Sunday 9 April 2017

PERANG UHUD [ BAB 3 - BANI QAINUQA' ]






BANI QUNAIQA'








15 Syawal tahun ke-2 Hijrah

"Madinah ini asal namanya ialah Yathrib. Ia diasaskan oleh seorang Yahudi bernama Yathrib bin Mahlaeil. Sejarahnya bermula apabila orang Greek dan Rom menakluki Palestin kemudian menghalau keluar bangsa kita. Mereka datang ke sini membuka penempatan baru. Pada waktu itu, tempat ini hanya sebuah kawasan yang mundur dan tidak didiami manusia. Nenek moyang kita membangunkan tempat ini sehingga menjadi satu kawasan yang tanahnya subur dan mempunyai saliran air yang baik. Kemudian datang orang Arab dari Saba' iaitu Yaman setelah empangan Ma'arib pecah. Mereka itu asal keturunan suku Aus dan Khazraj.

     "Kemudian mereka berperang sesama sendiri selama beratus-ratus tahun sehingga negeri ini yang pada mulanya aman menjadi huru hara dan kacau bilau. Oleh sebab itu, kita bersetuju pada mulanya untuk menjemput Muhammad dan pengikutnya berhijrah ke sini. Tetapi mereka tidak sedar diri kerana menumpang di tanah air orang kemudian berlagak seperti raja hendak memerintah kita. Muhammad menukar nama Yathrib kepada Madinah," kata Ka'ab bin Asyraf dalam ucapan sulungnya selepas dilantik menjadi ketua orang Yahudi Bani Qainuqa'.

     Malam itu orang Yahudi Bani Qainuqa mengadakan mesyuarat tergempar bagi memilih pemimpin baru. Pemilihan itu terpaksa dilakukan kerana mereka sudah tidak percaya kepada Abdullah bin Ubai yang sudah masuk Islam.

     "Bani Qainuqa' memerlukan seorang pemimpin baru yang bersikap keras terhadap Muhammad dan pengikutnya. Bukan orang yang pandai berpura-pura seperti Abdullah bin Ubai. Tambahan pula Abdullah bin Ubai itu daripada keturunan Bani Khazraj berkahwin dengan wanita Bani Qainuqa'," kata Ka'ab bin Asyraf dalam kempennya hendak mengambil alih kuasa daripada Abdullah bin Ubai.

     Bani Qainuqa adalah kaum Yahudi yang paling berpengaruh di Madinah. Walaupun jumlah mereka tidak sampai seribu orang namun orang Yahudi Bani Qainuqa' yang menguasai ekonomi Madinah. Mereka yang menubuhkan pasar Qainuqa' yang menjadi tumpuan penduduk Madinah. Selama beratus-ratus tahun mereka menguasai pasar Qainuqa. Tetapi kini kedudukan mereka tergugat apabila para peniaga Quraisy yang menjadi pengikut Muhammad turut berniaga di pasar itu. Oleh sebab itulah mereka menaruh perasaan dendam terhadap orang Islam.

     Pada malam itu, Bani Qainuqa berkumpul bagi melantik ketua yang baru. Orang ramai sebulat suara melantik Ka'ab bin Asyraf menjadi ketua baru Bani Qainuqa'.

     Kemudian Ka'ab menyambung ucapannya, "Mulai malam ini kita mesti menyatakan sikap permusuhan terhadap Muhammad dan pengikutnya. Kita juga mesti membuat persiapan untuk berperang dengan mereka. Kukuhkan benteng kediaman kita dan lengkapkan peralatan senjata. Muhammad dan semua para pengikutnya mesti dihalau keluar dari sini. Itu sahaja cara bagi mengembalikan semula maruah kita sebagai bangsa Yahudi yang paling berkuasa," kata Ka'ab bin Asyraf. Ucapannya itu berjaya membakar semangat Yahudi Bani Qainuqa'.

     "Bagaimana pula dengan saudara kita daripada Bani Quraizah dan Bani Nadir? Bukankah mereka juga bangsa Yahudi yang paling rapat dengan kita?" tanya Judan pula.

     "Antara Bani Qainuqa', Bani Quraizah dan Bani Nadir maka Bani Qainuqa' yang lebih berpengaruh. Kita lebih kaya, lebih cerdik dan lebih berkuasa daripada Bani Quraizah dan Bani Nadir. Kita yang menguasai pasar Qainuqa' dan ia menjadikan kita yang memegang tapak perdagangan Madinah. Orang kita juga ramai yang mahir sebagai tukang besi sehingga kita yang membuatkan senjata-senjata untuk mereka. Oleh sebab itulah, kita tidak perlukan bantuan mereka bagi mengambil alih tapak kuasa di Madinah. Selepas Muhammad dan pengikutnya dibunuh ataupun dihalau keluar dari sini maka orang Yahudi Bani Qainuqa' yang berkuasa di sini. Kita tidak perlu berkongsi kuasa dengan Bani Quraizah dan Bani Nadir kerana kita tidak terhutang budi dengan mereka," jawab Ka'ab dengan panjang lebar.

     Ka'ab seorang yang pandai berpidato. Dia berjaya mempengaruhi orang ramai supaya melantik dirinya sebagai ketua. Kemudian dia menaikkan semangat orang Bani Qainuqa' supaya membenci Muhammad dan pengikutnya.

     Kemudian Ka'ab pergi ke Mekah bagi bertemu dengan Abu Sufian. Dia menyatakan persetujuannya bagi membatalkan perjanjian dengan Muhammad dan mengikat perjanjian baru dengan orang Quraisy Mekah. Ka'ab juga meminta Abu Sufian membawa pasukan tentera menyerang Madinah.

     "Apabila kalian menyerang Madinah maka kami akan bertindak dari dalam. Oleh itu, aku yakin dengan mudah Muhammad dan pengikutnya dapat ditewaskan," kata Ka'ab bersungguh-sungguh, berusaha memujuk Abu Sufian bersetuju dengan rancangannya.

     "Wahai Ka'ab, aku ingin bertanya satu soalan kepada kamu terlebih dahulu. Jika jawapan kamu nanti memuaskan hati kami baru kami bersetuju dengan permintaan kamu itu," kata Abu Sufian dalam usahanya untuk menguji ketua baru orang Yahudi Bani Qainuqa' itu.

     "Tanyalah apa sahaja. Moga-moga nanti aku akan menjawab dengan jawapan yang pastinya memuaskan hati kamu," kata Ka'ab pula.

     "Pada pendapat kamu apakah agama kami yang lebih disukai tuhan atau agama yang dibawa Muhammad? Siapakah yang mendapat petunjuk daripada tuhan dan lebih hampir kepada kebenaran? Kami ataupun Muhammad? Siapakah yang lebih dahulu memakai haiwan sembelihan dan meminum susu? Kami ataupun pengikut Muhammad?" tanya Abu Sufian.

     "Semua jawapannya adalah kamu, orang Quraisy Mekah. Kamu yang berada pada jalan yang benar," kata Ka'ab yang sengaja memberi jawapan yang menggembirakan Abu Sufian.

     "Muhammad dan pengikutnya menyembah Allah, tetapi kami menyembah berhala-berhala yang terdapat di keliling Kaabah. Pada pendapat kamu siapa yang benar dan paling baik?" tanya Abu Sufian lagi.

     "Agama kamu yang paling benar dan baik. Sesungguhnya kamu menyembah berhala itu lebih baik daripada Muhammad dan pengikutnya yang menyembah tuhan," kata Ka'ab. Dia sanggul memberikan jawapan tersebut bagi menggembirakan hati Abu Sufian sedangkan agama Yahudi sendiri melarang menyembah berhala.

     Selepas berpuas hati dengan jawapan Ka'ab itu barulah Abu Sufian berjanji akan membantu Bani Qainuqa' mengambil alih kuasa daripada Muhammad. Ka'ab pulang ke Madinah dengan rasa gembira. Dia menghasut orang Yahudi supaya menunjukkan penentangan terhadap Nabi Muhammad secara terbuka.

     Orang Yahudi Bani Qainuqa' berasa megah kerana mendapat seorang ketua yang berani dan bersikap keras terhadap Muhammad dan para pengikutnya. Mereka semakin berani menunjukkan kebencian terhadap orang Islam. Mereka sering mengganggu kaum wanita Islam yang datang ke pasar Qainuqa'. Mereka tidak segan silu mengacau wanita Islam yang membeli barang serta memaksa mereka membeli barang kepada peniaga Yahudi.

     Orang Islam tidak senang hati dengan gelagat orang Yahudi Bani Qainuqa' itu. Mereka meminta izin daripada Rasulullah untuk menyerang balas tetapi tidak diizinkan oleh Rasulullah.

     "Wahai kaum muslimin, apakah kamu menyeru seruan jahiliah sedangkan aku berada di kalangan kamu? Allah memberi petunjuk kepada kamu dengan Islam dan memuliakan kamu dengannya serta memutuskan kamu daripada sifat jahiliah dan menyelamatkan kamu daripada kekufuran dengan menyatukan hati-hati kamu," kata Nabi Muhammad lalu melarang mereka bertindak balas.

     Orang Islam terus bersabar dengan perlakuan orang Yahudi Bani Qainuqa'. Tetapi kebaikan yang ditunjukkan itu membuatkan orang Yahudi semakin berani bertindak ke atas umat Islam.

     "Wahai Rasulullah, lelaki kaum Yahudi Bani Qainuqa' sudah melampau batas. Mereka menipu dalam peniagaan, mengganggu kaum wanita Islam dan sering menghasut orang ramai membenci Rasulullah," kata Abu Dujanah seorang pahlawan Ansar daripada kaum Khazraj.

     "Jika kita berdiam diri mereka tentu semakin berani. Oleh itu, lakukan sesuatu untuk menghentikan perbuatan mereka. Ataupun benarkan kami menyerang mereka," kata yang lain pula.

     Rasulullah tetap menyuruh mereka bersabar dan berjanji akan pergi ke pasar Qainuqa' bagi memujuk orang Yahudi untuk berlaku baik terhadap orang Islam. Kemudian Nabi Muhammad pergi ke pasar Qainuqa lalu berucap.

     "Aku menyeru kamu masuklah Islam sebelum kamu ditimpa oleh apa yang menimpa kaum Quraisy," kata Nabi Muhammad.

     Ka'ab yang berada di situ segera menjawab, "Hei Muhammad, janganlah engkau berasa megah dengan kemenangan kamu ke atas orang Quraisy. Mereka tidak ada ilmu peperangan dan tidak berpengalaman berperang. Kami lebih hebat berbanding orang Quraisy. Jika berlaku peperangan antara kamu dengan kami maka engkau akan tahu betapa gagah dan beraninya kami di medan perang."

     Orang Yahudi Bani Qainuqa' yang berada di situ bertepuk tangan mendengar keberanian ketua mereka mengucapkan kata-kata itu di hadapan Nabi Muhammad. Kemudian mereka mengejek-ngejek serta mengeluarkan kata-kata yang kesat terhadap baginda. Ini menimbulkan kemarahan orang Islam yang turut berada di situ.

     "Hei orang Islam, kami orang Yahudi Bani Qainuqa' lebih gagah daripada kamu. Kami sanggup berperang dengan kamu dan kamu akan dikalahkan," kata Ka'ab dengan sombong.

     Ekoran kejadian itu permusuhan antara orang Yahudi Bani Qainuqa' dan orang Os;am semakin meruncing. Mereka semakin berani mencabar apabila melihat Nabi Muhammad dan pengikutnya tidak melakukan apa-apa tindakan ke atas mereka.

     Seorang peniaga Yahudi yang sering memberi hutang kepada orang ramai, "Jika kamu masih tetap dengan agama nenek moyang kamu maka aku tidak menuntut hutang aku kepada kamu. Tetapi jika kamu menjadi pengikut Muhammad maka aku menuntut kamu membayar hutang kamu pada hari ini juga," katanya dengan angkuh.

     Kerana kata-katanya itu, ramai yang ingin masuk Islam terpaksa menangguhkan dulu keinginan mereka. Ka'ab pula bertindak lebih berani dengan menulis puisi berup pujian terhadap wanita-wanita Yahudi dan cacian terhadap wanita Islam. Apabila ada wanita Islam yang berkenan di hatinya maka dia tidak segan silu mengucapkan kata-kata cumbuan terhadap mereka. Perbuatan Ka'ab sampai ke kemuncaknya apabila Nabi Muhammad sendiri dicaci melalui puisi-puisi yang ditulisnya. Kemudian puisi itu dibacakannya di pasar Qainuqa'.

     Sehubungan dengan itu turun ayat Al Qurans surah al Imran ayat ke-12 yang bermaksud, "Katakanlah kepada orang-orang Yahudi itu, kalian akan dikalahkan dan akan dimasukkan ke dalam neraka jahanam dan itulah tempat seburuk-buruknya..."


============================================


"Wahai Rasulullah, Ka'ab menghasut orang Yahudi supaya memusuhi kita. Kemudian menghasut untuk mengganggu kaum wanita apabila pergi ke pasar. Ka'ab juga menulis puisi yang mencela Rasulullah. Perbuatan Ka'ab sudah melampau," kata Muhammad bin Maslamah yang tidak tertahan lagi melihat tindak-tanduk Ketua Yahudi Bani Qainuqa' itu.

     "Siapakah yang bersedia berhadapan dengan Ka'ab, kerana dia sudah banyak menyakiti Allah dan Rasulnya," kata Nabi Muhammad.

     "Saya, wahai Rasulullah," kata Muhammad bin Maslamah.

     "Saya juga..." kata Abu Na'illah.

     Kemudian tampil pula Al Harith bin Aus, Ubad bin Bisr dan Abu Abs bin Bibr mereka menyatakan kesanggupan berdepan dengan Ka-ab.

     Mereka berlima meminta kebenaran daripada Rasulullah untuk membunuh Ka'ab. Rasulullah mengizinkannya dengan syarat dilakukan secara rahsia agar tidak berlaku perang terbuka dengan Bani Qainuqa'. Selepas mendapat izin Rasulullah, mereka berlima merancang untuk membunuh Ka'ab. Keesokan harinya Muhammad bin Maslamah dan Abu Na'illah pergi ke pasar Qainuqa' untuk berjumpa dengan Ka'ab.

     "Hei pengikut Muhammad. Apa tujuan kamu datang berjumpa aku?" tanya Ka'ab dengan berlagak sombong.

     "Muhammad meminta kami mmeberikan derma tetapi kami tidak mempunyai harta utnuk didermakan. Oleh itu, kami datang untuk meminjam wang daripada kamu," jawab Muhammad bin Maslamah sambil berpura-pura benci terhadap Nabi Muhammad.

     "Nampaknya Muhammad itu sudah menyusahkan kamu sehingga kamu datang untuk meminjam duit daripada aku," kata Ka'ab masih dengan nada suaranya yang sombong.

     "Memang benar. Sebab itu aku datang hendak meminta bantuan kamu. Tambahan pula kamu seorang kaya yang baik hati dan sering membantu mereka yang dalam kesusahan," puji Muhammad bin Maslamah pula bertujuan menyukakan hati Ka'ab.

     "Jika begitu tinggalkan sahaja Muhammad dan kembali ke agama nenek moyang kamu," kata Ka'ab lagi.

     "Kami merasa tidak selamat jika bertindak meninggalkan Muhammad. Oleh itu buat sementara waktu, kami ikut sahaja apa kemahuannya dulu. Maka sebab itu kami benar-benar mahu meminjam duit daripada kamu," kata Muhammad dengan nada suara yang merayu.

     "Baiklah, aku boleh memberi pinjam kepada kamu tetapi dengan satu syarat. Jika syarat itu dipenuhi maka kamu dapat apa yang kamu mahu," kata Ka'ab pula.

     "Apakah syarat-syaratnya?" tanya Muhammad pula.

     "Gadaikan kebun kamu kepada aku," jawab Ka'ab.

     Beginilah cara yang biasa dilakukan oleh orang Yahudi bagi mendapatkan tanah daripada orang Arab. Mereka memberinya hutang dengan cagaran tanah masing-masing. Apabila tidak mampu menyara hutang, maka tanah itu akan dirampas.

     "Kebun kami sudah didermakan oleh Muhammad. Oleh sebab itu kami tidak mempunyai kebun lagi," kata Muhammad.

     "Betapa bodohnya kamu kerana mendermakan kebun kepada Muhammad. Apa yang kamu dapat?" tanya Ka'ab lagi.

     "Kami dijanjikan syurga," jawab Muhammad.

     Ka'ab ketawa sambil membacakan puisi-puisi yang ditulisnya mengenai Nabi Muhammad.

     Anak yatim piatu itu
     Hidup miskin sejak kecil
     Menumpang kasih di rumah saudara mara
     Apabila dewasa mengaku menjadi nabi
     Menjanjikan syurga kepada pengikutnya.

"Kami datang bukan hendak mendengar kamu membaca puisi tetapi hendak meminjam duit," kata Muhammad kerana kurang senang mendengar puisi yang ditulis Ka'ab itu.

     "Ada puisi yang lebih teruk menghentam Muhammad. Mahukah kamu mendengarnya?" tanya Ka'ab pula.

     "Kami tidak minat mendengar puisi kamu. Kami mahu meminjam duit kamu," jawab Muhammad bin Maslamah.

     "Kamu memang bodoh kerana tidak pandai menghargai puisiku," kata Ka'ab dengan lagak sombongnya.

     "Jika kamu tidak mahu menolong kami tidak mengapa. Kami akan mengadu kepada Abdullah bin Ubai," kata Abu Na'illah pula.

     Ka'ab memang pantang mendengar orang menyebut nama Abdullah Ubai di depannya. Apatah lagi jika meminta tolong kepada musuhnya itu.

     Maka Ka'ab pun berkata, "Aku lebih kaya daripada Abdullah bin Ubai. Aku juga lebih baik daripadanya."

     "Jika begitu bantulah kami," kata Muhammad bin Maslamah.

     "Tidakkah kamu tahu orang Yahudi Bani Qainuqa' tidak akan memberi pinjaman jika tidak ada cagaran," kata Ka'ab pula.

     "Kami tidak punya sesuatu untuk dicagarkan kepada kamu," kata Abu Na'illah.

     "Jika begitu gadaikan isteri dan anak gadis kamu kepada aku," kata Ka'ab pula sambil tersenyum.

     "Kami tidak dapat memberinya kerana kami orang terhormat di kalangan keluarga kami. Jika kami melakukannya nescaya hilang hormat mereka," kata Muhamamd bin Maslamah.

     "Baiklah, ini permintaan aku yang terakhir. Gadaikan kepada aku anak lelaki kamu yang sedang meningkat remaja," kata Ka'ab sambil tersenyum meleret.

     "Kelak nanti aku akan dicerca oleh kaum aku kerana sanggup menggadaikan anak lelaki aku hanya untuk mendapatkan sedikit pinjaman daripada Ka'ab seorang Yahudi yang paling kaya," kata Muhammad pula yang menyatakan rasa tidak setujunya.

     "Jika begitu apa yang sanggup engkau gadaikan kepada aku?" marah Ka'ab.

     "Aku sanggup gadaikan semua senjata yang aku miliki," kata Muhammad bin Maslamah.

     "Baiklah, aku setuju kerana senjata kamu itu nanti boleh aku gunakan untuk berperang dengan Muhammad," kata Ka'ab.

     Kemudian giliran Abu Na'illah pula berlakon. "Wahai Ka'ab, dahulu aku seorang yang kaya. Tetapi sekarang aku sudah menjadi orang yang paling miskin. Aku datang untuk meminjam duit daripada kamu."

     "Serahkan isteri kamu kepada aku," kata Ka'ab tanpa segan silunya.

     "Aku tidak dapat menyerahkannya kerana isteriku perempuan yang baik. Dia hanya sanggup menyerahkan kehormatannya kepada aku suaminya," kata Abu Na'illah.

     "Jika begitu serahkan anak gadis ataupun anak lelaki kamu," kata Ka'ab lagi.

     "Aku hanya sanggup menyerahkan semua senjata aku kepada kamu," kata Abu Na'illah.

     "Baiklah kamu setuju. Bila kamu hendak serahkan semua senjata kamu kepada aku?" tanya Ka'ab.

     "Malam ini kami berdua datang ke rumah kamu. Perkara ini terpaksa dilakukan pada waktu malam supaya tidak dilihat oleh sesiapa terutama pengikut Muhammad," jawab Muhammad dengan berbisik seolah-olah takut didengar orang lain.

     "Baiklah aku setuju. Jika kamu hendak mendapat pinjaman yang banyak bawalah seorang wanita untuk menghiburkan aku malam ini," kata Ka'ab sambil ketawa.

     "Baiklah," kata Muhammad sambil mengenyitkan matanya kepada Abu Na'illah.

     Malam itu mereka berlima masuk ke dalam benteng Bani Qainuqa'. Muhammad bin Maslamah dan Na'illah ditugaskan membawa keluar Ka'ab dari rumahnya. Apabila mendengar suara Abu Na'illah memanggil, maka isteri Ka'ab berasa curiga lalu melarang suaminya keluar.

     "Mereka adalah kawan-kawanku. Kami sudah berjanji keluar untuk satu urusan perniagaan," kata Ka'ab pula.

     "Aku mendengar suara kematian," kata isteri Ka'ab pula.

     "Apakah engkau tidak tahu aku memiliki ilmu sihir sehingga tubuh aku tidak dapat dilukai oleh senjata? Pergilah tidur dan jangan halang aku keluar," kata Ka'ab.

     Apabila Ka'ab keluar dari rumahnya Muhammad bin Maslamah dan Abu Na'illah sudah menunggu.

     "Marilah kita berbincang di sini," pujuk Abu Na'illah.

     "Baiklah aku datang," ujar Ka'ab.

     Dia memakai pakaian yang cantik dan berbau wangi kerana menyangka tetamunya ada membawa wanita seperti yang disuruhnya.

     "Di mana wanita yang aku mahukan?" tanya Ka'ab seolah tidak sabar lagi.

     "Dalam perjalanan ke mari. Sekejap lagi akan sampai," jawab Muhammad.

     Abu Na'illah melihat kawasan sekitar dan berasa yakin hanya mereka bertiga sahaja yang berada di situ. Tiga orang lagi sedang menunggu isyarat unutk menyerbu juga berada berhampiran kawasan itu.

     "Wahai Ka'ab. Aku sungguh tertarik dengan keharuman bau rambut kamu. Bolehkah aku menciumnya?" tanya Abu Na'illah.

     Dengan rasa bangga Ka'ab membenarkannya. Abu Na'illah pun mendekatkan hidungnya pada rambut Ka'ab sambil memuji-muji keharumannya. Kemudian tangan kiri Abu Na'illah mengusap-usap rambut sehingga membuat ketua Yahudi Bani Qainuqa, itu menjadi leka. Sementara tangan kirinya mengusap rambut Ka'ab maka tangan kanan Abu Na'illah mencabut pisau yang tersisip pinggangnya lalu menyelar leher Ka'ab. Muhammad pula menikam dada Ka'ab bertubi-tubi.
     
     Namun semepat juga Ka'ab menjerit meminta tolong. Suara jeritannya mengejutkan jiran-jirannya. Mereka memasang pelita lalu mendatangi rumah Ka'ab. Pada waktu itu Muhammad bin Maslamah, Abu Na'illah dan yang lain sudah melarikan diri.

     Ka'ab pula menggelupur kesakitan kerana cedera parah pada leher, dada dan perutnya. Orang ramai berasa hairan kerana Ka'ab dikatakan memiliki imu kebal tetapi dapat juga dibunuh oleh musuh-musuhnya.

     Sejak pembunuh Ka'ab, orang Yahudi Bani Qainuqa' berasa takut. Mereka hairan bagaimana orang luar boleh memasuki benteng perkampungan Bani Qainuqa dan dapat membunuh ketua mereka dengan mudah.

     Abdullah bin Ubai memainkan jarumnya semula dengan mengatakan pembunuhan itu dilakukan oleh pengikut Nabi Muhammad atas perintah beliau. Itu membuatkan orang Yahudi Bani Qainuqa' semakin marah kepada orang-orang Islam. Tambahan pula apabila permintaan mereka supaya Nabi Muhammad menghukum siapa yang membunuh Ka'ab tidak diendahkan. Permusuhan mereka semakin parah ibarat retak menunggu belah.


============================================


Pagi itu seorang wanita Islam daripada kabilah Aus datang ke pasar Qainuqa' lalu singgah di kedai tukang emas kepunyaan seorang peniaga Yahudi Bani Qainuqa'. Wanita itu menyuruh tukang emas itu menyepuh barang-barang perhiasannya. Sementara menunggu tukang emas itu menyiapkan kerjanya, maka perempuan itu duduk menunggu seorang diri. Tiba-tiba datang tiga orang lelaki Yahudi dari Bani Qainuqa' lalu mengusik perempuan itu.

     "Kenapa wanita ini menutup mukanya?" tanya salah seorang lelaki Yahudi itu.

     "Dia pengikut Muhammad. Bukankah Muhammad menyuruh kaum wanitanya menutup aurat kecuali muka dan tapak tangan?" jawab kawannya sambil tertawa.

     "Tetapi wanita ini menutup mukanya. Mungkinkah kerana malu ataupun melindungi mukanya yang cacat?" kata seorang lagi. Gelak ketawa mereka semakin galak.

     "Wahai cik adik. Bukalah penutup muka kamu itu," suruh salah seorang lelaki itu. Namun wanita muslimah itu enggan membuka penutup mukanya.

     Dalam diam-diam dan tanpa disedari perempuan muslimah itu, tukang emas itu menyangkutkan kain selendang wanita itu pada tiang dengan maksud apabila wanita itu bangun akan terbukalah auratnya. Bagi memaksa wanita itu bangun dan pergi dari situ tiga lelaki Yahudi itu terus mengusik wanita itu sehingga dia takut lalu berdiri untuk pergi dari situ. Ketika dia bangun maka kain selendang penutup rambut dan mukanya terlucut. Wanita itu terperanjat lalu menjerit. Tukang emas dan tiga lelaki Yahudi itu terus mentertawakan wanita tersebut yang terus menjerit sekuat-kuat hatinya.

     Jeritan wanita itu didengari oleh seorang lelaki Ansar yang kebetulan lalu di situ. Dia berasa marah kerana orang Yahudi itu memperlakukan sesuatu yang kurang sopan kepada wanita muslimah itu.

     "Dia seorang wanita Islam. Mengapa kamu memperlakukan begitu terhadapnya?" marah lelaki Ansar itu.

     "Ini kedai aku dan aku boleh buat apa saja kepada pelanggan aku terutama yang menjadi pengikut Muhammad," kata tukang emas itu.

     "Mari kita telanjangkan wanita itu," kata salah seorang lelaki Yahudi itu.

     Lelaki Ansar itu naik berang lalu menghunus pedangnya menikam salah seorang lelaki Yahudi itu. Perkelahian itu menjadi semakin besar apabila orang Islam yang berada di pasar itu datang membantu dan orang Yahudi Bani Qainuqa' juga turut masuk campur. Akhirnya terjadi pergaduhan kaum.

     Apabila Nabi Muhammad mendapat tahu berita itu beliau memerintahkan semua lelaki dewasa penduduk Madinah yang beragama Islam bersiap sedia untuk berperang dengan Bani Qainuqa'. Beliau melantik Abi Lubabah untuk menjaga kota Madinah. Bendera pasukan Islam dipegang oleh Hamzah bin Abdul Mutalib. Kemudian mereka bergerak ke perkampungan Yahudi Bani Qainuqa'.

     Apabila orang Yahudi mendapat tahu Nabi Muhammad bersama pasukannya sedang mara, maka mereka pun berlindung dalam benteng Qainuqa'. Sebelum itu mereka memang sudah menjangkakan akan berlaku pertempuran dengan orang Islam. Mereka membuat persediaan dengan mengukuhkan lagi benteng pertahanan mereka serta menyiapkan bekalan makanan, air dan senjata di dalamnya. Orang Yahudi Bani Qainuqa' melancarkan serangan anak-anak panah terhadap pasukan Islam.

     Selepas beberapa kali percubaan dilakukan bagi menembusi benteng Qainuqa' itu gagal, akhirnya Nabi Muhammad memerintahkan orangya mengepung benteng itu.

     "Wahai orang Yahudi Bani Quraizah, saudara kami Bani Qainuqa' sedang dikepung dari segenap penjuru oleh orang Islam. Apakah kamu berlapang dada dan berlepas tangan tanpa berusaha untuk menyelamatkan mereka?" tanya Abdullah bin Ubai yang datang ke perkampungan Bani Quraizah.

     Orang Yahudi Bani Qunaiqa' lebih gagah dan lebih cerdik daripada kami. Mereka mempunyai benteng yang kukuh dan bekalan makanan mereka mencukupi walau dikepung selama setahun. Oleh sebab itu tidak perlu kami masuk campur urusan mereka," kata ketua Yahudi Bani Quraizah.

     Abdullah bin Ubai berasa kecewa kerana permintaannya ditolak oleh Bani Quraizah. Kemudian dia menemui Bani Nader pula. Mereka juga tidak mahu masuk campur urusan Yahudi Bani Qainuqa'. Akhirnya Abdullah bin Ubai menemui Nabi Muhammad.

     "Wahai Rasulullah, di kalangan mereka yang terkepung itu ada kanak-kanak, orang tua dan kaum perempuan. Kasihanilah mereka," rayu Abdullah bin Ubai yang meminta kepungan itu ditarik balik.

     "Kamu jangan bimbang kerana benteng kita ini kukuh. Muhammad dan pengikutnya tidak dapat menembusi benteng ini. Apabila mereka cuba menghampirinya pasukan pemanah kita yang berkubu di atas benteng akan melepaskan anak-anak panah mereka. Selain itu kita juga mempunyai cukup bekalan makanan, air, senjata dan pakaian. Kita boleh bertahan selama setahun daam benteng ini," kata Judan pula yang berusaha meyakinkan kaumnya bahawa mereka selamat berlindung di situ.

     Umat Islam pula tidak berputus asa terus membuat kepungan. Jalan keluar masuk ditutup sehingga tidak siapa dapat keluar atau masuk ke benteng Qainuqa'. Pada malam ke-15, orang Islam bermunajat memohon doa semoga pengempungan itu berakhir dengan segera.

     Maka dengan kehendak Allah Taala, pada malam itu hujan lebat turun mencurah-curah diikuti kilat dan detuman petir. Akhirnya tebing benteng itu runtuh. Keadaan semakin buruk apabila benteng Qainuqa' itu disambar petir lalu runtuh pada bahagian hadapannya. Orang Yahudi Qainuqa' berasa sangat takut dan keesokan harinya mereka keluar menyerah kalah. Nabi Muhammad menganggap mereka adalah tawanan perang yang perlu menerima hukuman.

     "Wahai Rasulullah, mereka adalah sahabat-sahabat aku. Berilah layanan yang baik dan jangan bunuh mereka," rayu Abdullah bin Ubai.

     Namun Rasulullah tidak menghiraukan kata-kata itu. Abdullah bin Ubai pula tidak berputus asa. Dia terus merayu supaya tawanan perang itu dibebaskan.

     "Tinggalkan aku dan jangan ganggu," kata Rasulullah sebagai tanda beliau kurang senang dengan Abdullah bin Ubai.

     "Aku tidak akan pergi selagi mereka belum dibebaskan," kata Abdullah bin Ubai.

     "Celakalah engkau. Tinggalkan aku," kata Rasulullah dengan wajah beliau tampak berubah.

     "Demi Allah, aku tidak akan pergi selagi belum mendengar jaminan engkau tidak akan membunuh mereka. Kaum lelaki Bani Qainuqa' itu berjumlah 700 orang. Apakah engkau akan membunuh mereka dalam masa sehari? Demi Allah aku tidak mahu itu terjadi," kata Abdullah bin Ubai.

     Akhirnya Nabi Muhammad bersetuju dengan permintaan Abdullah bin Ubai supaya orang Yahudi Bani Qainuqa' itu tidak dijatuhi hukuman bunuh. Tetapi diberi tempoh selama tiga hari untuk meninggalkan perkampungan Qainuqa'.

     Abdullah bin Ubai cuba merayu lagi supaya orang Yahudi itu dimaafkan dan dibenarkan terus berada di situ. Tetapi Nabi Muhammad tetap dengan keputusannya menghalau keluar mereka dari Madinah. Ini disebabkan tindak-tanduk mereka semakin keterlaluan.

     Akhirnya semua orang Yahudi Bani Qainuqa' meninggalkan kampung halaman mereka berpindah ke satu tempat bernama Azri'at yang terletak di dalam daerah Syam. Tidak sampai setahun mereka berpindah ke situ tiba-tiba diserang sejenis penyakit menyebabkan kesemua mereka meninggal dunia.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment