Monday 23 February 2015

AMINAH [ BAB 7 - BAHAGIA UNTUK AMINAH ]




BAHAGIA UNTUK AMINAH



Pada keesokan harinya, Mekah kelihatan sibuk sekali. Kegembiraan dan kegirangan jelas terpapar pada wajah para penduduk kota Mekah. Bahkan pengemis yang papa kedana dan sebatang kara mampu tersenyum kini kerana tahu mereka akan dijamu makan daging unta yang enak hasil pertukaran nazar Abdul Mutalib.

     Nilai Abdullah bersamaan dengan 100 ekor unta.

     "Gembira kamu pada hari ini," sapa seorang pengemis kepada sahabatnya.

     Sahabatnya itu kelihatan malas mahu bangkit daripada tidur kerana tempat tidur yang terlindung daripada panas matahari itu, selesa untuk dirinya.

     "Kamu tidak gembira?" tanyanya kembali kepada sahabatnya itu. Matanya masih dipejamkan.

     Dia lantas menyambung dengan bertanyakan soalan kepada sahabatnya. "Aku tidak pernah sebegini kenyang sepanjang hidup ini. Bilakah kali terakhir kamu makan daging?"

     Kawannya itu tersenyum. "Saya sudah lupa bilakah kali terakhir kita makan daging unta."

     "Nasib baik juga, bukan Abdullah yang disembelih. Sekiranya tidak, kita hanya akan berputih mata. Daging manusia mana boleh dimakan."

     Tiba-tiba, sekumpulan fakir miskin berlari-larian di hadapan mereka.

     "Ke manakah mereka itu?"

     "Ke mana lagi sekiranya bukan ke tempat sembelihan unta-unta Abdul Mutalib itu."

     Kumpulan-kumpulan musafir yang lalu dan singgah, sama ada mahu ke tempat lain ataupun sememangnya mahu datang ke kota Mekah menunaikan haji dan umrah kerana begitu senang apabila mendapat daging-daging unta sedang dibahagi secara percuma.

     Mereka memuji, "Sungguh mulia kaum Arab Quraisy. Kita dimuliakan sebagai tetamu sehingga makanan yang sebegini enak disediakan untuk tetamu mereka."

     "Ya, kita wajar mencontohi mereka. Walaupun mereka terkenal sebagai kaum yang keras hati dan suka berperang, namun dalam hal menghormati tetamu yang datang ke laman mereka, mereka adalah yang terbaik," tingkah salah seorang anggota rombongan.

     Anggota rombongan bertanyakan salah seorang penduduk di situ, "Saudara, apakah menjadi kebiasaan unta-unta disembelih dengan begitu banyak dan dibahagikan kepada sesiapa sahaja?"

     Dengan bangga penjaga itu menjawab, "Ya, namun apa yang kamu lihat sekarang adalah sembelihan daripada 100 ekor unta yang menjadi tebusan kepada nazar Abdul Mutalib."

     "Apakah nazarnya?"

     "Abdullah, anak Abdul Mutalib, putera Quraisy kesayangan kami semua sepatutnya disembelih."

     Alangkah terkejutnya rombong itu. "Ceritakanlah perkara yang sebenarnya."

     Tanpa rasa berat hati, pemuda itu menceritakan kisah bersejarah itu kepada rombongan itu. Mereka kagum tidak terkata dan timbul rasa hormat yang mendalam pada Abdul Mutalib serta anak-anaknya, terutama Abdullah.

     Sementara itu, di rumah Fatimah, ibu kepada Abdullah dan isteri kepada Abdul Mutalib sedang dibanjiri oleh tetamu. Kelihatan mereka sibuk melayani tetamu. Puteri-puterinya yang lain juga turut sama menolong.

     Tetamu yang bertali arus itu datang mengucapkan kata-kata selamat dan tahniah kerana Abdullah terselamat daripada disembelih tempoh hari.

     "Tahniah dan bergembiralah wahai Ummu Abdullah, anak puan sudah selamat dan kami semua sangat gembira." Salah seorang hadirin menyapa.

     "Ya, ini adalah perkara yang paling bersejarah bagi kaum Arab Quraisy. Kegembiraan ini wajar dikongsi semua penduduk Mekah. Sepanjang jalan kami menuju ke sini, kami lihat orang ramai semuanya bergembira," tingkah sahabatnya.

     "Abdullah adalah putera kita semua dan Arab Quraisy berbangga dengan Abdullah. Syukur kita semua terlepas daripada kesedihan atas kehilangannya. Tidak dapat saya bayangkan apakah kesannya kepada kita semua sekiranya benar Abdullah disembelih oleh suamimu." Wanita yang berpangkat nenek antara mereka pula berkata hiba.

     Fatimah segera meleraikan suasana itu. "Wahai ibu-ibu sekalian, usahlah kita bicarakan perkara yang sudah berlalu kerana hari ini adalah hari yang gembira. Apakah kamu semua datang bagi bercerita perkara-perkara yang sedih itu?"

     Keceriaan terserlah pada wajah mereka semua. Walaupun resah beberapa hari lalu masih terasa, namun sebagai tuan rumah, Fatimah gagahkan diri dan cekalkan hati bagi menyambut hari keraian itu.

     Tidak ketinggalan dalam majlis itu gadis-gadis Quraisy Mekah yang hadir mengikuti orang tua mereka dengan suatu harapan yang menggunung iaitu bagi menambat hati Abdullah.

     Dalam kalangan ibu-ibu yang hadir pula sibuk berbicara sesama mereka. "Alangkah bertuah sekiranya kita dapat berbesankan Fatimah...."

     "Maksud puan, mengambil anak Fatimah menjadi menantu?" tanya salah seorang daripada mereka.

     "Ya, siapa yang tidak menginginkannya? Menjadikan Abdullah sebagai menantu mereka?" jawab puan itu pula.

     Hadirin yang lain terdiam. Masing-masing menggerutu dalam hati. Sebenarnya antara agenda yang dirancang oleh para ibu kaum Quraisy pada hari itu adalah menyuruh anak-anak mereka berpakaian paling indah dan bersolek bagi menarik perhatian Abdullah, paling kurang pun memikat hati ibunya, Fatimah.

     Sekiranya diperhatikan pada majlis itu, lebih separuh daripada hadirian adalah anak gadis yang muda. Ibu mereka masing-masing pula sedang berusaha bagi mendapatkan perhatian Fatimah.

     Salah seorang ibu yang hadir bertanyakan Fatimah, "Wahai saudaraku Fatimah, di manakah puteramu Abdullah, suamimu juga tidak kelihatan?"

     Fatimah mengerutkan muka seakan mengingatkan sesuatu. "Saya rasa beliau ada memberitahu saya yang mahu ke kabilah bani Zuhrah. Atas tujuan apa, saya sendiri kurang pasti. Biasanya beliau ke sana bagi menemui sahabatnya, Wuhaib."

     Mendengar jawapan itu, muka ibu-ibu dan anak gadis mereka seakan ketara berubah. Ada galau yang menimpa lalu masing-masing berpandang sesama sendiri seakan berkata tanpa suara, "Habislah harapan kita, Abdul Mutalib dan Abdullah mungkin pergi bagi meminang Aminah, anak saudara Wuhaib dari bani Zuhrah itu."

     Benar, kedatangan mereka ke bani Zuhrah membawa maksud yang tertunggak sekian lama antara Abdul Mutalib dan Wuhaib. Perjalanan yang tidak memakan masa yang lama semakin ringan mengenangkan kegembiraan yang bakal mereka temui di sana nanti.

     Halah terlebih dahulu mendahului rombongan. Sesampai sahaja di rumah ayahnya itu, belum pun sempat dia berjumpa dengan ayahnya, terus sahaja dia menuju ke bilik Aminah.

     Aminah sedikit terkejut, namun dirinya sangat gembira melihat sepupunya itu. "Halah, lama sudah saya tidak menemui kamu."

     Halah segera meraih tangan adindanya yang tercinta itu dengan penuh kasih sayang lalu mereka berpelukan. Halah lantas mengucup dahi dan memancapkan pandangan menyeluruhi wajah Aminah dengan penuh makna. Aminah masih berdebar saat itu memikirkan apa sebabnya Halah berkelakuan begitu. Halah meraih dagu Aminah dan mengangkat wajah setentang dengan wajahnya seraya membisikkan ke cuping telinga Aminah, "Adikku sayang, sudah tiba masanya kamu diberitahukan dengan satu rahsia...."

     Belum sempat Halah meneruskan kata-kata, Wuhaib masuk ke dalam bilik dan mendapatkan mereka berdua. Seraya itu Wuhaib berkata, "Berbahagialah kamu wahai Aminah, seruan takdir sudah tiba." Wuhaib sebak di hujung kata. Dia kemudian menyambung, "Keputusan sudah ditetapkan kepada kamu, adakah kamu merestuinya?"

     Halah yang berada di sisi juga sudah menitiskan air mata syukur dan kasih kerana kegembiraan yang bakal mereka hadapi.

     Merona indah wajah Aminah, terduduk malu tersipu apabila memahami maksud pak cik dan sepupunya itu. Lidahnya kelu tanpa kata.

     Tiba-tiba, isteri Wuhaib datang mendapatkan mereka dalam di dalam bilik itu. "Rombongan sudah tiba...."

     Abdul Mutalib, Abdullah, dan beberapa orang pembesar Quraisy yang lain baru sahaja tiba di penempatan bani Zuhrah. Sudah tentu rumah yang mereka tuju adalah rumah Wuhaib. Kelihatan Wuhaib juga seperti sedang bersedia menanti kehadiran rombongan itu.

     Masuk sahaja ke rumah Wuhaib, selepas mereka bersalaman dan berpelukan tanda persaudaraan yang erat itu, perbincangan dimulakan. Perbincangan mereka rancak sekali dihiasi dengan suasana yang sungguh indah dan harmonis. Basi-basi orang tua menjadi penyeri di samping cerita-cerita semasa yang dikongsi.

     Di dalam bilik, Halah membisikkan lagi kata-kata manis kepada Aminah, "Berbahagialah wahai Aminah, kebahagiaan bakal menjadi milikmu dengan izin Tuhan."

     Aminah tetap membisu dan mulutnya terkunci rapat. Bagi memandang Halah pun, dia tidak sanggup.

     "Bukankah manis apabila berasa bahagia? Kamu layak mendapatkan kebahagiaan ini saudaraku. Mari kita ke sana, lebih sesuai kita berbicara di sana," ajak Halah lantas menarik tangan Aminah ke ruangan di belakang rumah ayahnya itu.

     Seketika kemudian, sekali lagi Wuhaib datang mendapatkan Aminah. Wuhaib menatap wajah indah Aminah lalu berkata, "Wahai anak kepada saudaraku, Wahab. Takdir sudah ditetapkan untuk kamu, adakah kamu bersetuju?"

     Aminah hanya mampu mendiamkan dirinya. Wajahnya semakin merona merah. Wuhaib dan Halah memandang kepada dirinya dengan tersenyum bahagia.

     Diam itu ertinya bersetuju.

     Hati Aminah berkata, 'Wahai pak cik, tidak ada perkara yang paling bahagia melainkan bersuamikan Abdullah. Sayalah wanita yang paling baahagia. Katakan sahaja kepada mereka yang saya setuju.'

     Namun apakan daya itu hanya luahan hati seorang gadis yang tidak wajar berkata-kata dalam urusan sebegitu. Harapan yang Aminah ada ialah Halah. "Wahai Halah, berbicaralah untukku."

     Halah sebenarnya mengetahui dan memahami perasaan Aminah saat itu. Dia kemudian memeluk Aminah dan berkata kepada ayahnya, "Wahai ayahku, semoga Tuhan memberkati kamu dan nenek moyang kita. Sampaikanlah kepada rombongan Abdul Mutalib. Pemuda yang paling layak disandingkan dengan Aminah adalah Abdullah dan gadis yang paling layak untuk Abdullah adalah Aminah, tiada sangsinya lagi."

     Air mata bahagia meleleh laju menelusuri pipi Wuhaib. Dia kembali ke ruang tamu mendapatkan Abdul Mutalib, Abdullah, dan ahli rombongan yang lainnya.

     Apabila Abdul Mutalib berdiri melihat Wuhaib keluar dari bahagian dalam rumah, segera beliau bertanya, "Bagaimana?"

     Wuhaib menyambutnya dengan senyuman, didepakan tangan lantas dirangkul tubuh sahabatnya itu. Wuhaib kemudian membisikkan sesuatu ke telinga Abdul Mutalib.

     "Terima!"

     Senyuman tercipta di wajah Abdul Mutalib, dia lantas berpaling kepada ahli rombongan yang sedang menanti dan berkata dengan suara keras, "Terima... terima...."

     "Syukur...!"

     Suasana menjadi gamat dengan suara puji-pujian dan kesyukuran. Mereka berpelukan dan menyanyikan lagu kegembiraan. Abdullah tersenyum bahagia lalu matanya bersinar memancarkan cahaya karisma. Semua yang turut gembira. Mereka menyambut dua kegembiraan dan kesyukuran serentak pada hari itu.




P/S: DIPETIK DARIPADA BUKU SRIKANDI-SRIKANDI YANG BENAR, DITULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI. SYUKRAN JAZILAN.

No comments:

Post a Comment