Thursday 29 March 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 26 - GAGALNYA PAKATAN ]






GAGALNYA PAKATAN








Abdullah bin Ubai bersama pengikutnya sengaja tidak mahu menyertai Nabi Muhammad pergi ke Mekah mengerjakan ibadah umrah qadak kerana ada perancangan lain. Dalam diam-diam dia merancang mahu mengambil alih Madinah daripada Abu Dzar Al-Ghafari.

     "Saya yakin penduduk Mekah tidak akan membenarkan Muhammad dan pengikutnya mengerjakan umrah. Mereka akan dihalang dari memasuki Kota Mekah," kata Abdullah bin Ubai kepada pengikutnya.

     "Saya juga yakin begitu. Kerana itu saya tidak mahu menyertai mereka kerana hanya mengundang bala," kata-kata Salaim salah seorang pengikut setia Abdullah bin Ubai.

     "Akhirnya nanti akan berlaku pertempuran besar-besaran antara kedua-dua belah pihak. Saya yakin penduduk Mekah akan beroleh kemenangan kerana mereka bertempuh di tempat sendiri. Tambahan pula Nabi Muhammad dan pengikutnya hanya dilindungi seratus tentera berkuda," kata Abdullah bin Ubai dengan rasa gembira.

     "Apa pula perancangan kita?" tanya Jayasyi pula.

     "Inilah masa yang paling baik bagi kita mengambil alih Kota Madinah. Saya ada perancangan sendiri. Saya mahu kamu tetap setia menyokong saya," jawab Abdullah bin Ubai.

     Sebelum Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah, penduduk Madinah sudah berpakat mahu melantik Abdullah bin Ubai menjadi raja. Kaum Aus dan Khazraj sudah memberi persetujuan. Tetapi rancangan itu dibatalkan selepas Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah. Mereka lebih tertarik dengan peribadi Rasulullah lalu dilantik menjadi pemimpin. Abdullah bin Ubai berasa sangat kecewa lalu menyimpan dendam terhadap Rasulullah. Dalam masa yang sama dia pura-pura memeluk Islam serta bersikap baik terhadap Nabi Muhammad bagi menyembunyikan apa yang tersirat dalam hatinya.

     Semasa Nabi Muhammad berada di luar Madinah sudah beberapa kali dia merancang bagi mengambil alih kuasa di Madinah tetapi tidak berjaya. Kali ini dia yakin berjaya kerana ramai yang menyertai Nabi Muhammad pergi ke Mekah. Mereka yang tinggal cuma kira-kira lima ratus orang termasuk wanita dan kanak-kanak.

     Bagi menjayakan cita-citanya Abdullah bin Ubai menghantar surat kepada Ibnu Abu Aja, atau gelarannya Al-Akhram ketua Kabilah Bani Sulaim, memaklumkan Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya seramai dua ribu orang sedang menuju ke Mekah bagi mengerjakan umrah.

     "Inilah masa yang paling baik bagi kamu menyerang Kota Madinah dan saya akan membantu dari dalam," demikian antara kandungan surat itu.
   
     Selepas membaca surat itu Al-Akhram terus memujuk Bani Mulawwah, Bani Murrah di Fadak dan Bani Amir bergabung bagi menyerang Madinah dari tiga penjuru. Mereka dijanjikan selepas Kota Madinah berjaya ditakluk maka tanah dan hasil tanamannya dibahagi dua.

     Mereka bersetuju dengan cadangan Al-Akhram. Kemudian mereka memujuk pula Bani Wadi Qurra supaya menyertai mereka tetapi tidak berjaya. Mereka menghantar wakil memaklumkan perkara itu kepada Abu Dzar yang memerintah Madinah menggantikan Rasulullah. Pada masa yang sama Abdullah bin Ubai memainkan peranannya dari dalam.

     "Wahai Abu Dzar Al-Ghifari, saya mendengar khabar yang Nabi Muhammad dan rombongannya diserang oleh tentera Quraisy dan kedua-dua pasukan sekarang sedang bertempur," kata Abdullah bin Ubai dengan wajah yang pura-pura cemas.

     "Daripada mana kamu dapat berita itu?" tanya Abu Dzar pula.

     "Daripada mereka yang baru pulang dari Mekah," jawab Abdullah bin Ubai.

     "Suruh mereka berjumpa dengan saya. Saya mahu mendengar daripada mulut mereka sendiri," kata Abu Dzar.

     "Itu tidak penting. Apa yang penting sekarang adalah kamu siapkan segera pasukan tentera bantuan bagi dihantar ke Mekah bagi menyelamatkan Nabi Muhammad. Sekiranya terlambat alamat buruk padahnya. Usah risaukan keadaan di Madinah kerana saya dan pengikut saya akan menjaganya," kata Abdullah bin Ubai.

