Monday 26 March 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 23 - BERITA SEDIH DARI FADAK ]






BERITA SEDIH DARI FADAK








"Sekiranya kita tidak membatalkan perjanjian yang hina dan berat sebelah ini kita bukan sahaja hilang kehormatan malah akan dikutuk oleh anak cucu kita hingga hari kiamat," kata Abu Aswad sambil mengoyakkan surat perjanjian antara kaum Yahudi Fadak dengan Nabi Muhammad SAW.
  
     Orang ramai bertepuk tangan melihat keberanian ketua mereka yang baru dilantik itu. Abu Aswad baru sahaja dilantik sebagai ketua Fadak menggantikan Amir, ketua lama yang dipecat daripada jawatannya. Abu Aswad yang menghasut penduduk Fadak supaya memecat Amir kerana mengikat perjanjian damai dengan Nabi Muhammad. Bani Murrah yang pada mulanya adalah penduduk minoriti di Fadak kini sudah dapat berkuasa apabila Abu Aswad dilantik menjadi ketua Fadak. Tindakan pertama yang dilakukannya adalah membatalkan perjanjian damai dengan Nabi Muhammad SAW.

     "Kami menyokong keputusan tuan membatalkan perjanjian damai dengan Muhammad. Apakah tindakan tuan seterusnya?" tanya Abu Yazir, salah seorang pahlawan Bani Murrah.

     "Saya akan menghantar utusan ke Madinah menemui Muhammad bagi memaklumkan keputusan kita ini," jawab Abu Aswad.

     "Muhammad pastinya tidak akan berdiam diri. Bagaimana sekiranya mereka menyerang Fadak?" tanya Abu Yazir lagi.

     "Kita akan membuat persiapan bagi berperang dengan mereka," jawab Abu Aswad dengan penuh yakin.

     "Apakah kita mampu mengalahkan mereka?" tanya Al-Hakim pula.

     "Pahlawan-pahlawan kita yang gagah perkasa mampu mengalahkan sesiapa sahaja musuh yang menyerang kita," jawab Abu Aswad.

     Orang ramai sebulat suara menyokong keputusan Abu Aswad. Malah mereka memuji keberanian dan kebijaksanaannya. Keesokan harinya seorang utusan dihantar ke Madinah memaklumkan keputusan mereka.

     "Nabi Muhammad sedang beribadat. Sekiranya ada apa-apa perkara yang hendak disampaikan maka nyatakan kepada saya, akan dimaklumkan kepada Rasulullah," kata Abu Bakar As-Siddiq yang menyambut baik kedatangan utusan Fadak itu.

     "Penduduk Fadak mengambil keputusan mahu membatalkan perjanjian damai dengan Nabi Muhammad. Keputusan itu adalah muktamad," kata utusan itu.

     "Boleh kami tahu mengapa kamu bertindak begitu?" tanya Abu Bakar.

     "Perjanjian itu tidak adil serta membebankan kami. Kerana itu kami memutuskan mahu membatalkannya," jawab utusan itu.

     "Boleh nyatakan di manakah tidak adilnya perjanjian yang sudah dipersetujui bersama itu?" tanya Abu Bakar lagi.

     "Kami yang mengusahakan tanah pertanian kami. Tetapi mengapa separuh hasilnya perlu diserahkan kepada Nabi Muhammad? Bukankah itu tidak adil namanya?" jawab utusan itu.

     "Kamu adalah pihak yang kalah dalam peperangan. Ada berperang, mereka yang kalah terpaksa menyerahkan semuanya termasuk nyawa dan harta mereka kepada pihak yang menang. Dengan itu kami memiliki diri kamu dan semua harta kamu. Tetapi nabi kami Muhammad memaafkan kamu malah dibenarkan terus tinggal di Fadak. Apakah itu tidak adil namanya?" kata Abu Bakar As-Siddiq.

     "Perkara yang kami tidak puas hati adalah mengapa separuh daripada hasil tanaman kami perlu diserahkan kepada kamu?" tanya utusan itu lagi.

     "Segala harta kamu termasuk tanah itu adalah milik kami yang menang dalam peperangan. Kami boleh sahaja membunuh kamu ataupun menghalau kamu keluar dari Fadak dan kami yang mengusahakan tanah itu. Tetapi Nabi Muhammad itu seorang yang begitu baik pekertinya. Baginda membenarkan kamu mengusahakan tanah yang sudah menjadi milik kami itu. Kerana itu apakah tidak adil namanya sekiranya separuh daripada hasilnya diserahkan kepada kami?" jawab Abu Bakar As-Siddiq.

     "Perjanjian itu dibuat oleh Amir dengan Nabi Muhammad. Sekarang Amir bukan lagi ketua kami. Dia sudah digantikan dengan Abu Aswad. Ketua kami yang baru mengambil keputusan membatalkan perjanjian itu. Dan keputusan itu adalah muktamad. Kamu sampaikan perkara itu kepada nabi kamu," kata utusan itu. Kemudian dia pulang ke Fadak.

     Selepas berita daripada utusan Fadak itu disampaikan kepada Nabi Muhammad maka dibentuk pasukan tentera bagi memerangi Bani Murrah yang menjadi biang keladi masalah itu. Ramai yang mahu menyertai pasukan ke Fadak kerana yakin beroleh kemenangan. Tetapi Nabi Muhammad mengehadkan jumlahnya kepada tiga puluh orang sahaja. Baginda melantik Basyir bin Sa'ad Al-Ansari menjadi pemimpinnya.

     Ramai orang Ansar yang mahu menyertai pasukan itu sehingga pahlawan-pahlawan yang pernah berperang di medan Badar, Uhud dan Khandaq terpaksa mengalah bagi memberi peluang kepada mereka. Tidak lama kemudian berangkatlah mereka ke Fadak.

     "Mereka yang menyertai pasukan tentera di bawah pimpinan Umar Al-Khattab pulang dengan membawa harta rampasan perang yang banyak. Begitu juga mereka yang menyertai pasukan tentera di bawah pimpinan Abu Bakar As-Siddiq. Kerana itu saya juga yakin kita akan pulang dengan membawa harta yang banyak," kata Yazid seorang anak muda yang baru pertama kali pergi berperang.

     "Saya juga yakin begitu kerana itu mahu menyertai pasukan ini," kata kawannya Sufiyyan.

     Basyir marah mendengar kata-kata mereka lalu berkata, "Betulkan niat kamu pergi berperang kerana Allah dan Rasul-Nya. Bukan bagi mendapatkan harta."

     Apabila Basyir mencadangkan mereka mengikut taktik Umar Al-Khattab dan Abu Bakar As-Siddiq supaya berjalan pada waktu malam dan berehat pada waktu siang maka ramai yang tidak setuju.

     "Berjalan pada waktu siang lebih cepat berbanding berjalan pada waktu malam," kata salah seorang daripada mereka.

     "Kita tidak perlu takut dilihat musuh kerana penduduk Fadak sudah tahu kita mahu menyerang mereka," kata yang lain pula.

     Basyir terpaksa ikut kehendak mereka bagi menjaga hubungan baik sesama pasukan itu.

     Abu Aswad pula sudah membuat persiapan bagi menghadapi serangan daripada pasukan Islam. Dia berasa gembira apabila mendapat tahu pasukan tentera Islam yang datang cuma berjumlah tiga puluh orang.

     "Kita akan perangkap mereka di Wadi Fadak," kata Abu Aswad.

     Wadi Fadak adalah sebuah kawasan ladang kurma. Di situ juga terdapat batu-batu besar yang dijadikan tempat bersembunyi. Abu Aswad menyuruh Bani Murrah membawa semua binatang ternakan di situ.

     Apabila tentera Islam sampai di Fadak mereka dapati kawasan itu sudah dikosongkan kerana penghuninya sudah meninggalkan kawasan itu. Basyir menyuruh orangnya membuat siasatan di mana mereka bersembunyi. Mereka terjumpa binatang ternakan di Wadi Fadak.

     "Bani Murrah sudah melarikan diri dari sini. Mereka meninggalkan binatang ternakan di Wadi Fadak," beritahu Yasir pembantu Basyir.

     Apabila mendengar berita itu maka berlumba-lumbalah mereka pergi ke tempat itu bagi mendapatkan binatang ternakan itu. Mereka tidak menghiraukan pesanan Basyir supaya berwaspada kerana bimbang itu perangkap musuh.

     Memang benarlah apa yang disangka Basyir. Sedang mereka mengumpulkan binatang ternakan itu dengan tiba-tiba muncul pahlawan-pahlawan Bani Murrah yang berlindung di sebalik batu besar dan pokok kurma. Mereka bersenjatakan panah dan lembing. Pahlawan-pahlawan Bani Murrah memang terkenal mahir memanah dan merejam lembing. Mereka menggunakan kemahiran itu ke atas tentera Islam. Akhirnya kesemua pasukan Islam itu gugur syahid kecuali Basyir. Dia berjaya melepaskan diri daripada kepongan musuh lalu kembali ke Madinah.

     Umat Islam di Madinah terkejut dan berasa sedih dengan kekalahan itu. Abdullah bin Ubai dan konco-konconya turut menyatakan rasa kesedihan, namun dalam hati mereka hanya Tuhan yang mengetahuinya.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment