Friday 23 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 9 - DI AMBANG KEMENANGAN ]






DI AMBANG KEMENANGAN








Sesungguhnya kami menenangkan engkau dengan kemenangan yang nyata. -
Surah Al-Fath, ayat 1

Ali bin Abi Talib sering membaca surah Fath dari ayat 1 hingga ayat 29. Dia memahamkan makna dan tafsirannya yang tersurat dan tersirat. Surah itu diturunkan kepada Nabi Muhammad semasa dalam perjalanan pulang ke Madinah selepas termeterinya perjanjian Hudaibiyah dengan kaum Quraisy Mekah. Kemudian Nabi Muhammad menyuruh para sahabat menghafaz ayat tersebut. Wahyu Allah yang baru turun itu adalah janji Allah akan memberikan kemenangan yang besar kepada baginda dan semua umatnya.

     Para sahabat yakin Kota Khaibar akan diberikan kepada mereka. Tetapi mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapatkannya kerana Allah tidak akan memberinya secara percuma. Kerana yakin dengan janji itu mereka berjuang bersungguh-sungguh bagi merebut Kota Khaibar itu.

     Selepas enam hari mengepung benteng Nai'im sudah ada petanda akan beroleh kejayaan sesudah tertangkapnya seorang pengintip tentera Yahudi. Pengintip itu memberikan maklumat rahsia yang selama ini tidak pernah sampai kepada Nabi Muhammad.

     Rasulullah juga dimaklumkan mengenai pergolakan yang berlaku di kalangan Bani Nadhir dan penduduk Khaibar. Termasuk kematian Sallam bin Misykam yang penuh misteri juga kematian Al-Harith yang terkena anak panah yang misteri kerana tidak tahu siapa yang melepaskannya. Lalu mereka mengandaikan panah itu dilepaskan oleh tentera Islam.

     "Sekarang Kinanah menjadi ketua Khaibar. Tidak semua yang suka terhadapnya terutama Bani Nadhir. Kemungkinan dia juga akan dibunuh," kata pengintip yang ditangkap itu. Dia membuka semua rahsia itu secara sukarela.

     Menurut pengintip itu lagi, Kinanah menyuruh dia dan seorang kawannya membuat intipan di luar benteng Nai'im. Seorang disuruh pergi mengintip keadaan tentera Islam. Seorang lagi disuruh mencari jalan rahsia bagi membolehkan Kinanah dan tenteranya keluar menyelamatkan diri jika benteng Nai'im tidak dapat dipertahankan lagi.

     Daripada maklumat yang diberikan itu tentera Islam membuka kepungan di bahagian belakang benteng Nai'im bagi membolehkan Kinanah dan pasukan tenteranya keluar melarikan diri.

     Kemudian pengintip rahsia itu dilepaskan semula bagi membolehkan dia masuk semula ke dalam benteng Nai'im bagi membuat laporan mengenai keadaan tentera Islam. Kerana hatinya sudah mendapat hidayah maka dia memberikan maklumat yang boleh menguntungkan pasukan Islam serta menakutkan Kinanah.

     Pengintip yang berpaling tadah itu mengatakan pasukan tentera Islam dalam keadaan kuat, cukup bekalan makanan dan senjata walaupun berperang selama berbulan-bulan. Paling menakutkan Kinanah apabila pengintip kepercayaannya itu mengatakan tentera bantuan dari Madinah yang berjumlah ribuan orang akan sampai beberapa hari lagi.

     "Kita tidak ada pilihan selain berjuang bermati-matian bagi mempertahankan benteng ini. Kita akan menggunakan seluruh kekuatan tentera dan senjata yang kita miliki untuk memenangi peperangan ini," kata Kinanah. Dia mengerahkan tentera Khaibar supaya bersiap sedia mempertahankan kota mereka.

     Pada masa yang sama tentera Islam juga sedang merancang bagi menawan benteng Nai'im. Mereka berusaha mencari titik kelemahannya supaya dapat digunakan bagi menakluknya.

     "Kita mesti menakluk benteng Nai'im dengan segera kerana kita tidak boleh berlengah lagi. Semakin lama mereka mampu bertahan semakin sulit keadaan kita. Kerana itu esok kita akan melancarkan serangan berterusan," kata Abu Bakar As-Siddiq.

     "Yakinlah bahawa kita sudah berada diambang kemenangan. Kerana itu kita mesti berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapatkannya," kata Umar Al-Khattab pula.

     Keesokan harinya bendera perang diberikan kepada Abu Bakar As-Siddiq. Beliau diberi tugas memimpin pasukan tentera Islam menyerang Benteng Nai'im yang dikatakan kebal itu. Tanpa berlengah lagi Abu Bakar membawa 500 orang tentera untuk menyerang benteng tersebut.

     "Satu-satunya cara untuk memasuki benteng itu adalah dengan membuka pintu depannya. Kerana itu kita mesti berusaha membuka pintu itu," kata Abu Bakar As-Siddiq.

     "Pintu itu diperbuat daripada besi yang kukuh. Kita mesti memecahkannya," kata Umar Al-Khattab pula.

     Kemudian Abu Bakar membahagikan tenteranya kepada dua kumpulan. Pertama terdiri daripada 300 orang ditugaskan memanah tentera Khaibar yang berada di atas benteng. Kumpulan kedua 200 orang lagi ditugaskan memecahkan pintu benteng Nai'im. Maka serangan pun dilancarkan.

     Apabila melihat kedatangan tentera Islam maka tentera Khaibar yang berada di atas benteng Nai'im melepaskan anak-anak panah. Maka dibalas pula oleh 300 orang pemanah dari pasukan tentera Islam. 200 orang tentera lagi terus mara hingga sampai ke pintu benteng Nai'im. Mereka cuba sedaya upaya untuk memecahkan pintu itu tetapi masih tidak berjaya.

     Apabila Kinanah melihat tentera Islam cuba memecahkan pintu benteng itu maka dia memerintahkan tenteranya menumpukan serangan ke atas mereka. Abu Bakar As-Siddiq dan tentera di bawah pimpinannya dihujani dengan anak-anak panah. Mujur mereka memakai baju dan topi besi.

     Apabila melihat anak-anak panah tidak dapat menghalau tentera Islam yang berusaha memecahkan pintu itu maka tentera Khaibar menjatuhkan batu-batu besar ke atas mereka. Apabila melihat ramai yang cedera ditimpa batu-batu maka Abu Bakar terpaksa mengundurkan pasukan tenteranya.

     "Wahai Rasulullah, kami sudah berusaha sedaya upaya memecahkan pintu benteng Nai'im namun tuhan belum mengizinkannya," beritahu Abu Bakar As-Siddiq.

     Nabi Muhammad tidak menyalahkan mereka di atas kegagalan itu kerana baginda yakin belum sampai masanya kemenangan itu diberikan kepada mereka. Nabi Muhammad memanggil Umar Al-Khattab. Kepadanya pula diberikan tanggungjawab memimpin pasukan tentera Islam menyerang benteng Nai'im.

     Umar Al-Khattab memimpin 500 orang tentera yang tadinya direhatkan semasa pasukan Abu Bakar melancarkan serangan. Mereka juga memakai baju dan topi besi bagi melindungi daripada anak-anak panah. Selain itu mereka juga membawa perisai untuk melindungi diri daripada terkena batu yang dijatuhkan dari atas benteng itu.

     Bagi memecahkan pintu benteng itu mereka membawa tukul besi dan kayu namun gagal juga memecahkannya kerana pintu besi itu tebal. Menjelang petang mereka masih gagal memecahkannya. Umar Al-Khattab akhirnya terpaksa mengundurkan pasukan tenteranya apabila semakin ramai yang cedera terkena anak panah dan batu yang dijatuhkan tentera Khaibar.

     "Wahai Rasulullah, tuhan belum mengizinkan kami memecahkan pintu benteng Nai'im itu," beritahu Umar Al-Khattab sambil menyerahkan semula bendera perang itu kepada Rasulullah SAW.

     Nabi Muhammad tidak pula menyalahkan Umar Al-Khattab di atas kegagalan itu. Baginda memegang bendera perang itu lalu mengadap kepada para sahabatnya.

     "Esok pagi aku akan menyerahkan bendera ini kepada seorang lelaki yang cinta kepada Allah dan Rasul-Nya dan Allah dan Rasul-Nya juga cinta kepadanya," kata Nabi Muhammad SAW.

     Setelah mendengar kata-kata itu tentera Islam yakin esok adalah hari kemenangan bagi mereka dan benteng Nai'im itu akan dapat ditawan. Dan masing-masing menaruh harapan dirinya yang akan diberikan bendera perang oleh Rasulullah SAW.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment