Tuesday 10 February 2015

SRIKANDI-SRIKANDI YANG BENAR

~~ AMINAH ~~

Aminah binti Wahab lebih dikenali sebagai bonda junjungan besar Nabi Muhammad. Namun pada satu sisi lain, Aminah adalah wanita Quraisy yang terbaik pada waktu itu dari segi keturunan dan kedudukannya sehingga boleh digelar sebagai puteri kaum Quraisy. Beliau adalah isteri kepada Abdullah bin Abdul Mutalib, pemuda Quraisy yang terbaik pada zamannya. Beliau juga adalah anak kepada pemimpin bani Zuhrah, Wahab bin Abdul Manaf. Namun, sedari kecil beliau dipelihara oleh bapa saudaranya, Wuhaib bin Abdul Manaf.

Beliau meninggal dunia pada tahun 557 Masihi semasa dalam perjalanan pulang ke Mekah dari Madinah. Beliau dikebumikan di perkampungan bernama Abwaa.


~~ FATIMAH ~~

Segala-galanya bermula daripada sebuah keluarga yang dimuliakan oleh Allah. Lahir seorang puteri yang mulia. Beliau adalah susuk wanita yang dijadikan teladan sejak zaman berzaman. Taatnya pada Allah, patuhnya kepada Nabi, setianya kepada suami, dan sayangnya kepada anak-anak, adalah sebuah kisah indah yang sempurna.

Beliau adalah perisai yang menepis segala tohmahan dan cemuhan terhadap ayahandanya yang tercinta. Air mata ayahandanya adalah air matanya. Beliau insan terpilih, akhlaknya sempurna, peribadinya terpelihara. Beliau adalah Fatimah, puteri Nabi Muhammad, puteri yang dijanjikan syurga.


~~ RABIATUL ADAWIYAH ~~

Rabiatul Adawiyah adalah wanita yang diangkat tarafnya menjadi wali. Punyai suara yang merdu dan wajah yang ayu, namun cinta hatinya tidak mampu dimiliki lelaki. Biarpun ulama terbilang yang datang meminang, biarpun sultan negara yang datang merisik, Rabiatul Adawiyah kekal sendiri kerana cinta hatinya hanya untuk-Nya.

Kisahnya bermula dengan lahirnya sebagai anak keempat dalam keluarga yang miskin. Beliau dinamakan Rabiah yang bermakna nombor empat. Beliau diuji dengan kematian ayah dan ibunya pada saat beliau masih muda. Tidak cukup itu, beliau diculik lalu dijual sebagai hamba.

Tidak sedikit pun Rabiah kesal. Baginya, Allah jua lebih tahu apa yang terbaik untuk dirinya. Tidak sebaik-baik pelindung selain Allah dan tiada tempat sebaik-baik mengadu juga selain Allah. Sampai akhir hayatnya, Rabiah tersenyum pada saat malaikat maut sudah hampir benar menjemputnya pergi, kerana beliau sudah terlalu rindu kepada Kekasih hatinya.




P/S : DIPETIK DARIPADA BUKU "SRIKANDI-SRIKANDI YANG BENAR", DITULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment