Friday 4 May 2018

NABI ISHAQ A.S.






NABI ISHAQ A.S.








     NABI Ishaq adalah putera Nabi Ibrahim dari isterinya Sarah, sedang Nabi Ismail adalah puteranya dari Hajar, dayang yang diterimanya sebagai hadiah dari Raja Mesir.

     Tentang Nabi Ishaq ini tidak dikisahkan dalam Al-Quran kecuali dalam beberapa ayat, di antaranya ayat 69 sehingga 74 dari surah Hud, sebagai berikut:

Ertinya:

"Dan sesungguhnya utusan-utusan Kami (para malaikat) telah datang kepada Ibrahim dengan membawa khabar gembira, mereka mengucapkan: "Selamat sejahtera." Ibrahim menjawab: "Selamat sejahtera", maka tidak lama kemudian Ibrahim menghidangkan daging anak lembu yang dipanggang. Maka tatkala dilihatnya tangan mereka tidak menjamahnya, dia (Ibrahim) mencurigai mereka dan merasa takut kepada mereka. Malaikat itu berkata: "Jangan engkau takut, sesungguhnya kami adalah (para malaikat) yang diutus kepada kaum Luth." Dan isterinya berdiri (di sebalik takbir) lalu dia tertawa, maka Kami sampaikan kepadanya berita gembira tentang (kelahiran) Ishak, dan daripada Ishak (akan lahir puteranya) Yaakub. Isterinya berkata: "Aduhai! Sungguh menghairankan, apakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya ini benar-benar suatu yang sangat ajaib." Para malaikat berkata: "Apakah kamu merasa hairan tentang ketetapan Allah? (Itu adalah) rahmat dan keberkatanNya, dicurahkan ke atas kamu, wahai ahlul-bait! Sesungguhnya Allah Maha Terpuji lagi Maha Pemurah." Maka tatkala perasaan takut hilang daripada hati Ibrahim dan sampai kepadanya berita yang menggembirakan itu, dia pun mula bersoal jawab dengan (malaikat-malaikat) Kami tentang kaum Luth." (Surah Hud: 69-74)

     Selain ayat-ayat tersebut di atas yang membawa berita akan lahirnya Nabi Ishaq dari kedua orang tuanya yang sudah lanjut usia yang menurut setengah riwayat bahawa usia ibunya pada waktu itu sudah mencapai sembilan puluh tahun, terdapat beberapa ayat yang menetapkan kenabiaannya di antaranya ialah ayat 49 surah Maryam seperti berikut:

Ertinya:

"Maka ketika Ibrahim telah meninggalkan mereka dan daripada apa yang mereka sembah selain Allah, Kami anugerahkan kepadanya Ishak dan Yaakub. Dan masing-masingnya Kami angkat menjadi nabi." (Surah Maryam: ayat 49)

     Dan dalam ayat 112 dan 113 surah Al-Saffaat seperti berikut:

Ertinya:

"Dan kami beri dia khabar gembira dengan (kelahiran) Ishak seorang nabi yang termasuk di kalangan orang yang soleh. Dan Kami limpahkan keberkatan kepadanya dan Ishak. Dan di antara keturunan keduanya ada yang berbuat baik dan ada (pula) yang terang-terangan berbuat zalim terhadap dirinya sendiri." (Surah Al-Saffaat: 112-113)


A. Catatan Tambahan


     Diriwayatkan bahawa Nabi Ibrahim wafat pada usia 175 tahun. Nabi Ismail pada usia 137 tahun dan Nabi Ishaq pada usia 180 tahun.









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.




No comments:

Post a Comment