Monday 12 February 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 18 - PERANG KHANDAQ ]






PERANG KHANDAQ








Pagi itu cuaca cerah. Matahari yang baru terbit mula memancarkan sinarnya. Suasana di Kota Madinah tegang. Pasukan bersekutu yang berkhemah di seberang parit berkumpul bagi melancarkan serang. Pasukan Islam yang berkumpul di kaki Bukit Sala' juga sedang mengatur strategi bagi menghadapi musuh.

     "Muhammad dan pengikutnya berkumpul di kaki Bukit Sala'. Mari kita pergi ke sana!" teriak Amru bin Abdu Wud.

     Sebelum itu dia sudah memeriksa keadaan parit itu bagi mencari tempat yang agak sempit dan dapat diseberangi. Akhirnya sampai di kaki Bukit Sala' kemudian melaporkannya kepada Abu Sufian.

     Pasukan Quraisy berkumpul di kaki Bukit Sala'. Kini kedua-dua pasukan saling berhadapan. Pasukan tentera Islam di seberang parit dalam kawasan Kota Madinah, pasukan Quraisy pula di luar parit. Namun kedudukan kedua-dua pasukan agaka jauh bagi mengelakkan serangan anak panah.

     "Kuda aku ini kuat melompat. Aku akan menyeberang parit untuk membunuh Muhammad!" Tiba-tiba kedengaran satu teriakkan.

     Semua pandangan tertumpu ke arah suara itu. Lelaki yang berteriak itu tampil ke hadapan supaya orang ramai dapat melihatnya. Namanya Naufal bin Abdullah seorang tentera berkuda Quraisy. Dia menunggang kuda putih.

     Naufal terkenal sebagai salah seorang pahlawan Quraisy yang berani. Dia pernah terlibat dalam pertempuran di Naklah. Antara rombongan dagang yang dipimpin Amru bin Al-Hadhrami dengan pasukan Islam yang dipimpin Abdullah bin Jahasy. Peristiwa itu berlaku pada tahun kedua hijrah. Dalam pertempuran itu Naufal terselamat dan berjaya menyelamatkan diri pulang ke Mekah.

     Kemudian Naufal terlibat dalam Perang Badar dan Perang Uhud. Dia juga terselamat dalam kedua-dua peperangan itu. Kini dia berada dalam barisan pahlawan berkuda Quraisy. Kerana itu dia mahu menunjukkan keberaniannya dengan menyeberangi parit itu seorang diri. Kemudian dia akan mencari dan membunuh Nabi Muhammad.

     "Naufal mahu ke mana?" teriak Abu Sufian apabila melihat lelaki itu tampil ke depan sendirian.

     "Aku akan melompat menyeberangi parit itu. Kemudian engkau perintahkan orang lain meniru aku. Apabila sampai di seberang sana aku akan mencari dan membunuh Muhammad," jawab Naufal.

     "Apakah kamu mampu melakukannya?" tanya Abu Sufian pula.

     "Aku pahlawan berkuda Quraisy yang terbilang. Kuda putihku ini mampu melompat hingga ke puncak gunung. Lihatlah betapa hebatnya Naufal akan kebanggaan ayahku Abdullah," jawab Naufal.

     Kemudian dia memecut kudanya bagi membuat lompatan jauh bagi menyeberangi parit itu. Perbuatan Naufal itu dilihat oleh Az-Zubair bin Al-Awwam. Kebetulan ketika itu giliran dia bertugas membuat rondaan dan intipan terhadap musuh. Apabila melihat ada tentera berkuda Quraisy hendak membuat lompatan menyeberangi parit itu, Az-Zubair segera bertindak bagi menghalangnya.

     Nasib Naufal kurang baik kerana lompatan kudanya tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Tambahan pula kuda itu terkejut melihat ada seorang lelaki sedang menunggu di seberang parit. Kedua-dua kaki depan kuda itu berjaya mencecah tebing tetapi kedua-dua kaki belakangnya tidak smapai. Kuda itu jatuh ke dalam parit. Naufal turut terjatuh sehingga tengkuknya patah tetapi kuda itu masih hidup.

     "Naufal seorang pahlawan Quraisy yang berani. Selamatkan mayatnya dan jangan biarkan dibakar oleh pengikut Muhammad," kata Safwan yang bersahabat baik dengan Naufal.

     "Bagaimana kita hendak mengambil mayatnya? Muhammad dan pengikutnya berada di seberang parit," tanya Marwan pula.

     Khalid Al-Walid yang ketika itu masih belum memeluk Islam mengemukakan cadangan supaya dihantar utusan menghadap Nabi Muhammad bagi membenarkan mayat Naufal diambil.

     "Saya setuju dengan cadangan itu. Katakan kepada Muhammad kita sanggup membayar sepuluh ribu dirham ataupun lima ratus ekor kambing mendapatkan mayat Naufal," kata Safwan pula.

     "Jumlah itu terlalu banyak dan pastinya menguntungkan Muhammad," bantah Amru bin Abdu Wud.

     "Saya bersetuju dengan cadangan itu kerana ini adalah muslihat peperangan. Muhammad pasti memilih lima ratus ekor kambing. Bagi membawa kambing yang begitu banyak, Muhammad akan membuat lalu bagi membawa kambing itu menyeberang parit. Ketika itu kita membuat serbuan," kata Abu Sufian pula.

     Barulah Amru tidak membantah lagi.

     Abu Sufian menyuruh Abu Aswad mewakilinya bagi bertemu dengan Nabi Muhammad bagi membuat perundingan mendapatkan mayat Naufal. Selepas mendapat kebenaran daripada orang Islam maka Abu Aswad menyeberangi parit itu lalu menghadap Nabi Muhammad.

     "Lelaki itu adalah pahlawan Quraisy yang berani. Kerana itu kami mahukan mayatnya supaya dapat dikebumikan secara hormat. Sekiranya dibiarkan di situ pasti mendatangkan masalah kepada pihak kamu," kata Abu Aswad. Kemudian dia membuat tawaran, "Sekiranya kamu membenarkan kami mengambil mayat Naufal maka kami sanggup memberi hadiahnya sebanyak sepuluh ribu dirham ataupun lima ratus ekor kambing. Kamu pilihlah mana yang berkenan di hati."

     Nabi Muhammad membenarkan mayat Naufal itu diambil tetapi menolak pemberian hadiah itu. Baginda tidak mahu menerima apa-apa hadiah daripada pasukan Quraisy. Apatah lagi apabila dianggap seperti menjual mayat musuh.

     Selepas mendapat kebenaran itu, Abu Aswad segera kembali menemui Abu Sufian lalu memaklumkan perkara itu. Abu Sufian agak kecewa kerana perangkapnya tidak mengena. Dia mengarahkan supaya mayat Naufal itu diambil dengan segera.

     Kematian Naufal itu menambahkan lagi kemarahan Amru bin Abdu Wud. Dia bertekad mahu membalas dendam.

     "Naufal telah mengorbankan dirinya sebagai pahlawan Quraisy. Apakah kita mahu berdiam diri sahaja? Sedangkan Muhammad dan pengikutnya di seberang parit sana sedang mentertawakan kita," kata Amru bin Abdu Wud kepada kawan-kawannya.

     "Kita tidak akan berdiam diri. Kematian Naufal perlu dibela," kata Dhirar bin Al-Khattab adik kepada Umar Al-Khattab.

     "Mari kita menyerang parit bagi menuntut bela kematian Naufal," kata Hubairah bin Abu Wahan pula.

     "Saya akan bersama kamu," marah Ikramah bin Abu Jahal.

     Empat pahlawan Quraisy yang terkenal gagah itu menyatakan sumpah setia mereka bagi menuntut bela kematian Naufal. Mereka bertekad menyeberangi parit dengan cara sendiri.

     Amru bin Abdu Wud terjun dahulu ke dalam parit diikuti Dhirar, Hubairah dan Ikramah. Apabila sampai di tebing sebelah parit, Amru yang berbadan besar menyuruh Dhirar memanjat badannya supaya membolehkan Hubairah yang bertubuh kurus menaiki badan Amru dan Hubairah lalu berjaya menaiki tebing itu. Kemudian diikuti Ikramah. Akhirnya keempat-empat pahlawan Quraisy itu berjaya menyeberang parit itu.

     Tindakan nekad empat pahlawan Quraisy itu sedang diperhatikan tentera Islam lalu melaporkannya kepada Rasulullah. Baginda berpesan supaya jangan dihalang mereka melakukannya. Kerana itu Amru, Dhirar, Hubairah dan Ikramah dapat menyeberangi parit itu dengan selamat.

     "Aku adalah Amru bin Abdu Wud. Datang bagi mencabar kamu. Siapa antara kamu yang sanggup berperang tanding denganku?" teriak Amru bin Abu Wud.

     Teriakkan pertama itu tidak dihiraukan pasukan Muslimin. Tambahan pula mereka tidak mahu bertindak sendirian tanpa persetujuan daripada Rasulullah. Apabila melihat tidak ada yang mahu menyahut cabarannya maka semakin angkuh Amru bin Abdu Wud.

     "Hei pengikut Muhammad! Siapa antara kamu yang sanggup menentang aku? Kita adakan perang tanding lihat siapa yang lebih kuat dan berani," teriak Amru bin Abdu Wud sekali lagi.

     Namun cabarannya itu masih tidak berjawab. Amru berasa semakin berani dan bongkak lalu berteriak buat kali yang ketiga, "Hei pengecut! Mengapa tidak ada seorang pun yang berani menyahut cabaran aku? Akulah Amru bin Abdu Wud pahlawan Quraisy gagah perkasa."

     Ali bin Abi Talib berasa marah apabila mendengar cabaran itu. Kali kedua Amru membuat cabaran kemarahan Ali semakin meluap. Buat kali ketiga dia tidak dapat menahan rasa lagi lalu berdiri.

     "Wahai Rasulullah, biarlah saya yang menyahut cabaran itu," kata Ali bin Abi Talib.

     "Duduklah, bukankah yang mencabar itu Amru bin Abdu Wud," kata Rasulullah SAW.

     Ali kembali duduk kerana mematuhi perintah Rasulullah. Tambahan pula dia sedar yang dia bertindak dalam keadaan marah.

     Amru bin Abdu Wud berteriak dengan lebih lantang. "Aku mencabar kamu wahai pengikut Muhammad. Siapa antara kamu yang sanggup berperang tanding dengan aku? Mana syurga yang kamu katakan itu? Yang kamu yakin jika mati akan memasukinya. Tidak adakah antara kamu yang mahu memasuki syurga yang dijanjikan oleh nabi kamu itu?"

     Ali segera bangun lalu berkata. "Wahai Rasulullah, benarkan saya menyahut cabaran itu."

     "Duduklah Ali," kata Rasulullah dan Ali mematuhinya. Amru tertawa sambil membaca syairnya.

     Demi sesungguhnya
     Telah serak suaraku
     Lantaran mencabar pasukan kamu
     Namun tidak ada yang berani tampil
     Sesungguhnya
     Keberanian dan kedermawan itu
     Adalah terpuji.

Ali bangun lagi lalu meminta kebenaran daripada Rasulullah bagi berperang tanding dengan pahlawan Quraisy itu. Nabi Muhammad masih keberatan membenarkannya.

     "Duduklah kamu wahai Ali. Sesungguhnya itu adalah Amru bin Abdu Wud," kata Nabi Muhammad.

     "Saya sanggup wahai Rasulullah. Walaupun lawanku itu Amru bin Abdu Wud," kata Ali bin Abi Talib.

     Rasulullah tidak dapat menahan lagi apabila Ali bin Abi Talib sudah berkali menyatakan kesanggupannya. Tambahan pula tidak ada orang lain yang menyahut cabaran itu. Sebelum pergi mendapatkan Amru maka Ali pergi dahulu mendapatkan Rasulullah yang juga bapa mertuanya. Baginda memakaikan Ali serban lalu mendoakan kemenangannya.

     "Wahai Allah, tolonglah dia," kata Rasulullah.

     Kemudian Ali berjalan dengan pantas mendapatkan Amru sambil bersyair bagi menjawab syair yang dibacakan lawannya.

     Janganlah engkau terburu-buru
     Wahai kuda tua
     Sekarang aku datang kepadamu
     Menyahut suaramu dengan suaraku yang lantang

Amru tertawa mendengar syair yang dibaca Ali bin Abi Talib. Kemudian Ali pun berkata,

     "Ucaplah tidak ada tuhan yang disembah selain Allah. Dan mengakulah bahawa Muhammad itu pesuruh Allah," kata Ali bin Abi Talib.

     "Aku tidak menyangka ada orang yang berani menyuruh aku mengucapkan kata-kata itu," kata Amru dengan sombong.

     "Aku datang bagi menyahut cabaran engkau," balas Ali bin Abi Talib.

     "Siapa engkau hei anak muda?" tanya Amru pula.

     "Saya Ali," jawabnya.

     "Adakah engkau anak Abdul Manap?" tanya Amru lagi.

     "Saya Ali bin Abi Talib," jawab Ali lalu bersedia bagi bertarung.

     "Berapakah umurmu wahai anak muda?" tanya Amru lagi.

     "Dua puluh lima tahun," jawab Ali.

     "Umurku sudah sembilan puluh tahun. Bukan layak engkau bagi melawan aku. Suruh orang lain yang umurnya lebih tua kerana aku tidak suka menumpahkan darah anak muda seperti kamu," kata Amru Abdu Wud.

     "Aku datang bagi menumpahkan darah kamu," balas Ali pula.

     Amru berasa sangat marah lalu menyerang Ali. Tetapi serangan itu dapat ditangkis dengan mudah. Ternyata umur Amru yang sudah tua itu tidak setanding dan setangkas dengan anak muda yang gagah perkasa itu. Selepas saling serang menyerang dan berbalas tetakan dan tangkisan akhirnya Amru tercungap kepenatan. Ali bin Abi Talib tidak memberi peluang lalu membunuh Amru.

     Melihat Amru yang dikatakan pahlawan Quraisy yang gagah perkasa itu sudah tersungkur maka timbul rasa takut di hati Ikramah, Dhirar dan Hubairah. Ketiga-tiganya melarikan diri lalu terjun ke dalam parit. Ali tidak pula mengejar mereka kerana tujuannya hanya menyahut cabaran Amru bin Abdu Wud.

     Kemenangan Ali itu disambut dengan suara takbir pasukan tentera Islam. Ali pulang ke pasukannya dengan disambut sebagai pahlawan. Ikramah, Dhirar dan Hubairah pula dicemuh dan diejek kawan-kawannya.

     "Kamu bertiga sepatutnya membunuh Ali, bukan melarikan diri," marah Khalid Al-Walid.

     "Kami berada di seberang parit. Sekiranya kami membunuh Ali maka kami juga akan dibunuh mereka. Kerana itu lebih baik kami menyelamatkan diri," kata Dhirar pula.

     "Saya lihat anak muda itu bagaikan singa yang lapar. Kerana itu aku tidak berani menentangnya," kata Hubairah pula.

     "Apabila melihat dua kawanku lari maka saya juga terpaksa lari," kata Ikramah pula.

     "Kamu pengecut," marah Khalid.

     "Sekiranya kamu berani, pergi seberangi parit dan buat cabaran seperti Amru tadi," marah Ikramah pula.

     "Jangan kamu bertengkar. Mayat Amru perlu kita ambil. Siapa antara kamu yang sanggup berjumpa Muhammad?" kata Abu Sufian pula yang tidak mahu timbul pepercahan dalam pasukannya.

     "Saya sanggup," kata Abu Aswad.

     Sekali lagi dia berjumpa dengan Nabi Muhammad meminta kebenaran mengambil mayat Amru bin Abdu Wud.

     "Sebagai balasannya kami sanggup membayar sepuluh ribu dirham dan kambing seratus ekor," kata Abu Aswad.

     Nabi Muhammad menolak pemberian itu lalu memberikan mayat Amru itu dengan percuma. Selepas mayat Amru diambil pasukan Quraisy masih tidak mahu mengalah. Mereka terus menguatkan pengepungan. Kemudian berlaku berbalas-balas serangan anak panah.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment