Friday 30 March 2018

PERANG KHAIBAR [ BAB 27 (AKHIR) - HIDAYAT ]






HIDAYAT








"Nama saya Khalid bin Al-Walid bin Al-Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum. Saya bersumpah dengan nama Tuhan Kaabah bahawa apa yang saya ucapkan ini adalah terbit dari hatiku sendiri bukan dipengaruhi sesiapa," teriak pahlawan Quraisy yang terbilang itu sebaik sahaja dia berdiri di depan Kaabah.

     Orang ramai yang berada di situ termasuk para pemimpin Quraisy yang terkemuka menumpukan perhatian dan pendengaran terhadapnya. Kemudian Khalid Al-Walid pun berkata, "Sesungguhnya sekarang sudah jelas kepada saya dan kepada semua orang-orang yang mempunyai fikiran yang waras bahawa Muhammad itu seorang yang jujur, tidak berdusta dan tidak pernah mungkir janji. Dia juga bukan seorang tukang sihir dan bukan juga seorang ahli syair. Kerana itu saya yakin segala yang dikatakan Muhammad itu adalah perkataan Tuhan yang menjadikan alam ini. Maka sudah sepatutnya semua orang-orang yang berfikiran waras menjadi pengikutnya. Hanya mereka yang bodoh sombong yang memusuhinya."

     Orang ramai terpinga-pinga mendengarnya. Mereka seperti tidak percaya kata-kata yang menyakitkan hati mereka itu diucapkan oleh Khalid Al-Walid, seorang pahlawan Quraisy yang paling mereka sanjungi dan hormati. Dia ketua pahlawan berkuda Quraisy yang berjaya mengucar kacirkan tentera Islam dalam Perang Uhud. Kerana itu pahlawan muda yang gagah perkasa itu menjadi tunggak harapan mereka.

     "Hei Khalid, kamu sudah gilakah kerana mengucapkan kata-kata itu di hadapan Kaabah? Di hadapan para pemimpin Quraisy yang kita hormati? Semalam kamu mengucapkan kata-kata itu di hadapan kami di Batnu Najih. Hari ini kamu mengucapkannya di hadapan Kaabah. Apa yang sudah berlaku ke atas kamu wahai Khalid Al-Walid?" marah Ikramah bin Abu Jahal, kawan baik Khalid yang juga bapa saudaranya.

     "Wahai Ikramah, ayah saya meninggal dunia kerana memusuhi Muhammad. Ayah kamu meninggal dunia juga kerana memusuhi Muhammad. Apakah kamu dan saya juga mahu meninggal dunia kerana memusuhi seorang lelaki yang sentiasa bercakap benar dan mendapat wahyu dari langit?" tanya Khalid Al-Walid pula. Dia langsung tidak menunjukkan rasa takut kepada sesiapa.

     Abu Sufian bin Harb yang turut berada di situ segera menerpa ke arah Khalid Al-Walid lalu berkata, "Bukankah semalam aku sudah memberi amaran jangan kamu ulang lagi kata-kata itu. Nanti buruk padahnya."

     "Wahai Abu Sufian, saya dilahirkan sebagai pahlawan Quraisy yang tidak takut mati. Apakah kamu menyangka saya takut dengan ugutanmu itu? Saya akan terus mengucapkan kata-kata yang terbit dari lubuk hatiku. Dan saya bersedia menentang sesiapa sahaja yang mahu membinasakan saya," balas Khalid Al-Walid pula.

     "Wahai saudaraku Khalid, saya mahu bertanya dengan jujur dan ikhlas. Apakah kamu sedang sakit ataupun fikiranmu terganggu. Sekiranya benar kami boleh maafkan apa yang kamu ucapkan itu. Malah kami sanggup mencari tabib bagi mengubati kamu," kata Ikramah dengan nada suara yang lunak.

     "Demi Tuhan Kaabah, saya dalam keadaan sihat, tidak sakit dan fikiran saya tidak terganggu. Apa yang saya ucapkan itu adalah lahir dari lubuk hati saya. Dan saya tidak takut sekiranya kata-kata ini menimbulkan kemarahan kamu," balas Khalid Al-Walid pula.

     "Adakah kamu sudah bertukar agama?" tanya Ikramah lagi.

     "Saya belum bertukar agama. Tetapi saya tertarik dengan agama Islam yang dibawa Muhammad. Tidakkah kamu menyaksikan betapa hebatnya mereka yang sudah menjadi pengikut Muhammad?" tanya Khalid Al-Walid pula.

     "Kamu tidak sepatutnya berkata begitu," tengking Ikramah dengan perasaan yang marah.

     "Mengapa?" balas Khalid Al-Walid pula.

     "Muhammad sudah menjatuhkan darjat ayah aku dan ayah kamu dalam Perang Badar. Demi Tuhan Kaabah, aku tidak akan mengucapkan ucapan sepertimu itu," kata Ikramah dengan nada yang kesal.

     "Saya tidak akan mengulangi kesilapan ayah saya. Sekarang saya mahu mengikuti agama Islam yang dibawa Muhammad kerana kebenaran agama itu sudah jelas kepada saya," kata Khalid Al-Walid pula.

     "Apakah benar kamu mahu menjadi pengikut Muhammad?" tanya Abu Sufian sambil memandang Khalid Al-Walid dengan mata terbeliak.

     "Memang benar sekarang saya mahu menjadi pengikut Nabi Muhammad," jawab Khalid Al-Walid dengan keberanian yang luar biasa.

     "Aku akan bunuh engkau sebelum engkau sempat bertemu dengan Muhammad," kata Abu Sufian. Dia tidak dapat lagi menahan rasa marah lalu menghunus pedangnya mahu membunuh Khalid Al-Walid.

     Tetapi Khalid Al-Walid bukan budak ingusan yang mahu digertak oleh sesiapa. Dia juga menghunus pedangnya dan bersedia bertarung dengan Abu Sufian. Ikramah segera meleraikan sebelum terjadi pertarungan antara keduanya.

     "Kamu berdua adalah pemimpin yang dihormati kaum Quraisy. Apakah kamu berdua tidak malu bertarung di hadapan Kaabah dengan disaksikan oleh orang ramai?" kata Ikramah sambil memegang tangan Abu Sufian.

     Pada ketika itu Khalid Al-Walid mempunyai kesempatan kerana membunuh Abu Sufian kerana Ikramah sedang memegang tangan kanannya yang sedang menghunus pedang. Namun Khalid Al-Walid tidak mahu melakukannya. Dia segera berlalu dari situ terus pulang ke rumahnya.

     "Hei Ikramah, tindakan kamu tadi seperti memberi peluang kepada Khalid Al-Walid membunuh aku," marah Abu Sufian terhadap Ikramah.

     Ikramah tidak menjawab lalu segera beredar dari situ meninggalkan Abu Sufian yang sedang kemarahan. Sebenarnya Ikramah juga mengakui kebenaran kata-kata Khalid Al-Walid. Kerana itu dia menyebelahi sahabatnya itu.

     "Hei Amru Al-Ash, mengapa kamu berdiam diri sahaja? Tidakkah kamu marah apabila mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Khalid Al-Walid tadi?" tanya Abu Sufian apabila melihat Amru Al-Ash hanya berdiam diri tidak menunjukkan apa-apa reaksinya.

     "Kamu akan kehilangan Khalid Al-Walid sekiranya terus marah-marah. Kerana itu tunjukkan kesabaranmu sebagai ketua kaum Quraisy," jawab Amru Al-Ash pula.

     "Sekiranya Khalid Al-Walid hendak menjadi pengikut Muhammad aku rela kehilangan dia. Malah aku sanggup membunuhnya dengan tanganku sendiri," kata Abu Sufian yang masih belum dapat mengawal perasaan marahnya.

     "Wahai Abu Sufian, Khalid Al-Walid itu bukan tandinganmu. Sia-sia sahaja kamu bertarung dengannya," kata-kata Amru itu membuat Abu Sufian bertambah marah. Dia benar-benar rasa tercabar.

     "Aku sanggup bertarung dengan sesiapa sahaja yang menjadi pengikut Muhammad. Termasuk kamu," teriak Abu Sufian.

     Giliran Amru Al-Ash pula rasa tercabar lalu berkata, "Aku juga bersetuju dengan kata-kata Khalid Al-Walid bahawa Muhammad itu bukan seorang tukang sihir dan bukan seorang penyair. Dia manusia terbaik pilihan Tuhan."

     Abu Sufian seperti orang gila apabila mendengar kata-kata Amru Al-Ash itu. Dia menjerit-jerit sambil menghentak-hentakkan kaki ke tanah. Safwan dan beberapa orang kawan-kawannya berusaha menenangkan Abu Sufian. Amru Al-Ash segera beredar dari situ.

     Beberapa tahun sebelum itu Amru Al-Ash dan Abdullah bin Abu Rabiah pernah menjadi wakil kaum Quraisy bertemu dengan An-Najasyi raja Habsyah bagi memujuknya supaya jangan membenarkan pengikut Nabi Muhammad tinggal di negeri itu. Maka berlaku dialog antara Amru Al-Ash, An-Najasyi dan Ja'afar bin Talib yang mewakili orang-orang Islam yang berhijrah ke Habsyah.

     "Wahai tuanku, seluruh rakyat tuanku termasuk saya dan kawan saya ini sujud apabila menghadap tuanku. Tetapi lihatlah mereka ini tidak mahu sujud kepada tuanku," kata Amru Al-Ash dengan harapan raja Habsyah itu akan marah terhadap Jaafar dan kawan-kawannya.

     "Mengapa kamu tidak mahu sujud kepada aku?" tanya Raja An-Najasyi.

     "Kami hanya dibolehkan sujud kepada Allah. Bagi memberi penghormatan kepada sesama manusia pula, nabi kami mengajar ucapan salam seperti yang diucapkan penghuni syurga," jawab Jaafar bin Abi Talib.

     Raja Habsyah itu kelihatan menganggukkan kepalanya tanda setuju dengan jawapan itu. Kemudian dia bertanya pula kepada Amru Al-Ash, "Mereka percaya adanya Tuhan yang maha berkuasa. Dan percaya adanya syurga dan neraka. Apakah kamu juga percaya?" tanya An-Najasyi.

     Amru Al-Ash kelihatan serba salah mahu menjawabnya. Tetapi akhirnya dia menjawab ya sekadar menjaga hati raja Habsyah itu.

     "Adakah syurga dan neraka itu dibuat oleh berhala yang kamu sembah?" tanya An-Najasyi.

     Amru Al-Ash rasa terpukul. Dia bungkam tidak dapat menjawabnya. Melihat keadaan itu maka Jaafar pun berkata, "Wahai tuanku, kami percaya Allah yang menjadikan alam ini. Dia yang menghidup dan mematikan kita. Dia juga yang menjadikan syurga dan neraka. Kerana itu kami menyembahNya."

     "Apakah agama yang kamu anuti?" tanya An-Najasyi.

     "Allah mengutuskan kepada kami seorang utusanNya bagi mengajar kami berkenaan agama Islam. Kami disuruh menyembah Allah dan tidak menyengutukannya dengan sesuatu. Dia mengajarkan kami mengerjakan sembahyang dan mengeluarkan zakat," jawab Jaafar.

     "Siapakah yang membawa agama kamu itu?" tanya An-Najasyi lagi.

     "Namanya Muhammad. Dia dari kalangan kami juga yang kami kenal nasab keturunannya dari keluarga yang baik. Dia mengajak kami menyembah Allah, berbuat baik sesama manusia, tidak memakan bangkai dan tidak menyakiti ataupun membunuh jiran tetangga. Selepas kami beriman dan mengamalkan ajarannya maka kami dimusuhi dan disakiti sehingga kami berhijrah ke sini," jawab Jaafar.

     "Sekiranya begitu ajaran agama kamu itu sangat baik sama seperti agama yang diturunkan kepada Nabi Musa," kata An-Najasyi yang menganut agama Nasrani.

     Selepas berlaku soal jawab yang agak panjang akhirnya An-Najasyi menolak permintaan Amru Al-Ash supaya pengikut Nabi Muhammad itu dihantar pulang ke Mekah. Malah mereka dibenarkan terus berada di Habsyah. Amru Al-Ash dan Abdullah pulang ke Mekah dengan rasa kecewa.

     Sejak itu keyakinan Amru Al-Ash terhadap agama nenek moyangnya mula berubah. Dia sudah mendapat hidayat tetapi merahsiakannya dari pengetahuan kaum Quraisy. Apabila Amru Al-Ash menyaksikan Nabi Muhammad dan pengikutnya mengerjakan umrah keyakinannya semakin bertambah teguh. Apatah lagi selepas mendengar kata-kata yang diucapkan Khalid Al-Walid. Kerana itu dia tidak marah apabila mendengar kata-kata pahlawan Quraisy itu.

     Selain dari Khalid Al-Walid dan Amru Al-Ash ada seorang lagi yang mendapat hidayat dari peristiwa umrah Nabi Muhammad dan pengikutnya. Namanya Uthman bin Talhah pemegang kunci Kaabah. Dia dapat melihat perlakuan Rasulullah dari dekat menyebabkan terus mendapat sinar hidayat.

     Uthman bin Talhah terkenal sebagai lelaki yang paling jujur dan dapat dipercayai. Dia pernah diberi kepercayaan bagi menghantar Ummu Salamah isteri kepada Abu Salamah bin Abdul Asad ke Madinah. Ummu Salamah terkenal sebagai wanita yang sangat cantik. Semasa dalam perjalanan dari Mekah ke Madinah Uthman bin Talhah tidak pernah memandang wajah Ummu Salamah. Mereka menaiki unta yang berasingan dan apabila berhenti rehat Talhah sentiasa menghadapkan pandangannya ke arah alam yang luas terbentang dengan membelakangkan Ummu Salamah. Apabila sampai di pinggir Kota Madinah maka Uthman bin Talhah terus berpatah pulang ke Mekah. Kebaikan dan keluhuran budi pekerti Uthman itu diceritakan Ummu Salamah kepada suaminya sehingga mendapat pujian daripada Rasulullah.

     Khalid Al-Khalid, Amru Al-Ash dan Uthman bin Talhah kini sudah mendapat hidayat dan mereka bertekad mahu berhijrah ke Madinah bagi bertemu dengan Nabi Muhammad SAW. Di antara mereka bertiga hanya Khalid Al-Walid yang berani mengisytiharkannya di khalayak ramai. Amru Al-Ash dan Uthman masih merahsiakannya. Namun hati mereka sudah nekad mahu menjadi pengikut Nabi Muhammad.

     Pagi itu Khalid Al-Walid mengambil keputusan mahu berhijrah ke Madinah secara terang-terang. Dia mahu Abu Sufian dan semua penduduk Kota Mekah mengetahui pemergiannya. Dan dia sanggup menghadapi apa saja rintangannya. Kerana itu dia menyuruh orang ramai berkumpul di hadapan Kaabah.

     Dan pagi itu sebelum matahari terbit, orang ramai sudah berkumpul di hadapan Kaabah menunggu kedatangan seorang lelaki yang paling mereka sanjungi iaitu Khalid bin Walid. Masing-masing seolah-olah tidak sabar menanti kehadirannya.

     "Tahukah saudara mengapa Khalid menyuruh kita berkumpul di sini pagi ini?" tanya Makraz bin Hafas kepada kawannya Suhail bin Amru.

     "Saya tidak tahu tetapi yakin ada perkara penting yang hendak disampaikannya," jawab Suhail pula.

     "Tidakkah kamu tahu beberapa hari yang lalu Khalid seperti orang hilang akal menjerit mengatakan mahu menjadi pengikut Muhammad? Hampir terjadi pergaduhan dengan Abu Sufian mujur dapat dileraikan oleh Ikramah," kata Huwaitib pula.

     "Semalam kami berdua tidak ada di sini kerana itu tidak mengetahuinya," kata Makraz dengan rasa terperanjat kerana tidak menyangka Khalid boleh bertindak begitu.

     "Apa puncanya?" tanya Suhail pula.

     "Seperti biasa apabila Muhammad datang ke Kaabah pasti ada yang terkena sihirnya. Sekarang giliran Khalid Al-Walid pula," jawab Safwan yang turut berada di situ.

     "Muhammad bukan tukang sihir," marah Abbas pula.

     Perbualan mereka terhenti apabila Khalid bin Walid datang. Dia berdiri membelakangi Kaabah lalu menghadap ke arah orang ramai. Mereka menumpukan perhatian kepadanya. Lelaki itu bertubuh sasa, berjanggut tebal dan berwajah tampan memang selayaknya digelar pahlawan. Penduduk kota Mekah berasa bangga kerana memilik pahlawan seperti Khalid bin Walid. Dia bagaikan singa padang pasir.

     "Wahai Khalid bin Walid. Apakah tujuan kamu menyuruh kami berkumpul di depan Kaabah ini? Katakanlah cepat supaya kami dapat mendengarnya," kata Safwan seolah-olah tidak sabar mahu mengetahuinya.

     Khalid bin Walid tidak segera menjawab. Matanya menjeling ke arah berhala-berhala yang terdapat di keliling Kaabah. Sorotan matanya penuh dengan kebencian. Orang ramai berasa hairan dengan gelagat pahlawan terbilang itu.

     "Dengarlah pengakuan saya ini," kata Khalid dengan suara yang lantang. Suara orang ramai yang tadinya bagaikan bunyi lebah kini senyap tiba-tiba. Masing-masing menumpukan pendengaran serta perhatian kepada Khalid bin Walid yang berdiri gagah di hadapan Kaabah.

     "Mulai hari ini dan pada pagi yang bertuah ini, saya mengaku Muhammad itu pesuruh Allah dan agama yang dibawanya adalah benar!" Khalid bin Walid berkata dengan suara yang lantang. Percakapannya didengar oleh orang ramai dengan jelas.

     Tiba-tiba suasana menjadi kecoh. Orang ramai marah apabila mendengar kata-kata Khalid bin Walid itu.

     "Sia-sia sahaja kami berkumpul di sini pagi ini. Adakah kerana itu kamu menyuruh kami datang ke sini?" Abu Sufian berkata sekuat hatinya. Dia menyangka Khalid Al-Walid mahu memohon maaf atas ketelanjuran percakapannya beberapa hari yang lalu.

     "Saya adalah pahlawan yang dilahirkan sebagai pejuang. Saya dididik supaya berani berterus-terang sejak kecil lagi. Saya mahu saudara-saudara sekalian tahu yang saya sekarang sudah menjadi pengikut Muhammad," balas Khalid bin Walid.

     Abu Sufian berdiri sambil bercekak pinggang. Mukanya merah padam dan matanya merenung tajam ke arah Khalid bin Walid. Api kemarahannya meluap-luap.

     "Kamu berasal dari suku Bani Makhzum yang dipandang paling tinggi. Ayah kamu bernama Walid, orang yang paling kaya dan berpengaruh di kalangan kami. Ibu kamu bernama Lababah, wanita yang kami hormati. Jangan menyakiti hati kami kerana keluarga kamu adalah orang mulia dalam kalangan kami," kata Abu Sufian.

     "Ayah dan ibuku sudah tiada. Saya pula sudah dewasa dan berhak memilih jalan hidup sendiri. Saya memilih Islam sebagai agamaku dan Muhammad sebagai ikutanku," balas Khalid bin Walid pula.

     Abu Sufian semakin marah dan mukanya bertambah bengis. Lelaki itu menghamburkan kata-katanya.

     "Apa yang kamu dapat apabila menjadi pengikut Muhammad?" tanya Abu Sufian sambil bercekak pinggang. Dia menyambung kata-katanya sebelum sempat Khalid bin Walid menjawab.

     "Muhammad itu miskin dan menjadi yatim piatu sejak kecil. Hidupnya mengharap belas kasihan orang. Dia tidak pandai menulis dan membaca manakala kamu seorang hartawan. Apabila ayah kamu meninggal dunia, kamu mewarisi harta kekayaannya. Kamu ada ladang buah-buahan yang amat luas, memilik beribu-ribu ekor unta dan kuda serta beratus-ratus orang hamba. Selain itu, apa lagi yang kamu mahu?"

     "Walaupun ayahku kaya, semua harta kekayaannya itu ditinggalkan selepas dia meninggal dunia. Semua itu tidak dapat menyelamatkannya daripada ekmatian. Saya yakin Muhammad sahaja yang dapat menyelamatkan hidup kita di dunia dan di akhirat," jawab Khalid bin Walid.

     "Kamu sudah terkena sihir Muhammad dan aku sanggup carikan dukun yang handal bagi mengubati kamu," teriak Abu Sufian sambil memukul dadanya dengan tangan sebagai tanda marah yang amat sangat.

     "Saya sudah lama yakin apa yang dibacakan oleh Muhammad dan agamanya yang dibawanya adalah benar. Kebenaran itu ditutup oleh hawa nafsu, harta dan pangkat yang ada pada diriku. Mulai hari ini, saya mahu melawan hawa nafsu itu. Saya sanggup kehilangan harta dan pangkat demi mencari kebenaran," balas Khalid bin Walid.

     Suasana menjadi semakin kecoh kerana orang ramai tidak dapat menerima apa yang diperkatakan oleh Khalid bin Walid.

     "Dia sudah terkena sihir Muhammad!" teriak orang ramai.

     Khalid bin Walid dengan pantas menghunus pedangnya,"Hari ini aku akan pergi ke Madinah dan bertemu dengan Muhammad. Sesiapa yang tidak takut isterinya menjadi janda boleh menghalang perjalanan. Sesiapa juga yang sanggup menjadi anak-anaknya menjadi yatim, bertarunglah denganku," katanya mencabar.

     Namun semua yang berada di situ tidak berani menyahut cabaran kerana tahu kehebatan lelaki itu. Dia mahir bermain senjata dan tiada siapa yang mampu menandinginya. Selepas pasti tidak ada siapa yang berani menyahut cabaran itu maka Khalid bin Walid menunggang kudanya.

     Sebelum meninggalkan tempat itu dia berkata, "Aku akan pergi ke Madinah seorang diri. Sesiapa yang tidak sayang pada nyawanya boleh menghalang perjalananku."

     Selepas Khalid beredar dari situ suasana menjadi semakin kecoh. Mereka saling salah menyalahkan antara satu sama lain.

     "Mengapa kita disuruh berkumpul hanya semata-mata mendengar kata-kata yang menyakitkan hati? Lebih baik kita jangan datang ke sini," kata satu suara.

     "Berkali-kali Khalid bin Walid mencabar kamu tetapi tidak ada siapa yang berani menyahut cabarannya. Kamu semua kaum lelaki yang pengecut. Takut kalah sebelum bertarung. Sia-sia sahaja menjadi lelaki," teriak Hindun isteri Abu Sufian.

     "Kami tidak sanggup menentang Khalid bin Walid kerana dia seorang pahlawan yang terbilang. Tetapi kami tidak akan berdiam diri. Kami akan menghalangnya," kata Safwan.

     "Khalid bin Al-Walid akan bergabung dengan Muhammad apabila berjaya tiba di Madinah. Kedudukan mereka bertambah kuat dan kita berada dalam bahaya," kata Abu Sufian melahirkan rasa bimbangnya.

     "Saya akan cuba menghalangnya," kata Safwan pula.

     "Jangan gunakan kekerasan nanti buruk padahnya. Cubalah kamu pujuk dia," Abu Sufian mencadangkan.

     Safwan menunggang kudanya bagi mendapatkan Khalid bin Walid. Ketika itu Khalid belum jauh meninggalkan Kaabah. Kedatangan Safwan itu disedari oleh Khalid.

     "Adakah kamu mahu menghalang perjalananku?" tanya Khalid sambil menghunus pedangnya.

     "Oh tidak, saya datang dengan niat yang baik," balas Safwan.

     Dia cuba memujuk Khalid bin Walid dengan wajah yang manis. Dia juga berusaha melembutkan nada suaranya.

     "Saya sanggup beri kamu apa sahaja kecuali tidak pergi berjumpa Muhammad," pujuk Safwan.

     "Saya tidak tertarik dengan tawaran itu kerana saya sudah memiliki semuanya," balas Khalid bin Walid.

     "Orang ramai tersinggung dengan keputusan kamu yang mahu menjadi pengikut Muhammad. Hubungan baik dan rasa hormat antara kita selama ini akan musnah," kata Safwan.

     "Walau apa juga halangannya, saya tetap mahu pergi berjumpa dengan Muhammad kerana sudah menjadi pengikutnya. Ini adalah keputusan saya sendiri dan bukan terkena sihirnya," kata Khalid bin Walid.

     "Saya sanggup menyediakan gadis-gadis cantik dan memberikan harta sekiranya kamu mahukannya. Kami juga sedia melantik kamu menjadi raja sekiranya kamu mahukannya," Safwan terus memujuk.

     "Bukankah kamu juga pernah menawarkan perkara yang sama kepada Muhammad? Adakah dia menerimanya?" tanya Khalid bin Walid pula.

     "Muhammad itu bodoh kerana itu menolaknya," jawab Safwan.

     "Aku akan penggal leher kamu sekiranya berani mengulangi kata-kata itu," balas Khalid bin Walid sambil menghunus pedangnya.

     Safwan berasa amat takut lalu pergi segera dari situ. Khalid bin Walid meneruskan perjalanannya menuju ke rumah Ikramah. Dilihatnya pintu rumah itu tertutup rapat.

     "Wahai Ikramah, marilah keluar bagi bertemu denganku," teriak Khalid Al-Walid.

     Mendengar suara Khalid Al-Walid itu maka Ikramah pun keluar mendapatkannya.

     "Saya mahu mengucapkan selamat tinggal kerana saya akan pergi ke Madinah. Jangan cuba halang perjalanan saya kelak kita menjadi musuh," kata Khalid Al-Walid.

     "Pergilah dan saya tidak akan menghalangnya," kata Ikramah pula.

     Khalid Al-Walid meninggalkan Ikramah bagi meneruskan perjalanannya ke Madinah.

     Pada masa yang sama Amru Al-Ash juga sudah keluar dari rumahnya dengan menunggang kuda menuju ke Madinah. Dia tidak seperti Khalid Al-Walid kerana berani berterus-terang di hadapan orang ramai di hadapan Kaabah. Amru Al-Ash mengambil langkah selamat. Dia cuma memberitahu isteri dan anaknya. Dia bimbang keselamatan keluarganya sekiranya dimaklumkan kepada orang ramai.

     Uthman bin Talhah juga mengambil keputusan berhijrah ke Madinah secara rahsia. Dia yang memegang kunci Kaabah menyerahkan tugas itu kepada anak lelakinya. Kemudian Uthman menunggang kuda keluar dari Kota Mekah menuju ke Madinah.

     Pada hari itu tiga orang pahlawan Quraisy sedang dalam perjalanan ke Madinah dengan tujuan yang sama iaitu bagi bertemu dengan Nabi Muhammad dan memeluk agama Islam. Tetapi mereka pergi tidak dalam satu perjalanan. Khalid bin Al-Walid berjalan di hadapan dan dia tidak tahu Amru Al-Ash sedang menuruti jejaknya. Uthman bin Talhah pula berada di belakang sekali. Dia juga tidak tahu di hadapannya ada Khalid Al-Walid dan Amru Al-Ash.

     Khalid Al-Walid yang berjalan di hadapan sekali sengaja melambatkan perjalanannya kerana memberi peluang kepada sesiapa yang mahu menghalang perjalanannya. Dan dia sudah nekad akan menentang sesiapa sahaja yang berani mencabarnya. Kerana Khalid Al-Walid sengaja memperlahankan perjalanannya maka Amru Al-Ash dapat mengejarnya.

     Dari jauh Amru Al-Ash dapat melihat ada seorang lelaki di hadapannya namun belum pasti siapa orangnya. Kerana itu dia juga terpaksa memperlahankan perjalanannya kerana tidak mahu dikenali oleh orang di hadapannya. Begitu juga yang berlaku terhadap Uthman bin Talhah.

     Khalid Al-Walid dapat mengesan ada seorang lelaki sedang mengekorinya di belakang tetapi tidak kenal lagi siapa orangnya. Apabila Khalid Al-Walid berjalan perlahan maka orang di belakangnya juga berjalan perlahan. Apabila hari sudah senja Khalid Al-Walid mencari tempat bagi bermalam. Amru dan Uthman juga begitu.

     Menjelang tengah malam Khalid Al-Walid mahu memerangkap siapa lelaki yang sedang mengekorinya. Dia bergerak perlahan menuju ke tempat Amru Al-Ash bermalam. Pada masa yang sama Amru Al-Ash juga berwaspada dengan keselamatan dirinya.

     "Siapa kamu!" teriak Amru Al-Ash apabila melihat kelibat manusia menghampiri tempatnya.

     "Amru Al-Ash?" balas Khalid Al-Walid kerana dia kenal suara itu.

     "Abu Sulaiman?" teriak Amru Al-Ash pula. Abu Sulaiman adalah nama timangan Khalid bin Walid.

     "Mengapa mengekori saya?" tanya Khalid Al-Walid.

     "Saya sedang dalam perjalanan ke Madinah," jawab Amru Al-Ash.

     "Saya juga," balas Khalid Al-Walid.

     "Menemui Nabi Muhammad?" tanya Amru Al-Ash lagi.

     "Saya sudah beritahu orang ramai hendak ke Madinah menemui Nabi Muhammad. Dan saya menyangka kamu mahu menghalang perjalanan saya," jawab Khalid Al-Walid.

     Akhirnya mereka berdua berpelukan dengan rasa gembira kerana mempunyai tujuan yang sama.

     "Saya juga mahu tumpang gembira," tiba-tiba kedengaran satu suara dari kegelapan malam itu.

     "Adakah itu Uthman bin Talhah?" tanya Amru Al-Ash.

     "Saya juga seperti kamu berdua mahu bertemu Nabi Muhammad," jawab Uthman lalu menunjukkan dirinya. Mereka bertiga berpelukan gembira.

     Keesokan harinya mereka bertiga meneruskan perjalanan hingga sampai ke Madinah. Selepas bertemu dengan Nabi Muhammad, mereka bertiga mengucapkan kalimah syahadat, mengaku tidak ada Tuhan selain Allah dan mengaku Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

     Abdullah bin Ubai dan pengikutnya tidak senang hati dengan kedatangan Khalid Al-Walid, Amru Al-Ash dan Uthman bin Talhah. Mereka mencari jalan bagi menimbulkan kebencian orang ramai terhadap mereka.

     "Sudah lupakah kamu mengenai Perang Uhud? Khalid Al-Walid yang ketika itu memimpin pasukan berkuda Quraisy sudah membunuh ramai ahli keluarga kamu. Sekarang dia datang ke Madinah mengharap belas kasihan kamu. Adakah kamu boleh melupakannya begitu sahaja?" tanya Abdullah bin Ubai kepada Qais yang adiknya syahid dalam Perang Uhud.

     "Amru Al-Ash pernah menghasut An-Najasyi raja Habsyah supaya membunuh kamu. Adakah kamu boleh melupakan begitu sahaja kejahatannya itu?" tanya Salim salah seorang pengikut Abdullah bin Ubai.

     "Uthman bin Talhah yang memegang kunci Kaabah pernah menghina Rasulullah ketika meminta kebenaran masuk ke dalam Kaabah. Sekarang dia datang kepada kamu mengaku bersaudara. Mengapa kamu menerimanya?" tanya Adi pulang kepada Sa'ad salah seorang kaum Ansar.

     Khalid Al-Walid, Amru Al-Ash dan Uthman bin Talhah berasa sedih dengan dakyah yang dilakukan mereka yang munafik itu. Mereka mengadukan perkara itu kepada Rasulullah SAW. Beliau naik ke atas mimbar masjid lalu berkata bahawa mereka yang memeluk Islam maka Allah mengampunkan dosa mereka yang lalu.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment