Friday 13 February 2015

AMINAH [ BAB 1 - PUTERI QURAISY ]


PUTERI QURAISY

Dalam cuaca yang panas membahang, kelihatan sayup-sayup gerombolan para musafir sedar berpanas di tengah padang pasir. Mereka mungkin para pedagang ataupun para tetamu yang mahu menunaikan haji. Nun jauh di sana, hanya fatamorgana yang menjadi hiasan mata. Namun mereka tahu, itu hanya tipu daya lautan lahar berpasir. Mereka sudah biasa kerana mereka sememangnya dilahirkan sebagai bangsa yang menghuni padang pasir, yang hidup dan mati juga kerananya.

     Namun ada keajaiban Tuhan di tengah padang pasir tanah arab itu. Di tengah-tengah kepanasan, hidup bangsa Arab yang berdagang dan mengembala haiwan sebagai sumber hidup mereka. Selain dikenali kerana kerap berperang, mereka juga terkenal dengan ketinggian dan kehebatan syair-syair yang memuji dan mencerca. Kecemerlangan dan kesusasteraan adalah antara sebab mereka dikenali di peta dunia. 

     Mereka digelar jahiliah bukan kerana tidak bertamadun, namun kerana tidak bertuhankan Tuhan yang esa. Mereka menjadikan batu batu berhala yang berjumlah 365 buah itu sebagai pengantara Tuhan yang esa. Mereka mensyirikkan Tuhan datuk dan nenek moyang mereka sendiri iaitu Tuhan yang disembah Ibrahim dan Ismail.

     Mereka adalah bangsa Arab Quraisy, mempunyai kabilah dan bani. Mereka juga yang mendiami wilayah barakah yang dinamakan Mekah. Merekalah tuan kepada padang pasir itu.

=====================

Di kota itu...

     "Mari kits main bersamanya," kata seorang kanak-kanak kepada kawan-kawannya apabila melihat budak perempuan itu.

     Salah seorang daripada mereka berasa ragu. "Mahukah dia bermain bersama kita?"
  
     "Mengapa tidak?" tingkah yang seorang lagi.

     "Bukankah dia daripada kalangan kabilah bangsawan. Ayah, pak cik, serta datuknya adalah pembuka kota Mekah ini." Seorang lagi bersuara.

     Mereka mahu sangat bermain dengan budak perempuan yang sungguh comel itu. Budak perempuan itu juga kelihatan sopan dan baik. Mereka terpesona dengan ketulusannya. Namun timbul kerisauan kerana status keturunan dan darjat mereka yang tidak setaraf.

     "Tidak ada gunanya kita berbalah di sini. Mari kita ke sana dan tanyakan sama ada kita boleh bermain dengan dia ataupun tidak." Yang paling tua antara mereka memberikan cadangan.

     Hampir serentak mereka menjawab, "Baiklah!"
     
     Tidak ada aktiviti khusus untuk kanak-kanak di Mekah ketika itu. Mereka hanya berkeliaran di sekitar kota sambil bermain-main sementara ibu bapa mereka sibuk dengan aktiviti masing-masing. Orang Arab ketika itu amat mementingkan perdagangan. Ramai di antara mereka yang berdagang sehingga ke luar Tanah Arab. Antaranya ke Syam, Yaman, Parsi, Rom, dan sebagainya.

     Mereka semakin menghampiri budak perempuan itu. Seorang daripada mereka lantas bertanya, "Bolehkah kami bermain dengan kamu dan sudikah kamu bermain bersama kami?"

     Budak perempuan yang comel itu terkejut dengan kehadiran budak-budak yang kelihatan hampir sebayanya lantas dia berfikir sejenak. Dia mengamati satu per satu budak-budak dalam kumpulan itu.

     Suasana menjadi sunyi seketika.

     "Apa salahnya...," jawab budak perempuan itu. Budak perempuan itu adalah Aminah.

     Mendengar jawapan itu, mereka bersorak riang. Aminah berasa pelik, mengapa mereka begitu teruja dapat bermain bersamanya. Bukan kali itu sahaja, sudah banyak kali Aminah melalui situasi yang sama seperti itu.

     Selepas puas melompat, menari, dan berlari, mereka semua keletihan. Tiba-tiba salah seorang bersuara, "Aminah, khabarnya kamu ini pandai bersyair. Benarkah begitu?"

     Aminah tersipu malu, pipinya memerah. Dia mengangguk perlahan.

     "Sekiranya begitu, sudikah kamu membacanya kepada kami?" tanyanya lagi.

    Aminah menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum simpul.

     "Tolonglah, kami merayu kepada kamu." Mereka mengucapkannya serentak.

     Aminah akhirnya beralah, lantas maju ke hadapan dan berdiri sedikit tinggi di atas bongkah batu lalu mendeklamasikan beberapa buah syair. Dendangan bait syair itu semuanya berkenaan kebanggaan penduduk kota Mekah, pujian, kemenangan serta kebesaran kabilah Arab Quraisy.

     Senja hampir lewat pergi, malam sudah menampakkan dirinya. Namun anak-anak itu tetap sahaja mahu bersama Aminah, bermain dan terus bermain. Aminah pula sentiasa bersedia melayan sahabat-sahabatnya itu.

     "Anak-anak, balik! Hari sudah malam, esok kamu semua sambung main lagi." Tiba-tiba seorang ibu datang kepada kumpulan kanak-kanak itu bagi menjemput anaknya pulang.

     Anaknya kelihatan berat mahu berpisah dengan Aminah. Namun kerana terpaksa, dia pulang jua ke rumahnya. Begitu juga dengan anak-anak yang lain, mereka seakan-akan tidak mahu pulang sekiranya tidak dijemput oleh ibu ataupun ayah masing-masing.
   
     "Kami pulang dahulu, esok kami ke mari lagi." Anak-anak itu berpisah dengan Aminah selepas melafazkan kata-kata itu. Mereka seakan-akan melafazkan janji taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Aminah.

     Keesokannya, sejurus sahaja matahari terbit, kanak-kanak itu sudah pun bersiap-siap dan menuju ke rumah Aminah.

     "Wahai Aminah, marilah kamu bersama kami. Ayuh kita keluar bermain-main bersama," jerit salah seorang daripada mereka dari luar rumah Aminah.

     Aminah yang sudah bersiap-siap pun keluar. Sebelum itu, dia meminta kebenaran daripada penjaganya terlebih dahulu.

     Sebenarnya tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana Mekah bukan kawasan yang luas. Hampir semua penduduknya mengenali antara satu sama lain. Tambahan pula, Aminah dan kanak-kanak itu adalah daripada kabilah kaum Quraisy, kaum yang terbesar dan paling berpengaruh di Mekah ketika itu.

     "Apa rancangan kita hari ini?" tanya Aminah kepada kawan-kawannya.

     "Kita pergi ke Kaabah dan duduk berhampiran telaga zamzam sambil melihat orang ramai yang berpusu-pusu berebutkan airnya." Salah seorang antara mereka memberikan cadangan.

     Ada pula cadangan daripada yang lain. "Apa kata kita berjalan-jalan dahulu mengelilingi kota Mekah, kemudian apabila sudah letih dan dahaga, kita ke Kaabah pula?"

     Masing-masing terdiam seketika.

     "Sekiranya begitu, mari kita bergerak sekarang." Aminah berkata dengan riang.

     Mereka pun memulakan aktiviti pada hari itu. Mula-mula mereka naik dan turun setiap bukit dan tanah di lembah Barkah itu. Apabila berasa letih dan dahaga, mereka menuju ke Kaabah lalu terus ke perigi zamzam bagi membasahkan tekak. Mereka kemudian duduk berehat di tepian air zamzam sambil melihat gelagat manusia yang datang.

     Aminah dan kanak-kanak yang lain memerhatikan sahaja tingkah laku manusia di hadapan mereka. Dia kemudian berkata, "Lihat, oleh kerana lelaki itu kuat dan besar, dia yang dapat ambil air zamzam dahulu. Padahal orang tua yang lemah di belakangnya itu yang sampai dahulu."

     Salah seorang daripada mereka membalas, "Benar Aminah, ini tidak adil. Namun, apa yang mampu kita buat. Kita ni kanak-kanak, kita akan dimarahi oleh mereka sekiranya kita memandai-mandai."

     Aminah menggetap bibir, rasa sebak dan kasihan kepada orang tua itu menebal. Dia tahu sekiranya dia cuba membantu, dirinya pasti dimarahi. Itulah sikap dan sifat orang Arab Quraisy pada waktu itu.

     "Nanti apabila kita sudah dewasa, kita perlu menolong dan membela mereka yang lemah. Mereka juga manusia seperti kita. Telaga zamzam bukan milik orang Quraisy sahaja, ia milik Tuhan, untuk semua manusia." Sahabat-sahabat Aminah terpegun dengan kenyataan Aminah. Mereka tidak sangka yang anak gadis manis itu semakin menonjol sifat prihatinnya.

     Para kabilah yang singgah ke Mekah, sama ada untuk berdagang mahupun datang tawaf di Kaabah, apabila terjumpa atau terserempak dengan Aminah, pasti kagum dengannya.

     "Sungguh manis anak itu, anak siapakah itu?" tanya isteri seorang ketua kabilah dari Yaman sambil matanya melirik ke arah Aminah yang sedang leka bermain.

     Orang Quraisy dengan bangganya menceritakan perihal Aminah dan susur galurnya. "Namanya Aminah. Ayah dan ibunya sudah meninggal dunia, dan kini dirinya yatim piatu. Aminah dibela oleh bapa saudaranya yang bernama Wuhaib bin Abdul Manaf bin Abu Zuhrah."

     "Bukankah beliau salah seorang pembesar Mekah?" soal isteri ketua kabilah itu pula.

     "Benar, puan." Orang Quraisy itu membalas dengan yakin.

     Ketua kabilah pula bersuara, "Saya kenal rapat dengan Wuhaib. Dia seorang yang bijaksana dan dihormati. Ketokohannya sangat terserlah. Beliau adalah orang tengah yang diyakini ketokohannya."

     "Patutlah anak saudaranya juga sangat manis dan jelita. Memang kebanyakan anak bani Zuhrah sempurna rupa parasnya," sambung isteri ketua kabilah Yaman itu.

     Ketua kabilah Yaman itu berkata lagi kepada lelaki Quraisy tadi, sambil matanya memandang sekeliling Kaabah. "Apa yang saya tahu sekiranya penempatan sesebuah kabilah berhampiran dengan Kaabah, maka tinggilah kedudukan dan pengaruh mereka kerana mereka juga kabilah dan bani yang mulia."

     "Benar, 

No comments:

Post a Comment