Monday 26 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 15 - MENCARI HARTA YANG DISEMBUNYIKAN ]






MENCARI HARTA YANG DISEMBUNYIKAN








Suasana di Kota Khaibar kembali tenang. Orang ramai dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Tentera Khaibar juga dibenarkan pulang menemui keluarga mereka selepas diarah meletakkan senjata. Para petani dibenarkan bekerja di ladang mereka. Penternak juga sudah menggembala ternakan mereka tanpa berasa takut kerana keselamatan mereka sudah dijamin oleh tentera Islam.

     Kemudian beberapa orang pendeta Yahudi datang menemui Nabi Muhammad meminta diserahkan kepada mereka kitab Taurat yang dikumpulkan bersama harta rampasan perang. Tambahan pula sebelum itu Rasulullah sudah berjanji hendak menyerahkannya.

     "Kami mohon kitab Taurat itu dikembalikan dalam keadaan asal tanpa dirosakkan mana-mana bahagiannya," rayu pendeta Yahudi itu.

     Nabi Muhammad memenuhi permintaan mereka lalu menyerahkan kitab Taurat itu. Tetapi pendeta itu kelihatan sedih dan tidak puas hati.

     "Kitab suci kami ini kulitnya bertatahkan berlian. Sekarang kulitnya sudah dikoyakkan. Kami mohon dikembalikan semula kulitnya yang asal," pinta pendeta itu.

     Nabi Muhammad berjanji akan mengembalikannya. Kemudian baginda bertanya para sahabat siapa yang mengoyakkan kulit kitab Taurat itu. Menurut mereka yang menjumpai kitab Taurat itu dalam keadaan sudah terkoyak kulitnya. Bagi memastikan kebenarannya, Rasulullah memanggil Sa'yah bin Amru, orang yang diamanahkan oleh Huyay bin Akhtab menyimpan kitab itu.

     "Bagaimana kitab Taurat ini berada dalam rumah kamu?" tanya Ali bin Abi Talib yang disuruh menyoal siasat Sa'yah bin Amru.

     "Pada mulanya kitab ini disimpan oleh Huyay bin Akhtab. Selepas dia meninggal dunia kitab ini disimpan oleh Sallam bin Misykam. Selepas Sallam meninggal dunia giliran saya pula menyimpannya," jawab Sa'yah.

     "Adakah kulit kitab Taurat itu hilang semasa berada dalam simpanan kamu?" tanya Ali bin Abi Talib lagi.

     Sa'yah seperti ragu-ragu mahu menjawabnya. Melihat keadaan itu maka Ali pun berkata, "Berkata jujurlah demi kitab suci kamu sendiri. Lidah kamu akan dipotong sekiranya memberi jawapan yang dusta."

     "Ketika kamu menjumpai kitab Taurat itu keduanya sudah terkoyak kulitnya," jawab Sa'yah.
   
     Jawapan jujur Sa'yah itu menggembirakan para sahabat kerana terlepas daripada tuduhan mencuri kulit kitab Taurat yang bertatahkan berlian itu.

     Kemudian giliran Nabi Muhammad pula yang bertanya, "Di manakah perginya kulit kitab ini?" sambil menunjukkan kitab Taurat yang sudah hilang kulitnya kepada Sa'yah bin Amru Al-Nadhir.

     "Saya tidak tahu," jawab Sa'yah. Dia seperti menyesal kerana memberi jawapan yang jujur sebentar tadi.

     "Ke manakah perginya kulit Taurat yang bertatah berlian itu?" tanya Nabi Muhammad sekali lagi.

     Nabi Muhammad juga tahu ada sebuah kitab Taurat kulitnya bertatahkan berlian dalam simpanan Yahudi Bani Nadhir. Siapa yang dilantik menjadi ketua maka dia yang menyimpan kitab itu. Tetapi sekarang kulit kitab itu sudah hilang. Sallam bin Misykam yang dulunya seorang pendeta Yahudi yang terbilang diberikan kitab ini bagi menyimpannya. Tetapi kemudiannya kitab itu jatuh ke tangan Sa'yah bin Amru.

     "Berkata benarlah wahai Sa'yah bin Amru. Ke mana perginya kulit kitab Taurat ini?" tanya Ali bin Abi Talib lalu mengugut hendak memotong lidah Sa'yah sekiranya bercakap bohong.

     "Kulit kitab itu dijual bagi menampung perbelanjaan perang," jawab Sa'yah.

     Nabi Muhammad tahu lelaki itu memberi jawapan yang salah lalu menyuruh Zubair bin Awwam memaksa Sa'yah supaya bercakap benar.

     "Aku akan pukul kamu sekiranya tidak bercakap benar," ugut Zubair bin Awwam.

     "Aku sudah bercakap benar," kata Sa'yah.

     Zubair bin Awwam memukul lelaki itu bagi memaksanya bercakap benar.

     "Sekiranya engkau masih degil aku pukul dengan lebih menyakitkan," kata Zubair.

     "Baiklah aku akan bercakap benar," akhirnya Sa'yah mengalah.

     Menurut Sa'yah, dia yang mengoyakkan kulit kitab Taurat itu lalu menyimpannya di satu tempat rahsia di dalam rumahnya.

     "Tidakkah kamu tahu sesiapa yang menyembunyikan harta walau pun sedikit akan dihukum mati?" tanya Ali bin Abi Talib.

     "Jangan bunuh saya. Saya berjanji akan menunjukkan tempat di mana kulit kitab Taurat yang bertatahkan berlian itu disembunyikan," jawab Sa'yah. Kemudian Sa'yah menunjukkan di mana dia menyimpannya.

     Kemudian Nabi Muhammad menyerahkan semula kulit kitab Taurat yang bertatahkan berlian itu kepada pendeta Yahudi yang menyimpan kitab itu. Penduduk Khaibar berasa sangat gembira serta memuji kebaikan Nabi Muhammad. Sekiranya orang lain pasti harta yang bernilai tinggi itu menjadi miliknya.

     Keesokan harinya Nabi Muhammad memanggil beberapa orang kenalan rapat Huyay bin Akhtab. Baginda meminta mereka bercerita berkenaan Huyay bin Akhtab yang pernah menjadi ketua Bani Nadhir.

     Menurut ceritanya, semasa Bani Nadhir dihalau keluar dari Madinah, mereka keluar dengan membawa harta masing-masing. Huyay bin Akhtab juga turut membawa hartanya berbentuk emas, perak dan berlian yang dimuatkan ke dalam kulit kambing. Apabila sampai di Khaibar, Huyay bin Akhtab dapat menambah kekayaannya sehingga hartanya memenuhi kulit seekor keldai. Tidak lama kemudian hartanya bertambah banyak sehingga memenuhi kulit seekor unta.

     "Huyay mengumpul kekayaan dengan cepat kerana menipu kami," kata Abdullah bin Salam salah seorang Bani Nadhir. Kemudian katanya lagi, "Dia menjadi orang tengah pembelian tanah maka dia yang menguruskan penjualan serta pembeliannya. Dari situ dia mendapat keuntungan yang banyak."

     Selepas Huyay bin Akhtab, tiada siapa yang mewarisi hartanya?" tanya Ali bin Abi Talib.

     "Saya yakin harta peninggalan Huyay itu disimpan oleh menantunya Kinanah dan adiknya Al-Rabi'," kata Yazir pula.

     Nabi Muhammad memanggil Kinanah dan Al-Rabi' datang menghadap.

     "Di manakah bejana yang selalu kamu berdua pinjamkan kepada orang Mekkah?" tanya Nabi Muhammad dengan cara berkias.

     "Sudah habis kami belanjakan bagi perang dan perbelanjaan yang lain," jawab Kinanah yang faham apa yang dimaksudkan Nabi Muhammad.

     "Perang baru sahaja berlaku sedangkan harta itu begitu banyak. Sekiranya kamu berdua menyembunyikan sesuatu daripada saya, kemudian saya menjumpainya maka darah kamu dan darah anak-anak kamu halal bagi saya," kata Nabi Muhammad.

     "Saya setuju," kata Kinanah.

     "Saya juga," kata Al-Rabi' pula.

     Kinanah yang degil dan keras hati itu sengaja menempah maut kerana dalam perjanjian damai sudah dipersetujui sekiranya ada sesiapa yang cuba menyembunyikan hartanya walaupun kecil akan dihukum bunuh.

     Sebelum berlaku Perang Khandaq, Huyay telah mengahwinkan anak perempuannya bernama Safiyyah dengan Kinanah. Huyay juga menyerahkan semua hartanya bagi diuruskan Kinanah sekiranya sesuatu berlaku terhadapnya.

     Kemudian apabila Kinanah menjadi ketua Yahudi Khaibar dia juga mengambil kesempatan mengumpulkan kekayaan dengan mengenakan pelbagai cukai terhadap penduduk Khaibar.

     Menurut aduan orang ramai, sebelum mereka menyerah diri dan keluar dari benteng, Kinanah menyuruh mereka menyerahkan harta yang berharga kepadanya bagi disembunyikan di tempat rahsia. Mereka tidak tahu di mana harta itu disembunyikan oleh Kinanah.

     Nabi Muhammad menyuruh para sahabat mencari harta yang disembunyikan Kinanah tetapi tidak terjumpa. Kinanah dan Al-Rabi' pula tidak mahu membuka mulut. Akhirnya tampil beberapa orang penduduk Khaibar.

     "Kami sering melihat Kinanah berjalan-jalan di sekitar belakang benteng Al-Qamus. Mungkin di situ dia menyembunyikan hartanya. Al-Rabi' pula sering bersiar seorang diri di belakang benteng Al-Sulaim," beritahu mereka.

     Nabi Muhammad yang sering diberitahu berkenaan perkara yang ghaib dan tersembunyi akhirnya tahu di mana harta itu disembunyikan. Baginda menyuruh para sahabat pergi ke belakang benteng Al-Qamus. Menurut baginda di situ ada sebatang pokok kurma. Di sebelah kiri pokok kurma itu disembunyikan harta itu.

     Mereka pergi ke tempat yang ditunjukkan Rasulullah. Memang benar di belakang benteng Al-Qamus dan Al-Sulaim terdapat sebatang pokok kurma. Mereka menggali tanah di sebelah kiri pokok itu. Akhirnya terjumpa harta yang disembunyikan itu. Ianya berupa gelang, rantai, cincin dan perhiasan dari emas, perak dan intan berlian. Selepas semua barang itu dikumpulkan maka dipanggil Kinanah dan Al-Rabi' datang melihatnya.

     "Itu bukan harta milik aku," kata Kinanah pula yang menunjukkan sikap bongkak dan keras hatinya.

     Kemudian Nabi Muhammad memanggil Safiyyah isteri Kinanah lalu bertanyakan berkenaan harta itu. Safiyyah seorang wanita yang jujur. Dia tidak mahu menipu Nabi Muhamamd lalu membuat pengakuan semua harta itu memang kepunyaan suaminya. Safiyyah itu akhirnya menjadi isteri Nabi Muhammad.

     Selepas isterinya sendiri yang menjadi saksi harta itu milik suaminya maka Kinanah menjadi terkejut sehingga mukanya pucat kerana menyedari hukuman yang akan dijatuhkan ke atasnya. Namun dia masih keras hati tidak mahu meminta maaf kepada Rasulullah. Akhirnya Kinanah dan Al-Rabi' dihukum pancung.

     Mahammad bin Muslamah diberi tugas memancung leher Kinanah dan Al-Rabi' sebagai menuntut bela di atas kematian saudaranya Mahmud bin Muslamah yang syahid dalam Perang Khaibar itu.

     Penduduk Khaibar tidak ada yang membantah hukuman yang dijatuhkan ke atas Kinanah dan Al-Rabi' kerana mereka sedar mereka berdua yang sudah banyak menimbulkan kesusahan bukan sahaja kepada Nabi Muhammad dan pengikutnya, tetapi juga kepada penduduk Khaibar.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment