Monday 10 April 2017

PERANG UHUD [ BAB 4 - PERANG SAWIQ ]






PERANG SAWIQ








Zulhijjah tahun ke-2 Hijrah

Selepas dilantik menjadi ketua Quraisy di Mekah maka Abu Sufian bin Harb pun menunjukkan keberaniannya dengan bersumpah untuk menyerang Madinah.

     "Demi tuhan kita, aku bersumpah tidak akan mandi, tidak menyikat rambutku dan tidak tidur bersama isteriku selagi belum menyerang Madinah," kata Abu Sufian melafazkan sumpahnya.

     Sumpah itu diulang-ulangnya beberapa kali supaya mendapat pujian daripada orang ramai. Namun Abu Sufian belum menetapkan bila serangan itu akan dilancarkan.

     Abu Sufian berasa bangga ketika mula-mula mengucapkan sumpah itu di depan Kaabah. Orang ramai memujinya dengan pelbagai pujian dan sanjungan. Tetapi lama-kelamaan sumpah itu ternyata menyusahkan dirinya sendiri. Dia terbelenggu dengan sumpah yang belum dilakukan oleh orang Quraisy sebelum itu.

     Cuaca pada bulan Zulhijjah itu kering dan panas. Abu Sufian melihat padang pasir yang gersang dan kering kontang. Dia akan mengharunginya untuk sampai ke Madinah? Bila? Itulah persoalan yang sering menghantuinya.

     "Sudah dua bulan berlalu. Bila abang hendak menunaikan sumpah menyerang Madinah?" tanya isterinya Hindun.

     Abu Sufian jengkel melihat isterinya yang berambut kusut masai dan tidak terurus. Hindun juga telah bersumpah dia tidak akan menyikat rambutnya selagi suaminya tidak menyerang Madinah. Hindun juga telah bersumpah yang sama. Dia tidak menyikat rambutnya dan tidak tidur dengan suaminya selagi belum menyerang Madinah. Selepas dua bulan berlalu ternyata sumpah itu menyusahkan diri mereka sendiri.

     "Percayalah, abang akan mengakhiri sumpah itu dalam masa terdekat," jawab Abu Sufian.

     Hindun senang hati mendengarnya lalu berkata, "Selepas abang menunaikan sumpah itu baru kita dapat tidur bersama, mandi bersama dan sama-sama menyikat rambut kita," kata Hindun sambil tersenyum.

     "Aku hendak pergi ke Kaabah menemui Safwan. Mungkin dia boleh membantu abang mempercepatkan serangan ke Madinah," kata Abu Sufian lalu keluar dari rumahnya menuju ke Masjidil Haram. Dia menemui Safwan yang sedang duduk di depan Kaabah.

     "Wahai Safwan, sudah dua bulan aku tidak tidur dengan isteriku serta menyikar rambutku. Semua itu berpunca daripada sumpah yang aku lafazkan di depan Kaabah dan di depan tuhan-tuhan kita. Aku akan terus begini selagi sumpah itu belum aku tunaikan," kata Abu Sufian meluahkan kesusahan yang dialaminya.

     "Apakah engkau menyesal kerana melafazkan sumpah itu?" tanya Safwan pula.

     "Aku tidak menyesal tetapi berasa tertekan kerana sudah dua bulan tidak bersama isteriku dan menyikat rambutku. Aku bimbang orang ramai akan mentertawakan aku," jawab Abu Sufian.

     Tiba-tiba Safwan tertawa sambil memandang ke arah Abu Sufian. Dia berasa tersinggung.

     "Apakah engkau mentertawakan aku wahai Safwan?" tanya Abu Sufian marah.

     "Bukan aku saja yang mentertawakan engkau wahai Abu Sufian. Tetapi semua penduduk Kota Mekah ini mentertawakan engkau. Engkau sahaja yang tidak menyedarinya," tempelak Safwan.

     Kemudian katanya lagi, "Engkau sekarang ketua penduduk Kota Mekah. Sepatutnya engkau segera tunaikan sumpah itu supaya dapat dicontohi orang ramai. Sekarang mereka menyangka engkau ingkar dengan sumpah atau penakut kerana tidak berani menyerang Madinah."

     "Wahai Safwan, kumpulkan orang kita. Esok aku akan menyerang Madinah," kata Abu Sufian.

     "Kenapa begitu terburu-buru? Orang kita tentu ramai yang belum bersedia jika diajak untuk berperang pada esok hari. Tambahan pula ramai antara mereka berada di luar Kota Mekah," kata Safwan pula.

     "Tidak perlu dalam jumlah yang ramai. Aku hanya perlukan 200 orang sahaja."

     "Apakah engkau sudah hilang akal? Dalam perang Badar pun, seramai seribu orang kita tidak dapat mengalahkan pengikut Muhammad. Inikan pula hanya 200 orang untuk menyerang Madinah."

     "Aku hanya hendak menunaikan sumpahku..."

     "Maksud engkau kita menipu orang ramai dengan mengatakan pergi menyerang Madinah tetapi sebenarnya kita pergi berkelah?"

      "Kami akan benar-benar menyerang Madinah. Tetapi bukan untuk menaklukinya. Kita lancarkan serangan mengejut kemudian segera pulang ke Madinah. Janganlah kamu banyak bertanya lagi. Kumpulkan segera orang kita seramai 200 orang. Aku akan melantik ketua di Mekah semasa ketiadaan aku."

     Safwan gembira mendengarnya lalu segera mengumumkannya kepada orang ramai.

     "Kami perlukan 200 orang lelaki yang berani untuk menyerang Madinah. Mereka yang sanggup menyertainya akan dibayar upah yang lumayan," kata Safwan.

     Ramai orang yang turut menyertainya. Tetapi Safwan hanya memilih 200 orang sahaja. Setiap seorang daripada mereka diberikan senjata, baju besi dan seekor kuda. Semuanya ditanggung oleh Safwan dan Abu Sufian. Mereka berjalan pada waktu malam supaya tidak dilihat oleh sesiapa. Selepas beberapa hari berjalan akhirnya mereka sampai di daerah Gunung Naib yang jaraknya kira-kira 12 kilometer dari Madinah. Abu Sufian mengarahkan anggota pasukannya mendirikan khemah kerana mereka akan berada di situ selama beberapa hari.

     "Apakah kita benar-benar akan menyerang Madinah?" tanya Asyim salah seorang anggota pasukannya.

     "Apakah kamu takut? Kalau begitu untuk apa kamu menyertai pasukan ini?" marah Abu Sufian.

     "Aku belum pernah berperang. Tetapi aku lebih tertarik dengan upah yang ditawarkan termasuk seekor kuda, sebilah pedang dan baju besi. Itu yang menyebabkan aku menyertai pasukan ini," jawab Asyim berterus terang.

     Kemudian katanya lagi, "Mustahil kita mampu menyerang Madinah dengan kekuatan tentera yang hanya seramai 200 orang. Aku menjangka kita hanya akan membuat tinjauan bagi menunaikan sumpah yang pernah kamu lafazkan. Sebab itu aku menyertai pasukan ini."

     "Celaka kamu wahai Asyim. Aku sudah bersumpah untuk menyerang Madinah. Aku akan tunaikan sumpah itu. Esok ataupun lusa kita akan melancarkan serangan. Jika engkau tidak mahu turut serta maka jangan harap aku bayar upah yang dijanjikan," marah Abu Sufian.

     Pada malam itu Abu Sufian ditemani dua teman pengiringnya memasuki Kota Madinah. Dia menuju ke rumah Huyay bin Akhthab, salah seorang pemimpin Bani Nader. Sebaik sahaja sampai dia terus mengetuk pintu rumah Huyay.

     "Siapa yang datang ke rumah aku pada tengah malam buta ini?" marah Huyay yang baru saja terlena lalu dikejutkan oleh kedatangan tetamu yang tidak diundang.

     "Aku jiran kamu. Ada perkara mustahak yang hendak aku bincangkan," kata Abu Sufian yang sengaja membuat helah supaya Huyay membuka pintu rumahnya dan tidak menimbulkan syak wasangka jiran-jirannya.
     
     "Kamu bukan jiran aku. Tetapi aku seperti pernah kenal suara kamu," kata Huyay sambil membuka pintu rumah lalu mempersilakan tetamunya masuk. Huyay terperanjat apabila mendapati tetamunya itu adalah Abu Sufian bin Harb.

     "Berani kamu menempah maut datang ke Madinah? Jika diketahui oleh Muhammad dan pengikutnya kamu akan ditangkap dan dibunuh," kata Huyay separuh berbisik. Dia juga cemas.

     "Aku datang memang hendak menyerang Madinah. Aku mahu kau kumpulkan semua lelaki Bani Nader bagi menyertai pasukan aku. Berapa upah yang kamu minta aku sanggup membayarnya," pujuk Abu Sufian.

     Huyay termenung mendengar permintaan itu. Dia kelihatan serba salah. Kemudian dia pun berkata, "Rancangan kamu ini terlalu bahaya dan boleh mendatangkan masalah yang besar terhadap kami. Pertama kerana kamu datang secara mengejut dan kedua serangan terhadap kota Madinah tidak boleh dibuat secara terburu-buru. Sepatutnya kita rancang terlebih awal. Ketiga, kami sudah membuat perjanjian dengan Muhammad. Engkau tahu apa akibatnya jika kami melanggar perjanjian?"

     Abu Sufian berusaha meyakinkan Huyay yang serangan itu pasti berjaya jika mendapat bantuan daripada orang Yahudi Bani Nader. Namun Huyay tetap menolaknya.

     "Aku hanya boleh memberi bantuan dalam bentuk makanan tetapi bukan manusia," kata Huyay.

     "Apa maksud kau?" Abu Sufian minta penjelasan.

     "Aku boleh memberi bantuan makanan dan air minuman. Kami akan berikan kamu sawiq atau tepung," kata Huyay lalu berjanji akan membekalkan lima ratus karung tepung atau sawiq.

     Abu Sufian menerima pemberian itu namun masih belum berpuas hati. Malam esoknya dia menemui Salam bin Musykam seorang lagi pemimpin Bani Nader yang berpengaruh. Bagi memujuk hati Salam maka Abu Sufian membawa pelbagai hadiah termasuk beberapa botol arak.

     Kedatangan Abu Sufian disambut baik oleh Salam. Dia gembira apabila diberikan pelbagai hadiah. Kemudian Abu Sufian mengajaknya sama-sama meminum arak.

     Selepas Salam separuh mabuk maka Abu Sufian pun berkata, "Mahukah kamu menyertai aku menyerang dan membunuh Muhammad pada malam ini?"

     "Muhammad sekarang berada di Al-Aridl. Mari kita ke sana membunuhnya," kata Salam yang mula dikuasai arak itu. Cakapnya mula merapu sedangkan Nabi Muhammad tidak berada di Al-Aridl.

     Abu Sufian, Salam dan sepuluh orang pengirinya segera menuju ke perkampuangan Al-Aridl yang terletak di pinggir kota Madinah. Mereka sampai pada waktu pagi lalu terserempak dengan dua orang petani yang sedang memetik buah kurma di kebunnya. Abu Sufian memerintahkan orangnya membunuh kedua-dua lelaki itu. Kemudian mereka menebang pokok-pokok kurma serta merosakkan tanaman-tanaman yang terdapat di kawasan itu. Selepas itu Abu Sufian pulang ke pangkalannya sehingga tertidur kerana keletihan.

     Penduduk kampung Al-Aridl segera melaporkan apa yang berlaku di kampung mereka kepada Nabi Muhammad. Baginda segera membentuk pasukan untuk mengejar penceroboh itu. Urusan Madinah diserahkan kepada Abu Lubabah bin Abdul Mundzir. Manakala bendera dan panji dipegang oleh Hamzah bin Abdul Mutalib.

     Abu Sufian dikejutkan daripada tidur oleh pembantunnya dengan mengatakan Muhammad dan pasukan tenteranya sedang mara untuk menggempur mereka. Abu Sufian tiba-tiba berasa takut lalu memerintahkan pasukannya meninggalkan segera tempat itu dan pulang ke Mekah. Dalam keadaan tergesa-gesa itu mereka tidak sempat membuka serta membawa khemah. Tetapi sempat membawa semua Sawiq yang diberikan oleh Bani Nader.

     Abu Sufian berasa sangat takut ketika melarikan diri lalu menyuruh orangnya membuang sawiq atau tepung itu bagi mempercepatkan perjalanan mereka. Apabila Nabi Muhammad dan pasukannya sampai di Al-Aridl mereka dapati penceroboh sudah melarikan diri. Maka Nabi Muhammad memerintahkan pasukannya mengejar pasukan Abu Sufian. Tetapi mereka hanya menjumpai sawiq yang dibuangkan pasukan Quraisy.
  
     Nabi Muhammad menyuruh beberapa orang anggota pasukannya mengumpulkan sawiq itu manakala yang lain terus mengejar Abu Sufian dan pasukannya. Pengejaran itu dilakukan hingga sampai ke Qarqaratul Kadr. Ada antara sahabat yang ingin terus mengejar hingga sampai ke kota Mekah tetapi tidak diizinkan Rasulullah. Mereka berhenti di Qarqaratul Kadr selama dua malam sebelm pulang ke Madinah. Mereka membawa Sawiq yang ditinggalkan pasukan Quraisy Mekah. Peristiwa itu dikenali sebagai perang Sawiq atau Perang Tepung.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment