir mampu membeli tanah dan kebun kurma orang Khaibar. Memang patut dikenakan cukai," kata Uzair lagi.

     "Sekiranya begitu kata kamu, terpaksa kami akur. Saya akan nasihatkan kaum saya supaya bersabar. Tambahan pula orang Bani Nadhir tidak mahu berada di Khaibar ini selamanya. Kami sedang merancang mahu kembali ke Yahtrib," kata-kata Salam itu menarik perhatian ketua Bani Khaibar itu.

     "Maksud kamu mahu menyerang Yahtrib sekali lagi?" tanya Uzair.

     "Kami tidak akan berdiam diri selagi Muhammad dan pengikutnya tidak disingkirkan dari Yathrib. Kami sudah bersumpah akan merebut semula Yathrib dari Muhammad," jawab Salam.

     "Lebih baik kamu lupakan sahaja impian kosong itu. Kamu tidak akan mampu mengalahkan Muhammad. Tinggal sahaja di Khaibar ini selamanya," kata Uzair pula.

     "Kita mampu mengalahkan Muhammad sekiranya bersatu. Maksud saya Bani Nadhir dan penduduk Khaibar bersatu menyerang Yathrib. Muhammad dan pengikutnya kita bunuh dan Yathrib kita tawan semula," kata Salam dengan harapan Uzair bersetuju.

     "Muhammad dan pengikutnya tidak pernah mengganggu penduduk Khaibar. Kerana itu saya tidak akan mengganggunya. Saya tidak mahu masuk campur permusuhan kamu dengan Muhammad," tegas Uzair menolak cadangan Sallam itu.

     "Sekiranya begitu saya akan minta bantuan dari kabilah Yahudi Wadi Qura, dan Taima'. Saya juga akan minta bantuan dari Kabilah Arab Ghatafan," kata Sallam pula.

     "Sekiranya begitu lebih baik Bani Nadhir berpindah sahaja ke sana. Saya tidak mahu diheret dalam permusuhan kamu dengan Muhammad," marah Uzair.

     "Saya tidak akan libatkan penduduk Khaibar," kata Salam pula.

     "Sekiranya Muhammad dan pengikutnya menyerang kamu bererti mereka juga menyerang Kota Khaibar. Bukankah itu juga akan melibatkan kami? Kerana itu lebih baik kamu pergi sahaja dari sini," Uzair benar-benar berasa marah hingga tidak mahu lagi bercakap dengan Salam.

     Namun Salam tidak berputus asa. Demi masa hadapan Bani Nadhir dia sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh ketua Yahudi Khaibar itu. Selepas merancang dengan teliti maka Sallam pun melakukan perbuatan kianatnya.

     Malam itu Salam bin Misykam berpakaian serba hitam lalu keluar dari rumahnya menuju ke rumah Uzair. Langkah kakinya diatur dengan perlahan dan berhati-hati agar tidak dilihat sesiapa. Apabila sampai di mengetuk pintu rumah Uzair seperti isyarat kecemasan. Tanpa mengesyaki apa-apa Uzair membuka pintu kerana menyangka ada tetamu yang datang bagi menyampaikan berita penting. Sebaik sahaja pintu dibuka maka Sallam terus menikam dada Uzair dengan tombak yang disapu racun. Uzair tersungkur dan mati di situ juga. Dengan pantas Sallam berlari pulang ke rumahnya.

     Tengah malam itu Kota Khaibar menjadi gempar apabila berita kematian Uzair itu dihebahkan kepada orang ramai. Mereka datang ke rumah Uzair bagi mengetahui siapa yang melakukannya. Sallam juga turut datang selepas menukar pakaiannya. Dia berpura-pura terkejut dan cemas.

     "Beberapa hari yang lepas dia ada beritahu saya berkenaan pakatan hendak membunuhnya. Dan benarlah apa yang dikatakannya itu berlaku malam ini," kata Salam sambil berpura-pura sedih.

     "Adakah Uzair beritahu kamu siapa yang mahu membunuhnya?" tanya Abdullah adik Uzair.

     "Muhammad," jawab Salam. Kemudian katanya lagi, "Dia sudah berjaya menyusupkan pengikutnya ke dalam Kota Khaibar. Saya yakin dapat mencari dan menangkap siapa yang melakukannya."

     "Sekiranya begitu cepat bertindak supaya pembunuh itu dapat ditangkap dan dihukum," kata Abdullah. Orang ramai menyokong.

     "Saya hanya dapat bertindak sekiranya dapat kerjasama dari kamu semua. Kerana itu berilah kerjasama kepada saya bagi menangkap dan menghukum pembunuh itu. Kamu tidak akan selamat selagi pembunuh itu bebas," kata Sallam.

     "Apa kerjasama yang kamu mahukan daripada kami?" tanya Kinanah bin Abu Huqaiq pula.

     "Tempat Uzair perlu diganti. Kita perlu melantik ketua yang baru bagi memimpin Khaibar. Tetapi dalam keadaan sekarang yang sedang huru hara dan tidak menentu kita tidak dapat memilih ketua yang baru. Kerana itu buat sementara waktu saya menawarkan diri mengambil alih tugas Uzair. Apabila kita sudah sepakat melantik ketua yang baru maka saya dengan rela hati menyerahkan kepadanya. Saya akan menyokong sesiapa sahaja yang kamu lantik," kata Sallam dengan bersungguh-sungguh.

     Kemudian katanya lagi. "Uzair seorang pemimpin yang baik. Hubungan kami sangat erat sehingga sering kali dia meminta bantuan saya bagi menjalankan tugasnya. Malah dia pernah berkata mahu melantik saya menjadi pembantunya. Tetapi sekarang dia sudah tidak ada lagi."

     Akhirnya Sallam berjaya meyakinkan orang ramai. Mereka bersetuju dengan permintaan Sallam menjadi ketua sementara mereka memikirkan pelantikan ketua yang baru. Sallam berasa sangat gembira kerana apa yang dirancangnya sudah berjaya. Maka semakin besarlah cita-citanya bagi membalas dendam terhadap Nabi Muhammad.

     Tindakan pertama yang dilakukan Sallam bin Misykam adalah mendapatkan sumpah taat setia daripada semua penduduk Khaibar kepada dirinya. Janjinya hendak menangkap pembunuh Uzair hanya tinggal janji. Janjinya hendak mengadakan pilihan ketua yang baru juga dilupakannya. Dia kini menjadi ketua Yahudi Khaibar. Dia memastikan kedudukannya tidak tergugat dengan melantik mereka yang dipercayainya sebagai pembantu.

     Kemudian Sallam berusaha memperkuatkan lagi pasukan tentera Khaibar dengan membeli senjata dari Rom dan Parsi. Dia juga mewajibkan semua lelaki yang berumur lima belas tahun ke atas berkhidmat dalam angkatan tentera Khaibar. Orang Bani Nadhir yang paling gembira kerana mereka tidak lagi dibebankan dengan cukai. Malah mereka diberikan kedudukan istimewa oleh Sallam.

     "Wahai saudara-saudaraku kaum Yahudi. Kita adalah bangsa yang bijak dan kuat. Apabila Bani Nadhir dan penduduk Khaibar bersatu maka kita menjadi bertambah kuat. Tidak siapa yang berani menggugat kita dan tidak siapa yang dapat mengalahkan kita. Kerana itu wajib atas kita segera mengatur dan menyusun kekuatan dengan mewujudkan persatuan yang kukuh antara kita dengan kaum Yahudi yang ada di Wadil Qura' dan Taima'. Kemudian hendaklah kita serentak berangkat ke Yathrib lalu melakukan serangan besar-besaran ke atas kota itu dengan tidak perlu meminta bantuan daripada kabilah Arab kerana kita sendiri mampu mengalahkan Muhammad," kata Sallam dalam satu perhimpunan orang ramai.

     "Saya setuju seperkara tetapi tidak setuju seperkara lagi," kata Abu Rafi' pula.

     "Sila nyatakan perkara yang kamu setuju dahulu," kata Sallam pula.

     "Saya setuju kita menjalin hubungan yang kukuh dengan orang Yahudi di Wadi Qura dan Taima'. Kita hendaklah bersatu dengan mereka bagi menentang Muhammad. Kerana itu mulai sekarang berusahalah mewujudkan persatuan itu. Kita yang mendatangi mereka bukan mereka yang mendatangi kita," kata Abu Rafi'.

     "Nyatakan pula perkara yang kamu tidak setuju," pinta Sallam lagi.

     "Saya tidak setuju apabila mengatakan kita tidak perlu meminta bantuan dari kabilah Arab. Cukup dengan kabilah Yahudi sahaja," jawab Abu Rafi'.

     "Mengapa kamu tidak setuju?" tanya Salam lagi.

     "Bagi mengalahkan orang Arab, kita perlu gunakan orang Arab juga. Kerana itu kita perlu bersatu dengan kabilah Arab bagi mengalahkan Muhammad dan pengikutnya. Dengan adanya bantuan dari kabilah Arab, usaha ini pasti berjaya," kata Abu Rafi' dengan yakin. Kemudian katanya lagi, "Kita tidak patut mengharapkan Arab Quraisy lagi kerana mereka sudah mengikat Perjanjian Hudaibiyah dengan Muhammad. Kerana itu saya mencadangkan kita mengikat perjanjian dengan Bani Ghatafan. Pujuk mereka supaya bersatu dengan kita memerangi Muhammad."

     Semua yang hadir menyokong cadangan Abu Rafi' itu. Sallam juga terpaksa menerimanya. Keesokan harinya dia menemui pemimpin Yahudi di Wadi Qura yang terletak tidak jauh dari Kota Khaibar.

     "Wahai saudaraku kau Yahudi Wadi Qura. Nenek moyang kamu dahulu pernah mendiami Yathrib. Kemudian mereka keluar dari sana apabila berlaku peperangan antara kaum Aus dan Khazraj. Apakah kamu tidak mahu kembali semula ke Yathrib? Tanahnya lebih subur dari Wadi Qura. Hasil kurmanya tiga kali lebih banyak dari yang kamu peroleh di sini," kata Sallam dalam usaha memujuk Yahudi Wadi Qura bersatu dengannya.

     "Kami mahukan Yathrib tetapi apakan daya kerana sekarang ini sudah dikuasai Muhammad dan pengikutnya," kata Amir ketua Yahudi Wadi Qura.

     "Bersatulah dengan kami bagi menyerang Yathrib. Kita akan kalahkan Muhammad dan pengikutnya. Selepas itu kita berpindah ke sana," pujuk Sallam dan akhirnya Yahudi Wadi Qura bersetuju.

     Kemudian Sallam memujuk pemimpin Yahudi Taima' pula. Dia juga menggunakan kata-kata yang sama diucapkannya ketika memujuk Yahudi Wadi Qura. Dan akhirnya Yahudi Taima' juga bersetuju bergabung dengan Yahudi Khaibar.

     Kemudian Sallam menemui kabilah Arab Ghatafan yang sememangnya memusuhi Nabi Muhammad sejak mula diangkat menjadi Rasul.

     "Tahukah kamu yang Muhammad sudah mengirim surat kepada Maharaja Rom dan Parsi? Dia mengajak mereka memeluk agama Islam. Muhammad juga sudah membuat perjanjian damai dengan kaum Quraisy Mekah," kata Sallam dalam pertemuannya dengan Yazir ketua kabilah Ghatafan.

     "Saya tahu," kata Yazir.

     "Bagaimana sekiranya Muhammad berjaya memujuk maharaja Rom dan Parsi menjadi pengikutnya? Bagaimana sekiranya Muhammad berjaya menguasai Mekah selepas kaum Quraisy berdamai dengannya?" tanya Sallam pula.

     "Itu mustahil berlaku kerana saya yakin Maharaja Rom dan Parsi tidak akan bersetuju. Kaum Quraisy Mekah juga pasti tidak setuju kerana mereka berlainan fahaman agama. Perjanjian antara Muhammad dengan Quraisy itu akan terbatal tidak lama lagi," kata Yazir pula.

     "Kita tidak boleh mengharapkan perkara itu berlaku dengan sendiri. Kita perlu berusaha memusnahkan Muhammad. Kita mampu melakukannya," pujuk Sallam. Kemudian katanya lagi, "Kerajaan Rom tidak akan berani menyerang Madinah kerana akan ditentang oleh Parsi. Begitu juga Parsi tidak berani menyerang Madinah kerana bimbang campur tangan Rom. Sedangkan antara Rom dan Parsi sudah bermusuhan sejak beratus tahun. Kerana itu hanya kita yang dapat menyerang Madinah dan kita mampu melakukannya," pujuk Sallam dengan bersungguh-sungguh.

     "Kita sudah melakukannya semasa Perang Khandaq. Tetapi gagal. Saya bimbang kita gagal lagi," kata Yazir kerana masih kurang yakin.

     "Sebenarnya pasukan Ahzab dikalahkan oleh angin ribut bukan oleh Muhammad. Kerana itu pada kali ini kita akan menyerang Madinah pada musim panas yang tidak akan berlaku ribut dan hujan lebat. Sekiranya kabilah Ghatafan, Khaibar, Wadi Qura dan Taima' bersatu maka Muhammad dapat dikalahkan dan Madinah dapat kita tawan," pujuk Salam. Kemudian pujuknya lagi, "Apabila Madinah sudah dapat ditakluk maka separuh dari harta rampasan perang akan diberikan kepada kabilah Ghatafan. Selain itu hasil buah kurma Madinah juga akan dibahagi dua. Kita akan buat surat perjanjian berkenaan perkara itu."

     "Bagaimana pula sekiranya kita gagal?" tanya Yazir.

     "Sekiranya ditakdirkan kita gagal, namun saya yakin kita tidak akan gagal, maka kami penduduk Khaibar sanggup memberi separuh daripada hasil buah kurma kami kepada kabilah Ghatafan. Kerana itu sama ada kita menang ataupun kalah tetap memberi keuntungan kepada kabilah Ghatafan," jawab Salam yang sanggup berbuat apa saja asalkan kabilah Ghatafan sanggup memberikan kerjasama.

     Akhirnya kabilah Ghatafan berjaya dipujuk Sallam supaya bersatu dengan Yahudi Khaibar menyerang Madinah. Mereka pun membuat perjanjian. Salam pun berasa sangat gembira kerana yakin usahanya hampir berjaya. Dengan adanya gabungan Yahudi Khaibar, Wadi Qura dan Taima' mereka menjadi kuat. Apabila disertai kabilah Arab Ghatafan maka gabungan mereka menjadi semakin kuat.

     "Sesungguhnya saya yakin kekuatan kita sekarang mampu mengalahkan Rom dan Parsi. Namun musuh utama kita sekarang adalah Muhammad dan pengikutnya. Selepas mereka dikalahkan dan selepas Yahtrib disatukan dengan Khaibar, Wadi Qura, Taima' dan Ghatafan maka kita akan menjadi kuasa besar dunia," kata Salam dalam satu perhimpunan kaum Yahudi.

     Mereka membuat persiapan bagi menyerang Madinah. Perkara itu akhirnya sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad. Baginda tidak berdiam diri lalu membuat persiapan berperang.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.






No comments:

Post a Comment