Sunday 25 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 13 - PERTEMPURAN TERAKHIR ]






PERTEMPURAN TERAKHIR








Pagi itu sebelum matahari terbit, Aslam, seorang remaja berkulit hitam bangsa Habsyi sudah berada di Wadi Al-Qamar menggembala kambing kepunyaan tuannya. Sebagai budak suruhan yang tugasnya hanya menggembala kambing dia tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekelilingnya. Tambahan pula tuannya tidak membenarkan dia masuk campur selain menggembala kambing yang sudah diamanahkan kepadanya.

     Sedang Aslam asyik menggembala kambingnya tiba-tiba datang beberapa orang tentera Yahudi Khaibar.

     "Kami datang bagi menangkap beberapa ekor kambing bagi disembelih," kata salah seorang tentera Yahudi itu.

     "Kambing ini bukan kepunyaan saya tetapi kepunyaan tuan saya," bantah Aslam.

     "Kamu tidak tahukah sekarang kita sedang berperang dengan orang yang mengaku menjadi nabi. Dalam keadaan darurat kami boleh mengambil apa sahaja kepunyaan orang lain bagi dijadikan makanan," kata tentera Yahudi Khaibar itu.

     "Siapakah orang yang mengaku menjadi nabi itu? Saya mahu berjumpa dengannya," kata Aslam yang begitu tertarik apabila mendengar kata-kata tentera itu sedang berperang dengan orang yang mengaku menjadi nabi.

     "Di berada di benteng Nai'im. Esok dia dan pengikutnya mahu merampas benteng Al-Ubayu pula. Kami tidak akan membenarkannya," jawab salah seorang tentera Yahudi Khaibar itu.

     "Saya mahu bertemu dengannya," kata Aslam pula.

     "Tugas kamu menggembala kambing. Jangan masuk campur urusan kami," marah tentera Yahudi Khaibar itu.

     Aslam tidak menghiraukan amaran itu. Dia bertindak nekad meninggalkan kambing-kambing itu lalu menuju ke benteng Nai'im. Dia meminta bagi berjumpa dengan Nabi Muhammad.

     "Benarkah kamu yang mengaku sebagai nabi?" tanya Aslam.

     "Benar," jawab Nabi Muhammad.

     "Apa yang kamu seru kepada manusia?" tanya Aslam lagi.

     "Saya mengajak manusia memeluk Islam dan hendaklah bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan saya adalah Rasul-Nya. Janganlah kamu bersembah sujud kepada yang lain," jawab Nabi Muhammad.

     "Sekiranya beriman dan mengucapkan kata-kata itu apakah yang saya dapat?" tanya Aslam lagi.

     "Kamu beroleh syurga apabila mati dalam keadaan seperti itu," jawab Rasulullah.

     Maka Aslam pun mengucapkan kalimah syahadat mengaku tidak ada Tuhan selain Allah dan mengaku Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

     "Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan kambing yang saya gembala?" tanya budak itu lagi.

     "Lepaskanlah semua kambing itu dan lempar dengan batu. Semua kambing itu akan pulang ke rumah tuannya," jawab Nabi Muhammad.

     Aslam pun menurut seperti apa yang dikatakan Nabi Muhammad. Selepas kambing-kambing itu pulang ke rumah tanpa gembalanya maka tahulah tuan Aslam yang gembala kambingnya sudah memeluk agama Islam. Selepas memeluk Islam maka Aslam menyertai tentera Islam bertempur dengan tentera Yahudi Khaibar. Dia gugur syahid.

     Kisah syahidnya budak gembala kambing itu menyentuh hati Abu Dujanah.

     Malam itu Abu Dujanah hampir tidak tidur langsung kerana asyik beramal ibadat. Dia banyak melakukan sembahyang sunat, membaca Al-Quran dan berzikir. Dia mahu mendekatkan dirinya kepada Allah serta banyak berdoa kerasa esok ada tugas penting yang perlu dilakukannya. Nabi Muhammad memberi tanggungjawab kepadanya bagi memimpin tentera Islam menawan benteng Al-Ubayu.

     Kejayaan Abu Dujanah mengalahkan pahlawan Yahudi yang terkenal dengan kegagahan dan keberaniannya itu mendapat pujian semua tentera Islam termasuk Nabi Muhammad. Kerana itu dia diberi tanggungjawab yang lebih besar iaitu menakluk benteng Al-Ubayu.

     Pada keesokan harinya tentera Islam berkumpul di benteng Nai'im yang dijadikan markas tentera Islam. Selepas mendengar taklimat Rasulullah SAW maka Abu Dujanah memimpin tentera Islam menuju ke benteng Al-Ubayu.

     Pada masa yang sama, di dalam benteng Al-Ubayu pula, Kinanah mengarahkan semua tenteranya berjuang bersungguh-sungguh bagi mempertahankan benteng itu. Tentera Yahudi Khaibar ditempatkan di atas tembok benteng itu bagi memudahkan mereka memerhatikan pergerakan tentera Islam serta menangkis serangan dengan melepaskan anak-anak panah.

     Sebelum matahari terbit, Abu Dujanah dan pasukan tenteranya sudah berada di hadapan benteng Al-Ubayu. Pergerakan mereka terus diperhatikan tentera Khaibar yang berkubu di atas benteng. Tetapi Abu Dujanah tidak terus melancarkan serangan. Dia menghantar seorang wakil menemui Kinanah.

     "Kami mengajak kamu berdamai. Keluarlah menyerah diri nescaya kamu dan harta kamu selamat," kata Abdullah utusan yang dihantar Abu Dujanah menemui Kinanah.

     "Beritahu nabi kamu Muhammad, sekiranya kamu meninggalkan tempat ini baru kami keluar dari benteng ini," kata Kinanah pula yang menunjukkan sikap degil keras kepala dan tidak mahu berdamai.

     "Kami tidak akan pulang selagi semua benteng di dalam Kota Khaibar ini belum jatuh ke tangan kami," kata Abdullah sebagai membalas kata-kata Kinanah itu.

     "Sekiranya begitu kami tidak akan berdamai dengan Muhammad. Kami akan berperang bermati-matian," kata Kinanah.

     Abdullah pulang kepada pasukannya lalu menyampaikan apa yang diperkatakan Kinanah. Abu Dujanah tidak ada pilihan selain melancarkan serangan ke atas benteng Al-Ubayu.

     Abu Dujanah menggunakan Manjaniq dan Dabbabad bagi memecahkan pintu benteng itu. Selepas terkena lontaran peluru batu Manjaniq akhirnya pintu benteng Al-Ubayu dapat dirobohkan. Kemudian Abu Dujanah memerintahkan tenteranya menyerbu masuk. Berlakulah pertempuran hebat. Tentera Islam akhirnya berjaya mengasak tentera Khaibar. Apabila melihat keadaan itu, Kinanah dan pasukan tenteranya melarikan diri ke benteng Al-Baryu pula. Jarak kedua-dua benteng itu tidak jauh.

     Selepas berjaya menawan benteng Al-Ubayu dan selepas memastikan keadaan selamat bagi diduduki barulah Abu Dujanah membuat persiapan menakluk benteng Al-Baryu pula.

     Bagi menawan benteng itu Abu Dujanah menggunakan taktik yang sama iaitu memecahkan pintu benteng dengan Manjaniq dan Dabbabad kemudian menyerbu masuk. Cara itu sangat berkesan apabila dengan mudah pintu benteng itu dapat dipecahkan lalu mereka menyerbu masuk. Akhirnya benteng Al-Baryu juga berjaya ditawan.

     Kinanah dan saki baki pasukan tenteranya keluar dari benteng Al-Ubayu melalui pintu rahsia lalu berlindung dalam benteng Al-Qamus pula. Benteng itu terletak agak jauh dan kedudukan lebih strategik kerana di situ ditempatkan kaum wanita dan kanak-kanak. Apabila masuk ke dalam benteng itu, Kinanah menyuruh tenteranya menutup semua pintu dan tidak ada seorang pun dibenarkan keluar.

     Abu Dujanah dan pasukan tenteranya mengepung benteng tersebut selama beberapa hari tetapi tidak dapat memasukinya. Tentera Yahudi Khaibar pula tidak mahu keluar. Akhirnya Abu Dujanah menyerahkan semula bendera perang kepada Rasulullah supaya diberikan pula kepada orang lain.

     Selepas berbincang dengan para sahabat, akhirnya Nabi Muhammad memberikan bendera perang kepada Sayidina Ali bin Abi Talib. Dia diberi tugas memimpin tentera Islam bagi menakluk benteng Al-Qamus yang dikatakan sama kukuhnya dengan benteng Nai'im itu. Tanpa berlengah lagi Ali bin Abi Talib memimpin tentera Islam melancarkan serangan terhadap benteng Al-Qamus.

     Sayidina Ali menghantar utusan menemui Kinanah memberi amaran sekiranya tidak mahu keluar maka senjata Manjaniq akan digunakan bagi memecahkan benteng itu. Mendengar benteng itu menjadikan mereka berasa takut.

     "Sekiranya kita terus bertahan dalam benteng ini, tentera Islam akan menggunakan Manjaniq bagi memecahkan pintu hadapan. Bukankah cara itu yang mereka lakukan bagi menakluk benteng Al-Ubayu dan Al-Baryu? Kerana itu kita tidak boleh terus berada di dalam benteng Al-Qamus ini," kata Ubaid yang tidak bersetuju dengan keputusan Kinanah yang hanya menyuruh mereka bertahan dari dalam benteng Al-Qamus.

     "Apa cadangan kamu?" tanya Kinanah pula.

     "Kita keluar berperang dengan mereka. Ini sahaja peluang kita menang. Kita kerahkan semua tentera yang ada dan kita berperang habis-habisan. Saya yakin kita pasti menang," jawab Ubaid.

     Akhirnya Kinanah terpaksa bersetuju dengan cadangan Ubaid selepas mendapat sokongan ramai. Maka Kinanah mengumpulakan semua lelaki yang berada di dalam benteng Al-Qamus bagi membantu tentera Khaibar berperang dengan tentera Islam.

     "Ini adalah pertempuran kita yang terakhir. Pertempuran ini akan menentukan masa hadapan kita. Sekiranya kita menang maka kehidupan kita menjadi lebih baik seperti dahulu. Tetapi sekiranya kita kalah maka kita dan anak cucu kita akan hapus dari muka bumi ini. Kerana itu, marilah kita berjuang dengan bersungguh-sungguh," pesan Kinanah kepada pasukan tenteranya sebelum terjun ke medan perang.

     Tidak lama kemudian, pintu benteng Al-Qamus dibuka. Tentera Khaibar keluar lalu menyerbu tentera Islam. Maka berlakulah pertempuran yang sangat hebat. Kedua-dua pasukan berjuang bermati-matian bagi mendapat kemenangan.

     Ali bin Abi Talib dibantu Abu Dujanah, Al-Hubbab, Umar Al-Khattab, Saad bin Abi Waqas, Abu Ubaidah Al-Jarrah dan ramai lagi berganding bahu menyerang tentera Khaibar. Mereka bagaikan singa-singa yang lapar masuk ke kandang kambing, menerkam serta membunuh musuh yang ditemui. Akhirnya tentera Islam beroleh kemenangan. Kinanah dan tenteranya lari lintang-pukang menyelamatkan diri lalu berlindung di dalam benteng yang ketujuh bernama Al-Watiq dan benteng ke lapan Al-Sulaim. Semasa berlaku pertempuran, semua wanita dan kanak-kanak di dalam benteng Al-Qamus dipindahkan ke benteng Al-Watiq dan Al-Sulaim. Ali bin Abi Talib dan pasukan tenteranya mengepung dua benteng itu lalu mencari jalan bagi memasukinya.

     "Satu-satunya cara bagi memasuki kedua-dua benteng ini adalah dengan memecahkan pintunya. Dengan izin Allah saya mampu melakukannya," kata Saidina Ali bin Abi Talib.

     "Sekiranya kita menyerbu masuk, sudah tentu mereka akan menjadikan wanita dan kanak-kanak sebagai perisai manusia bagi mempertahankan diri mereka. Kerana itu kita kepong sahaja benteng ini sehingga mendapat perintah daripada Rasulullah," kata Al-Hubbab pula.

     Rasulullah juga menyuruh mereka terus mengepung kedua-dua benteng itu dan jangan memasukinya. Mereka mematuhi perintah itu.

     "Sudah empat belas hari kita mengepung benteng Al-Watiq dan Al-Sulaim. Namun belum ada tanda-tanda mereka akan menyerah kalah. Berapa lama lagi kita perlu menunggu?" tanya Umar Al-Khattab.

     "Kita serahkan sahaja kepada Rasulullah bagi memikirkannya. Apa sahaja perintah baginda kita patuhi dan lakukan," kata Abu Bakar pula.

     Selepas berbincang dengan para sahabat, Nabi Muhammad menyuruh senjata pemusnah Yahudi Khaibar itu dikumpulkan di hadapan benteng Al-Watiq dan Al-Sulaim. Tentera Islam juga diminta bersiap sedia menggunakan pelantik besar itu. Namun masih belum diperintahkan menggunakannya.

     Perlakuan tentera Islam itu sentiasa diperhatikan tentera Khaibar dari benteng Al-Watiq dan Al-Sulaim. Mereka menjadi takut apabila melihat manjaniq dikumpulkan di hadapan benteng itu.

     "Muhammad mahu memusnahkan benteng ini dengan Manjaniq. Mereka sudah meletakkan senjata itu di hadapan benteng Al-Watiq dan Al-Sulaim," beritahu Ubaid kepada orang ramai.

     Mereka berasa cemas kerana tahu kesan senjata itu apabila digunakan ke arah mereka.

     "Tidak lama lagi kita akan dihujani dengan peluru batu dari Manjaniq. Ke mana lagi tempat kita hendak berlindung?" jerit seorang penduduk Khaibar.

     "Anak-anak kecil kita akan hancur apabila terkena batu Manjaniq. Ke mana kita hendak sembunyikan mereka?" tanya yang lain pula.

     "Sekiranya begitu lebih baik kita berdamai sahaja," kata mereka lalu mendesak Kinanah berdamai dengan Nabi Muhammad.

     "Enam benteng kita sudah ditawan Muhammad dan pengikutnya. Dengan mudah mereka akan menakluk benteng ini pula. Kerana itu lebih baik kita menyerah sahaja," kata Ubaid yang mewakili suara ramai.

     "Muhammad sudah menyuruh tenteranya membawa senjata Manjaniq di hadapan benteng ini. Apabila peluru senjata itu dilepaskan tidak apa lagi yang dapat melindungi kita," desak yang lain pula.

     "Bagaimana sekiranya saya dan tentera saya melawan mereka? Kamu duduk sahaja di tempat perlindungan, biar kami yang berperang," kata Kinanah yang enggan menyerah kalah.

     "Benarkan kami keluar dari benteng ini dengan membawa anak-anak dan isteri kami. Kemudian terserah kepada kamu bagi berperang dengan mereka," kata Ubaid yang juga sudah tidak mahu lagi berperang.

     "Itu mustahil kerana kami memerlukan kamu berada di dalam benteng ini," marah Kinanah.

     "Apakah kamu hendak menjadikan kami perisai apabila Muhammad dan pengikutnya menyerang? Tidak, kami tidak rela dijadikan mangsa korban sifat angkuh dan tamak kamu. Kami tetap akan menyerah diri walau kamu tidak setuju," marah Ubaid pula.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment