Sunday 4 March 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 22 - OPERASI KE DHARIYAH ]






OPERASI KE DHARIYAH








"Muhammad menghantar tentera menyerang kaum Hawazin di desa Tarabah yang berada di dalam kawasan Dhariyah. Tindakan itu tidak patut dibiarkan dan kita perlu bertindak segera demi menjaga kehormatan kaum Kilab yang menjadi pelindung penduduk negeri ini," kata Abu Kilab, ketua kaum Kilab di Dhariyah.

     Kemudian katanya lagi, "Mereka membunuh kaum Hawazin, merampas harta benda, membakar rumah serta memperkosa kaum wanita. Perbuatan itu tidak patut dibiarkan kerana suatu hari kelak mereka akan menyerang kita pula. Kerana itu kita mesti bertindak segera."

     Kata-kata Abu Kilab itu berjaya menaikkan kemarahan orang ramai lalu mereka menyokong bagi bertindak balas.

     "Kita perlu menghantar pasukan tentera bagi melindungi kaum Hawazin di desa Tarabah. Kemudian menghantar pasukan tentera bagi menyerang Kota Madinah," kata Sulami, pembantu Abu Kilab mencadangkan. Cadangan itu disokong orang ramai.

     "Sebelum kita menyerang Kota Madinah, kita perlu menghukum penduduk desa Syaibah kerana mereka bersubahat dengan tentera Islam bagi menyerang desa Tarabah," kata Abu Kilab. Dia memang sudah lama menyimpan dendam terhadap penduduk Syaibah kerana mengikat perjanjian damai dengan Nabi Muhammad.

     Cadangan Abu Kilab itu mendapat sokongan kaum Kilab. Maka dibentuk dua pasukan tentera. Satu menuju ke desa Tarabah dengan misi memberi bantuan dan pelindungan. Satu pasukan lagi diperintahkan menyerang desa Syaibah.

     "Kedatangan kami bagi melindungi kamu daripada serangan tentera Islam. Mulai sekarang kamu tidak perlu bimbang lagi," kata Juffar ketua pasukan tentera Kilab yang dihantar ke desa Tarabah. Kehadiran tentera itu menaikkan semula semangat kaum Hawazin. Mereka pulang semula ke rumah masing-masing.

     Abu Kilab pula memimpin pasukan tentera kedua lalu menyerang desa Syaibah. Tetapi serangan itu mendapat tentangan yang hebat daripada penduduk Syaibah kerana mereka sudah mendapat latihan perang daripada tentera Islam. Serangan tentera Kilab itu tidak berjaya. Berita itu dilaporkan kepada Nabi Muhammad SAW.

     Selepas mendapat berita itu, Rasulullah SAW melantik Abu Bakar As-Siddiq memimpin pasukan tentera seramai tiga puluh orang bagi menyerang kaum Kilab di Dhariyah. Kerana misi itu bagi berperang, ada sahabat yang mencadangkan supaya jumlah mereka ditambah tetapi Rasulullah menetapkan cukup sekadar tiga puluh orang. Tambahan pula mereka akan dibantu oleh penduduk desa Syaibah. Abu Bakar menerima tanggungjawab itu dengan sepenuh hati bagi mencari keredaan Allah dan Rasul-Nya.

     Bagi menyerang kaum Kilab di Dhariyah, Abu Bakar mengikut cara yang dilakukan Umar Al-Khattab iaitu bergerak pada waktu malam dan berehat pada waktu siang. Namu pemergian mereka diketahui juga oleh Abdullah bin Ubai dan konco-konconya. Mereka menghantar surat kepada Abu Kilab. Kandungan surat itu berbunyi.

     "Muhammad telah menghantar pasukan tentera yang jumlahnya cuma tiga puluh orang bagi memerangi kamu. Kerana itu bersiap sedialah menanti ketibaan mereka. Bunuh semuanya ataupun jadikan tawanan perang."

     Selepas membaca surat itu, Abu Kilab segera membuat persiapan berperang dengan tentera Islam yang bakal menyerang mereka. Bagi menguatkan lagi pasukannya, Darian meminta bantuan Hawazin dan Bani Fazarah.

     "Kaum Kilab adalah bersaudara dengan Bani Fazarah. Kerana itu kami akan membantu kamu berperang melawan tentera Muhammad," kata Uyainah, pemimpin Bani Fazarah.

     Uyainah yang dikatakan bodoh-bodoh alang dan mudah berubah-ubah pendiriannya itu pernah membuat perjanjian damai dengan Nabi Muhammad tetapi kemudiannya berpaling tadah lalu membatalkan perjanjian itu. Kini dia membantu kaum Hawazin dan Kilab bagi berperang dengan tentera Islam.

     Abu Bakar As-Siddiq yang memimpin tentera Islam berjumlah cuma tiga puluh orang terus berjalan menuju ke Dhariyah. Mereka bergerak pada waktu malam dan berehat pada waktu siang bagi mengelakkan dikesan musuh. Walaupun jumlah mereka sedikit tetapi dianggotai para pahlawan yang terbilang antaranya Sa'ad bin Abi Waqas, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Abdullah Rawahah, Abdul Rahman bin Auf, Ali bin Abi Talib dan ramai lagi yang pernah berperang di Badar dan Uhud. Dari kalangan mereka juga terdapat juga seorang pahlawan bernama Salamah bin Akwa yang pantas berlari dan mahir memanah. Dia dikatakan mampu memanah dengan tepat sambil berlari.

     Pada masa yang sama, Abdullah bin Ubai dan konco-konconya berusaha menimbulkan kebimbangan orang ramai dengan mempersoalkan kepada Nabi Muhammad yang cuma menghantar seramai tiga puluh orang tentera bagi berperang dengan Kaum Kilab yang terkenal mahir berperang.

     "Kaum Kilab di Dhariyah mempunyai seribu orang pahlawan yang sudah berpengalaman berperang. Dengan mudah mereka dapat mengalahkan pasukan tentera yang dihantar Nabi Muhammad itu. Mereka semuanya akan dibunuh dan dijadikan tawanan," kata Abdullah bin Ubai yang sengaja mahu menimbulkan keresahan dalam kalangan keluarga mereka yang keluar berperang.

     Kemudian katanya lagi, "Saya mendapat maklumat yang kaum Kilab mendapat bantuan kaum Hawazin dan Bani Fazarah. Kerana itu kamu sepatutnya mendesak Nabi Muhammad mengirim pasukan tentera tambahan seramai seribu orang bagi menyelamatkan pasukan yang dipimpin Abu Bakar. Tetapi saya yakin Nabi Muhammad tidak akan melakukannya."

     "Sekiranya begitu apa yang patut mereka lakukan?" tanya Jamsari salah seorang keluarga tentera yang menyertai pasukan Abu Bakar As-Siddiq.

     "Segera berjumpa dengan Nabi Muhammad dan desak beliau memimpin sendiri pasukan tentera tambahan ke Dhariyah. Sekiranya beliau tidak mahu mengikut cadangan ini maka kesemua pasukan tentera Islam yang dipimpin Abu Bakar itu akan mati dan tidak seorang pun yang kembali ke sini," jawab Abdullah bin Ubai yang sengaja mahu menimbulkan kebimbangan orang ramai.

     "Sebaiknya jangan kita persoalkan apa yang ditetapkan oleh Rasulullah kerana beliau yang lebih tahu segala tindakannya," kata Bilal bin Rabah yang berasa marah apabila Abdullah bin Ubai mempersoalkan keputusan Rasulullah SAW.

     "Benar kata Bilal bin Rabah. Saya yakin mereka pasti beroleh kemenangan seperti pasukan yang dipimpin Umar Al-Khattab," kata Abdullah bin Mas'ud pula. Beliau tidak ikut dalam pasukan Abu Bakar kerana baru balik menyertai pasukan Umar Al-Khattab.

     "Tidakkah kamu tahu yang tiga puluh orang yang dihantar Rasulullah itu kehebatan mereka menyamai dengan tiga puluh ribu orang tentera?" kata Uthman Affan pula. Kemudian katanya lagi, "Mereka akan berperang dengan mencontohi sebagaimana Rasulullah berperang. Kerana itu mereka akan mendapat bantuan para malaikat. Pasukan tentera yang dibantu malaikat pasti beroleh kemenangan."

     Pasukan tentera yang dipimpin Abu Bakar akhirnya sampai di desa Syaibah. Kedatangan mereka disambut dengan gembira. Malah mereka menyatakan kesediaan bagi membantu tentera Islam menyerang kaum Kilab di Dhariyah.

     Di Kota Dhariyah pula sudah berkumpul pasukan tentera Bani Fazarah, Kaum Hawazin dan Kaum Kilab sendiri. Mereka sudah bersiap menghadapi serangan tentera Islam.

     "Jumlah mereka cuma tiga puluh orang. Kita mampu mengalahkan mereka dalam masa yang singkat. Kerana itu tidak perlu dirisaukan," kata Abu Kilab dengan begitu yakin.

     Dengan jumlah mereka yang melebihi tiga ribu orang Abu Kilab yakin serangan pasukan tentera Islam yang begitu sedikit dengan mudah dapat mereka patahkan. Kemudian giliran mereka pulang menyerang Kota Madinah.

     Abu Bakar As-Siddiq yang sudah mendapat tarbiyah daripada Rasulullah SAW bukan sahaja kuat beribadat dan berhati dermawan tetapi juga seorang pahlawan yang handal di medan perang. Dia merancang serangan yang berkesan terhadap Kota Dhariyah. Dengan jumlah pasukan tenteranya yang cuma tiga puluh orang dibantu penduduk desa Syaibah seramai lima ratus orang Abu Bakar yakin dapat mengalahkan musuh dengan taktik serangan mengejut yang tidak dijangka pihak musuh.

     Kerana itu Abu Bakar menunggu masa yang sesuai bagi melancarkan serangan mengejut terhadap Kota Dhariyah. Abu Kilab dan pasukan tenteranya pula pada mula berasa bosan kerana selepas menunggu selama tiga hari pasukan Islam masih tidak muncul melakukan serangan.

     "Saya yakin tentera Islam tidak berani melancarkan serangan terhadap Kota Dhariyah kerana bilangan mereka terlalu sedikit. Kerana itu kami akan pulang semula ke Fazarah," kata Uyainah yang begitu yakin tentera Islam membatalkan serangan mereka.

     "Kami juga akan pulang ke desa Tarabah kerana bimbang tentera Islam melancarkan serangan di tempat kami," kata Ubai pula yang sangat bimbang keselamatan keluarga yang ditinggalkan.

     Abu Bakar dan pasukan tenteranya yang membuat intipan terhadap Kota Dhariyah berasa gembira apabila mendapat tahu tentera Bani Fazarah dan Hawazin sudah pulang ke tempat mereka. Kota Dhariyah kini hanya dipertahankan kaum Kilab.

     Pada suatu malam Abu Bakar memimpin pasukan tenteranya membuat serangan mengejut ke atas Kota Dhariyah. Mereka berjaya memanjat tembok kota itu dengan bantuan penduduk desa Syaibah. Menjelang pagi mereka sudah berada di dalam kota itu lalu melancarkan serangan ketika tentera Kaum Kilab masih tidur nyenyak. Akibat serangan mengejut itu musuh menjadi panik dengan mudah mereka dapat dikalahkan. Abu Kilab dan pasukan tenteranya melarikan diri keluar dari kota itu.

     Salamah bin Akwa seorang pahlawan Islam yang pantas berlari dan mahir memanah menggunakan kebolehannya mengejar serta memintas musuh. Tidak ada satu pun anak panah yang dilepaskannya tidak mengenai sasaran.

     Sebelum pertempuran berakhir, Salamah melihat beberapa orang pahlawan Kilab membawa lari tandu. Salamah mengejar mereka sambil melepaskan anak panah. Seorang demi seorang tentera yang mengawal tandu itu berjaya dipanahnya dan akhirnya tandu itu ditinggalkan. Selepas diperiksa, didapati di dalam tandu itu ada seorang wanita jelita. Selepas disoal siasat barulah mereka tahu wanita itu anak gadis ketua kaum Kilab.

     Semasa pembahagian harta rampasan perang yang ditinggalkan kaum Kilab, Salamah mendapat wanita yang cantik jelita itu tetapi dia menjaganya dengan baik. Apabila ditanya Salamah mengatakan dia mahu menghadiahkan wanita itu kepada Rasulullah.

     Selepas mengamankan Dhariyah dan kawasan sekiranya barulah Abu Bakar As-Siddiq membawa pasukannya pulang ke Madinah. Mereka membawa banyak harta rampasan dan tidak ada seorang pun daripada mereka yang terbunuh ataupun cedera. Penduduk Madinah menyambut kepulangan mereka dengan gembira.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment