Saturday 24 February 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 12 - PERANG TANDING ]






PERANG TANDING








Selepas dua belas hari mengepung Kota Khaibar, tentera Islam di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW berjaya menawan tiga buah benteng iaitu Nai'im, Sa'ab dan Al-Qullah. Mereka menjumpai senjata manjaniq dan dabbabad (kereta kebal) seperti yang dikatakan pengintip tentera Yahudi itu. Selain itu mereka juga menjumpai banyak makanan yang disimpan di situ.

     Kejatuhan benteng Nai'im, Sa'ab dan Al-Qullah itu memberi tekanan yang hebat kepada penduduk Khaibar. Ini disebabkan bekalan makanan mereka sudah berjaya dirampas tentera Islam. Paling mereka bimbang kerana senjata pemusnah mereka juga dapat ditawan tentera Islam.

     Kinanah yang kini menjadi ketua Yahudi Khaibar berjaya melarikan diri selepas benteng Nai'im, Sa'ab dan Al-Qullah ditawan tentera Islam. Dia berlindung di benteng Al-Ubaya yang terletak di tengah Kota Khaibar. Dia mengumpulkan semua tentera Khaibar bagi menguatkan semula pasukan tentera mereka bagi menentang Nabi Muhammad dan pengikutnya.

     "Di dalam Kota Khaibar ini ada lapan buah benteng. Muhammad dan pengikutnya dapat menawan tiga buah sahaja. Lima buah benteng lagi masih berada dalam tangan kita. Kerana itu mari kita pertahankannya," kata Kinanah sambil memberi semangat kepada pasukan tenteranya.

     "Selepas Muhammad dan pengikutnya berjaya merampas Nai'im, Sa'ab dan Al-Qullah, saya yakin mereka akan menyerang Al-Ubayu dan Al-Baryu pula," kata Dhazril seorang pahlawan Yahudi Khaibar yang perkasa.

     "Kita akan mempertahankan benteng Al-Ubayu dan Al-Baryu walau nyawa kita menjadi taruhannya," kata Kinanah dengan penuh bersemangat supaya tentera Khaibar terus berjuang.

     "Sepatutnya kita rampas benteng Nai'im, Sa'ab dan Al-Qullah, kerana di situ tempat bekalan makanan dan senjata kita. Sekiranya kita tidak merampasnya nescaya kita mati kebuluran. Mereka juga akan menggunakan senjata pemusnah itu bagi menghancurkan kita," kata Khazwal pula. Dia juga seorang panglima Yahudi Khaibar yang paling kuat dan berani. Kehebatannya sama seperti Dhazril. Kedua-dua pahlawan Yahudi Khaibar itu dikatakan memiliki kekuatan sepuluh orang lelaki.

     "Jangan bimbang kerana makanan masih ada tersimpan di benteng yang lain. Kita juga masih mendapat makanan dari kawasan lembah pertanian," pujuk Kinanah. Kemudian katanya lagi, "Berkenaan senjata manjaniq dan dabbabad, masih banyak tersimpan di benteng Al-Ubayu dan Al-Baryu. Kita akan menggunakannya bagi menghancurkan Muhammad dan pengikutnya. Mereka pasti dapat kita kalahkan. Percayalah cakap saya."

     "Betul kata kamu itu. Tetapi kita tidak boleh biarkan Muhammad dan pengikutnya terus berada di benteng itu. Kita perlu mengusir mereka dari Kota Khaibar ini. Ataupun musnahkan sahaja mereka semuanya," kata Basyair seorang pendeta Yahudi.

     "Sekiranya kita menyerang benteng Nai'im, Sa'ab dan Al-Qullah sekarang, saya bimbang Muhammad akan menyuruh pengikutnya memusnahkan makanan dan senjata yang kita simpan di situ sebelum mereka lari ataupun terbunuh. Kerana itu sebaiknya kita bertahan di sini dan biarkan Muhammad keluar dari benteng Nai'im supaya datang ke sini. Saya sememangnya yakin Muhammad akan menyerang benteng Al-Ubaya dan Al-Baryu tidak lama lagi. Selepas mereka keluar baru kita lakukan serangan dan menawan semula tiga benteng itu," kata Kinanah pula.

     Kerana Kinanah sudah dilantik menjadi ketua maka mereka terpaksa patuh dengan keputusannya. Cuma Khazwal yang tidak berpuas hati.

     "Sekiranya begitu lebih baik biarkan saya seorang sahaja yang pergi ke benteng Nai'im. Saya akan bunuh Muhammad dan semua pengikutnya," kata Khazwal yang masih tidak berpuas hati dengan keputusan Kinanah.

     "Saya harap kamu simpan dulu kemarahanmu itu. Akan tiba masanya nanti bagi kamu melepaskannya," marah Kinanah. Kemudian katanya lagi, "Tidak lama lagi Muhammad dan pengikutnya akan datang ke benteng Al-Ubayu. Ketika itu kamu keluar mencabar Muhammad ajak dia berlawan tanding satu lawan satu. Ketika itu kamu lepaskan kemarahanmu dan bunuh dia."

     "Baiklah," kata Khazwal mengalah.

     Pada masa yang sama Nabi Muhammad sedang berbincang dengan para sahabatnya. Selepas berjaya menawan benteng Nai'im, Sa'ab dan Al-Qullah, mereka mencapai kata sepakat bagi meneruskan perjuangan menawan benteng-benteng yang lain pula.

     Tetapi rancangan itu tertangguh beberapa hari kerana hujan turun dengan lebat. Namun mereka menganggap itu adalah hujan membawa rahmat kerana turun selepas mereka berjaya menakluk tiga buah benteng. Dengan itu mereka mendapat tempat perlindungan yang selesa serta banyak makanan pula. Selepas hujan berhenti barulah rancangan merampas benteng seterusnya dilakukan.

     Nabi Muhammad memimpin tentera Islam bagi menawan benteng Al-Ubayu dan Al-Baryu pula. Dua benteng itu terletak di tengah Kota Khaibar. Benteng Al-Ubayu berwarna putih, benteng Al-Baryu warna merah. Kedua-dua benteng itu lebih kecil daripada Nai'im, Sa'ab dan Al-Qullah. Tetapi bentengnya dibina dengan kukuh. Pintunya juga diperbuat daripada besi. Tentera Islam terus mengepung benteng Al-Baryu.

     "Muhammad dan pengikutnya sudah mengepung kita. Gunakan manjaniq bagi menghancurkan mereka," teriak Asykar ketua pasukan tentera Khaibar yang menjaga kubu Al-Ubayu.

     Perintah itu segera dituruti tenteranya. Mereka menyiapkan senjata manjaniq bagi menghancurkan tentera Islam.

     "Tunggu dahulu," teriak Kinanah pula. Mereka mematuhi perintah Kinanah kerana dia ketua Yahudi Khaibar.

     Kemudian Kinanah pun berteriak kepada Khazwal. "Sekarang masanya bagi kamu melepaskan kemarahan. Keluarlah dan bunuh Muhammad."

     Khazwal segera keluar dari benteng Al-Ubayu. Dia berdiri di hadapan benteng itu sambil berteriak, "Wahai pengikut Muhammad! Siapa yang berani menentang aku tampil ke hadapan kita bertarung sehingga mati. Sekiranya tidak ada yang berani maka aku mencabar nabi kamu Muhammad," teriak Khazwal dengan angkuhnya kerana dia berasa dia pahlawan Yahudi yang paling gagah.

     Al-Hubbab bin Al-Munzir yang ketika itu berada di barisan hadapan meminta izin daripada Rasulullah bagi menyahut cabaran itu. Selepas mendapat izin dia terus meluru ke depan bagi bertarung dengan pahlawan Yahudi yang angkuh itu.

     Semasa Perang Badar, ketika tentera Quraisy tampil ke hadapan mengajak perang tanding, Al-Hubbab orang pertama menyahut cabaran itu tetapi tidak diterima oleh orang Quraisy kerana mereka mahukan orang Muhajirin. Kemudian Al-Hubbab bertempur dengan gagah dan berani apabila peperangan bermula. Dia berjaya membunuh serta mencederakan beberapa orang tentera Quraisy.

     Semasa Perang Uhud, Al-Hubbab juga menunjukkan keberanian dan kehebatannya menentang tentera Quraisy. Dia turut menjadikan badannya perisai bagi melindungi Nabi Muhammad daripada terkena senjata musuh.

     Sekarang ketika Perang Khaibar, Al-Hubbab dengan berani menyahut cabaran pahlawan Yahudi yang terkenal itu.

     "Siapakah nama kamu yang berani menentang aku?" tanya Khazwal sambil bercekak pinggang. Dia memandang rendah kemampuan Al-Hubbab. Tambahan pula badannya lebih besar daripada lawannya itu.

     "Tidak perlu engkau tahu siapa nama aku kerana aku datang bagi membunuh kau musuh Allah dan Rasul-Nya," jawab Al-Hubbab lalu menghunus senjata bersedia bertempur.

     "Kamu orang Mekah ataupun Yathrib?" tanya Khazwal lagi.

     "Jangan membuang masa lagi mari kita bertempur, wahai pengecut," jawab Al-Hubbab yang sengaja menaikkan kemarahan lawannya.

     Seperti yang dijangka, Khazwal berasa sangat marah lalu menghunus senjata terus menyerang Al-Hubbab. Tetapi serangan pahlawan Yahudi itu dapat ditangkis Al-Hubbab. Kemudian giliran Al-Hubbab pula melakukan serangan. Kedua-duanya kelihatan sama-sama hebat dan pantas. Tetapi Al-Hubbab yang berjuang kerana Allah dan Rasul-Nya berjaya menetak tangan kanan Khazwal sehingga putus. Sambil meraung kesakitan Khazwal melarikan diri cuba masuk semula ke dalam benteng Al-Ubayu. Tetapi Al-Hubbab tidak memberi peluang, dikejarnya lalu dibunuh pahlawan Yahudi yang angkuh itu. Selepas membunuh lawannya, Al-Hubbab kembali semula ke dalam pasukan dengan diiringi ucapan takbir Allahu Akbar daripada kawan-kawannya.

     Kekalahan Khazwal dalam perang tanding itu menaikkan kemarahan Azul yang dikatakan lebih kuat dan gagah daripada Khazwal.

     "Aku akan menuntut bela di atas kematian sahabatku!" teriak Azul dengan suara yang kuat.

     "Segeralah keluar wahai pahlawanku," kata Kinanah pula yang merestui pemergian Azul.

     Azul segera mengenakan baju besi dan topi besi. Kemudian dia membawa sebilah pedang yang dinamakan Taurat mengambil nama kitab suci mereka. Menurut ceritanya pedang itu dikurniakan seorang pendeta Yahudi kepada Azul.

     "Aku akan menuntut bela kematian Khazwal. Keluarkan aku dari benteng ini!" teriak Azul kepada penjaga pintu benteng Al-Ubayu.

     Sebaik sahaja pintu dibuka, Azul melompat keluar dengan lagak sombong lalu mencabar tentera Islam.

     "Siapa yang berani menentang aku, sila datang!" teriak Azul sambil melibaskan pedangnya ke kiri dan ke kanan.

     Dari barisan pahlawan Islam tampil seorang lelaki bernama Abdullah bin Al-Hubaib. Dia segera mendapatkan pahlawan Yahudi yang angkuh itu. Kemudian berlaku pertarungan sengit antara kedua-duanya. Azul akhirnya dapat menewaskan Abdullah. Kemenangan Azul disambut dengan gembira orang Yahudi Khaibar. Tentera Islam pula seperti tidak percaya dengan kekalahan wakil mereka kerana sebelum itu tidak pernah tentera Islam tewas dalam perang tanding dengan musuh.

     Semasa Perang Badar tiga orang pahlawan Islam iaitu Ali bin Abi Talib, Ubaidah bin Al-Hsrith dan Hamzah bin Abdul Mutalib diperintahkan Nabi Muhammad mewakili tentera Islam berperang tanding dengan Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah dan Al-Walid bin Uthbah.

     Hamzah dengan mudah dapat mengalahkan lawannya Syaibah bin Rabiah. Ali bin Abi Talib berjaya mengalahkan Al-Walid bin Uthbah. Tetapi Ubaidah cedera dalam pertarungan dengan lawannya Utbah bin Rabiah.

     Semasa Perang Uhud pula Az-Zubir bin Al-Awwam, Ali bin Abi Talib, Saad bin Abi Waqas dan Asim bin Thabit yang mewakili tentera Islam dapat mengalahkan lawan masing-masing dalam perang tanding dengan tentera Quraisy.

     Begitu juga dalam Perang Khandaq, Amru bin Abdu Wod seorang pahlawan Quraisy yang paling perkasa dapat dikalahkan oleh Ali bin Abi Talib. Tetapi kali ini dalam Perang Khaibar buat pertama kali seorang tentera Islam tewas dalam perang tanding dengan lawannya.

     "Siapa lagi yang tidak takut mati? Mari berlawan dengan aku!" jerit Azul kepada tentera Islam. Dia semakin angkuh selepas berjaya mengalahkan lawannya.

     Cabaran pahlawan Yahudi segera disambut oleh Abu Dujanah atau nama sebenarnya Simak bin Kharsyah. Dengan penuh bersemangat Abu Durjanah mendapatkan pahlawan Yahudi itu dengan menghunus sebilah pedang yang diberikan Nabi Muhammad semasa Perang Uhud.

     Pahlawan Yahudi itu terus menyerang tetapi dengan mudah dapat ditangkis oleh Abu Dujanah. Kemudian giliran Abu Dujanah pula menyerang. Pedang pahlawan Islam itu bagaikan putaran kipas menyerang lawannya bertubi-tubi sehingga akhirnya tidak mampus ditangkis lagi oleh lawannya. Akhirnya Abu Dujanah berjaya menewaskan Azul.

     Kinanah berasa marah apabila melihat pahlawan-pahlawannya kalah dalam perang tanding dengan pahlawan Islam. Dia memerintahkan tenteranya menggunakan senjata manjaniq tetapi senjata itu sudah rosak dan tidak dapat digunakan lagi.
   
     "Saya yang merosakkan senjata itu. Ia tidak berguna lagi kepada mereka," kata Qamil yang sudah menyebelahi tentera Islam.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment