Thursday 1 March 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 19 - BERDAMAI DENGAN TAIMA' ]






BERDAMAI DENGAN TAIMA'








"Penduduk Khaibar, Fadak dan Wadi Qurra sudah menyerah kalah serta mengikat perjanjian damai dengan Nabi Muhammad. Bagaimana pula dengan kita? Apakah mahu berperang ataupun berdamai?" tanya Marzun, ketua Yahudi Taima' kepada kaumnya.

     "Saya berpendapat kita jangan menyerah kalah sebelum berperang dengan Muhammad dan pengikutnya. Kita contohi Yahudi Khaibar yang sanggup berperang demi mempertahankan hak mereka. Ataupun seperti Yahudi Wadi Qurra yang sanggup mengadakan perang tanding sebelum menyerah. Tetapi jangan seperti Yahudi Fadak yang pengecut kerana mereka menyerah kalah sebelum berperang," jawab Wazir ketua pasukan tentera Yahudi Taima'.

     "Saya bersetuju dengan pendapat Wazir. Kita perlu tunjukkan keberanian serta kepahlawanan kita. Sekiranya kita menyerah sebelum berperang, kita akan ditertawakan oleh anak cucu kita di kemudian hari. Mereka akan mengatakan kita penakut," kata Daimat pembantu Marzun.

     "Pendapat saya berbeza dengan Wazir dan Daimat. Lebih elok kita menyerah kalah sahaja. Sekiranya berperang pasti ada yang cedera dan terkorban," kata Ahban pula. Dia pendeta Yahudi Taima'. Kemudian katanya lagi, "Kota Yahudi Khaibar yang begitu kukuh dapat ditakluk Muhammad dan pengikutnya. Pahlawan-pahlawan Yahudi Wadi Qurra yang terkenal gagah berani serta mahir bermain senjata dapat dikalahkan pengikut Muhammad dalam perang tanding. Kerana itu sia-sia sahaja sekiranya kita menentang kerana Muhammad dan pengikutnya tidak dapat dikalahkan. Kerana itu saya berpendapat lebih baik kita menyerah sahaja."

     "Kita akan dituduh penakut oleh anak cucu kita nanti," bantah Wazir.

     "Itu lebih baik daripada kita mati, harta kita musnah dan anak isteri kita dijadikan tawanan perang," balas Ahban pula.

     "Saya mencadangkan tentera kita berperang dahulu, sekiranya kalah baru kita menyerah," kata Daimat pula.

     "Cubalah kamu bertanya kepada anggota tentera kita. Apakah mereka yang jumlahnya cuma lima ratus orang sanggup mengalahkan seribu enam ratus orang musuh? Saya yakin jawapan mereka tidak dapat mengalahkan musuh yang begitu ramai. Mereka tentu tidak mahu berperang sekiranya tidak yakin akan menang," kata Ahban pula.

     "Sekiranya begitu kita contohi Yahudi Wadi Qurra. Mereka adakan perang tanding dahulu dengan pengikut Muhammad. Sesudah kalah baru minta perdamaian dan mereka terus dibenarkan tinggal di Wadi Qurra," kata Wazir pula.

     "Saya setuju sekiranya kamu adalah pahlawan yang pertama keluar bagi mencabar pahlawan Islam berperang tanding. Saya yakin cabaran kamu akan disambut oleh Ali bin Abi Talib. Tahukah kamu betapa kuatnya lelaki yang bernama Ali itu? Kekuatannya sama dengan tujuh puluh orang lelaki. Dia tidak pernah kalah dalam semua perang tanding yang disertainya," kata Ahban pula.

     "Mengarut, saya tidak percaya. Apa buktinya?" tanya Wazir.

     "Dalam Perang Badar dan Perang Uhud, Ali bin Abi Talib dapat mengalahkan pahlawan-pahlawan Quraisy dalam perang tanding. Dalam Perang Khandaq pula, Ali bin Abi Talib dapat mengalahkan pahlawan Quraisy yang gagah perkasa bernama Abdu Wod. Dalam Perang Khaibar pula dia dapat mengopakkan pintu Khaibar yang beratnya hanya mampu diangkat oleh tujuh puluh orang lelaki. Ali bukan sahaja mengangkat pintu itu tetapo juga menjadikannya perisai bagi melindungi dirinya dari anak-anak panah yang dilepaskan pahlawan Khaibar," jawab Ahban.

     Wazir terdiam tidak berani lagi bersuara.

     Selepas mendengar pendapat daripada para pembantunya maka Marzun pun berkata, "Saya pula berpendapat kita dengar dahulu apa yang akan mereka lakukan kepada kita sekiranya menyerah? Sekiranya kita dijatuhi hukum bunuh seperti Bani Quraizah maka lebih baik kita mati berperang. Tetapi sekiranya mereka melayan kita dengan baik, memelihara nyawa kita dan keluarga kita dan tidak menghalau kita keluar dari Taima' maka baru kita bersetuju menyerah. Bukan bermakna kita penakut tetapi sebagai satu muslihat bagi menyelamatkan diri. Muhammad dan pengikutnya pergi dari sini, maka kita perkuatkan pasukan tentera kita bagi mengalahkan mereka."

     Mereka bersetuju dengan pendapat ketua mereka itu.

     Selepas berada di Wadi Qurra selama tiga hari dan selepas Nabi Muhammad mengikat perjanjian damai dengan Yahudi Wadi Qurra barulah tentera Islam menuju ke perkampungan Yahudi Taima'. Seperti biasa apabila sampai di pinggir sesebuah kampung yang hendak diserang, Nabi Muhammad tidak mahu terus melancarkan serangan tetapi menyuruh pasuakn tenteranya berehat dan bermalam dulu.

     Keesokan harinya iaitu selepas dipastikan tidak ada kedengaran azan subuh petanda penduduk kampung itu tidak ada yang menganut agama Islam baru dilancarkan serangan. Itu pun selepas mereka menolak seruan Islam ataupun perdamaian. Nabi Muhammad menghantar seorang sahabat menemui ketua Yahudi Taima' lalu menyeru memeluk Islam ataupun berdamai.

     "Sekiranya kami mahu berdamai apakah darah dan nyawa kami dijamin selamat?" tanya Marzun sebelum memberi kata putus.

     "Darah dan nyawa kamu tidak akan kami ganggu," jawab utusan Nabi Muhammad.

     "Bagaimana pula dengan anak dan isteri kami?" tanya Marzun lagi.

     "Mereka terus menjadi milik kamu," jawab utusan Nabi Muhammad.

     "Bagaimana pula dengan harta kami?" tanya Marzun lagi.

     "Harta kamu diserahkan kepada kami sebagai harta rampasan perang," jawab utusan Nabi Muhammad.

     "Bagaimana sekiranya kami enggan menyerahkan harta kami?" tanya Marzun pula.

     "Sekiranya kamu mahu berdamai, kamu perlu patuh dengan syarat kami. Sekiranya ditolak bererti kami akan mendapatnya melalui peperangan," jawab utusan Nabi Muhammad. Kemudian katanya lagi, "Sekiranya kamu memilih mahu berperang maka darah kamu halal bagi kami menumpahkannya. Anak dan isteri kamu menjadi tawanan kami. Semoga harta kamu menjadi milik kami," jawab utusan Nabi Muhammad.

     Marzun meminta tempoh bagi berbincang dulu dengan kaumnya. Mereka akhirnya memilih mahu berdamai serta bersetuju dengan syarat yang diberikan.

     "Kami memilih mahu berdamai dan bersetuju dengan syarat yang diberikan kecuali satu. Kami memohon tanah kami tidak dirampas. Harta yang lain kami serahkan kepada kamu," pinta Marzun.

     Nabi Muhammad bersetuju dengan permintaan itu. Maka diadakan perjanjian damai antara Nabi Muhammad dengan Yahudi Taima'. Mereka dibenarkan terus tinggal di situ dan boleh mengerjakan tanah masing-masing dengan syarat hasilnya diserahkan separuh kepada Nabi Muhammad bagi digunakan ke jalan perjuangan Islam.

     Tentera Islam bersyukur kerana kaum Yahudi yang berada di kawasan tanah Arab iaitu Khaibar, Fadak, Wadi Qurra dan Taima' tunduk di bawah pemerintahan Islam. Selepas berada di Taima' selama tiga hari maka Nabi Muhammad meneruskan perjalanan pulang ke Madinah. Mereka berjalan terus menerus hingga tengah malam selepas semuanya keletihan baru mereka berhenti rehat dan tidur.

     Nabi Muhammad berpesan kepada Bilal supaya mengejutkannya apabila masuk waktu sembahyang subuh. Tetapi Bilal tidak sedar hari sudah siang. Nabi Muhammad yang mula terjaga kemudian diikuti Abu Bakar dan Umar Al-Khattab. Baginda bertanya kepada Bilal mengapa tidak mengejutkannya dari tidur.

     "Allah telah mengambil diriku sebagaimana dia telah mengambil diri tuan padahal kedudukan tuan jauh lebih mulia daripada saya," jawab Bilal bin Rabah.

     Kemudian Nabi Muhammad dan sahabat mencari tempat berwuduk lalu mendirikan sembahyang. Selepas memberi salam Nabi Muhammad pun berkata, "Barangsiapa yang lupa dari sembahyang hendaklah dia mengerjakan apabila dia ingat," kata Nabi Muhammad lagi.

     "Kamu adalah mati (ketika tidur) kemudian dikembalikan roh-roh kamu oleh Allah maka barangsiapa yang tertidur daripada sembahyang maka hendaklah dia kerjakan apabila bangun dan barangsiapa yang terlupa hendaklah dia kerjakan apabila dia ingat."









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment