Thursday 1 March 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 20 - PULANG KE MADINAH ]






PULANG KE MADINAH








Pagi itu cuaca cerah. Penduduk Khaibar berkumpul di benteng Nai'im bagi mengucapkan selamat jalan kepada tentera Islam yang akan berangkat pulang ke Madinah. Beberapa minggu sebelum itu, kedatangan tentera Islam mereka sambut dengan anak-anak panah. Tetapi kini kepulangan mereka diberikan bunga sebagai tanda penghargaan dan terima kasih.

     "Wahai penduduk Khaibar, apa pendapat kamu mengenai Nabi Muhammad?" tanya Abu Bakar kepada orang ramai.

     "Dahulu kami memusuhi beliau. Sekarang kami menyayanginya. Nabi Muhammad seorang pemimpin yang paling baik," jawab Ubaid yang mewakili penduduk Khaibar.

     Orang ramai bertepuk tangan sebagai tanda menyokong apa yang dikatakan Ubaid itu.

     "Nabi Muhammad diutuskan Tuhan bagi membawa kesejahteraan hidup kepada seluruh manusia bukan membuat mereka sengsara. Buktinya, penduduk Khaibar merancang menyerang Madinah, kemudian mengajak kami berperang tidak mahu berdamai dan cuba membunuh Rasulullah dengan membubuh racun ke dalam makanan beliau. Tetapi akhirnya Nabi Muhammad dapat melupakan semua itu lalu memberi kemaafan kepada kamu," kata Abu Bakar. Kemudian katanya lagi, "Kamu meminta dibenarkan keluar dari Khaibar hanya dengan sehelai sepinggang tetapi Nabi Muhammad yang punya belas kasihan membenarkan kamu terus menetap di Khaibar, boleh terus menjalani kehidupan seperti biasa, mengusahakan ladang mereka dengan syarat hasilnya dibahagi dua. Sesungguhnya sangat sukar ditemui pemimpin perang yang berjaya mengalahkan musuh memaafkan kesalahan musuhnya. Tetapi Nabi Muhammad menunjukkan contoh teladan yang paling terpuji."

     "Benar." Mereka serentak menjawab.

     "Selepas ini apakah kamu memusuhinya lagi?" tanya Abu Bakar pula.

     "Kami tidak akan memusuhinya lagi," teriak mereka beramai-ramai. Abu Bakar berpuas hati dengan janji mereka.

     Sebelum itu tentera Islam membantu penduduk Khaibar memperbaiki semula benteng-benteng mereka yang rosak akibat pertempuran. Maka wujud tali persahabatan antara mereka. Sekiranya sebelum itu mereka saling serang menyerang serta berbunuh-bunuhan tetapi kini dapat bekerjasama dan saling membantu.

     Sebelum pulang ke Madinah, Nabi Muhammad membahagikan harta rampasan perang. Pembahagian dibuat secara adil serta memuaskan hati semua pihak. Pada masa itu kebiasaannya apa yang dilakukan oleh maharaja Rom dan Parsi, apabila mendapat harta rampasan perang semuanya milik maharaja. Tentera yang dikerahkan ke medan perang tidak mendapat apa-apa balasan kerana mereka diwajibkan beperang demi maharaja mereka. Tetapi tidak dengan Nabi Muhammad. Harta rampasan perang dibahagi kepada tentera yang ikut berperang.

     Harta rampasan perang itu dibahagi dua, pertama dinamakan ghanimah iaitu harta yang diperoleh selepas berlaku peperangan dengan musuh. Cara pembahagian harta ghanimah adalah harta itu dibahagikan kepada lima bahagian. Empat untuk tentera yang berperang dan satu untuk Allah dan Rasul-Nya.

     Harta kedua dinamakan fa'I iaitu harta yang diperoleh tidak melalui peperangan. Harta itu dibahagi lima bahagian juga. Empat bahagian untuk Allah dan Rasul-Nya dan satu bahagian untuk tentera. Mereka juga berhak mendapat bahagian walaupun harta itu diperoleh tidak melalui berperang. Harta yang diberikan kepada Rasulullah biasanya digunakan demi kepentingan umat Islam bukan digunakan demi kepentingan peribadi.

     Adat berperang yang kalah terpaksa menyerahkan nyawa dan harta mereka. Yang menang berhak mendapat semuanya. Apabila Kota Khaibar jatuh ke tangan tentera Islam maka penduduk Khaibar menyerah kalah. Mereka meminta dilepaskan pergi meninggalkan Khaibar hanya dengan sehelai sepinggang. Mereka juga bersetuju menyerahkan semua harta termasuk tanah dan hasilnya kepada tentera Islam. Namun atas belas kasihan Rasulullah, mereka boleh terus tinggal di Khaibar mengerjakan ladang mereka tetapi hasilnya dibahagi dua.

     Tentera Islam yang menyertai Perang Khaibar berjumlah seribu enam ratus orang. Kesemua mereka mendapat pembahagian harta perang termasuk mereka yang gugur syahid. Pembahagian tanah pula dipecahkan kepada seribu lapan ratus orang kerana tentera berkuda mendapat lebih daripada tentera berjalan kaki. Dari pembahagian harta Perang Khaibar itu kesemua seribu enam ratus orang tentera yang menyertainya menjadi kaya. Ramai antara mereka yang mendapat hingga seratus bahagian tanah Khaibar. Namun kebanyakannya didermakan semula kepada perjuangan menegakkan Islam.

     Penduduk Madinah gembira apabila mendapat berita tentera Islam berjaya menakluk Kota Khaibar. Mereka menunggu kepulangan pahlawan mereka dengan rasa syukur dan gembira. Cuma Abdullah bin Ubai dan pengikutnya yang tidak gembira. Malah mereka sakit hati dengan kepulangan tentera Islam membawa kejayaan.

     "Nabi Muhammad akan sampai ke Madinah tidak lama lagi. Apa yang patut kita lakukan?" tanya Abdullah bin Malik, seorang pengikut setia Abdullah bin Ubai.

     "Kita akan bersama penduduk Madinah menyambut kepulangan mereka," jawab Abdullah bin Ubai.

     "Bagaimana sekiranya Nabi Muhammad tahu tuan ada menulis surat kepada Sallam bin Misykam berkenaan kedatangan tentera Islam ke Khaibar?" tanya Abdullah bin Malik lagi.

     "Tidak ada siapa yang tahu selain saya dan Sallam bin Misykam. Tetapi sekarang Sallam sudah mati. Rahsia itu dibawanya ke dalam kubur," jawab Abdullah bin Ubai lalu menyuruh pengikutnya jangan bimbang dan bersikap tenang sahaja.

     Ketika Nabi Muhammad dan pahlawan-pahlawan Islam sampai di Madinah, Abdullah bin Ubai dan pengikutnya menyertai orang ramai menyambut kepulangan mereka. Abdullah bin Ubai dan pengikutnya juga turut memuji kehebatan pahlawan-pahlawan yang pulang membawa kejayaan.

     "Mereka yang munafik masuk neraka. Mereka yang mengkhianati Rasulullah juga masuk neraka," kata Umar Al-Khattab.

     Namun kata-kata itu tidak menginsafkan Abdullah bin Ubai malah bertambah rasa sakit hatinya. Tambahan pula apabila pahlawan Islam pulang dengan membawa banyak harta rampasan perang.

     "Sepatutnya penduduk Khaibar dibenarkan keluar meninggalkan kampung halaman mereka. Kemudian diganti dengan penduduk Madinah. Kita yang mengusahakan tanah mereka." Abdullah bin Ubai cuba mempertikaikan keputusan Nabi Muhammad yang membenarkan Yahudi Khaibar terus menetap serta mengusahakan tanah mereka.

     Namun tidak siapa yang terpengaruh dengan kata-kata itu. Semakin sakit hati Abdullah bin Ubai. Dia menunggu masa bagi membalas dendam.

     Keesokan harinya Ja'afar bin Abu Talib dan rombongannya seramai seratus satu orang yang terdiri daripada lapan puluh tiga orang lelaki dan lapan belas orang perempuan sampai di Madinah. Mereka baru pulang dari Habsyah selepas berhijrah ke sana selepas sebelas tahun. Kepulangan mereka disambut dengan gembira.

     "Saya tidak tahu yang mana lebih menggembirakan hati saya, kemenangan di Khaibar ataupun kepulangan Ja'afar," kata Nabi Muhammad.

     Sebaik sahaja bertemu dengan Ja'afar, Nabi Muhammad memeluknya serta mencium di bahagian antara dua mata Ja'afar. Nabi Muhammad menyayangi Ja'afar seperti keluarga sendiri. Tambahan pula mereka memang bersaudara. Ja'afar bapa saudara Nabi Muhammad. Wajah dan bentuk badan kedua-duanya hampir sama.

     "Wahai Rasulullah, tujuh orang daripada kami yang berhijrah ke Habsyah meninggal dunia di sana," beritahu Ja'afar lalu menyebut nama-nama mereka.

     1. Adi bin Nadhlah

     2. Orwah bin Abdul Uzza

     3. Abdullah bin Al-Harith

     4. Hatab bin Al-Harith

     5. Hatib bin Al-Harith

     6. Amru bin Umaiyah

     7. Ubaidillah bin Jahsyi

Kemudian diceritakan kepada Ja'afar bagaimana berlakunya perang Khaibar. Seramai dua puluh satu orang pahlawan Islam mati syahid mereka adalah:

     Dalam kalangan Muhajirin,

     1. Rabi'ah bin Aktham

     2. Thaqif bin Amru

     3. Rifa'ah bin Masruh

     4. Abdullah bin Al-Hubaib

     5. Mas'ud bin Rabi'ah

     Dalam kalangan Ansar,

     1. Bisyr bin Al-Barra' bin Ma'rur

     2. Fudhail bin An-Nu'man

     3. Mas'ud bin Sa'ad bin Qies

     4. Mahmud bin Maslamah

     5. Abu Dhayyah bin Thabit bin An-Numan

     6. Al-Harith bin Hatib

     7. Urwah bin Murrah

     8. Aus bin Al-Qaid

     9. Unaif bin Hubaib

     10. Thabit bin Athalah

     11. Talhah bin Yahya

     12. Aus bin Qatadah

     13. Mubasyir bin Abdul Munzir

     14. Imarah bin Aqabah

     15. Amir bin Al-Akwa

     16. Al-Aswad bin Ar-Ra'ie (Aslam)

Keluarga mereka yang syahid mendapat pembahagian harta rampasan perang sama seperti mereka yang hidup. Kemudian Nabi Muhammad memberikan harta rampasan perang miliknya kepada mereka yang baru pulang dari Habsyah.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment