Tuesday 8 May 2018

NABI LUT A.S. [ BAHAGIAN 2 (AKHIR) ]






BAHAGIAN 2 (AKHIR)








B. Para Malaikat Tetamu Nabi Ibrahim Bertamu Kepada Nabi Lut

   
     Permohonan Nabi Lut dan doanya diperkenankan dan dikabulkan oleh Allah SWT dikirimkanlah kepadanya tiga orang malaikat menyamar sebagai tetamu biasa. Mereka adalah malaikat yang bertamu kepada Nabi Ibrahim dengan membawa berita gembira atas kelahiran Nabi Ishaq, dan memberitahu kepadanya bahawa mereka adalah utusan Allah SWT dengan tugas menurunkan azab kepada kaum Luth, penduduk kota Sadum. Dalam kesempatan pertemuan tersebut Nabi Ibrahim telah mohon agar penurunan azab kepada kaum Sadum ditunda, kalau-kalau mereka kembali sedar mendengarkan dan mengikuti ajakan Lut serta bertaubat dari segala maksiat dan perbuatan mungkar. Juga dalam pertemuan itu Nabi Ibrahim mohon agar anak saudaranya, Lut diselamatkan dari azab yang akan diturunkan di atas kaum Sadum. Permintaan tersebut diterima dan dijamin bahawa Lut dan keluarganya tidak akan terkena azab.

     Para malaikat itu tiba di Sadum menyamar sebagai lelaki remaja yang berparas kacak dan berwajah serta bertubuh yang elok dan bagus. Dalam perjalanan mereka hendak memasuki kota, mereka berselisih dengan seorang gadis yang cantik dan ayu, sedang mengambil air dari sebuah perigi. Para malaikat atau lelaki remaja itu bertanya kepada si gadis, kalau-kalau mereka diterima di rumahnya sebagai tamu. Si gadis tidak berani memberi keputusan sebelum dia berunding lebih dahulu dengan keluarganya. Maka ditinggalkanlah para lelaki remaja itu oleh si gadis sambil dia pulang ke rumah cepat-cepat untuk memberitahu ayahnya.

     Nabi Lut setelah mendengar laporan puterinya menjadi bingung, jawapan apa yang dia harus berikan kepada para pendatang yang ingin bertamu di rumahnya itu. Budi luhurnya dan sifat ramah-tamah serta cinta tetamu yang ada padanya mendesak kepadanya agar tidak menolak orang-orang musafir yang datang dari jauh itu bertamu dan tinggal di rumahnya untuk beberapa waktu, namun menerima tetamu remaja yang berparas tampan dan kacak, mengundang risiko gangguan kepadanya dan kepada tetamu dari kaumnya yang tergila-gila oleh remaja-remaja yang mempunyai tubuh bagus dan wajah elok. Sedang kalau hal yang demikian itu terjadi dia sebagai tuan rumah harus bertanggungjawab terhadap keselamatan tetamu, padahal dia merasa bahawa dia tidak akan berdaya menghadapi kaumnya yang bengis-bengis dan haus berbuat maksiat itu.

     Timbang punya timbang dan fikir punya fikir, akhirnya diputuskan oleh Nabi Lut, bahawa dia akan menerima mereka sebgaai tetamu di rumahnya, apa pun yang akan terjadi sebagai akibat keputusannya dia pasrahkan kepada Allah SWT yang akan melindunginya. Lalu pergilah dia sendiri menjemput tetamu yang sedang menanti di pinggir kota dan diajaklah mereka bersama-sama ke rumah pada saat kota Sadum sudah diliputi kegelapan dan manusianya sudah nyenyak tidur di rumah masing-masing.

     Nabi Lut berusaha dan berpesan kepada isteri dan kedua puterinya agar dirahsiakan kedatangan tetamu tersebut, jangan sampai terdengar dan diketahui oleh kaumnya. Akan tetapi isteri Nabi Lut yang memang sehaluan dan sependirian dengan penduduk Sadum telah membocorkan berita kedatangan para tetamu dan terdengarlah oleh pemuka-pemuka mereka bahawa Lut ada tetamu terdiri daripada pemuda-pemuda remaja yang tampan parasnya dan memiliki tubuh yang sangat menarik bagi para penggemar homoseks.

     Terjadilah apa yang dikhuatirkan oleh Nabi Lut. Sebaik saja tersebar dari mulut ke mulut berita kedatangan tetamu remaja di rumah Luth, datanglah mereka ke rumah beliau untuk melihat para tamunya untuk memuaskan nafsunya. Nabi Lut tidak membukakan pintu bagi mereka dan berseru agar mereka kembali ke rumah masing-masing dan jangan mengganggu tetamu yang datang dari tempat jauh yang sepatutnya dihormati dan dimuliakan.

     Mereka diberi nasihat agar meninggalkan adat kebiasaan yang keji itu yang bertentangan dengan fitrah manusia dan qudrat alam, di mana Tuhan telah menciptakan pasangan lelaki dan wanita untuk menjaga kelangsungan perkembangan umat manusia, sebagai makhluk yang termulia di atas bumi. Nabi Lut berseru agar mereka kembali kepada isteri-isteri mereka dan meninggalkan perbuatan maksiat dan mungkar yang tidak senonoh, sebelum mereka dilanda azab dan seksaan Allah SWT.

     Seruan dan nasihat-nasihat Nabi Lut tidak dihiraukan dan tidak dipedulikan, mereka bahkan mendesak akan menolak pintu rumahnya dengan paksa dan kekerasan, kalau pintu tidak dibuka dengan sukarela. Merasa bahawa dirinya sudah tidak berdaya lagi untuk menahan arus para penyerbu dari kaumnya itu yang akan memaksakan kehendaknya dengan kekerasan, berkatalah Nabi Lut secara terus-terang kepada para tamunya:

     "Sesungguhnya aku sudah tidak berdaya lagi menahan kamu dari menyerbu ke dalam. Aku tidak memiliki senjata dan kekuata fizikal yang dapat menolak kekerasan mereka, tidak pula mempunyai keluarga atau sanak saudara yang disegani mereka yang dapat aku minta pertolongannya, maka aku merasa sangat kecewa, bahawa sebagai tuan rumah, aku tidak dapat menghalang gangguan terhadap tetamu di rumahku sendiri."

     Sebaik sahaja Nabi Lut selesai mengucapkan keluh-kesahnya, para tetamu segera mengenalkan diri kepadanya dan memberitahu identitinya, bahawa mereka adalah malaikat-malaikat yang menyamar sebagai manusia yang bertamu kepadanya dan bahawa mereka datang ke Sadum untuk melaksanakan tugas menurunkan azab dan seksa atas rakyatnya yang membangkang dan enggan membersihkan masyarakatnya dari segala kemungkaran dan kemaksiatan yang keji dan kotor.

     Kepada Nabi Lut, para malaikat itu menyarankan agar pintu rumah dibuka lebar-lebar untuk memberi kesempatan bagi orang-orang yang haus homoseks itu masuk. Namun malangnya apabila pintu dibuka dan para penyerbu memijak kaki untuk masuk, tiba-tiba gelaplah pandangan mereka dan tidak dapat melihat sesuatu. Mereka mengusap-usap mata, tetapi ternyata sudah menjadi buta.

     Sementara para penyerbu rumah Nabi Lut berada dalam keadaan kacau-bilau, berlanggar antara satu dengan yang lain, berteriak-teriak, tertanya-tanya gerangan apa yang menjadikan mereka buta dengan mendadak, para malaikat berseru kepada Nabi Lut agar segera meninggalkan perkampungan itu bersama keluarganya, kerana masanya telah tiba bagi azab Allah SWT yang akan ditiupkan. Para malaikat itu berpesan kepada Nabi Lut dan keluarganya, agar dalam perjalanan ke luar kota, jangan seorang pun dari mereka menoleh ke belakang.

     Nabi Lut keluar dari rumahnya setelah tengah malam, bersama keluarganya yang terdiri dari seorang isteri dan dua puteri, berjalan cepat menuju ke luar kota, tidak menoleh ke kanan mahupun ke kiri sesuai dengan petunjuk para malaikat yang menjadi tamunya. Akan tetapi si isteri yang merupakan musuh dalam selimut bagi Nabi Lut tidak tergamak meninggalkan kaumnya. Dia berada di belakang rombongan Nabi Lut berjalan perlahan-lahan, tidak secepat langkah suaminya dan tidak henti-hentinya menoleh ke belakang kerana ingin mengetahui apa yang akan menimpa atas kaumnya, seakan-akan meragukan kebenaran ancaman para malaikat yang telah didengarnya sendiri.

     Dan sebaik saja langkah Nabi Lut berserta kedua puterinya melewati batas kota Sadum, sewaktu fajar menyingsing, bergetarlah bumi dengan dahsyatnya di bahawa kaki rakyat Sadum, tidak terkecuali isteri Nabi Lut yang munafik itu. Getaran itu mendahului suatu gempa bumi yang kuat dan hebat disertai angin yang kencang dan hujan batu salji yang menghancurkan dengan serta-merta kota Sadum berserta semua penghuninya. Demikianlah mukjizat dan ayat Allah SWT yang diturunkan untuk menjadi pengajaran dan ibrah bagi hamba-hamba-Nya yang mendatang.


C. Kisah Nabi Lut Dalam Al-Quran


     Kisah Nabi Lut dalam Al-Quran terdapat pada 85 ayat dalam 12 surah, di antaranya surah Al-Anbiya' ayat 74 dan 75 sebagai berikut:

Ertinya:

"Dan kepada Lut, Kami telah berikan hikmah dan ilmu dan Kami selamatkan dia daripada (azab yang telah menimpa penduduk) kota yang mengerjakan perbuatan keji. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang jahat lagi fasik. Dan Kami masukkan dia ke dalam rahmat Kami, kerana sesungguhnya dia termasuk orang yang soleh." (Surah Al-Anbiyaa: 74-75)

     Surah Asy-Syu'ara ayat 160 sehingga ayat 175 sebagai berikut:

Ertinya:

"Kaum Lut juga telah mendustakan para rasul. Ketika saudara mereka Lut berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa?" Sesungguhnya aku ini seorang rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu. Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku. Dan aku tidak meminta ganjaran kepadamu atas ajakan itu; ganjaranku hanyalah terserah kepada Tuhan seluruh alam. Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki di antara manusia (berbuat homoseks) Dan kamu tinggalkan (perempuan) yang diciptakan Tuhan untuk menjadi isteri-isteri kamu? Kamu (memang) orang yang melampaui batas. Mereka menjawab: "Jika engkau tidak berhenti wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan diusir keluar." Dia (Lut) berkata: "Aku sungguh benci kepada perbuatanmu." (Lut berdoa): "Ya Tuhanku, selamatkanlah aku dan keluargaku daripada (akibat) perbuatan yang mereka kerjakan." Lalu kami selamatkan dia bersama keluarga semua. Kecuali seorang perempuan tua (isterinya), yang termasuk dalam golongan yang kena azab itu. Kemudian Kami binasakan yang lain. Dan Kami hujani mereka (dengan hujan batu), maka betapa buruk hujan yang menimpa orang yang telah diberi peringatan itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda (kekuasaan Allah), tetapi kebanyakan mereka tidak beriman. Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Penyayang." (Surah Asy-Syu'ara: 160-175)

     Surah Hud ayat 77 sehingga ayat 83 yang bermaksud:

Ertinya:

"Dan tatkala datang utusan-utusan Kami (para malaikat) itu kepada Lut, dia merasa susah dan sempit dadanya kerana kedatangan mereka dan dia berkata: "Ini adalah hari yang amat sukar." Dan kaumnya meluru datang kepadanya. Dan sejak dahulu mereka selalu melakukan perbuatan-perbuatan yang keji. Lut berkata: "Wahai kaumku! Inilah puteri-puteriku, mereka lebih suci bagi kamu (dengan perkahwinan), maka bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu mencemarkan (nama)ku di hadapan tetamuku ini. Bukankah di kalangan kamu seorang yang bijak berakal?" Mereka menjawab: "Sesungguhnya engkau telah tah bahawa kami tidak mempunyai keinginan terhadap puteri-puterimu; dan sesungguhnya engkau memang mengetahui apa yang sebenar kami kehendaki." Lut berkata: "Seandainya aku mempunyai kekuatan (untuk menentang kamu) atau kalau aku dapat berlindung kepada keluarga yang kuat (tentu aku lakukan)." Para utusan malaikat berkata: "Wahai Lut! Sesungguhnya kami adalah utusan-utusan Tuhanmu, sekali-kali mereka tidak akan dapat mengganggu kamu, sebab itu pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut-pengikutmu pada tengah malam dan janganlah ada seorang pun di antara kamu yang tertinggal, kecuali isterimu. Sesungguhnya dia akan ditimpa azab yang menimpa mereka, kerana sesungguhnya saat jatuhnya azab kepada mereka ialah pada waktu subuh; bukankah subuh itu sudah dekat?" Maka apabila datang perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan Kami hujani mereka bertalu-talu dengan batu dari tanah yang terbakar. Yang diberi tanda oleh Tuhanmu. Dan seksaan itu tiadalah jauh dari orang yang zalim." (Surah Hud: 77-83)

     Surah Al-Qamar ayat 33 sehingga 39 sebagai berikut:

Ertinya:

"Kaum Lut pun telah mendustakan peringatan itu. Sesungguhnya Kami kirimkan kepada mereka angin ribut yang membawa batu-bata (yang menimpa mereka), kecuali keluarga Lut. Kami selamatkan mereka sebelum fajar menyinsing sebagai nikmat daripada Kami. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang yang bersyukur. Dan sesungguhnya dia (Lut) telah memperingatkan mereka akan hukum Kami tetapi mereka mendustakan peringatanKu. Dan sesungguhnya mereka telah memujuknya (agar menyerahkan) tetamunya (kepada mereka). Lalu Kami butakan mata mereka, maka rasakanlah azabKu dan peringatanKu! Dan sesungguhnya pada esok harinya mereka benar-benar ditimpa azab yang tetap. Maka rasakanlah azabKu dan peringatanKu!" (Surah Al-Qamar: 33-39)

     Dan surah At-Tahrim ayat 10 yang mengisahkan isteri Nabi Lut yang mengkhianati suaminya, sebagai berikut:

Ertinya:

"Allah membuat perumpamaan bagi orang kafir, isteri Nuh dan isteri Lut. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya, tetapi kedua suaminya itu tidak dapat membantu mereka sedikit pun dari (seksaan) Allah; dan dikatakan (kepada kedua isteri itu): "Masuklah kamu berdua ke neraka bersama orang yang masuk (neraka)."" (Surah At-Tahrim: 10)









N / F : DARIPADA "KISAH-KISAH PARA NABI & RASUL", OLEH ABDULLAH BIN AHMAD MUBARAK.


No comments:

Post a Comment