Sunday 15 February 2015

AMINAH [ BAB 3 - NAZAR ABDUL MUTALIB ]



NAZAR ABDUL MUTALIB


Di padang pasir yang memutih itu, Nabi Ibrahim diperintah Tuhan meninggalkan anak kesayangan yang masih merah bersama isterinya yang cekal. Ismail yang masih hijau pucuk itu menangis menagih susu daripada bondanya.

     Siti Hajah kebuntuan.

     Ismail adalah anak hasil perkongsian kasih dengan suami tercinta, Ibrahim, dan mereka berdua terpelanting jauh dari bumi Palestin ke padang pasir yang entah di mana. Walau bagaimanapun mereka akur dan reda, tatkala tahu itu adalah suruhan Allah kepada suaminya, seorang nabi dan rasul.

     Kaki Ismail menujah-nujah tanah dek kerana kelaparan dan kehausan. Siti Hajar berkejaran antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali dalam kekalutan melihat fartamorgana yang diimpikannya sebagai air. Mahunya air untuk anaknya Ismail semata-mata, dirinya tidak diutamakan kala itu.

     Ismail terus menujah, sehingga Allah dengan kuasaNya, memunculkan pancutan air yang membuak-buak dari bumi yang berkat itu. Itulah sejarah bumi Mekah, bumi sejarah bapa segala nabi, Ibrahim dan anakandanya, Ismail.

     Kini Mekah menjadi tumpuan orang Arab di rantau ini. Mereka berkumpul di Mekah bagi menunaikan haji. Paling tidak yang bermusafir dan berdagang pasti singgah berdagang dan dan berehat sambil menikmati sendiri air berkat yang hanya didapati di situ, itu ialah air zamzam.


===================


Hari itu, sekumpulan musafir yang melalui Mekah singgah saat sang mentari sedang mencanak di ubun-ubun kepala dan memancarkan sinar dengan gah dan angkuh sekali di dada langit.

     Mereka terkejut.

     "Lengang sungguh kota Mekah waktu ini. Ke manakah semua penghuninya? Adakah mereka sudah meninggalkan tanah tumpah darah mereka ini?" soal ketua rombongan musafir itu.

     "Bukan begitu, tuan. Sebenarnya, menjadi tabiat orang Arab di sini, pada saat mentari terik memancarkan sinar, mereka hanya berehat dan tidur di rumah," jawab pembantunya.

     "Benarkah begitu?"

     "Benar tuan, itu mengikut pengalaman saya yang sudah beberapa kali singgah di sini. Jangan risau, orang Arab Quraisy amat meraikan tetamu-tetamu mereka. Walaupun musuh mereka sendiri, sekiranya datang sebagai tetamu, orang Arab Quraisy akan sambut dan raikan mereka sebaik mungkin."

     Ketua rombongan musafir itu kagum. "Hebat sungguh kaum ini. Tidak rugi kita bersahabat dengan mereka."

     "Sekiranya begitu tuan, kita cari tempat berehat dahulu. Apabila matahari sudah sedikit condong dan bahang panas sudah berkurangan, para pembesar Mekah berkumpul di suatu sudut berdekatan Kaabah. Saat itu, kita dapat berjumpa dan berbual-bual dengan mereka. Sekiranya benar tuan mahu bersahabat dengan mereka, sediakan hadiah yang hebat-hebat lalu berikan kepada mereka semua. Itulah cara yang paling baik bagi menjadi sekutu mereka," cadang pembantunya.

     Ketua musafir itu tersenyum. Dia tahu apa yang perlu dilakukan.

     Namun pada hari itu, tatkala matahari masih terik memancarkan sinarnya, Abdul Mutalib tidak berehat di rumah seperti biasa. Seakan tidak mampu lagi menanggung permasalahan yang menjadi bebanannya, dia merasakan dirinya perlu berbincang dengan seseorang dengan segera. Dia mahu pergi ke rumah sahabatnya yang bijaksana dan setia itu bagi meluahkan apa yang berkubu di benak sanubarinya.

     Abdul Mutalib mahu mengajak Wuhaib berbicara selepas matahari mulai senget dan menyembunyikan dirinya di balik gunung dan bukit sekitar lembah itu. Abdul Mutalib keluar awal dan singgah di rumah Wuhaib terlebih dahulu sebelum mereka berdua menuju ke tempat biasa untuk para pemuka Quraisy yang berkuasa di Mekah ketika itu bertemu dan berbincang.

     Di sana dia menemui sedikit ketenangan, walaupun dia akhirnya tidak jadi meluahkan permasalahannya kepada sahabatnya yang juga bapa mentuanya itu. Sebelum mereka berdua keluar dan menuju ke tempat berkumpulnya para pembesar Mekah, ada hal yang perlu dibincangkan sesama mereka. Selepas mereka berdua duduk dengan aman, Wuhaib memulakan bicara.

     "Wahai sahabatku pemimpin kaum yang mulia, seperti mana tahun-tahun yang sebelumnya, tanah air kita ini menjadi tumpuan bagi mereka yang mahu menunaikan haji. Namun kebajikan mereka terabai pada tahun ini. Saya lihat mereka semua seperti daging hidup yang disalai di tengah bahang mentari, lihat sahaja penderitaan yang terpaksa mereka tanggung ketika berwuquf di Arafah. Dengan bahagian dada dan kepala yang tidak terlindung, mereka bertalbiyah dan berdoa. Dari Arafah mereka singgah di Mina, di antara dua gunung itu juga mereka dicengkam bara sang suria yang tiada belas. Hal yang sama ditanggung oleh mereka yang bertawaf mengelilingi Kaabah dan berlarian di antara Safa dan Marwah dengan penuh semangat, menahan panahan suria yang semakin tajam daripada tahun sebelum-sebelumnya," terang Wuhaib.

     Pada masa yang sama, Abdul Mutalib dilihat tidak memberikan perhatian kepada kata-kata Wuhaib. Dia seolah-olah tidak mempedulikan langsung perihal masalah yang diutarakan oleh Wuhaib itu.

     Wuhaib perasan kelakuan Abdul Mutalib itu. Sesekali dia mencuri pandangan ke arah Abdul Mutalib, dia dapati pandangannya hanya tertumpu ke laman rumahnya. Abdul Mutalib seakan-akan mencari dan menunggu sesuatu.

     Kemudian Wuhaib cuba menarik perhatian Abdul Mutalib dengan berkata, "Saya tidak dapat membayangkan apakah nasib para jemaah haji sekiranya kamu tidak menemukan kita semua dengan telaga zamzam yang sudah sekian lama tertimbus. Sungguh kita berbahagia dengan air yang melimpah ruah itu."

     Abdul Mutalib terseksa seketika mendengar Wuhaib menyebut berkenaan telaga zamzam. Dia seperti baru mendarat daripada menerawang ke angkasa raya. Dia lantas menyoroti wajah sahabatnya itu seraya berkata, "Tuhan tidak menganiaya hamba-hambaNya yang sentiasa mendambakanNya. Tuhan pasti memberi belas dan rahmat kepada hamba-hambaNya yang menderita kerana beribadah kepadaNya. Dialah yang mentakdirkan saya menemui telaga zamzam kembali. Itu adalah hadiah untuk hamba-hambaNya yang bersusah payah datang dari jauh semata-mata mahu bertalbiyah dan bertahmid kepada Tuhan mereka."

     Wuhaib dengan teliti setiap patah kata yang diucapkan oleh sahabatnya itu, Abdul Mutalib bukan sahaja seorang sahabat, bahkan juga seorang pemuka dan yang paling bermakna adalah Abdul Mutalib merupakan menantu kepada Wuhaib sendiri.

     Wuhaib lantas tersenyum mendengar kata-kata Abdul Mutalib. Dia kagum dengan sifat rendah diri sahabatnya itu.

     "Semoga Tuhan dengan rahmatnya reda dengan kita semua. Semoga Tuhan merahmati dirimu Abdul Mutalib, hanya diriNya sahaja yang tahu betapa susahnya dirimu saat membuat bekas-bekas simpanan air daripada kulit-kulit binatang untuk para jemaah haji. Sungguh besar jasamu kepada mereka semua. Bekas air itu mampu dibawa oleh mereka ke mana-mana sepanjang menunaikan ibadat haji," kata Wuhaib lagi.

     Abdul Mutalib hanya menundukkan wajahnya ke tanah kerana tidak mampu menanggung kata-kata pujian daripada sahabatnya itu. Sekiranya dia tenggelam dalam pujian itu, bermakna dia sedang membinasakan dirinya. Namun dia sedar yang pujian daripada sahabatnya itu, ikhlas sebagai seorang kawan.

     Wuhaib lantas melanjutkan bicaranya kepada Abdul Mutalib, "Adakah kamu masih ingat saat para Arab Quraisy tidak bersetuju dan cuba menghalangmu daripada mencari dan menggali telaga zamzam supaya airnya boleh digunakan? Kemudian apabila sumber telaga zamzam kembali ditemui, mereka jugalah yang terhegeh-hegeh mahu berkongsi segala nikmatnya denganmu. Namun ternyata Tuhan hanya memilih kamu sebagai orang yang selayaknya bagi mengeluarkan air zamzam dari telaganya. Itu adalah kemuliaan daripada Tuhan."

     "Sudahlah, jangan diungkitkan perihal yang sudah berlalu. Semua itu terjadi hanya kerana adanya izin Tuhan. Tambahan pula, bumi Mekah ini tanah haram, rumah Tuhan dan Dialah yang selayaknya menjaganya. Kita ini hanya sebagai pemegang amanah secara kebetulan sahaja," tingkah Abdul Mutalib.

     Abdul Mutalib berusaha menyeka sebak dalam kata-katanya itu. Hampir sahaja dia menitiskan air mata, namun dia hanya mengharapkan reda Tuhan.

     Saat Abdul Mutalib mengangkat wajahnya dan pandangannya dilemparkan buat sekian kalinya ke laman rumah Wuhaib, tiba-tiba matanya tertumpu pada sesuatu susuk yang amat dia senangi. Seraya itu dia tersenyum, ada gambaran bahagia pada wajahnya.

     Rupanya Aminah yang dimaksudkan. Memang menjadi kelaziman Aminah, sekiranya yang hadir menemui bapa saudaranya adalah Abdul Mutalib, dia yang diarahkan menghidang dan melayan makan dan minumt tetamu pak ciknya itu.

     Aminah membawa kurma berserta air dingin sahaja. Selepas dihidangkan, Abdul Mutalib segera menghulurkan tangannya meraih sebiji buah kurma dan diselangi air dingin yang dibawakan oleh Aminah tadi. Saat itu Aminah sudah berubah.

     Abdul Mutalib dilihati menikmati buah kurma dan air dingin itu seperti pertama kali dijumpai, seolah-olah dia bukan orang Arab Quraisy yang menetap di Mekah.

     Seketika kemudian dia berkata, "Maha suci Tuhan, betapa lazatnya buah kurma ini dan betapa manisnya air dingin ini."

     Wuhaib yang asyik memerhati kelakuan Abdul Mutalib kemudian menjawab, "Saudaraku, ini adalah buah kurma yang tumbuh di negeri kita ini, bentuk dan rasanya tidak pernah berubah. Kita juga yang membelinya daripada penjual di pasar Mekah. Air minumannya pula hanya air zamzam yang disejukkan, tiada bezanya daripada air yang kamu minum di rumahmu termasuk seluruh penduduk Mekah dan para tetamu haji. Saya mahu bertanya, apakah maksud segala pujianmu itu?"

     Tiba-tiba, wajah Abdul Mutalib ceria, lantas dia memalingkan wajahnya kepada Wuhaib dan mata mereka bertentangan seketika.

     Abdul Mutalib ketawa ringan. Seketika dia bersuara, masih tersisa manis senyumannya. "Benar katamu Wuhaib, ini hanya kurma kota kita, dan air ini pula adalah air zamzam yang mengalir dalam tubuh kita sejak lahir di dunia ini lagi. Namun yang membezakan adalah kerana penghidangnya adalah Aminah, anak abangmu, Wuhaib. Tangan Aminah yang membuatkan semua ini berbeza, mungkin sahaja racun mampu menjadi madu kerana sentuhannya."

     Wuhaib tidak tersinggung dengan penyataan Abdul Mutalib. Dia tahu Abdul Mutalib hanya memberikan gambaran awal tentang gadis yang bernama Aminah, mungkin sahaja untuk Abdullah, anak terunanya yang sempurna itu.

     "Mungkin Halah sudah mengkhabarkan perihal Aminah kepada Abdul Mutalib," getus Wuhaib dalam hati.

     Wuhaib menarik nafas panjang-panjang... dalam-dalam. Abdul Mutalib memerhatikan lantas kedua-duanya menyoroti laman yang terbentang sekeliling rumah Wuhaib.

     Beberapa ketika mereka terdiam....

     "Aminah sudah dewasa, wahai saudaraku Wuhaib." Terang dan jelas butiran kata itu.

     Kala itu juga terpapar ukiran girang pada wajah Wuhaib, tanpa dipaksa dan diminta dia melemparkan kata-kata yang gembira. "Aminah adalah puterimu Abdul Mutalib, dan kamu adalah penjaganya. Jadikan dia milik bani Hasyim yang sah supaya lebih bertaut dan utuh kedua-dua bani ini. Biar semua orang tahu yang bani Hasyim dan bani Abdul Manaf adalah bersaudara, sedarah sedaging selama-lamanya."

     Abdul Mutalib sedikit terkejut kerana tidak menyangka Wuhaib berkata begitu. "Pasti Halah sudah memaklumkan rencanaku tentang ciri-ciri yang perlu ada pada bakal menantuku."

     Abdul Mutalib sedar apabila dia mengatakan yang bakal menantunya perlu memiliki sifat-sifat yang dinyatakan itu dan ada seorang sahaja yang menepatinya. Abdul Mutalib juga sebenarnya memaksudkan gadis yang bernama Aminah.

     Abdul Mutalib tenang kembali lalu berkata, "Wahai saudaraku Wuhaib, bersabarlah sejenak. Saya tahu perihal para pembesar dan pemuda Quraisy yang mendatangimu siang dan malam melalui utusan mahupun mewakili diri sendiri dalam usaha mereka mendapatkan Aminah."

     Abdul Mutalib kembali menyambung, "Sekiranya Aminah adalah gadis yang layak direbut oleh sekalian orang Arab Mekah. Pada saat kita masih bernyawa dan bernafas ini, mustahil bagi menemukan gadis seperti Aminah di mana-mana. Bersabarlah, saya juga gundah seperti dirimu apabila memikirkan hal ini. Hanya saya minta supaya kita berdua boleh bersabar sedikit waktu sahaja lagi dan dengan izin Tuhan, semuanya terlerai dengan jelas."

     Wuhaib menyoroti wajah sahabatnya yang juga menantunya itu. Ada sinar pengharapan dan kepercayaan pada wajahnya. Dia tahu Abdul Mutalib pasti mengotakan janji-janjinya kerana bukan sehari dua dia mengenali Abdul Mutalib.

     Abdul Mutalib kemudiannya menguntumkan bait-bait doa dalam harinya tanpa henti. Penuh pengharapan dan kesungguhan, memohon ketabahan dan kekuatan bagi melunaskan janji dan nazar yang diktikadkan bagi dilakukannya. Tidak cukup dengan itu, dia melafazkan doa-doa pula sambil tangannya didepa dan diangkat ke atas.

     Wuhaib sebenarnya bersimpati kepada sahabatnya itu kerana dia sedar yang Abdul Mutalib sedang berperang hebat dengan dirinya sendiri. Ada nazar yang perlu dilunaskan oleh Abdul Mutalib iaitu nazar yang membabitkan nyawa. Nazar yang menunjukkan pengabdian dirinya kepada Tuhan yang dia tidak mendustakan nazarnya itu.

     Wuhaib lantas bertanya, "Wahai Abdul Mutalib, adakah kamu masih memikirkan hal itu?"

     "Benar Wuhaib, hal ini sentiasa saya fikirkan. Saya sudah bernazar dan semestinya perlu ditunaikan. Salah seorang putera saya perlu disembelih bagi mempersembahkan kepada Tuhan. Bukankah kamu juga tahu betapa gentingnya saat saya dikerumuni oleh orang Quraisy? Saat cangkul yang saya gunakan diangkat tinggi bagi mencari sumber air zamzam yang sudah tertimbus, kerana Tuhan sudah mengisyaratkan dengan bisikan suara. Tatkala itu, mereka semua memusuhi saya, walhal tidak sekalipun saya berbuat onar dan jahat kepada mereka. Pada waktu itu, putera saya, al-Haris seorang sahaja yang berdiri utuh di belakang. Padahal pada waktu itu bersama dengan orang Quraisy ada anak muda mereka, namun saya dan al-Haris dibiarkan sahaja kerana mereka semua memusuhi dan menzalimi saya," adu Abdul Mutalib.

     Tanpa disangka ada lelehan air mata di pipi Abdul Mutalib, ada sebak yang menyelubungi, untuk beberapa ketika dia hanya membatukan diri. Hanya kedengaran naik turun nafas rentanya. Dia kelihatan gementar yang luar biasa, seperti anak kecil yang ditinggalkan ibu di tengah padang pasir.

     Abdul Mutalib kemudian menyambung ceritanya kepada Wuhaib, "Ketika itu, yang saya perlukan adalah anak lelaki yang ramai kerana anak lelaki yang menjadi kebanggaan para kabilah Quraisy. Mereka bahkan berlumba-lumba, sombong, dan angkuh dengan ramainya anak lelaki mereka."

     Suara esak Abdul Mutalib semakin reda, namun getaran amarah yang bercampur-baur dengan kesedihan masih wujud dan nampak jelas di wajahnya. Abdul Mutalib meneruskan bicara, "Lantas saya bernazar kepada Tuhan, andai saya dikurniakan sepuluh orang anak lelaki, salah seorang daripada mereka saya akan sembelih sebagai korban kepadaNya. Setelah sekian lama, Tuhan akhirnya memakbulkan doa dan nazar saya. Apakah perlu saya buat-buat tidak endah pada nazar yang terdahulu? Andai dihitungkan segala nikmat yang dikurniakan olehNya, nescaya menyembelih seorang anak sebagai korban nazar juga tidak setanding dengannya. Mungkin kalian dapat melupakan apa yang saya ungkapkan dahulu, namun tidak pada diri saya. Siang dan malam bahkan setiap saat, lafaz nazar itu saya ingat, seiring dengan denyutan nadi air. Air zamzam yang menjadi saksi, air zamzam juga adalah jiwa dan darah daging Abdul Mutalib, kalian mungkin terlupa, tetapi tidak diri ini."

     Kata-kata itu sangat tegas bunyinya. Berat bagi Wuhaib mengiakan, berat juga bagi menidakkan. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memkulnya, tambahan pula dia tahu Abdul Mutalib seorang yang mempercayai Tuhan dan sangat patuh kepadaNya.

     "Namun sahabatku, bukankah membunuh manusia bagi menunjukkan ketaatan kepada Tuhan bukan sesuatu yang baik? Walaupun kita bangsa berperang, namun pantang bagi kita orang Arab membunuh darah daging sendiri, walaupun untuk korban kepada Tuhan. Ini bukan cara kita sebagai orang Arab. Ini menimbulkan rasa tidak senang seluruh bangsa dan kabilah Arab di Mekah ini. Jangan-jangan nanti timbul pula fitnah yang dasyat dengan menyandarkan kepadamu amalan itu. Saya khuatir kerana dirimu lebih dikenali sebagai seorang yang amat disegani, yang menghilangkan dahaga dan derita penduduk Mekah ini zaman berzaman," tingkah Wuhaib pula.

     Abdul Mutalib memandang wajah Wuhaib lalu muka sahabatnya ditatap penuh makna. Kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya, Wuhaib sudah menjangkakan tindakan itu. Dengan keadaan dirinya yang semakin tenang, Abdul Mutalib berkata kepada Wuhaib, "Ini adalah kehendak Tuhan, adakah sesiapa yang mampu menolaknya? Apatah lagi saya hanya seorang yang bernama Abdul Mutalib. Saya mahupun kamu dan sesiapa sahaja tidak mampu menghalang ataupun menangguhkan kehendak Tuhan ini."

     Tanpa disedari, sebenarnya Aminah berada berdekatan dengan kdua-dua orang tua itu. Dia mendengar setiap butiran percakapan mereka berdua.

     Dengan dada yang penuh sesak dan sebak, dia berkata dalam hatinya, 'Apakah benar Pak Cik Abdul Mutalib mahu melaksanakan nazarnya? Menyembelih salah seorang puteranya? Mengapa Halah tidak pernah mengkhabarkan hal ini kepadaku, ataupun dia juga tidak mengetahuinya sehingga hari ini?'

     Dia bermonolog sendirian lagi, fikirannya menerawang entah ke mana. 'Tidak bolehkah nazar itu ditebus dengan perkara lain? Mustahil Tuhan tersangat kejam mahu menerima seorang manusia yang dibunuh dan disembelih sebagai korban kepadaNya? Tujuan nazar itu sendiri bukankah salah satu cara mendekatkan diri kepada Tuhan? Apakah keuntungan yang dinikmati oleh Tuhan daripada manusia yang dikorbankan?'

     Aminah terus tenggelam dalam pemikirannya. Lebih tepat lagi hatinya yang mulus tidak dapat menerima pembunuhan seorang manusia hanya kerana mahu menunaikan nazar yang digambarkan sebagai salah satu cara bagi mendekati Tuhan.

     Lewat malam itu, masih ada manusia yang tidak mampu melelapkan mata kerana memikirkan masalah yang bukan secara langsung adalah masalah dirinya. Aminah seakan tidak keruan di pembaringan. Aminah bekerja keras memikirkan penyelesaian bagi masalah nazar Abdul Mutalib, suami sepupunya, Halah.

     'Sungguh kasihan siapa yang menjadi korban antara anak Pak Cik Abdul Mutalib. Apakah ini pengulangan perintah Tuhan kepada Ibrahim bagi menyembelih Ismail? Namun yang dikhuatirkan adalah, bagaimana pak cik memilih anak kandungnya sendiri sebagai korban... siapakah dia? Sekiranya yang terpilih adalah....' Aminah tidak sanggup meneruskan khayalannya itu.




P/S : DIPETIK DARI BUKU SRIKANDI-SRIKANDI YANG BENAR, DITULIS OLEH ZAHIRUDDIN ZABIDI.

No comments:

Post a Comment