     Abu Dzar tidak mudah percaya dengan apa yang dikatakan oleh ketua munafik itu. Tambahan pula dia teringat pesan Rasulullah supaya menjaga keselamatan Kota Madinah dan jangan keluar ke mana-mana.

     "Saya sudah diamanahkan oleh Rasulullah berada di Madinah sehingga mereka pulang. Kerana itu saya tidak akan keluar dari sini," kata Abu Dzar.

     "Bagaimana pula sekiranya berita yang saya dengar itu memang benar? Dan Nabi Muhammad memerlukan bantuan kita?" tanya Abdullah bin Ubai pula.

     "Saya yakin Allah akan melindungi Nabi Muhammad daripada kejahatan musuh-musuhnya. Dia tidak memerlukan bantuan saya kerana Allah sebaik-baik memberi pertolongan," jawab Abu Dzar itu mengecewakan Abdullah bin Ubai.

     Dia sengaja menimbulkan cerita itu dengan harapan Abu Dzar percaya lalu menghantar pasukan tentera ke Mekah bagi membantu Nabi Muhammad. Dengan itu tidak ada lagi tentera Islam berada di Madinah. Itu akan memudahkan lagi rancangannya bagi menawan kota itu.

     Tidak lama kemudian wakil dari Wadi Qurra sampai ke Madinah lalu menemui Abu Dzar bagi menyampaikan maklumat yang Bani Sulaim, Bani Murrah Fadak dan Bani Amir sudah bersatu bagi menyerang Kota Madinah.

     Abu Dzar segera mengumpulkan penduduk Madinah lalu berkata, "Saya mendapat berita ada musuh yang sedang mara mahu menyerang Kota Madinah. Saya mahu semua penduduk kota ini bersatu menghadapi musuh itu. Sesiapa yang cuba membuat khianat akan menerima nasib seperti Bani Khuraizah."

     Amaran keras Abu Dzar itu berjaya menakutkan penduduk Madinah yang bukan Islam termasuk Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya. Kemudian Abu Dzar berpesan kepada tiga ratus orang pasukan tentera Madinah supaya bersiap sedia menghadapi serangan musuh. Mereka menggali semula parit yang terkambus dan membuang semua jambatan yang digunakan bagi menyeberang parit itu.

     Keesokan harinya pasukan tentera musuh sampai ke Madinah tetapi mereka tidak dapat menyeberang parit kerana dikawal ketat oleh tentera Madinah. Malah mereka diserang dengan panah menyebabkan beberapa orang daripada mereka terbunuh dan cedera. Al-Akhram berasa sangat kecewa kerana Abdullah bin Ubai yang berjanji hendak membantu dari dalam tidak dapat melakukannya. Akhirnya Al-Akhram memerintahkan pasukan tenteranya meninggalkan Kota Madinah.

     "Saya yakin Abdullah bin Ubai sudah berpakat dengan musuh bagi menyerang Madinah. Dia yang memberitahu musuh, Nabi Muhammad sekarang tidak ada di Madinah. Dia benar-benar seorang munafik yang menjadi musuh dalam selimut," marah Kasim bin Abdullah.

     Kemudian kata Kasim lagi, "Perbuatan Abdullah bin Ubai itu lebih dahsyat daripada perbuatan Asma' binti Marwan dan Abu Afaq. Kedua-duanya sudah dibunuh kerana mengkhianati Rasulullah. Saya menawarkan diri bagi membunuh Abdullah bin Ubai."

     "Tunggulah sehingga Rasulullah pulang dari mengerjakan umrah," kata Abu Dzar lalu meminta Kasim supaya menangguhkan dulu niatnya itu.

     Namun Kasim masih tidak dapat menahan rasa sakit hatinya terhadap Abdullah bin Ubai. Dia teringat peristiwa pembunuhan Asma' dan Abu Afaq.

     Asma' binti Marwan seorang penyair wanita Yahudi keturunan suku Umaiyyah bin Zaid yang tinggal di perkampungan Bani Khathamah terletak di luar kota Madinah. Suami Asma' binti Marwan bernama Yazid bin Yazid Al-Khathami seorang sahabat Rasulullah SAW yang juga seorang pahlawan Islam. Dalam diam-diam tanpa pengetahuan suaminya Asma' sering membacakan syairnnya yang menghina Rasulullah serta agama Islam. Beliau juga sering mengotorkan masjid dengan melontarkan kain perca yang berlumuran darah haidnya. Akibat kebiadaban itu membuatkan ramai kaum wanita di perkampungan Bani Khathamah membatalkan niat mereka memeluk Islam.

     Ketika suaminya bersama Rasulullah bertempur di Perang Badar, Asma' mencipta syair memburukkan Nabi Muhammad dan agama Islam yang dibawanya. Asma' juga menyesali kerana suaminya ikut berperang bersama Rasulullah di Badar.

     Pada suatu hari sedang Asma' membaca syair di hadapan beberapa orang wanita dan didengar oleh Umair bin Adi seorang lelaki tua yang buta kedua-dua belah matanya tetapi imannya kuat. Dia berasa tidak senang hati mendengar syair yang dibacakan Asma' itu kerana menghina Rasulullah. Antara ucapan Asma' dalam syairnya.

     Muhammad itu seorang yang bodoh
     Tidak tahu membaca dan menulis
     Betapa bodohnya orang menjadi pengikutnya
     Muhammad itu bukan raja
     Dia anak yatim dan miskin
     Bagaimana orang ramai
     Melantiknya sebagai ketua perang

Umair bin Adi berasa sangat marah apabila mendengar syair yang dibacakan Asma' itu. Maka apabila Rasulullah pulang dari Perang Badar dengan membawa kemenangan maka Umair mengadukan perkara itu kepada Rasulullah. Walaupun baginda hanya berdiam diri tidak memperlihatkan apa-apa reaksi namun Umair bertekad mahu membunuh Asma' sebagai hukuman di atas kesalahan yang dilakukannya. Dia pulang ke perkampungan Bani Khathamah lalu mencari peluang membunuh penyair wanita Yahudi itu.

     Pada suatu hari Umair datang ke rumah Asma' pura-pura mahu mendengar dia membaca syair lalu memuji-mujinya sehingga Asma' berasa senang hati. Kemudian Umair minta kebenaran mahu bermalam. Asma' membenarkannya dengan tidak menaruh syak wasangka tambahan pula Umair itu seorang lelaki tua yang buta.

     Malam itu sekali lagi Umair meminta Asma' membacakan syairnya hingga dia pura-pura tertidur. Tidak lama kemudian Asma' juga tertidur. Umair bangun lalu menikam dada Asma' dengan pisau. Penyair wanita Yahudi itu mati serta-merta.

     Abu Afaq pula seorang penyair lelaki yang juga sering mencerca Rasulullah SAW dalam syairnya. Kerana pandainya Abu Afaq mencipta syair yang menghina Nabi Muhammad memberi kesan yang besar terhadap dakwah Rasulullah di Madinah.

     Pada suatu hari Nabi Muhammad berkata, "Siapa yang sanggup membela saya daripada orang yang jahat itu?"

     Salim bin Umair segera bangun lalu berkata, "Saya berjanji akan membunuh Abu Afaq ataupun saya mati kerananya."

     Abu Afaq jarang keluar rumah melainkan dalam satu kumpulan bersama kawan-kawannya. Salim bin Umair mendatangi rumah Abu Afaq pada waktu malam pada musim panas. Kebetulan pula malam itu Abu Afaq tidur di luar rumahnya bagi mendapatkan udara yang sejuk. Salim terus menikam dadanya dengan tombak menyebabkan Abu Afaq meninggal dunia.

     Kasim bin Abdullah mahu mencontohi Umair dan Salim dengan membunuh Abdullah bin Ubai. Namun Abdullah bin Ubai seorang lelaki yang licik dan bijak. Bagi menjaga keselamatannya dia mengupah beberapa orang lelaki bagi mengawal rumahnya siang dan malam. Apabila keluar rumah diiringi beberapa orang pengikutnya yang setia.

     Pada suatu malam, Kasim pergi ke rumah Abdullah bin Ubai dengan maksud hendak membunuhnya. Tetapi rancangan itu gagal malah Kasim ditangkap dan dibunuh oleh pengawal Abdullah bin Ubai.

     Ketika Nabi Muhammad dan para sahabat pulang ke Madinah Abdullah bin Ubai turut menyambut kepulangan mereka dengan menunjukkan wajah yang gembira. Malah dia memuji Abu Dzar yang pandai menjaga Kota Madinah sehingga tidak dapat ditawan musuh.

     "Wahai Rasulullah, Abdullah bin Ubai seorang yang munafik. Izinkan saya membunuhnya," kata Adi bin Salam.

     Tetapi Rasulullah tidak membenarkan kerana tidak mahu keadaan bertambah kecoh. Tambahan pula Abdullah bin Ubai mempunyai pengikut yang setia.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment