Friday 23 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 10 - LELAKI DICINTAI ALLAH DAN RASUL-NYA ]






LELAKI DICINTAI ALLAH DAN RASUL-NYA








Tentera Islam berkumpul di sebuah kawasan lapang tidak jauh dari benteng Nai'im.

     "Di manakah Ali?" tanya Rasulullah.

     "Dia sudah pulang ke khemah kerana sakit mata," jawab Umar Al-Khattab.

     "Panggilah Ali ke mari berjumpa dengan saya," kata Rasulullah lalu menyuruh Salamah bin Akwa memanggilnya.

     Salamah bergegas menjemput Sayidina Ali yang ketika itu sedang terbaring di khemah kerana sakit mata. Menyedari kedatangan sahabatnya itu dia segera datang menyambutnya.

     "Tentu ada perkara penting yang hendak kamu sampaikan," kata Sayidina Ali yang masih kepayahan akibat sakit mata.

     "Wahai sahabatku Ali bin Abi Talib. Rasulullah menyuruh tuan datang menemuinya sekarang juga," beritahu Salamah.

     Apabila mendengar Rasulullah SAW memanggilnya maka Sayidina Ali segera bangun lalu pergi menemuinya dengan kedua-dua matanya ditutup dengan kain kerana terlalu sakit. Apabila sampai Nabi Muhammad terus menyerahkan bendera perang tentera Islam kepadanya. Sayidina Ali terus menyambut dan memeluknya. Kemudian Rasulullah memerintahkan Sayidina Ali memimpin pasukan perang menyerang benteng Nai'im.

     "Wahai Rasulullah, mata saya sakit hingga tidak dapat melihat tempat kaki saya berdiri," kata Sayidina Ali.

     Rasulullah SAW menyuruh Sayidina Ali membuka matanya kemudian baginda meludah kedua-dua belah mata yang sakit itu. Kemudian baginda mendoakannya supaya sembuh. Dengan izin Allah mata Sayidina Ali sembuh seperti sediakala seolah-olah tidak pernah sakit. Sayidina Ali juga tidak lagi merasa panas walaupun berjemur di bawah cahaya matahari yang terik.

     "Wahai Rasulullah, sekarang saya sudah sihat," kata Sayidina Ali dengan gembira.

     "Perangi mereka kerana Allah," kata Nabi Muhammad.

     "Apakah saya disuruh memerangi mereka sehingga menjadi orang beriman seperti kita?" tanya Sayidina Ali.

     "Bersikaplah lemah lembut sehingga kamu dapat datang hingga ke depan pintu benteng mereka. Kemudian serulah mereka itu kepada Islam. Beritahu mereka perkara yang wajib ke atas mereka. Maka demi Allah, sekiranya Allah memberi hidayah kepada seorang lelaki melalui kamu itu lebih baik daripada bersedekah dengan seekor unta yang baik," jawab Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, atas dasar apakah saya pergi memerangi mereka?" tanya Sayidina Ali lagi.

     "Perangilah mereka sehingga mereka mengucapkan kalimah tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Apabila mereka sudah mengucapkan perkara itu maka terpelihara darah dan harta mereka," jawab Rasulullah.

     "Baiklah wahai Rasulullah," kata Sayidina Ali.

     "Berjalanlah jangan menoleh sehingga Allah memberi kemenangan kepada kamu," pesan Nabi Muhammad.

     Selepas mendapat perintah daripada Rasulullah SAW itu maka Sayidina Ali memimpin tentera Islam menuju ke benteng Nai'im. Apabila sudah hampir Sayidina Ali menyuruh tentera di bawah pimpinannya berhenti dan menunggu di situ.

     "Saya akan pergi bersendirian hingga sampai ke pintu benteng itu. Jangan bertindak sebelum mendapat perintah dariku," pesan Sayidina Ali.

     Kemudian dia berjalan bersendirian menuju ke pintu benteng Nai'im. Pada masa yang sama, Kinanah dan pasukan tenteranya sedang memerhatikan pergerakan tentera Islam dari atas benteng Nai'im.

     "Saya kenal lelaki yang sedang menuju ke pintu itu. Namanya Ali bin Abi Talib. Dia menantu Muhammad," kata Kinanah yang pernah berjumpa dengan Ali.

     "Saya akan membunuhnya," kata Marhab seorang pahlawan Yahudi Khaibar yang gagah perkasa dalam kalangan mereka.

     "Saya juga mahu membunuhnya," kata Harith pula.

     "Saya juga," kata Yasir.

     "Pergilah segera membunuhnya wahai pahlawan-pahlawanku. Kamu akan kami sanjung dan puja buat selamanya," kata Kinanah sambil tersenyum bangga dengan keberanian Marhab.

     Ketika itu Ali bin Abi Talib sudah sampai di pintu benteng Nai'im. Kemudian dia berseru, "Ucapkanlah kalimah tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah."

     Apabila mendengar kata-kata itu, tentera Yahudi berasa marah lalu melepaskan anak-anak panah ke arah Sayidina Ali. Mujur dia memakai baju besi dan topi besi.

     "Berhenti memanah. Biar aku yang bunuh dia," teriak Harith yang begitu teringin menunjukkan kehandalannya.

     Dia keluar dari benteng Nai'im lalu mendapatkan Sayidina Ali. Maka berlaku pertarungan antara kedua-duanya tetapi dengan mudah pahlawan Islam yang gagah perkasa itu dapat menewaskan lawannya.

     "Aku akan menuntut bela atas kematian abangku," teriak Yasir adik Harith.

     Dia keluar dari benteng Nai'im lalu berkata,

     Sesungguhnya
     Khaibar telah mengetahui
     Namaku Yasir
     Pahlawan Yahudi
     Senjata aku tajam lagi pemberani
     Licin seperti belut.

Kemudian dia mencabar Sayidina Ali supaya bertarung dengannya. Tiba-tiba Zubair bin Awwam berteriak, "Biar saya yang menentangnya."

     Sayidina Ali memberi laluan kepada Zubair bin Awwam. Safiyyah binti Abdul Mutalib, ibu kepada Zubair berasa bimbang lalu berkata, "Wahai Rasulullah, saya bimbang anak saya dibunuhnya."

     "Tidak, anak lelaki kamu yang akan membunuhnya, insya-Allah," kata Rasulullah.

     Kemudian berlaku pertarungan antara Yasir dengan Zubair bin Awwam. Pertarungan itu akhirnya dimenangi oleh Zubair bin Awwam. Sekali lagi tentera Islam bertakbir menyambut kemenangan itu.

     Apabila melihat dua orang adiknya terbunuh, maka Marhab berasa sangat marah lalu melompat turun dari benteng Nai'im. Marhab seorang pahlawan Yahudi Khaibar yang paling berkuasa. Kekuatannya dikatakan menyamai kekuatan sepuluh orang lelaki. Tubuhnya tinggi dan besar. Melihat mukanya sahaja sudah berasa gerun. Marhab mencabar Sayidina Ali supaya berlawan dengannya dengan berkata.

     Ibuku menamakan aku Marhab
     Pahlawan gagah perkasa
     Senjataku tajam lagi pemberani
     Apabila pertempuran bermula
     Kemarahanku menyala-nyala
     Nyawamu jadi taruhannya.
     Sayidina Ali yang pantang dicabar membalas dengan berkata,
     Orang tuaku menamakan aku Haidarah
     Aku seperti singa jantan dari hutan
     Apa yang dilihat sangat dibencinya
     Aku datang dengan sopan
     Pantang dicabar binatang buas.

Marhab berasa sangat marah apabila mendengar ungkapan kata-kata itu lalu meluru ke arah Sayidina Ali, diserangnya bertubi-tubi dengan hayunan pedang pada tangan kanan dan perisai pada tangan kirinya. Dengan mudah Sayidina Ali menangkis serangan lawannya itu sehingga Marhab tercungap-cungap kepenatan.

     "Aku datang bagi membunuh engkau kemudian aku akan bunuh Muhammad," teriak Marhab dengan marah.

     Kemudian dia menyerang semula Ali bin Abi Talib. Kali ini serangannya lebih kencang kerana api kemarahan yang meluap-luap. Namun Ali kelihatan begitu mudah menangkis setiap serangan lawan.

     Kemudian giliran Ali bin Abi Talib pula yang membalas serangan lawannya. Dia menghayun pedang ke arah lawannya dan Marhab menahan hayunan pedang itu dengan perisainya. Begitu kuatnya hayunan pedang Ali sehingga perisai Marhab pecah dua. Marhab tersentak melihat kekuatan anak muda di hadapannya. Namun dia tidak mahu mengaku kalah. Tambahan pula kaumnya sedang melihat pertarungan itu. Melihat kedegilan Marhab maka Ali tidak membuang masa terus menghayun tepat mengenai kepala lawannya hingga terbelah dua.

     Melihat keadaan itu, Kinanah memerintahkan enam orang pahlawan Yahudi menyerang Sayidina Ali serentak. Maka berlaku pertarungan sengit sehingga perisai Sayidina Ali pecah akibat menahan senjata musuh-musuhnya. Namun akhirnya Sayidina Ali dapat juga menewaskan keenam-enam pahlawan Yahudi Khaibar itu.

     Melihat kehebatan Sayidina Ali itu, Kinanah memerintahkan pasukan pemanah melepaskan anak-anak panah kepada Ali seperti hujan lebat. Tiba-tiba Sayidina Ali bertakbir lalu menendang pintu benteng Nai'im yang diperbuat dari besi yang tebal itu hingga tercabut dari pasaknya. Kemudian dengan izin Allah Sayidina Ali mengangkat pintu besi itu bagi dijadikan perisai bagi melindungi dirinya daripada terkena anak-anak panah.

     Melihat pintu benteng Nai'im sudah terkopak, tentera Islam pun melancarkan serangan. Mereka menyerbu masuk ke dalam benteng Nai'im. Maka berlakulah pertempuran yang sengit dengan tentera Yahudi yang mempertahankan benteng itu. Akhirnya benteng Nai'im dapat dikuasai tentera Islam. Kinanah dan tenteranya yang masih selamat sempat melarikan diri.

     Akhirnya benteng Nai'im yang dikatakan kebal itu dapat diruntuhkan oleh seorang lelaki yang mencintai Allah dan Rasul-Nya serta dicinta Allah dan Rasul-Nya.

     Selepas pertempuran berakhir dan selepas benteng Nai'im dapat dikuasai tentera Islam sepenuhnya maka dipasang semula pintu benteng Nai'im itu. Bagi mengangkat dan meletakkan semula pintu besi itu di tempatnya memerlukan tujuh puluh orang lelaki. Sayidina Ali dapat mencabut serta mengangkatnya hanya seorang diri.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment