Tuesday 27 March 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 24 - OPERASI TERAKHIR ]






OPERASI TERAKHIR








"Wahai sekalian Bani Awwal dan Bani Ubbad, tentera Islam yang dihantar Muhammad untuk menyerang Fadak sudah dapat dikalahkan oleh Bani Murrah. Semua mereka dibunuh kecuali seorang yang sengaja dilepaskan pulang ke Madinah bagi menyampaikan berita sedih itu kepada Muhammad," teriak Budail ketua penduduk desa Maifa'ad di Nejd.

     Dia berasa sangat gembira apabila mendengar berita itu lalu menghebahkannya kepada orang ramai. Mereka berkumpul di keliling Budail bagi mengetahui berita itu dengan lebih lanjut.

     "Bagaimana pahlawan Bani Murrah dapat mengalahkan pengikut Muhammad? Bukankah tentera Islam itu begitu kuat sehingga Kota Khaibar pun dapat mereka tembusi?" tanya salah seorang daripada mereka.

     "Keadaan sekarang sudah berubah. Pengikut Muhammad sudah tidak kuat seperti dahulu lagi kerana mereka sudah letih berperang dan sudah menjadi kaya-raya mendapat harta rampasan perang yang banyak. Kerana itu Bani Murrah dapat mengalahkan mereka dengan mudah," jawab Budail yang begitu bersungguh-sungguh meyakinkan orang ramai.

     "Pengikut Muhammad dikalahkan Bani Murrah dengan mudah? Bagaimana mereka melakukannya?" tanya yang lain pula.

     "Pahlawan-pahlawan Bani Murrah memerangkap tentera Islam di suatu lembah kemudian mereka menyerang dengan panah dan lembing. Dengan mudah pengikut Muhammad dapat dikalahkan. Kita juga patut mencontohi mereka," jawab Budail dengan harapan mereka mempercayai kata-katanya.

     "Dalam kalangan pahlawan Bani Awwal dan Bani Ubbad juga ramai yang mahir memanah dan membaling tombak. Malah kami lebih hebat daripada pahlawan Bani Murrah. Kerana itu saya yakin kita juga mampu mengalahkan Muhammad dan pengikutnya," kata Samuel seorang pahlawan Bani Ubbad.

     "Memang benar ramai pahlawan Bani Awwal dan Bani Ubbad yang mahir memanah dan merejam lembing. Sekiranya kita bersatu dengan mudah Muhammad dan pengikutnya dapat dikalahkan," kata Budail dengan rasa gembira kerana pengikutnya kelihatan begitu yakin dapat mengalahkan Muhammad dan pengikutnya.

     "Kerana Muhammad dan pengikutnya sudah lemah dan baru saja dikalahkan Bani Murrah maka aku mencadangkan kita terus menyerang Madinah. Bukankah itu lebih menguntungkan kita?" kata Samuel mencadangkan.

     "Memang itu yang sedang aku fikirkan. Kerana itu mulai hari ini kita membuat persiapan bagi menyerang Kota Madinah," kata Budail dengan rasa gembira kerana yakin rancangan mereka berjaya.

     Penduduk Nejd terutama Bani Awwal dan Bani Ubbad sudah sekian lama memusuhi Nabi Muhammad. Mereka hanya menunggu peluang untuk membinasakannya. Kerana itu apabila menyangka Nabi Muhammad dan pengikutnya sudah lemah mereka mahu menyerang Madinah.

     "Saya mencadangkan kita ajak kabilah Ghatafan dan Hayyan membantu kita menyerang Madinah. Dengan bantuan mereka sudah tentu dengan mudah rancangan kita akan berjaya," kata Dumhum pula.

     "Baiklah, esok saya akan menemui ketua kabilah Ghatafan dan Hayyan bagi memujuk mereka supaya bersatu dengan kita," kata Budail dengan semangat yang berkobar.

     Seperti yang dijanjikan, keesokan harinya Budail pergi menemui ketua Kabilah Ghatafan dan Hayyan lalu memujuk mereka bersama menyerang Kota Madinah.

     "Kami tidak mahu bergabung dengan kamu kerana kami mampu melakukannya sendiri tanpa bantuan sesiapa," kata ketua kabilah Ghatafan.

     "Apakah kamu juga sedang membuat persiapan menyerang Madinah?" tanya Budail pula.

     "Memang benar Bani Ghatafan, Hayyan dan Bani Fazarah sedang membuat persiapan berperang dengan Muhammad dan pengikutnya," jawab ketua Ghatafan.

     "Sekiranya kita bersatu, dengan mudah Kota Madinah dapat ditawan. Kerana itu marilah kita bersatu menyerangnya," pujuk Budail tetapi ketua kabilah Ghatafan tetap tidak setuju.

     "Kami mampu melakukannya sendiri tanpa bantuan penduduk Nejd. Tambahan pula sekarang Muhammad dan pengikutnya dalam keadaan lemah. Penduduk Fadak pun dapat mengalahkan mereka," kata ketua Bani Ghatafan.

     Walau tidak mendapat bantuan kabilah Ghatafan, Hayyan dan Fazarah, Budail tetap meneruskan rancangannya menyerang Kota Madinah. Dia mahu mendahului kabilah Ghatafan.

     Rancangan Bani Awwal dan Bani Ubbad di Nejd menyerang Madinah itu sampai juga ke pengetahuan Nabi Muhammad SAW. Kerana itu Rasulullah segera membentuk pasukan tentera seramai seratus tiga puluh orang bagi menghadapi mereka. Baginda melantik seorang sahabat bernama Ghalib bin Abdullah Al-Laithi menjadi ketua pasukan tentera yang akan dihantar ke Nejd. Kerana Najd terletak agak jauh dari Madinah maka baginda melantik Yasar, seorang lelaki yang berasal dari Nejd sebagai penunjuk jalan.

     Seperti yang diarahkan Rasulullah SAW, pasukan itu bergerak pada waktu malam dan berehat pada waktu siang. Mereka sampai di desa Maifa'ad pada waktu malam. Ghalib tidak mahu melancarkan serangan mengejut tetapi tenteranya disuruh berehat dahulu. Keesokan paginya selepas sembahyang subuh baru serangan dilancarkan secara mengejut. Penduduk desa Maifa'ad menjadi kelam kabut. Maka terjadi pertempuran hebat dengan pahlawan-pahlawan Bani Awwal dan Bani Ubbad. Serangan mengejut yang dilancarkan itu membuat pahlawan Bani Awwal dan Bani Ubbad tidak dapat memerangkap tentera Islam malah mereka yang terperangkap. Akhirnya musuh dapat dikalahkan dan tentera Islam mencapai kemenangan. Ghalib dan pasukan tenteranya pulang ke Madinah dengan membawa kejayaan serta harta rampasan perang yang banyak.

     Kemudian Nabi Muhammad membentuk sebuah lagi pasukan berjumlah seratus tiga puluh orang juga bagi menghadapi kabilah Ghatafan dan Fazarah yang terletak berhampiran dengan Kota Khaibar. Ini kerana mereka juga sedang membuat persiapan menyerang Madinah. Baginda melantik Basyir bin Sa'ad bagi memimpin pasukan tentera Islam menyerang mereka.

     Pada masa yang sama di desa Yuman dan Jabar, orang Ghatafan datang berkumpul bagi mengadakan latihan berperang sebagai persiapan menyerang Madinah. Mereka juga menghasut penduduk Kota Khaibar memberontak.

     Kerana pentingnya tugas dan tanggungjawab itu maka Basyir tidak mahu lagi mengecewakan Nabi Muhammad dan umat Islam di Madinah. Dia berazam mahu mendapat kejayaan dan tidak mahu lagi menerima kekalahan seperti di Fadak.

     Apabila sudah berada di pinggir kota Madinah maka Basyir berkata kepada pasukan tenteranya.

     "Siapa antara kamu yang kurang senang dengan kepimpinan saya maka dibenarkan pulang ke Madinah," kata Basyir kerana dia tidak mahu ada antara mereka tidak mahu mematuhi arahannya.

     Ternyata tidak ada seorang pun yang mahu pulang ke Madinah dan mereka berjanji akan patuh dan taat kepada Basyir sebagai ketua pasukan tentera itu. Selepas ada pengakuan itu mudah bagi Basyir bertindak. Dia mengikut cara yang dilakukan Umar dan Abu Bakar. Berjalan pada waktu malam dan berehat pada waktu siang. Semua anggota pasukannya patuh tidak ada yang membantah.

     Penduduk desa Yuman dan Jabar terkejut dan bertempiaran melarikan diri apabila melihat tentera Islam sudah berada di perkampungan mereka. Tentera Bani Ghatafan juga terkejut dan tidak menyangka tentera Islam sudah berada di keliling mereka. Maka terjadi pertempuran tetapi akhirnya mereka dikalahkan tentera Islam. Selain peralatan perang, banyak juga harta yang ditinggalkan tentera Ghatafan semuanya menjadi milik tentera Islam.

     Selepas berada selama tiga hari di desa itu maka Basyir dan pasukan tenteranya beredar dari situ bagi pulang ke Madinah. Di pertengahan jalan mereka bertemu dengan pasukan tentera Bani Fazarah yang dipimpin Uyainah. Mereka dalam perjalanan bagi membantu tentera Ghatafan. Maka terjadi pertempuran dengan tentera Islam. Akhirnya Uyainah dan pasukan tenteranya melarikan diri. Dua orang tentera Bani Fazarah dapat ditangkap lalu dibawa ke Madinah. Apabila sampai lalu diserahkan kepada Nabi Muhammad. Dua orang tawanan perang itu memeluk agama Islam lalu kedua-duanya dibebaskan.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment