Saturday 10 February 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 17 - KHANDAQ ]






KHANDAQ








Bulan Syawal Tahun Kelima Hijrah

Pada Isnin hari yang kedua puluh, kerja menggali parit itu siap sepenuhnya. Panjangnya 12 ribu hasta mengelilingi lebih separuh Kota Madinah. Cuma di sebelah utara yang tidak dibina parit kerana di situ terdapat perkampungan Bani Quraizah dan Bani Harith. Di situ juga terdapat kebun kurma dan kawasan perumahan yang padat. Kerana itu Nabi Muhammad mengecualikannya. Tambahan pula Bani Quraizah dan Bani Harith sudah mengikat perjanjian.

     Barulah penduduk Madinah berasa selamat kerana dikelilingi parit yang lebarnya lebih sembilan hasta sehingga kuda tidak dapat melompat menyeberanginya. Kedalamannya pula lebih sepuluh hasta sehingga apabila musuh turun ke dalam parit mereka tidak dapat memanjatnya.

     "Belum pernah orang Arab dan Yahudi membina parit yang begitu hebat," kata Abdullah bin Ubai sambil melahirkan rasa kagumnya.

     "Allah membantu kami melalui Salman Al-Farisi," kata Jabir pula yang berasa tidak senang hati dengan sikap munafik Abdullah bin Ubai. Di hadapan Nabi Muhammad, dia berpura-pura bersikap taat tetapi di belakang selalu mempertikaikannya.

     "Mereka yang munafik dan bukan Islam tidak dibenarkan berperang bersama kami. Hanya apabila musuh dapat menceroboh masuk ke dalam Kota Madinah barulah kamu dapat mengusir mereka," kata Salman Al-Farisi pula.

     Abdullah bin Ubai kelihatan tersinggung mendengarnya. Tetapi dia tidak berani berbuat apa-apa kerana tahu kekuatan lelaki itu sama seperti sepuluh orang lelaki. Dia segera beredar dari situ dengan rasa malu.

     "Kita perlu membina sebuah tempat kediaman Rasulullah. Dari sana dia dapat memerhati apa yang berlaku di medan perang," kata Salman Al-Farisi mencadangkan.

     "Kami pernah membina tempat perlindungannya semasa Perang Badar. Tetapi tidak semasa Perang Uhud. Kerana itu saya setuju," sokong Abu Bakar pula.

     Mereka mencari kawasan yang agak tinggi lalu membina tempat perlindungan Rasulullah. Dari situ baginda dapat memerhati apa yang berlaku di medan perang bagi mengatur strategi dan memberi arahan.

     "Bagaimana pula dengan keluarga kita? Kaum wanita dan kanak-kanak perlu dilindungi?" tanya Abdul Rahman pula.

     Nabi Muhammad menyuruh mereka membuat sebuah buku perlindungan bagi menempatkan kaum wanita dan kanak-kanak. Mereka membinanya di Fari' dalam kawasan perkampungan Bani Harith kira-kira enam belas kilometer dari parit utama. Tempat itu terletak di dataran tanah tinggi berhampiran dengan perkampungan Yahudi Bani Quraizah. Baginda berharap orang Bani Quraizah dapat menjaga keselamatan keluarga Islam semasa berlakunya peperangan.

     Kemudian Nabi Muhammad mengumpulkan semua pasukan Islam berjumlah tiga ribu orang di hadapan Bukit Sala'. Sekiranya dalam Perang Uhud Nabi Muhammad memilih Bukit Uhud sebagai pertahanan maka pada Perang Khandaq ini baginda memilih Bukit Sala'. Semua pasukan Islam berkumpul di sana dan bersiap sedia menunggu perintah daripada Rasulullah. Cuma beberapa orang yang ditugaskan membuat rondaan di sepanjang parit itu.

     "Kamu tahu mengapa Rasulullah menempatkan kita di kaki bukit ini?" tanya Salman Al-Farisi kepada Jabir.

     "Rasulullah seorang yang sangat bijak di medan perang. Beliau sengaja menyuruh kita menggali parit di kawasan ini yang kelihatan lebih sempit berbanding parit di kawasan lain. Parit di Bukit Sala' ini seolah-olah dapat dilepasi kuda dan dapat diseberangi oleh tentera musuh yang berjalan kaki. Kerana itu Rasulullah mengumpulkan kita di sini kerana yakin musuh akan bertumpu di kawasan ini bagi menyerang," jawab Jabir sambil memuji kebijaksanaan Rasulullah mengatur strategi perang.

     "Benar kata kamu wahai sahabatku. Saya yakin musuh tidak dapat masuk ke kawasan kota Madinah kerana kita menunggu mereka di sini. Kita mesti berjuang bersungguh-sungguh kerana menang ataupun syahid kita hanya di sini," kata Salman Al-Farisi sambil memberi kata-kata perangsang.

     "Benar kata tuan," sokong Jabir. Kemudian katanya lagi.

     "Semasa Perang Badar hanya kira-kira hanya tiga ratus orang yang pergi ke medan perang. Dalam Perang Uhud hanya tujuh ratus orang yang pergi berperang. Yang lain terus tinggal di Kota Madinah. Sekiranya pasukan Badar dan Uhud musnah, perjuangan mereka dapat diteruskan oleh mereka yang tinggal di Madinah. Tetapi sekarang kita tidak ada pilihan. Kerana itu kita tidak boleh kalah kerana tidak ada tempat yang boleh pergi. Semua penduduk Madinah berada di sini kerana itu kita perlu berperang berhabis-habisan."

     "Kamu tahu mengapa Nabi Muhammad hanya menyuruh orang Islam yang berperang? Mereka yang bukan Islam termasuk orang Yahudi Bani Quraizah tidak diajak bersama bagi berperang?" tanya Salman Al-Farisi lagi.
  
     "Nabi Muhammad mahu membuktikan orang Islam mampu mempertahankan Madinah serta melindungi mereka. Apabila kita menang kelak mereka tidak boleh mendabik dada kemenangan itu disebabkan pertolongan mereka," jawab Jabir dan Salman Al-Farisi membenarkannya.

     "Saya yakin kita mendapat kemenangan dengan izin yang maha berkuasa," kata Salman Al-Farisi.

     "Apakah yang menyebabkan tuan begitu yakin?" tanya Jabir kerana mahu mengetahui apa yang sedang bermain dalam fikiran lelaki Parsi itu.

     "Allah yang mengilhamkan saya supaya digali parit dan Rasulullah lantas menerimanya. Sebelum kerja ini dijalankan pelbagai kata-kata kurang enak diucapkan oleh mereka yang munafik. Abdullah bin Ubai sendiri sudah berusaha beberapa kali bagi menggagalkan usaha ini namun tidak berjaya. Kemudian Allah memperlihatkan kekuasaan-Nya melalui mukjizat Nabi Muhammad," jawab Salman Al-Farisi.

     "Alhamdulillah, saya juga berfikiran begitu. Batu yang besar dan keras dapat dihancurkan melalui mukjizat Nabi Muhammad. Buah kurma yang sedikit dapat mengalas perut kita. Ketika kita sedang lapar akibat kekurangan makanan, makanan yang sedikit dapat mengenyangkan tiga ribu orang yang sedang lapar," kata Jabir. Dia mengucapkan rasa syukur kerana mukjizat itu berlaku di rumahnya. Di hadapan mata ahli keluarganya.

     Semua itu menambahkan lagi keimanan orang Islam. Sekaligus menguatkan lagi semangat mereka berjuang menentang tentera bersekutu yang akan datang pada bila-bila masa.

     "Pasukan bersekutu sedang berkhemah di tiga tempat. Pasukan Quraisy di lembah Mujtamaus Suyul, pasukan kedua di Zanab dan pasukan ketiga di seberang Bukit Bir Ali. Mungkin esok mereka akan menyerang kita. Kerana itu Rasulullah menyuruh kita bersiap sedia," kata Abu Ubaidah yang datang menyampaikan pesan Rasulullah.

     "Apakah mereka sudah mengetahui adanya parit yang menghalang perjalanan mereka?" tanya Jabir pula.

     "Mereka masih belum mengetahuinya. Malam ini cuaca gelap. Sekiranya mereka melakukan serangan pasti semuanya berkubur di dalam khandaq," kata Abu Ubaidah.

     Pada masa yang sama pasukan bersekutu sedang berehat di luar kawasan Kota Madinah. Pasukan Quraisy berkhemah di kawasan yang paling dekat jaraknya cuma kira-kira dua kilometer. Abu Sufian sengaja memilih kawasan itu supaya pasukan Quraisy yang dahulu sampai ke Kota Madinah. Dengan kekuatan seramai 5800 orang itu dia yakin dengan mudah dapat mengalahkan Nabi Muhammad dan pengikutnya. Dengan itu pasukan Quraisy yang mendapat paling banyak tawanan perang dan harta rampasan perang.

     Pada malamnya Abu Sufian menyuruh semua anggota tenteranya membakar unggun api. Kemudian mereka sengaja membuat bising supaya didengar penduduk Kota Madinah. Mereka lakukan itu dengan tujuan Nabi Muhammad dan pengikutnya berasa gentar lalu menyerah kalah sebelum berperang atau segera meninggalkan Kota Madinah. Dengan itu mereka dapat masuk ke Kota Madinah tanpa pertumpahan darah.

     Pada malam itu penduduk Kota Madinah digemparkan dengan cahaya api yang terang benderang dari lembah Mujtamaus Suyul. Mereka juga dapat mendengar tempik sorak pasukan Quraisy.

     "Kita dikepung oleh parit. Di luar sana pasukan bersekutu sedang menunggu masa menyerang kita. Apa yang patut kita lakukan?" tanya Jasim yang berasa cemas.

     "Kita duduk di rumah masing-masing. Biarkan sahaja Muhammad dan pengikutnya berperang. Sekiranya Muhammad kalah, kita selamat kerana tidak ikut berperang. Jika Muhammad menang kita juga selamat," kata Ubaid kawan baiknya yang sama-sama belum memeluk Islam.

     Di Bukit Sala' pula pasukan tentera Islam bersedia sedia menghadapi serangan musuh. Mereka tidak gentar malah menaikkan lagi semangat mereka mahu berperang bermati-matian bagi menyelamatkan keluarga dan agama.

     Keesokan harinya sebelum matahari terbit, pasukan Quraisy sudah bergerak meninggalkan lembah Mujtamaus Suyul menuju ke Kota Madinah. Semakin lama perjalanan mereka semakin cepat kerana masing-masing tidak sabar lagi mahu menghancurkan kota itu.

     Pergerakan mereka didahului pasukan berkuda seramai 300 orang diikuti pasukan menaiki unta seramai 1500 orang. Di belakang mereka pasukan berjalan kaki seramai 4000 orang. Huyay dan Abu Thalhah juga menggerakkan pasukan tentera mereka menuju ke Madinah. Mereka akan menyerang dari tiga penjuru.

     Pasukan berkuda Quraisy yang berada di hadapan terkejut apabila mendapati sebuah parit yang besar dan dalam mengelilingi Kota Madinah. Kuda-kuda mereka ketakutan dan tidak berani melompat ke seberang parit itu. Apabila datang pula pasukan menaiki unta mereka juga terkejut melihat parit yang memanjang itu.

     "Kami boleh menyeberangi parit ini!" teriak Amru bin Abu Wud yang tidak sabar lagi mahu bertempur dengan pasukan Muslimin.

     "Tunggu dahulu sehingga pasukan kedua dan ketiga sampai," kata Abu Sufian pula.

     Apabila pasukan kedua dan ketiga sampai mereka juga terkejut sebaik melihat ada parit yang menghalang perjalanan mereka. Masing-masing gerun dan terpinga-pinga kerana belum pernah melihatnya.

     "Jumlah kita ramai. Saya yakin kita dapat menyeberanginya dengan kerjasama," kata Amru bin Wud.

     "Saya yakin di dalam parit ini ada ditanam besi dan kayu tajam. Apabila kita turun pasti senjata yang tersembunyi itu membunuh dan mencederakan kita," kata Huyay pula yang tiba-tiba berasa gerun melihat parit itu.

     "Lebih baik kita berkhemah di tepi parit ini. Kita akan fikirkan bagaimana cara menyeberanginya," kata Abu Sufian.

     Kerana Abu Sufian ketua tertinggi pasukan bersekutu maka cadangannya itu diterima. Mereka berkhemah di sepanjang parit itu.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.











No comments:

Post a Comment