Friday 23 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 8 - RAHSIA TERBUKA ]






RAHSIA TERBUKA








Kota Khaibar bukan lagi syurga bagi penghuninya. Selepas sekian lama hidup dalam serba kemewahan kini mereka berhadapan dengan kegetiran hidup. Suasana perang benar-benar menakutkan mereka. Siang dan malam terkurung di dalam kubu perlindungan dan tidak dapat keluar pergi ke mana-mana.

     "Malapetaka ini berlaku disebabkan Bani Nadhir. Sekiranya mereka tidak datang ke sini kita tidak akan berperang dengan Muhammad. Malapetaka ini tidak akan berlaku," kata Akhasyi seorang penduduk Khaibar yang terkurung di dalam benteng Nai'im.

     "Benar kata kamu itu. Saya juga tidak senang hati sejak hari pertama mereka berpindah ke sini. Tetapi Huyay bin Akhtab berjaya memujuk ketua kita supaya menerima kedatangan mereka. Inilah akibatnya," sokong Jubair kawan baik Akhasyi.

     "Mula-mula orang Bani Nadhir menumpang tinggal di Khaibar. Sekarang mereka sudah bermaharajalela. Diangkat pula menjadi ketua," kata Akhasyi melepaskan rasa geramnya.

     Kemudian katanya lagi, "Pada mulanya saya tidak setuju Sallam bin Misykam dilantik menjadi ketua Khaibar. Tetapi apakan daya kerana orang ramai memberi sokongan kepadanya."

     "Saya juga sependapat dengan kamu. Sallam bin Misykam tidak layak menjadi memimpin Khaibar. Dia perlu diganti dengan penduduk Khaibar sendiri, bukan daripada Bani Nadhir," kata Al-Harith bin Abu Zainab, pembantu Sallam bin Misykam.

     Selepas sekian lama menjadi pak turut, akhirnya Al-Harith berpaling tadah kerana tidak mahu lagi berketuakan Sallam bin Misykam. Dia menghasut orang Yahudi Khaibar supaya menjatuhkan Sallam supaya diganti dengan orang lain.

     "Kita bersetuju melantik dia menjadi ketua cuma buat sementara waktu kerana dia berjanji hendak menangkap pembunuh Uzair. Dia juga berjanji hendak membuat pemilihan ketua baru. Selepas dilantik ketua yang baru dia menyerahkan kuasanya. Tetapi semua janji itu seolah-olah dilupakannya."

     "Saya juga sependapat dengan kamu. Sallam bin Misykam tidak layak menjadi ketua kita. Tetapi sekarang kita sedang berperang dengan Muhammad. Sekiranya kita berpecah pasti melemahkan kita. Kerana itu kita tunggu sehingga perang selesai baru kita lantik ketua baru," kata Jusopa pula.

     "Kita perlu lucutkan kuasanya sekarang. Sekiranya dia yang menjadi ketua pemerintah, kita akan kalah berperang dengan Muhammad. Apabila kita kalah tidak ada gunanya lagi kita hidup," desak Al-Harith pula.

     "Mengapa kamu begitu yakin sekiranya Sallam menjadi ketua kita kalah berperang dengan Muhammad? Apa hujah kamu?" marah Kinanah pula.

     "Sallam menempatkan semua pahlawan Bani Nadhir di benteng Nai'im. Sedangkan pahlawan Khaibar ditempatkan pada benteng yang kurang penting. Akibatnya nanti apabila benteng Nai'im jatuh maka semua benteng yang lain turut jatuh. Sepatutnya benteng Nai'im dipertahankan oleh pahlawan Khaibar. Mereka yang mengetahui di mana ditempatkan senjata pemusnah dan yang mengetahui cara menggunakannya," kata Al-Harith.

     "Baru saya sedar di dalam benteng Nai'im ini ada senjata pemusnah. Mengapa tidak digunakan bagi menghancurkan Muhammad?" tanya Josupa pula.

     "Pahlawan Bani Nadhir tidak tahu cara menggunakan senjata pemusnah itu. Kerana itu tidak dapat digunakan. Kerana itu saya mahu Sallam digantikan dengan orang lain supaya kita memenangi peperangan ini," jawab Al-Harith.

     "Dalam keadaan sekarang mustahil kita dapat memindahkan tentera Khaibar ke dalam benteng Nai'im kerana sudah dikepung Muhammad dan pengikutnya. Sebaiknya kita tangguhkan dahulu pelantikan baru dan kita tumpukan bagi mengalahkan angkatan perang Madinah," kata Kinanah pula.

     Tiba-tiba bangun seorang wanita bernama Maryem lalu berkata, "Saya akan mendedahkan satu rahsia berkenaan siapa yang sebenarnya membunuh Uzair."

     Semua yang ada di dalam bilik mesyuarat Yahudi Khaibar itu terkejut mendengarnya. Mereka mahu mengetahuinya daripada wanita itu.

     "Orang yang membunuh Uzair pada malam kejadian itu adalah Sallam sendiri. Saya menjadi saksinya." Kata-kata Maryem itu memeranjatkan semua yang ada di dalam bilik mesyuarat itu.

     Mesyuarat itu hanya dihadiri orang Yahudi Khaibar yang berada di dalam benteng Nai'im. Jumlah mereka tidak sampai dua puluh orang kerana yang lain dipindahkan oleh Sallam ke benteng lain yang kurang penting.

     "Tuduhan kamu itu sangat berat. Dapatkah kamu buktikan tuduhan kamu itu?" tanya Al-Harith pula.

     "Sallam pernah memberitahu saya berkenaan cita-citanya mahu menjadi ketua Yahudi Khaibar. Dengan berseloroh saya berkata kamu bunuhlah Uzair. Tetapi dengan syarat kamu kahwini aku," jawab wanita Yahudi Khaibar itu. Kemudian katanya lagi, "Tetapi selepas Sallam menjadi ketua dia melupakan janjinya itu. Malah tidak mahu bertemu dengan saya lagi. Kerana itu saya berasa sakit hati lalu mendedahkan rahsia ini."

     Semua yang berada di dalam bilik mesyuarat itu menjadi marah lalu mahu membunuh Sallam bin Misykam yang menipu mereka. Tetapi dapat ditenangkan oleh Al-Harith.

     "Sekiranya kamu bunuh Sallam maka orang Bani Nadhir akan menuntut bela. Akibarnya kita akan berbunuhan sesama sendiri, sedangkan kita sedang berperang dengan Muhammad. Kerana itu saya ada cara sendiri bagi membunuh Sallam tetapi bukan dengan cara kekerasan," kata Al-Harith.

     "Saya cadangkan kita beri racun. Apabila dia mati orang Bani Nadhir tidak syak kita yang membunuhnya," kata Kinanah mencadangkan.

     "Cara itu yang sedang saya fikirkan dan cara itu yang paling baik bagi menamatkan riwayat Sallam bin Misykam," kata Al-Harith yang berjanji akan melakukannya sendiri.

     Mereka sebulat suara bersetuju dengan cadangan itu dan menyerahkan kepada Al-Harith bagi melakukannya. Sebagai pembantu Sallam maka mudah Al-Harith melakukan rancangan jahatnya itu. Dia membubuh racun ke dalam air minuman Sallam menyebabkan ketua Yahudi Khaibar itu jatuh sakit lalu meninggal dunia. Kematian mengejut Sallam bin Misykam itu memberi tamparan hebat kepada Bani Nadhir. Mereka terpaksa melantik Al-Harith menggantikannya kerana dia pembantu Sallam.

     Al-Harith memerintahkan serangan ke atas pasukan Islam diperhebatkan lagi. Dalam masa yang sama dia bercadang mahu menggunakan senjata pemusnah iaitu pelontar batu (manjaniq) dan kereta kebal terhadap tentera Islam.

     Namun cita-cita Al-Harith itu tidak kesampaian kerana dia terkena panah yang dilepaskan tentera Islam lalu meninggal dunia. Tempatnya segera digantikan oleh Kinanah bin Rabi' yang berkahwin dengan Safiyah binti Huyay anak perempuan Huyay bin Akhtab yang dijatuhi hukum pancung bersama Yahudi Bani Quraizah.

     Kinanah juga mahu serangan terhadap pasukan Islam diteruskan. Dalam masa yang sama dia menghantar seorang lelaki kepercayaannya keluar bagi mengintip keadaan tentera Islam di samping mencari kelemahan mereka. Maka keluarlah pengintip Yahudi itu dari pintu rahsia benteng Nai'im lalu menyamar dan bergabung dengan pasukan Islam.

     Umar Al-Khattab berasa curiga apabila terpandang lelaki pengintip itu lalu menangkapnya. Selepas disoal siasat, akhirnya pengintip itu mengaku salah.

     "Saya akan penggal leher kamu," teriak Umar Al-Khattab sambil menghunus pedangnya.

     "Saya ada rahsia penting. Sekiranya saya dibunuh kamu yang akan rugi. Kerana itu bawa saya berjumpa dengan Muhammad. Saya mahu beritahu dia rahsia penting ini," kata lelaki itu merayu.

     Umar Al-Khattab membawa lelaki itu berjumpa dengan Rasulullah SAW. Baginda menyambut kedatangan lelaki itu dengan baik.

     "Apa khabar?" tanya Nabi Muhammad.

     Pengintip tentera Yahudi itu menatap wajah Nabi Muhammad. Tiba-tiba dia berasa kagum apabila melihat kehebatannya.

     "Wahai Muhammad, nama saya Yazmer. Saya ditugaskan menjadi pengintip dan sekiranya ada kesempatan disuruh membunuh tuan, tetapi sekarang saya sudah ditangkap. Saya merayu jangan dijatuhi hukuman bunuh. Bebaskanlah saya," lelaki Yahudi itu merayu.

     Lalu Nabi Muhammad membebaskannya. Dengan rasa yang amat terharu lelaki itu pun berkata, "Wahai Nabi Muhammad, ada rahsia yang hendak saya beritahu tuan. Sesungguhnya di dalam benteng Nai'im itu ada tersimpan banyak makanan. Selain itu ada tersimpan alat kelengkapan perang antaranya pedang, baju besir, alat pelontar batu (manjaniq) dan Dabbabat (kereta kebal) dan banyak lagi," kata lelaki itu bersungguh-sungguh.

     "Mengapa mereka tidak menggunakannya bagi menentang kami?" tanya Umar Al-Khattab pula.

     "Hanya saya seorang yang tahu di mana tersimpannya senjata yang sangat berguna itu. Mereka sedang berusaha mencarinya. Sekiranya terjumpa mereka akan menggunakannya terhadap kamu. Kerana itu segera buka benteng itu dan saya akan tunjukkan di mana senjata itu disembunyikan," jawab lelaki Yahudi itu. Kemudian dia berjanji akan mengajar cara menggunakan senjata itu.

     "Mengapa kamu sanggup membuka rahsia itu kepada kami?" tanya Ali pula.

     "Nabi Muhammad sungguh berhati mulia. Saya menyesal kerana memusuhinya. Mulai dari sekarang saya menjadi pengikut Muhammad. Kerana itu saya sanggup memberikan kerjasama," jawab Azmer dengan bersungguh-sungguh.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment