Thursday 8 February 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 14 - MENGGALI PARIT ]






MENGGALI PARIT








Ramadan berlalu, Syawal menjelang tiba. Umat Islam menyambut kedatangan Syawal dengan penuh kesyukuran selepas menjalani ibadat puasa sebulan lamanya. Sejak malam raya sehingga selesai sembahyang sunat hari raya, umat Islam bertakbir dan bertahmid. Suara mereka gemeresik ke angkasa memuja dan memuji kebesaran Allah SWT.

     Budail dan tiga pengiringnya meninggalkan perkampungan Bani Khuzaah menuju ke Madinah. Mereka memecut laju kuda tunggangan masing-masing supaya segera sampai. Apabila tiba di Madinah mereka terus menemui Nabi Muhammad di Masjid Nabi.

     "Wahai Rasulullah, tentera pasukan bersekutu sudah menetapkan menyerang Madinah pada bulan Syawal ini. Mereka sudah membuat persiapan dan akan bergerak pada bnila-bila masa menuju ke Madinah," kata Budail melaporkan pergerakan musuh kepada Nabi Muhammad.

     Apabila mendapat berita itu, baginda terus mengadakan perbincangan dengan para sahabat yang dipercayainya. Budail pula disuruh pulang semula ke perkampungan mereka bagi membuat intipan terhadap pergerakan angkata bersekutu. Budail pula bertekad mahu melambatkan perjalanan pasukan bersekutu bagi membolehkan Nabi Muhammad membuat persiapan bagi menangkis serangan musuh. Bani Khuzaah baru sahaja dijinakkan hati mereka dengan Islam. Namun keyakinan mereka sudah teguh dan tidak lagi berpaling tadah. Budail yang sudah mendapat sinar hidayat tidak sanggup mengkhianati Nabi Muhammad malah bertekad mahu membantunya mempertahankan Islam.

     Berita berkenaan pasukan bersekutu sedang membuat persiapan menyerang Madinah itu mengejutkan orang ramai. Tambahan apabila dimaklumkan kepada mereka berkenaan usaha Bani Nadhir dan Quraisy Mekah yang sudah mengumpulkan sepuluh ribu tentera bersekutu bagi menyerang Madinah.

     Keadaan menjadi bertambah cemas apabila golongan munafik menyebarkan cerita kononnya pasukan bersekutu itu disertai juga oleh dua kuasa besar dunia iaitu Rom dan Parsi.

     "Sekiranya Rom dan Parsi membantu tentera bersekutu, tidak siapa yang dapat mengalahkan mereka. Lebih baik kita menyerah sahaja ataupun lari menyelamatkan diri," kata Jarir kawan baik Abdullah bin Ubai.

     Namun itu tidak langsung menggentarkan mereka yang beriman. Malah membakar semangat mereka bagi berjihad. Mereka segera mengadakan mesyuarat bagi mencapai kata sepakat.

     "Allah sudah membuka pintu syahid kepada kita. Kerana itu marilah kita berjuang bersungguh-sungguh kerana Allah dan Rasul-Nya. Mudah-mudahan Allah memberi kemenangan kepada kita," kata Abu Ubaidah al-Jarrah, seorang panglima Islam yang terbilang.

     "Kita bersama Rasulullah dalam Perang Badar dan Uhud. Kita bersamanya dalam operasi selepasnya dan Allah memberi kejayaan kepada kita. Kerana itu kita akan terus berjihad dan tidak akan undur," kata Amru Al-Ash pula.

     "Wahai Rasulullah, kerana bilangan musuh ramai maka saya mencadangkan kita berperang di luar kota Madinah. Kita akan berperang sehingga menang ataupun syahid," kata Umar Al-Khattab pula.

     "Wahai Rasulullah, saya pula mencadangkan kita jangan keluar dan menunggu musuh dari dalam kota. Kita dirikan tembok dan kubu-kubu pertahanan di sepanjang kota Madinah. Apabila musuh datang, kita serang mereka dari dalam." Abu Bakar pula mencadangkan.

     Ada yang menyokong cadangan Umar Al-Khattab bagi mengelakkan kaum wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa. Ada pula yang menyokong cadangan Abu Bakar supaya semua penduduk Madinah dapat bersama berjuang mempertahankan kota itu. Selepas berlangsung perbahasan yang agak panjang namun belum mendapat kata sepakat akhirnya bangun seorang lelaki bernama Salman Al-Farisi.

     "Wahai Rasulullah, kami orang Parsi pernah diserang angkata perang musuh yang besar dan ramai jumlahnya. Kami membina parit yang besar dan dalam bagi menghalang serangan mereka. Akhirnya kami mendapat kemenangan," kata lelaki itu lalu menerangkan keadaan parit yang dimaksudkannya.

     "Dengan adanya parit itu pasukan berkuda musuh tidak dapat menyeberang. Sekiranya ada tentera berjalan kaki cuba menyeberanginya kita serang mereka dengan panah dan tombak," kata Salman Al-Farisi yang mengatakan cara itu paling berkesan bagi menghalang serangan musuh yang ramai.

     Selepas mendengar penerangan itu, maka Rasulullah menyatakan persetujuannya dan para sahabat tidak ada yang membantah. Kemudian Nabi Muhammad menandakan kawasan yang terlibat dengan penggalian parit yang disebutkan. Kerja akan dimulakan dari Harrah Waqim sehingga sampai ke Harrah Al-Wabarah, meliputi kawasan sebelah barat, utara dan timur Kota Madinah. Kawasan itu terbuka dan senang diserang musuh. Kawasan di sebelah selatan adalah kawasan selamat kerana di situ terdapat rumah kediaman yang padat dan ladang pokok kurma. Mereka yakin musuh tidak berani menyerang dari arah Selatan.

     Kemudian Rasulullah memberi perintah supaya rumah-rumah yang terlibat dengan pembinaan parit itu dipindahkan ke tempat selamat di seberang parit dalam kawasan Madinah. Orang Islam dengan rela hati mematuhi perintah Rasulullah. Tetapi beberapa orang yang bukan Islam dan bersikap munafik cuba membantah.

     "Rumah dan tanah ini kepunyaan kami. Muhammad tidak dapat memaksa kami berpindah. Kami juga tidak benarkan parit itu digali melalui tanah kami," kata Jarir sahabat Abdullah bin Ubai.

     "Muhamad perlu membayar ganti rugi sekiranya mahu membina parit yang melalui kawasan rumah dan tanah kami," kata Damir pula menunjukkan keras kepalanya.

     "Tidakkah kamu tahu bahawa piagam Madinah mengatakan semua penduduk Madinah perlu bersatu menghadapi serangan musuh? Dan Nabi Muhammad sudah dilantik menjadi ketua. Mereka yang ingkar dengan perintah Rasulullah dan melanggar piagam Madinah boleh dihukum. Sanggupkah kamu menerima hukuman daripada Rasulullah?" marah Ali bin Abi Talib.

     "Apakah kamu sanggup menerima nasib seperti Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir yang dihalau keluar dari Madinah kerana cuba mengkhianati Rasulullah," marah Umar Al-Khattab pula.

     Akhirnya mereka terpaksa akur dengan perintah itu. Maka semua rumah yang terlibat dengan pembinaan parit itu diroboh ataupun dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.

     "Tanah di bumi Madinah ini keras dan banyak batu besar. Mustahil kita mampu menggali parit yang besar dan dalam dari Harrah Waqim hingga ke Harrah Al-Wabarah," kata Abdullah bin Ubai pula sambil cuba mempengaruhi orang ramai.

     "Kita memerlukan masa berbulan-bulan bagi menggali parit itu. Sedangkan pasukan bersekutu akan sampai ke sini pada bila-bila masa. Kerana itu sia-sia sahaja pekerjaan itu," kata Jarir pula.

     Namun mereka yang teguh imannya tidak mudah terpedaya dengan hasutan munafik itu. Mereka tetap mematuhi perintah Rasulullah kerana yakin kebenarannya.

     "Wahai Rasulullah, kami tidak mempunyai peralatan yang cukup bagi menggali parit. Kerana itu izinkan kami meminjamnya daripada orang Bani Quraizah," kata Abdul Rahman bin Auf mencadangkan.

     Rasulullah bersetuju lalu mereka meminjam peralatan menggali parit daripada Bani Quraizah yang masih berpegang teguh pada perjanjian. Kemudian Nabi Muhammad menetapkan ukuran parit yang hendak digali. Lebarnya sembilan hasta dan dalamnya sepuluh hasta. Bagi memudahkan kerja menggali parit itu mereka dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan yang mana setiap satu kumpulan mengandungi sepuluh orang. Setiap orang perlu menggali empat hasta ataupun empat puluh hasta bagi setiap kumpulan.

     Orang Muhajirin menggali parit dari Ratij dalam kawasan Harrah Waqim sebelah timur hingga sampai ke Dhubab sebelah barat sempadan Harrah Al-Wabarah. Orang Ansar pula dari Dhubab hingga ke pergunungan Abid sebelah barat. Bagi memberi semangat kepada mereka Nabi Muhammad sendiri yang memulakan kerja menggali bermula di Ajam Asy Syaikhani dalam kawasan Herrah Al-Wabarah.

     Baginda membuka baju walau ketika itu musim sejuk bagi menunjukkan kesungguhannya bekerja. Debu-debu halus melekat pada tubuh badan baginda yang dibasahi peluh yang mengeluarkan bau yang harum.

     Apabila melihat Nabi Muhammad bekerja dengan bersungguh-sungguh maka orang ramai juga turut bekerja bersungguh-sungguh. Tidak ada yang mencuri tulang menyebabkan kerja berjalan dengan lancar. Apabila mereka kelihat letih Nabi Muhammad mengalunkan syair yang berbunyi:

     Wahai Allah
     sesungguhnya kehidupan hanyalah kehidupan di akhirat
     maka ampunilah orang Ansar dan muhajirin.

     Dijawab para sahabat:

     Kami adalah kaum yang telah mengikat janji dengan Muhammad untuk berjuang selama hidup kami.

     Nabi bersyair lagi:

     Wahai Allah jika tidak kerana Engkau
     Kami tidak akan memperoleh petunjuk
     kami tidak akan bersedekah
     dan kami tidak akan bersolat
     maka turunkanlah ketenteraman ke atas kami
     Dan tetapkanlah olehmu tapak kaki kami
     apabila kami telah bertemu dengan musuh
     mereka yang mula menentang kami
     jika mereka hendak menfitnah
     kami menolak
     kami menolak
     kami menolak...

Mereka mengulangi syair itu bagi menaikkan semangat mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh. Para sahabat dan mereka yang kuat imannya kelihatan bekerja dengan bersungguh-sungguh. Orang yang paling kuat bekerja ialah Salman Al-Farisi. Dia bekerja tanpa henti dan tanpa menghiraukan makan dan minum hingga akhirnya jatuh pengsan. Rasulullah menyuruh diambilkan air satu timba lalu membacakan doa lalu disiramkan ke tubuh Salman Al-Farisi. Tidak lama kemudian dia pulih semula lalu meneruskan kerjanya. Salman Al-Farisi kelihatan mempunyai tenaga yang luar biasa. Orang lain menggali seorang empat hasta tetapi Salman Al-Farisi menggali parit seorang empat puluh hasta.

     Pada hari kedua mereka memulakan kerja selepas sembahyang subuh. Salman Al-Farisi kelihatan bekerja bersungguh-sungguh sehingga menaikkan semangat yang lain.

     "Salman Al-Farisi dari kumpulan kami," teriak orang Muhajirin kerana berasa bangga dengan kekuatan lelaki itu bekerja.

     "Salman Al-Farisi dari kumpulan kami," balas orang Ansar pula.

     Mendengar mereka berbalas kata maka Rasulullah pun berkata, "Salman Al-Farisi dari kami Ahlil Bait."

     Mereka semakin gembira serta mencontohi Salman Al-Farisi bekerja. Melihat kesungguhan dan kemajuan kerja menggali parit itu menyebabkan golongan munafik berasa iri hati.

     "Pada pendapat saya kerja ini sia-sia sahaja. Membuang masa dan membazirkan tenaga. Lebih baik kita pulang ke rumah. Dalam cuaca yang sejuk begini alangkah nikmatnya berehat dan tidur," bisik Abdullah bin Ubai kepada Muiz kawan baiknya.

     "Saya selalu sependapat dengan kamu. Kerana itu kita menjadi sahabat baik," balas Muiz yang turut tertawa.

     "Saya dengar apa yang kamu bisikkan. Pada pendapat saya memang kerja menggali parit ini kerja yang sia-sia kerana pasukan bersekutu akan sampai pada bila-bila masa. Bagaimana kita hendak menentang mereka sekiranya dalam keletihan selepas semua tenaga digunakan untuk kerja yang sia-sia ini?" kata Jaber pula.

     "Mari kita pulang ke rumah. Tambahan pula saya sudah letih kerana banyak tenaga digunakan bagi kerja yang sia-sia ini," kata Damdham pula.

     "Kita ajak yang lain pulang. Biar saya yang mulakan," kata Abdullah bin Ubai.

     Kemudian dia menemui Nabi Muhammad meminta kebenaran pulang ke rumah dengan alasan badannya kurang sihat. Baginda membenarkan kerana alasan kurang sihat. Tetapi tidak lama kemudian Jabir pula yang meniru perlakuan Abdullah bin Ubai. Diikuti Jarir dan Damdham. Kesemua mereka meminta izin pulang ke rumah kerana alasan kurang sihat. Nabi Muhammad membenarkannya. Tidak lama kemudian semkain ramai yang pulang ke rumah sehingga jumlah mereka mencapai tiga ratus orang.

     "Semasa Perang Uhud, Abdullah bin Ubai membawa pulang pengikutnya seramai tiga ratus orang. Semasa menggali parit ini sekali lagi dia melakukan perkara yang sama. Saya akan mencadangkan kepada Rasulullah supaya mereka dihalau keluar dari Madinah," kata Abu Jafaar meluahkan rasa marahnya dengan tindakan mereka yang munafik itu.

     "Mereka mengaku Islam dan sering datang ke masjid bersembahyang bersama kita. Mereka pulang dengan alasan yang kukuh iaitu berasa kurang sihat. Kerana itu Rasulullah membenarkan walaupun baginda tahu itu cuma tipu helah mereka," kata Uthman Affan.

     "Saya berpendapat lebih baik mereka pulang dari berada di sini menyakitkan hati. Mereka bekerja sambil lewa sahaja. Lebih banyak berbual dan bersenda gurau daripada bekerja," kata Abdul Rahman bin Auf.

     "Mereka yang munafik sudah pulang ke rumah. Mari kita bekerja bersungguh-sungguh. Tunjukkan kepada mereka kita mmapu melakukannya tanpa bantuan mereka," kata Abu Bakar pula.

     Mereka semakin kuat bekerja. Tambahan pula kerja menggali parit itu perlu disiapkan segera kerana musuh akan datang pada bila-bila masa. Mereka hanya berhenti rehat bagi bersembahyang zuhur dan asar. Kemudian meneruskan kerja sehingga senja. Keesokan harinya kerja menggali parit itu disambung semula. Mereka bekerja sejak dari pagi hingga ke petang. Kerana tekunnya mereka bekerja sehingga tidak menghiraukan makan dan minum, ramai antara mereka sanggup berlapar. Nabi Muhammad sendiri mengikat batu pada perut bagi menahan lapar. Melihat perlakuan itu makin ramai yang menirunya dengan mengikatkan batu pada perut masing-masing.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment