Friday 2 March 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 21 - OPERASI KE TARABAH ]






OPERASI KE TARABAH








10 Syaaban 7 Hijrah

Safwan berasa sangat kecewa apabila mendapat tahu Kota Khaibar, Fadak, Wadi Qurra dan Taima' sudah tunduk di bawah pemerintahan Islam. Dia meluahkan rasa marahnya kepada Abu Sufian bin Harb.

     "Ini semua salah kamu kerana membuat perjanjian damai dengan Muhammad. Dia gunakan kesempatan itu bagi meluaskan pengaruh dan kawasan pemerintahannya. Sekarang Kota Khaibar, Fadak, Wadi Qurra dan Taima' sudah ditakluknya," kata Safwan sambil melahirkan rasa kesalnya.

     "Bukankah perjanjian Hudaibiyah itu dibuat atas persetujuan bersama? Mengapa saya pula dipersalahkan?" marah Abu Sufian pula.

     "Ternyata perjanjian itu menguntungkan Muhammad tetapi merugikan kita. Kerana itu lebih baik kita batalkan sahaja. Kita musnahkan surat perjanjian itu," kata Safwan lagi.

     "Membatalkan perjanjian itu bererti kita akan berperang sekali lagi dengan Muhammad. Adakah kita sanggup berperang lagi kemudian pulang dengan menanggung malu?" tanya Abu Sufian pula.

     "Mengapa pula kita perlu menanggung malu? Mari kita tunjukkan kehebatan kita kepada penduduk Mekah dengan mengalahkan Muhammad dan pengikutnya. Apabila kita pulang membawa kemenangan akan disambut sebagai pahlawan yang gagah perkasa," kata Safwan pula yang kelihatan begitu yakin.

     "Sudah tiga kali kita berperang dengan Muhammad. Iaitu di Badar, di Uhud dan di Khandaq tetapi kita tidak dapat mengalahkan mereka dan pulang dengan membawa kekalahan yang memalukan. Kerana itu saya tidak mahu lagi berperang dengan Muhammad. Lebih baik kita kekalkan perdamaian ini," kata Abu Sufian pula.

     "Seperti yang saya katakan tadi, Muhammad gunakan kesempatan itu bagi mencari pengaruh dan meluaskan wilayah pemerintahannya. Sekarang semua kaum Yahudi di sekitar utara Madinah sudah ditaklukinya." Safwan terus mengemukakan hujahnya.

     "Kita tidak rugi apa-apa kerana selama ini pun Yahudi Khaibar, Fadak, Wadi Qurra dan Taima' tidak memberi apa-apa keuntungan kepada kita," balas Abu Sufian pula yang juga tidak mahu mengalah.

     "Muhammad akan bertambah kuat dan kaya kerana mereka mendapat banyak harta rampasan daripada orang Yahudi itu. Kemudian pada setiap tahun, separuh daripada hasil kurma kaum Yahudi itu akan diserahkan kepada Muhammad. Sedangkan kita bertambah lemah. Apabila Muhammad dan pengikutnya sudah kuat tidak mustahil suatu hari nanti mereka akan datang menyerang Mekah pula," kata Safwan lagi yang terus meluahkan keraguan hatinya.

     "Benar juga kata kamu itu. Apa yang patut kita lakukan?" Akhirnya Abu Sufian mengalah.

     "Saya pun tidak tahu apa yang perlu kita lakukan kerana Muhammad dan pengikutnya semakin kuat. Saya bimbang selepas menakluk Kota Khaibar Muhammad menakluk Kota Taif pula. Kemudian mereka menakluk Kota Mekah. Ketika itu itdak ada gunanya lagi kita menyesal," kata Safwan.

     "Sekiranya begitu kita beri peringatan kepada penduduk Kota Taif supaya mereka bersiap sedia apabila diserang Muhammad. Sekiranya perlu, kita berikan bantuan." Abu Sufian mencadangkan.

     "Itu yang mahu saya perkatakan. Sekarang kita sudah mencapai kata sepakat," kata Safwan sambil tersenyum puas hati.

     Keesokan harinya Safwan dan beberapa orang pembantunya pergi ke Taif menemui Abu Kinanah, Mas'ud dan Abdul Habib. Dia menghasut mereka supaya memusuhi Nabi Muhammad.

     "Apa yang kami takuti selama ini sudah menjadi kenyataan. Anak singa yang dahulunya kami pelihara dengan penuh kasih sayang kini apabila sudah besar mahu menggigit kami dan akan menggigit kamu juga," kata Safwan dalam satu pertemuannya dengan pemimpin Taif.

     "Adakah Nabi Muhammad yang kamu maksudkan?" tanya Abu Kinanah pula.

     "Siapa lagi musuh kita sekiranya bukan dia. Sekarang Muhammad dan pengikutnya sudah menakluk Kota Khaibar, Fadak, Wadi Qurra dan Taima'. Selepas itu mereka akan menakluk Kota Taif pula. Kerana itu bersiap sedialah menghadapi mereka," kata Safwan dalam usahanya menghasut tiga orang pemimpin Taif itu.

     "Perkara itu tidak akan berlaku kerana kami tidak pernah bermusuhan dengan Muhammad. Mereka tidak akan menyerang Kota Taif," kata Abu Kinanah dengan yakin.

     "Bukankah Muhammad pernah datang ke Taif sebelum berhijrah ke Yathrib? Kamu menghalaunya keluar dari sini dengan menyuruh kanak-kanak melemparnya dengan batu hingga terluka kakinya? Apakah kamu menyangka Muhammad akan melupakan peristiwa itu? Muhammad tidak pernah lupa apa yang kamu lakukan kepadanya. Dia dan pengikutnya akan datang ke Taif bagi membalas dendam pada apa yang pernah kamu lakukan terhadapnya." Kata-kata Safwan itu berjaya mempengaruhi Kinanah dan kawan-kawannya.

     "Sekiranya begitu kami akan mengikat perjanjian damai dengan Muhammad seperti yang kamu lakukan. Dengan adanya perjanjian damai itu Muhammad tidak akan menyerang kami," kata Abdul Habib pula mencadangkan.

     "Berdamai dengan Muhammad hanya merugikan kaum Quraisy tetapi menguntungkan mereka. Kerana itu saya memberi peringatan kepada kamu jangan mengadakan perjanjian damai dengan Muhammad. Kami kaum Quraisy akan memutuskan perjanjian kami itu," kata Safwan pula.

     "Sekiranya begitu bersatulah dengan kami penduduk Kota Taif. Apabila kami diserang kamu datang membantu. Apabila Kota Mekah diserang kami yang datang membantu kamu," kata Mas'ud pula.

     Safwan bersetuju dengan cadangan itu. Dia berjanji akan memujuk Abu Sufian supaya datang ke Kota Taif bagi menandatangani surat perjanjian itu.

     Selepas berjaya mempengaruhi pemimpin Kota Taif, Safwan menemui Ubai, pemimpin kaum Hawazin yang mendiami desa Tarabah. Dia juga berjaya mempengaruhi ketua puak Hawazin itu supaya memusuhi Nabi Muhammad. Malah Ubai berjanji akan mengajak penduduk desa Syaibah supaya bergabung dengan mereka bagi menentang Nabi Muhammad.

     "Penduduk Taif dan kaum Quraisy Mekah sudah mengikat perjanjian bagi saling membantu apabila diserang Nabi Muhammad dan pengikutnya. Kerana itu marilah bergabung dengan kami," pujuk Ubai dalam kunjungannya ke desa Tarabah.

     "Kami sudah mengikat perjanjian damai dengan Nabi Muhammad. Kami berada di bawah pemerintahannya. Kerana itu kami tidak akan mengkhianati mereka," kata Abdul Jabar menolak pujukan Ubai.

     "Tidakkah kamu tahu yang kaum Quraisy Mekah sudah menyesal kerana membuat perjanjian damai dengan Nabi Muhammad? Kamu juga pasti akan menyesal," desak Ubai dalam usahanya memujuk Abdul Jabar.

     "Kami tidak akan menyesal dan tidak pernah menyesal selepas mengadakan perjanjian dengan Nabi Muhammad," tegas Abdul Jabar menolak hasutan Ubai itu.

     "Sekiranya begitu kamu adalah musuh kami, bukan sahabat kami," marah Ubai lalu segera meninggalkan desa Syaibah.

     Ubai berasa sakit hati terhadap penduduk desa Syaibah kerana menolak tawarannya bergabung menentang Nabi Muhammad. Namun dia tidak berputus asa lalu merancang bagi melakukan huru-hara di desa Syaibah. Pada suatu malam Ubai bersama beberapa orang pembantunya menyerang desa Syaibah. Mereka memusnahkan tanaman, mencuri ternakan dan membakar beberapa buah rumah. Kejadian itu menimbulkan panik dan rasa takut penduduk desa Syaibah. Abdul Jabar mengadukan perkara itu kepada Rasulullah SAW.

     "Kami yakin angkara itu dilakukan oleh kaum Hawazin yang mendiami desa Tarabah. Lindungilah kami daripada kejahatan mereka," kata Abdul Jabar memohon bantuan Rasulullah.

     Bagi mengamankan kawasan itu Nabi Muhammad melantik Umar Al-Khattab memimpin pasukan tentera seramai tiga puluh orang menuju ke Tarabah. Tugas mereka mencegah orang Hawazin melakukan huru hara di desa itu.

     Sesudah mendengar taklimat Rasulullah SAW maka berangkatlah Umar Al-Khattab bersama tiga puluh orang tenteranya menuju ke wilayah Dhariyah yang bersempadan dengan Kota Taif. Mereka berjalan pada waktu malam dan berehat pada waktu siang supaya perjalanan mereka tidak dilihat musuh.

     Dalam wilayah Dhariah terdapat beberapa buah desa antaranya Syaibah, Tarabah dan beberapa buah desa lagi. Tempat yang mula-mula dituju pasukan Islam itu ke desa Syaibah.

     Apabila sampai di perkampungan itu, Umar Al-Khattab sengaja merahsiakan kehadiran mereka lalu bermalam di pinggir desa itu. Mereka senang hati apabila pada waktu subuh kedengaran suara azan menandakan penduduk perkampungan Syaibah mengamalkan ajaran Islam dengan mengerjakan sembahyang.

     Umar Al-Khattab dan pasukan tenteranya terus berada di desa Syaibah selama beberapa hari tanpa diketahui penduduk desa itu. Pada waktu malam mereka membuat rondaan dan bersembunyi pada waktu siang. Pada malam yang ketiga sedang mereka membuat rondaan terserempak dengan Ubai dan orangnya yang datang ke desa Syaibah bagi melakukan huru-hara. Maka segera dicegah oleh pasukan Islam. Beberapa orang pengikut Ubai berjaya diberkas. Ubai berjaya melepaskan diri lalu pulang ke perkampungan Tarabah.

     Keesokan harinya Umar Al-Khattab memimpin pasukan tenteranya mahu menyerang perkampungan Tarabah. Apabila sampai, mereka dapati kaum Hawazin sudah meninggalkan perkampungan itu. Kerana tergesa-gesa melarikan diri mereka terpaksa meninggalkan harta benda termasuk binatang ternakan dan buah kurma. Semua itu dijadikan harta rampasan perang tentera Islam.

     "Kami mengucapkan terima kasih kerana tuan menyelamatkan kami daripada kejahatan kaum Hawazin. Mereka tentu tidak berani lagi membuat huru hara di desa kami," kata Abdul Jabar sambil melahirkan rasa gembiranya.

     "Kami akan melatih kamu berperang supaya dapat mempertahankan desa ini apabila diserang musuh," kata Umar Al-Khattab pula.

     Selepas melatih penduduk desa Syaibah cara-cara mempertahankan diri daripada serangan musuh maka Umar Al-Khattab dan pasukan tenteranya pulang ke Madinah dengan membawa harta rampasan perang yang banyak. Penduduk Madinah menyambut kepulangan mereka dengan gembira.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment