Friday 16 February 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 26 - JANGAN MELETAK SENJATA ]






JANGAN MELETAK SENJATA








Kota Madinah kembali tenang. Orang ramai sudah pulang ke rumah masing-masing bagi memulakan kehidupan baru selepas dicengkam suasana perang selama hampir sebulan. Kita tidak ada lagi yang mereka bimbangkan kerana tentera bersekutu sudah meninggalkan Kota Madinah. Parit atau khandaq sudah boleh dilalui semula selepas dikambus dan dibina jambatan.

     "Kita bernasib baik kerana hujan turun dengan lebatnya. Ribut kencang pula memusnahkan khemah-khemah tentera bersekutu. Sekiranya bencana alam itu tidak berlaku, nescaya Kota Madinah sudah ditakluk musuh," kata Abdullah bin Ubai.

     "Semua itu adalah pertolongan daripada Allah. Doa Nabi Muhammad makbul lalu Allah turunkan ribut dan malaikat membantu kita mengalahkan musuh. Sesungguhnya semua yang berlaku itu bukan secara kebetulan tetapi dengan kekuasaan Tuhan," kata Ubaidillah lalu menyanggah apa yang dikatakan Abdullah bin Ubai itu.

     "Benarkah ada malaikat yang datang? Sekiranya benar mengapa malaikat itu tidak membunuh semua tentera Ahzab? Mengapa hanya tiga orang yang terbunuh? Itu pun mereka terbunuh sebelum berlakunya ribut kencang itu," tanya Basyir pula.

     "Sebagai orang Islam yang beriman kita wajib percaya kekuasaan Allah dan adanya malaikat. Allah menghantar malaikat itu hanya bagi menakutkan musuh bukan bagi menghancurkan mereka. Dalam Perang Badar, Allah turunkan seribu malaikat bagi menaikkan semangat tentera Islam," jawab Ubaidillah pula.

     "Apakah kamu tidak sedar yang ribut dan hujan lebat itu hanya berlaku di sebelah parit kawasan tentera bersekutu? Sedangkan di kawasan tentera Muslimin tidak berlaku apa-apa. Sekiranya berlaku bencana alam maka seluruh Kota Madinah ini akan dilanda ribut dan hujan lebat. Sesungguhnya peristiwa itu meningkatkan iman mereka yang beriman. Tetapi mereka yang munafik tidak mendapat iktibar daripada kejadian itu," kata Abu Ayub pula.

     Abdullah bin Ubai dan Basir segera pergi dari situ.

     Huyay bin Akhtab pula tidak pulang ke Khaibar tetapi pergi ke perkampungan Bani Quraizah. Dia menceritakan apa yang berlaku kepada Kaab.

     "Mengapa kamu tidak pulang ke Khaibar? Mengapa memilih perkampungan kami?" tanya Kaab.

     "Bukankah saya sudah berjanji tidak akan meninggalkan kamu walaupun kita kalah?" tanya Huyay pula.

     "Bagaimana pula dengan Bani Ghatafan dan kaum Quraisy?" tanya Kaab lagi.

     "Mereka adalah orang yang penakut dan tidak dapat dipercayai. Mereka lebih takutkan hujan lebat daripada Muhammad dan pengikutnya," jawab Huyay.

     "Tidakkah kamu terfikir Muhammad tidak akan berdiam diri kerana kami sudah memutuskan perjanjian dengannya? Mereka akan datang menyerang perkampungan ini," kata Kaab lagi.

     "Saya yakin Muhammad dan pengikutnya akan datang ke sini tidak lama lagi. Saya tidak akan membiarkan kamu bersendirian menghadapi Muhammad. Kerana itu saya sudah berpesan kepada Sallam supaya pulang ke Khaibar. Percayalah, tidak lama lagi bantuan dari Khaibar akan datang bagi menyelamatkan kamu," kata Huyay pula.

     Kaab senang hati mendengarnya. Dia mengarahkan semua penduduk Khaibar bersiap sedia menghadapi serangan Nabi Muhammad. Mereka mengukuhkan benteng Bani Quraizah dan mengumpulkan makanan dan senjata.

     Di Madinah pula, Nabi Muhammad dan pengikutnya baru sahaja pulang dari medan Perang Khandaq. Mereka mahu berehat bersama keluarga masing-masing. Nabi Muhammad berada di rumah Aisyah. Tiba-tiba datang seorang lelaki lalu masuk ke dalam rumah. Lelaki yang berjubah putih dan memakai serban putih itu terus masuk ke dalam rumah tanpa terlebih dahulu memberi salam dan meminta keizinan seperti yang biasa dilakukan para sahabat Rasulullah SAW.

     Lelaki itu terus berkata, "Siapakah yang membebaskan tuan dari perang?"

     Barulah Nabi Muhammad mengetahui bahawa lelaki itu adalah malaikat Jibrail yang dihantar Allah menemuinya.

     "Allah yang membantu kami," jawab Nabi Muhammad.

     "Apakah tuan sudah meletakkan senjata wahai Rasulullah?" tanya lelaki itu lagi.

     "Ya," jawab Nabi Muhammad.

     "Kami masih belum meletakkan senjata. Kerana itu hendaklah tuan pergi menghadapi musuh tuan itu," kata lelaki itu.

     "Sahabat-sahabat saya masih letih dan penat. Bolehkah tuan beri masa beberapa hari lagi?" tanya Nabi Muhammad.

     "Berangkatlah segera ke sana. Saya akan goncang-goncangkan mereka supaya menjadi takut," kata lelaki itu.

     "Siapakah orang itu?" tanya Aisyah.

     "Orang yang datang ini adalah malaikat Jibrail. Dia menyuruh aku supaya sekarang juga berangkat ke perkampungan Yahudi Bani Quraizah," jawab Nabi Muhammad.

     "Pergilah segera wahai Rasulullah," ujar Aisyah yang redha melepaskan suaminya pergi walaupun baru sahaja pulang dari medan Perang Khandaq.

     Nabi Muhammad segera memanggil Bilal bin Rabah lalu menyuruh memberitahu orang ramai dengan berkata, "Sesiapa yang mendengar dan taat hendaklah jangan dia bersembahyang asar melainkan di perkampungan Bani Quraizah."

     Kemudian Nabi Muhammad memakai baju besir dan menutup kepala juga dengan topi besi. Baginda menunggang kuda yang bernama Al-Lutaif lalu pergi ke Masjid Nabi menunggu kedatangan para sahabatnya. Orang yang pertama datang menyahut seruan itu ialah Ali bin Abi Talib., kemudian diikuti beberapa orang sahabat.

     Para sahabat tidak dapat datang serentak kerana mereka baru sahaja berada bersama keluarga. Ada yang sedang berehat dan ada pula yang keluar bagi menguruskan keperluan keluarga masing-masing. Ada pula yang rumahnya terletak jauh dari masjid.

     Sementara menunggu kedatangan lebih ramai lagi sahabat maka Nabi Muhammad SAW menyuruh Saidina Ali bin Abi Talib pergi dahulu ke perkampungan Bani Quraizah bersama mereka yang sudah berada di situ. Kumpulan pertama itu berjumlah lima puluh orang diketuai oleh Ali sendiri. Dia juga yang memegang bendera perang.

     Tidak lama kemudian semakin ramai yang datang sehingga jumlahnya seratus orang. Nabi Muhammad pun berangkat ke perkampungan Bani Quraizah. Para malaikat yang diketuai Malaikat Jibril juga turut menyertainya. Mereka menunggang kuda dan memakai serban. Malaikat Jibrail sendiri menyamar manusia dengan wajahnya menyerupai Dihyah bin Khalifah Al-Kalbi. Seorang sahabat Nabi Muhammad yang terkemuka daripada kabilah Al-Kalbi tinggal di satu perkampungan yang terletak jauh dari Kota Madinah. Para malaikat yang menyerupai manusia itu kelihatan begitu hebat dan mereka berjalan agak jauh di hadapan.

     Saidina Ali yang diberi tanggungjawab memimpin pasukan yang pertama terus menuju ke perkampungan Bani Quraizah. Kedatangan mereka dilihat pengawal yang menjaga benteng mereka. Kerana Rasulullah belum menyuruh mereka menyerang maka kumpulan itu cuma mendekati benteng Bani Quraizah.

     Apabila melihat mereka datang maka Huyay pun berkata kepada Kaab, "Lihatlah pengikut Muhammad yang datang itu. Jumlahnya cuma lima puluh orang. Apakah kamu gentar menghadapi mereka?"

     "Pahlawan kami jumlahnya sepuluh kali ganda daripada pengikut Muhammad yang datang itu. Saya sendiri yang akan memimpin pahlawan-pahlawan Bani Quraizah menghancurkan mereka," jawab Kaab dengan begitu yakin.

     Tidak lama kemudian Kaab keluar dari benteng dengan diiringi tiga ratus orang pahlawan Bani Quraizah. Melihat kedatangan mereka maka Ali bin Abi Talib menyuruh anggotanya berundur.

     "Mengapa takut bertempur dengan kami?" jerit Kaab apabila melihat tentera Muslimin berundur.

     "Kami menunggu kedatangan Nabi Muhammad. Kami dengar dan taat perintahnya," jawab Saidina Ali.

     Mendengar nama Nabi Muhammad yang disebut Saidina Ali itu maka marah Kaab lalu mempersendakan baginda dengan pelbagai kata-kata yang keji. Ada antara sahabat yang tidak tahan mendengarnya lalu mahu bertindak tetapi ditegah oleh Ali kerana Nabi Muhammad belum memerintahkan mereka bertindak. Ali bin Abu Talib mengundurkan pasukannya menjauhi benteng Bani Quraizah. Mereka berehat di satu tempat bernama Syaurain sambil menunggu kedatangan Nabi Muhammad.

     Tidak lama kemudian lalu di situ seorang lelaki yang wajahnya menyerupai Dihyah Al-Kalbi. Ali bin Abi Talib dan orangnya hanya memandang lelaki itu tetapi tidak sempat menegurnya. Apabila Rasulullah sampai di situ lalu bertanya, "Adakah kamu ada melihat seseorang?"

     "Benar wahai Rasulullah. Baru sebentar tadi kami melihat Dihyal Al-Kalbi menunggang kuda putih melintasi kami di sini. Tetapi kami tidak sempat menegurnya," jawab seorang daripada mereka.

     "Itulah malaikat Jibrail. Dia datang untuk menggoncangkan benteng Yahudi itu dan meniup perasaan takut dalam hati-hati mereka," kata Nabi Muhammad.

     Mereka berasa gembira dan bertambah semangat selepas mendapat tahu malaikat Jibrail turut menyertainya. Apabila sampai di perkampungan Bani Quraizah mereka mengerjakan sembahyang asar seperti yang diperintah Rasulullah. Jumlah mereka yang datang bertambah ramai.

     Selepas sembahyang asar maka Nabi Muhammad memaklumkan beliau akan mendekati benteng Bani Quraizah bagi mengetahui apa reaksi orang Bani Quraizah.

     "Wahai Rasulullah, janganlah tuan menghampiri orang yang kotor itu," kata Saidina Ali.

     "Mengapa?" tanya Rasulullah. Kemudian beliau menyambung kata-katanya, "Saya mengira kamu sudah mendengar kata-kata keji mereka yang mencaci maki diri saya."

     "Benar wahai Rasulullah," kata Saidina Ali.

     "Sekiranya mereka melihat saya, mereka tidak akan berani berkata dengan perkataan yang demikian itu," kata Nabi Muhammad.

     Nabi Muhammad dengan diiringi beberapa orang sahabat pergi menghampiri benteng Bani Quraizah. Kedatangan mereka disambut dengan baik oleh beberapa orang pemimpin Yahudi itu. Tetapi Kaab dan Huyay tidak ada. Mereka cuma memerhatikan dari jauh sahaja.

     "Wahai saudara-saudara kera. Bukankah kamu telah dihina oleh Allah dan Dia telah menurunkan kemurkaannya ke atas kamu?" tanya Nabi Muhammad.

     "Benar wahai Abu Qasim. Kamu yang lebih mengetahuinya," jawab mereka.

     "Kamu orang yang celaka kerana berlaku khianat terhadap Nabi Muhammad dengan menyebelahi musuh," kata Usaid bin Hudhair dari suku Aus yang mempunyai hubungan yang baik dengan Bani Quraizah.

     Orang Bani Quraizah dia tidak mahu menjawabnya. Kemudian Usaid berkata lagi, "Sekiranya kamu menyerah serta mengaku taat setia kepada Nabi Muhammad mungkin mendapat kemaafannya."

     Orang Bani Quraizah terus berdiam diri tidak mahu menjawabnya. Nabi Muhammad menyuruh Usaid bin Hudhair mengucapkan kata-kata berikut, "Wahai para musuh Allah. Kamu semua tidak akan dapat keluar dari benteng kamu, sehingga kamu semua mati kelaparan. Kamu semua tidak ubah seperti musang yang berada di dalam lubangnya."

     Usaid pun menuturkan kata-kata seperti yang diajar Nabi Muhammad itu. Tetapi tidak dijawab orang Bani Quraizah. Tiga kali Usaid meneriakannya namun masih tidak dijawab. Akhirnya Nabi Muhammad beredar dari situ. Baginda memerintahkan para pengikutnya mengepung benteng Yahudi Bani Quraizah.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.






No comments:

Post a Comment