Saturday 8 April 2017

MENYINGKAP DAHSYATNYA DOA






MENYINGKAP DAHSYATNYA DOA








Rahsia Dahsyatnya Doa

Mungkin ada antara kita yang menganggap doa itu remeh, padahal doa memiliki potensi yang besar bagi mengubah segala-galanya. Ia mampu mengubah sesuatu yang tidak mungkin, menjadi mungkin. Berdoa kepada Allah bererti meminta sesuatu daripadanya kerana Allah yang memiliki segala-galanya. Apabila Allah berkenan mengabulkan sesuatu doa, semuanya menjadi mudah seperti membalikkan tapak tangan. Allah maha berkuasa mengabulkan doa sesiapa sahaja yang memohon daripadanya, di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

     Oleh sebab itu percayalah, doa itu pasti memberikan manfaat bagi sesiapa sahaja. Orang yang berdoa tidak pernah rugi. Malah, doa itu dapat mewujudkan sesuatu yang luar biasa.

     Apakah rahsia doa? Kita dapat memahaminya apabila kita mengetahui terlebih dahulu apakah manfaat doa. Antara manfaat doa adalah seperti berikut:

     1. Doa itu ibadah kerana ia adalah perintah Allah.

     2. Doa adalah intipati ibadah. Ibadah yang tidak diiringi
         doa umpama buah tanpa isi.

     3. Doa itu mulia di sisi Allah kerana ia menunjukkan sifat 
         hamba dalam diri manusia.

     4. Doa dapat mengubah takdir yang buruk menjadi baik
         apabila Allah berkenan mengubahnya.

     5. Doa adalah senjata yang ampuh atau mujarab bagi
         orang yang beriman.

Lima keistimewaan doa di atas dapat mewujudkan kedahsyatan ataupun keajaiban doa. Apalagi apabila dosa itu diucapkan oleh orang tertentu yang menjadikan doa itu cepat terkabul. Doa seperti itu terus menembus langit dan sampai ke Arasy. Maksudnya, Allah dengan segera mengabulkannya. Dalam Quran, kita dapat lihat keajaiban doa seperti itu iaitu doa para nabi dan orang yang soleh, doa orang tua untuk anaknya dan doa orang yang teraniaya.


Doa adalah Ibadah

Kita dapat mendefinisikan doa sebagai permintaan atau permohonan daripada pihak yang berkedudukan lebih tinggi. Dalam hal ini, pihak yang berkedudukan rendah itu adalah manusia dan pihak yang berkedudukan tinggi itu adalah Allah yang maha tinggi dan maha sempurna. Kita mohon segala sesuatu daripada Allah kerana dia hakikat yang memiliki kebesaran, ketinggian, kemuliaan, keagungan, dan hanya dia yang dapat mengabulkan permintaan hamba-hambanya.

     Daripada pengertian doa di atas, kita memahami doa itu memiliki kedudukan yang tinggi. Pada hakikatnya sewaktu kita berdoa, kita menghadapkan hati yang tulus, rendah diri dan tawaduk kepada Allah. Kita mengagungkan zat Allah dengan ikhlas. Sesungguhnya, tiada Tuhan yang maha tinggi, maha agung dan maha sempurna selain Allah. Hanya kepada Allah kita menyembah dan memohon. Setiap hari dalam solat, kita mengucapkannya sebanyak 17 kali.

     "Hanya kepadamu kami menyembah dan hanya daripada-
     mu kami memohon pertolongan."

Beribadah kepada Allah bukan sekadar mendirikan solat, berpuasa, mengekuarkan zakat dan mengerjakan haji. Ibadah dalam erti yang luas merangkumi semua aktiviti kita. Apa sahaja yang kita lakukan, yang sesuai dengan perintah Allah adalah ibadah. Begitu juga dengan berdoa dan memohon sesuatu daripada Allah.

     Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad menegaskan, berdoa itu nilainya sama dengan ibadah. Nu'man bin Basyir melaporkan, nabi berkata yang bermaksud:

     "Sesungguhnya doa itu adalah ibadah." (Hadis laporan Imam
     yang empat dan disahihkan oleh Tirmizi)

Selanjutnya, nabi berkata:

     "Tuhanmu berkata, 'Berdoalah kepadaku, nescaya
     aku perkenankan. Sesungguhnya orang yang me-
     nyombongkan diri daripada menyembahku, kelak
     masuk ke neraka jahanam dalam keadaan hina dina'." 
     (Surah al-Mukminun, ayat 60)

Nabi Muhammad membacakan ayat di atas selepas beliau mengatakan, "Doa itu adalah ibadah." Ini bermaksud, doa menjadi ibadah apabila kita melakukannya semata-mata kerana memenuhi perintah Allah. Sebaliknya, apabila kita berdoa bukan kerana melaksanakan perintah Allah, doa itu bukanlah ibadah.

     Seterusnya, maksud 'menyombongkan diri daripada menyembah Allah' adalah menyombongkan diri daripada berdoa kepadanya. Sesiapa yang tidak menghadap Allah dan berdoa sesuai dengan perintahnya, bererti orang itu menyombongkan dirinya di hadapan Allah. Orang seperti itu kelak dimasukkan ke dalam neraka dalam keadaan hina.


Doa adalah Otak Ibadah

Doa tidak sekadar menjadi ibadah tetapi ia juga menjadi otak ataupun inti ibadah. Hadis berikut menjelaskan:

     "Doa itu adalah otak ibadah." (Hadis laporan imam yang
     empat, disahihkan oleh Tirmizi)

Imam Syaukani di dalam bukunya, kitab Tuhfadutz Dzakkirin mengatakan otak adalah bahagian yang paling penting dalam tubuh manusia. Oleh sebab doa adalah otak ataupun inti ibadah, setiap ibadah tanpa doa bagaikan buah tanpa isi ataupun umpama jasad yang tidak memiliki otak yang waras.

     Oleh itu, Allah memerintahkan manusia berdoa kepadanya dan mengatakan orang yang enggan berdoa adalah mereka yang sombong di hadapannya. Alangkah buruknya manusia yang sombong di hadapan Allah. Bagaimana seorang hamba yang lemah dan hina sanggup bersikap sombong di hadapan Allah hingga tidak mahu berdoa kepada zat yang mencipta dan memberikan rezeki kepadanya, yang menghidupkan dan mematikannya, serta yang memberikan pahala dan seksaan kepada seluruh umat manusia? Tidak diragukan lagi, kesombongan seperti itu adalah gejala ataupun bibit kekufuran manusia atas segala nikmat yang Allah berikan kepadanya.


Doa Itu Mulia di Sisi Allah

Berdasarkan dua keterangan di atas, tidak ada yang lebih mulia kedudukannya di sisi Allah selain doa. Dalam hal ini, Abu Hurairah merekodkan, Nabi Muhammad menyatakan:

     "Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah daripada
     doa." (Hadis laporan imam yang empat dan disahkan oleh
     Ibnu Hibban dan al-Hakim)


Doa Dapat Mengubah Takdir


Dapatkah kita menolak takdir dengan bernazar?

Ada orang yang menganggap mereka dapat menolak bala dan mendatangkan kebaikan dengan bernazar. Ada orang yang berkata, "Aku bernazar kepada Allah, aku akan menyembelih seekor lembu sekiranya Allah menyembuhkan penyakit ataupun memberikanku seorang anak ataupun menyelamatkan aku dan sebagainya."

     Nazar itu tidak dapat menolak keburukan ataupun mendatangkan kebaikan. Kepercayaan pada nazar aalah suatu kepercayaan yang salah. Kita tidak boleh berkata, "Aku terhindar daripada bencana itu ataupun aku mendapat kebaikan itu berkat nazarku." Imam Bukhari dan Muslim melaporkan, Nabi Muhammad berkata:

     "Sesungguhnya nazar itu tidak dapat menghindari sesuatu
     tetapi ia boleh mendatangkan kebaikan kepada orang yang
     kikir."

Laporan lain pula menyebutkan:

     "Sesungguhnya nazar itu tidak dapat mendatangkan kebaik-
     an."

Maksudnya, nazar itu tidak dapat mendatangkan apa-apa kebaikan kepada orang yang bernazar selama Allah belum menetapkan sesuatu hal itu untuknya. Nazar itu juga tidak dapat memalingkan daripada apa-apa keburukan yang Allah tetapkan. Nabi Muhammad menegaskan hal ini dalam hadis berikut:

     "Nazar itu tidak mendatangkan sesuatu yang belum ditetap-
     kan bagi anak Adam. Sesungguhnya, segala sesuatu yang
     berlaku adalah apa yang Allah takdirkan baginya." (Hadis
     laporan Mutafaq alaih)

Sesungguhnya nazar itu tidak dapat menghindari sesuatu namun ia boleh mendatangkan kebaikan kepada orang yang kikir kerana apabila dia melaksanakn nazarnya, dia melakukan kebaikan. Namun apa yang kurang baik adalah orang yang bernazar itu meletakkan syarat kepada Allah dengan mengatakan dia tidak mahu melakukan sesuatu kebaikan kecuali mereka menerima sesuatu pegganti ataupun balasan yang setimpal.

     Oleh itu, nazar adalah makruh dan kita tidak boleh bernazar apabila kita menginginkan sesuatu. Allah juga melarang kita bernazar kerana dengan bernazar, kita meletakkan syarat kepada Allah supaya Allah memberi kebaikan ataupun menghindarkan keburukan. Hal itu adalah suuzh zhon iaitu berburuk sangka kepada Allah.

     Al-Hakim di dalam Kitab al-Mastadrak melaporkan dengan sanad yang sahih daripada Said bin al-Harits, "Sewaktu aku sedang bersama Umar bin Ubaid bin Mu'ammar di negeri Parsi, berleluasa wabak kolera yang dahsyat. Lalu, aku berjanji kepada diriku seandainya Allah menyelamatkan anakku daripada penyakit itu, aku akan berjalan ke Baitullah. Namun tidak lama selepas itu, anakku jatuh sakit dan meninggal. Aku bertanya kepada Umar apakah pendapatnya dalam hal itu. Ibnu Umar berkata, 'Bukankah Allah melarang kita bernazar? Sesungguhnya Nabi Muhammad mengatakan nazar itu tidak dapat mempercepatkan sesuatu dan tidak dapat juga mengakhirkannya."


Hanya doa yang dapat mengubah takdir

Allah menyediakan kelebihan dan rahmat yang besar untuk hamba-hambanya. Allah membuka pintu yang luas supaya para hambanya dapat mencari kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan akhirat. Pintu yang dimaksudkan dalah pintu doa yang berfungsi sebagai penolak takdir sesuai dengan izin Allah. Ada hadis sahih yang menjelaskan hal itu. Hadis itu direkodkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim serta diakui kesahihannya oleh az-Zahabi.

     Hadis itu adalah seperti berikut:

     "Tidak ada orang yang dapat menolak takdir kecuali dengan
     doa dan tidak ada orang yang dapat memanjangkan umur
     kecuali bagi melakukan kebaikan."

Ibnu Majah pula menjelaskan:

     "Tidak ada sesiapa yang dapat menambah umur kecuali
     bagi berbuat kebaikan. Tidak ada yang dapat menolak takdir
     kecuali doa. Sesungguhnya, rezeki seseorang itu terhalang
     dengan dosa-dosa yang dilakukannya."

Apa yang dimaksudkan dengan kebaikan dalam hadis di atas adalah bersedekah dan bersilaturahim seperti yang dinyatakan dalam hadis-hadis laporan al-Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik. Nabi Muhammad berkata, "Sesiapa yang menginginkan rezekinya luas dan ajalnya lambat, dia perlu bersilaturahim."

     Kedua-dua perkara di atas iaitu rezeki dan ajal termasuk dalam takdir tetapi apabila Allah berkehendak menjauhkan keburukan daripada hambanya, melimpahkan kebaikan bagi hambanya ataupun memanjangkan umur hambanya, hal itu bukan mustahil.

     Imam Syaukani di dalam Kitab Tuhfatudz Dzakiriin menyatakan hadis tadi menunjukkan, kita dapat menolak ketetapan Allah dengan doa. Banyak hadis yang menjelaskan hal itu. Allah turut menegaskannya di dalam Quran seperti berikut:

     "Allah menghapuskan apa yang dia kehendaki dan menetap-
     kan apa yang dia kehendaki. Di sisinya terdapat Ummul
     Kitab (lohmahfuz)." (Surah al-Ra'd, ayat 39)

Ketentuan Allah terbahagi kepada dua iaitu:

  • Takdir mana fii lauhil mahfuzh iaitu takdir yang menjadi ketentuan Allah yang tertulis dalam senarai atau daftar takdir di lohmahfuz.
  • Takdir maa fii ilmillah iaitu ketentuan yang ada pada ilmu Allah yang qadim.
Selain ketentuan Allah yang termasuk dalam kategori maa fii ilmillah, ia dapat berubah dengan permintaan doa daripada hambanya. Seperti yang dinyatakan dalam hadis di atas, Allah dapat memadamkan ataupun menetapkan sesuatu yang berada di lohmahfuz.


Mengapa doa dapat mengubahkan takdir sedangkan nazar tidak?

Nazar tidak dapat mengubah takdir kerana nazar mempunyai syarat. Ia menunjukkan sikap buruk orang yang bernazar. Dengan itu sesiapa yang bernazar tidak layak memohon sesuatu, apalagi memohon Allah menolak takdir.

     Doa mengandungi sikap hamba yang patuh dan tunduk di hadapan Allah. Ia menunjukkan hamba memerlukan penciptanya. Dengan itu, ia mendatangkan keredaan Allah yang maha pengasih. Dengan kasih sayang dan fadilatnya, Allah memberikan kurnia kepada hamba-hambanya yang membuat kebaikan dan mengabulkan permohonan hamba-hambanya yang berdoa dengan bersungguh-sungguh.


Doa adalah Senjata yang Mujarab bagi Orang Beriman

Nampaknya jelas di mana letaknya rahsia kedahsyatan doa. Doa memiliki kedahsyatan kerana ia mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah.

     Manusia dapat mengubah wajah dunia kerana kekuatan akal fikiran ataupun otak mereka. Otak adalah orang yang penting bagi manusia. Dengan kekuatan otak, manusia mampu mengubah banyak perkara di dunia ini. Jadi, tidak mustahil kita katakan apabila kekuatan doa sebagai otak ibadah dapat mengubah sesuatu. Doa dapat mengubah ketentuan takdir Allah yang buruk menjadi baik. Begitulah manfaat dan kedahsyatan doa. Oleh sebab itulah kita sering mendengar orang mengatakan, doa adalah senjata orang yang beriman.

     Dalam hal ini, Nabi Muhammad berkata:

     "Doa adalah senjata orang mukmin, tiang agama dan
     cahaya langit dan bumi..." (Hadis laporan al-Hakim dan
     al-Mustadrak)

Sejarah mencatatkan kejadian-kejadian luar biasa yang berlaku dengan doa. Hamba-hamba Allah yang tersepit oleh kesusahan hidup mampu melepaskan diri daripada kesukaran dan bahaya selepas mereka berdoa dan memohon jalan keluar daripada Allah. Semuanya menjadi mungkin dengan rahmat Allah yang dapat kita peroleh dengan senjata pusaka iaitu doa.

     Sewaktu Nabi Daud dan orang mukmin sedang berperang melawan tentera Raja Jalut, mereka panik dan hampir putus asa menghadapi kehebatan tentera Jalut. Dalam keadaan tersepit dan berada di ambang kekalahan. Nabi Daud pasrah kepada Allah dan memberikan semangat kepada pasukan tenteranya dengan berdoa, "Rabbanaa afrigh alaina sabraw watsabbit aqdamanaa wanshurnaa alal qoumil kaafirin." Maksudnya, 'Ya Allah, limpahkan kepada kami kesabaran dan menangkanlah kami ke atas orang kafir'.

     Selepas Nabi Daud memanjatkan doa itu, Allah terus memberikan pertolongan dengan menurunkan pasukan malaikat hingga tentera Nabi Daud yang berjumlah kira-kira 300 orang berjaya menewaskan tentera Jalut yang jauh lebih ramai. Nabi Daud sendiri berjaya membunuh Jalut. Nabi Daud memperoleh kemenangan bukan kerana zahirnya yang kuat tetapi kerana keyakinannya pada kekuatan batin iaitu doa.

     Sejarah juga membuktikan, akal yang hanya disokong ikhtiar zahir sahaja sering tidak berdaya menghadapi perubahan hukum alam yang Allah wujudkan secara tiba-tiba bagi menguji manusia.

     Sewaktu Namrud sedang bersuka ria menyaksikan pesta pembakaran Nabi Ibrahim, tiba-tiba dia diam seribu bahasa. Kebakaran api dan beribu-ribu batang serta ranting kayu tidak mampu membakar Nabi Ibrahim. Atas perintah Allah, "Yaa naaru kuunii bardan wa salaaman alaa Ibrahim," api itu menjadi sejuk dan tidak membawa sebarang kesan kepada Nabi Ibrahim. Perintah Allah itu bermaksud, "Wahai api, jadilah engkau api yang sejuk dan selamatkanlah Ibrahim."

     Ketika Firaun bergembira kerana menganggap dia berjaya menewaskan Nabi Musa dengan mengejarnya hingga ke tepi laut, Nabi Musa memohon petunjuk daripada Allah. Pada saat yang genting itu, Allah memerintahkan Nabi Musa memukulkan tongkatnya ke laut. Sebaik sahaja Nabi Musa berbuat demikian, lautan terbelah dan terbukalah jalan yang luas bagi Nabi Musa dan para pengikutnya melepaskan diri daripada tentera Firaun. Firaun dan tenteranya cuba mengejarnya namun Firaun terkorban apabila dia lemas ditenggelami air laut.

     Semua kisah di atas terkandung di dalam Quran. Selain para nabi, orang-orang soleh seperti para wali juga turut mengalami keajaiban doa. Tidak mustahil keajaiban seperti itu terjadi pada orang biasa tanpa mengira tempat dan masa, termasuk doa ibu untuk anak-anaknya.




N / F : DARIPADA "DAHSYATNYA DOA IBU", OLEH SYAMSUDDIN NOOR.


No comments:

Post a Comment