Monday 10 April 2017

MENYINGKAP DAHSYATNYA DOA IBU






MENYINGKAP DAHSYATNYA DOA IBU








Rahsia Dahsyatnya Doa Ibu

Apakah rahsia kedahsyatan doa ibu? Inilah yang bakal kita kupas dalam bab ini. Doa adalah sesuatu yang suci dan mulia di sisi Allah. Oleh itu, setiap doa yang kita panjatkan memiliki kekuatan dan daya ubah yang luar biasa dahsyatnya. Sejauh mana kedahsyatannya bergantung pada siapa dan bagaimana doa itu dipanjatkan. Ada hubungan antara kekuatan doa dan orang yang memohonnya. Selain itu, wujud hubungan antara kekuatan doa dan keadaan sewaktu seseorang itu berdoa.

     Para nabi dan rasul memiliki kedahsyatan doa pada saat-saat genting iaitu pada waktu tidak ada lagi harapan mendapat pertolongan selain daripada pertolongan Allah. Pada waktu yang genting seperti itulah, mereka berdoa kepada Allah, memohon perlindungan dan pertolongan. Apabila Allah mengabulkan doa mereka, wujudlah kedahsyatan luar biasa yang kita sebut mukjizat.

     Selain para nabi dan rasul, hamba Allah yang lain turut merasakan kedahsyatan doa. Misalnya, kedahsyatan doa para wali Allah yang kita panggil karomah. Kedahsyatan doa orang-orang soleh pula disebut Maunah. Malah, Allah juga mengabulkan doa orang-orang yang fasik dan musyrik. Para ulama menyebut hal itu sebagai istidraj dan ihanah.

     Beberapa sumber menjelaskan, Allah tidak menunda dalam mengabulkan doa-doa orang tertentu. Orang-orang yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:

     1. Doa pemimpin yang adil.
  
     2. Doa orang yang teraniaya.

     3. Doa orang tua untuk anaknya.

     4. Doa orang yang sedang dalam perjalanan ataupun
         musafir.

     5. Doa orang yang berpuasa hingga dia berbuka puasa.

Kisah Si Tanggang masyhur di negara kita. Si Tanggang adalah anak kesayangan ibunya tetapi akhirnya dia mati dalam keadaan yang mengerikan. Ibunya berdoa kepada Allah dan memohon Allah membalas perbuatannya yang derhaka kepada ibunya. Si Tanggang mati dan menjadi batu. Sama ada kisah itu benar ataupun tidak, tidak penting bagi kita. Apa yang penting adalah pengajarannya.

     Nabi Muhammad menceritakan pada zaman dahulu, ada seorang ahli ibadah Yahudi bernama Juraij. Juraij kuat beribadah hingga dia membina biara sebagai tempatnya mengerjakan ibadah. Pada suatu hari, Juraij terpaksa menerima suatu cabaran yang hebat dalam hidupnya apabila dia dituduh berzina dengan seorang pelacur hingga pelacur itu melahirkan anak.

     Akibat tuduhan itu, Juraij dibawa ke muka pengadilan. Ramai pelacur yang menghadiri sesi pengadilan itu kerana ingin tahu apakah keputusan dan hukuman yang bakal dijatuhkan kepada Juraij. Pada waktu itu, Allah menurunkan bantuannya kepada Juraij. Dengan kuasa dan izin Allah, bayi yang dilahirkan oleh pelacur itu boleh berkata-kata. Apabila Juraij bertanya kepada bayi itu siapakah bapanya, bayi itu menjawab, "Bapaku adalah si penggembala lembu." Dengan kesaksian yang luar biasa itu, Juraij bebas daripada sebarang pertuduhan. Dia mendapat semula tempat yang terhormat di kalangan masyarakat dan nama baiknya pulih seperti dahulu.

     Juraij menyedari, dia perlu menghadapi kejadian itu dengan tenang. Ini kerana apa yang menimpanya adalah akibat dia tidak menyahut panggilan ibunya yang memanggilnya. Ibunya menjadi marah dan mendoakan Juraij tidak meninggal dunia sebelum dia melihat wajah seorang pelacur.

     Pada zaman Nabi Sulaiman, ada seorang lelaki yang tinggal di dalam kubah yang mempunyai empat pintu di dasar lautan. Lelaki itu tinggal di dalam kubah itu selama kira-kira 1,500 tahun. Dia mendapat makanan dan minuman yang enak daripada Allah yang menghantarnya melalui seekor burung. Sepanjang masa, lelaki itu hanya beribadah di dalam kubahnya. Dia melakukan demikian kerana dia mahu berbakti kepada kedua-dua orang tuanya walaupun mereka sudah meninggal dunia.

     Dia menjaga ibu dan bapanya selama tujuh tahun sebelum kedua-duanya meninggal. Oleh sebab kasih sayang orang tuanya kepada dirinya, sebelum ibunya meninggal, dia memohon supaya Allah menempatkan anaknya pada suatu tempat yang bukan di bumi dan bukan juga di langit supaya syaitan tidak melihat anaknya itu. Bapanya pula memohon supaya anaknya dipanjangkan umur, Allah mengabulkan doa kedua-dua orang tuanya dan terjadilah hal yang luar biasa hingga Allah memerintahkan Nabi Sulaiman melihat lelaki itu.

     Nabi Muhammad mengatakan, doa ibu untuk anaknya adalah doa yang mustajab. Ini kerana doa ibu mempunyai dua kekuatan iaitu kekuatan daripada kemuliaan orang tua dan kekuatan daripada daya ubah doa.

     Daripada kisah-kisah ini, kita dapat melihat hubungan yang erat antara kekuatan doa, kemuliaan ibu ataupun bapa dan keadaan anak yang berbakti mahupun anak yang derhaka. Semuanya mewujudkan doa yang dahsyat.

     Ibu ataupun bapa yang melihat anaknya berbakti kepadanya, pasti mendoakan anaknya mendapat kebaikan dan rahmat daripada Allah. Begitu juga bagi anak yang derhaka. Walaupun orang tua tidak rela anaknya menderhakainya, dia tetap sayang dan mendoakan kebaikan untuk anaknya. Apabila ada ibu ataupun bapa yang tidak reda dengaan perlakuan anak mereka, Allah menahan rahmatnya daripada sampai kepada anak itu walaupun ibu bapanya tidak pernah memohon Allah melakukan hal itu.

     Bagi anak yang selalu berbakti dan taat kepada kedua orang tuanya, para malaikat sentiasa membantunya. Nabi Muhammad pernah menyarankan kepada sahabat-sahabatnya iaitu Umar dan Abu Bakar, supaya mereka meminta Uwais mendoakan mereka apabila mereka bertemu dengannya. Ini kerana Uwais adalah seorang anak yang banyak berbakti dan taat kepada ibunya. Hal ini menunjukkan kekuatan daripada kebaktian kepada orang tua adalah sesuatu yang luar biasa. Ia mendatangkan manfaat dan keberkatan daripada Allah.

     Daripada huraian tadi, saya sudah menjawab pertanyaan pada awal bab ini iaitu apakah rahsia kedahsyatan doa ibu? Terdapat empat rahsia iaitu:

     1. Doa ibu menjadi dahsyat kerana kesucian dan kemulia-
         an doa itu sendiri di sisi Allah.

     2. Doa ibu menjadi dahsyat kerana kemuliaan orang tua
         khususnya ibu di sisi Allah.

     3. Doa ibu menjadi dahsyat kerana besarnya pahala ber-
         bakti kepada orang tua.

     4. Doa ibu menjadi dahsyat kerana beratnya doa me-
         nyakiti orang tua.


Kemuliaan Ibu sebagai Orang Tua

Ibu dan bapa memiliki kedudukan yang mulia di sisi Allah. Dalam beberapa ayat Quran, kita dapat melihat besarnya perhatian Islam pada hak-hak orang tua kepada anak-anak mereka hingga perintah memuliakan orang tua sama dengan perintah ibadah dan mengesakan Allah.

     Perhatikan ayat-ayat berikut yang memerintahkan seorang anak supaya sentiasa menghormati dan berbakti kepada kedua orang tuanya:

     "Janganlah kamu menyembah selain Allah dan berbuat baik-
     lah kepada ibu dan bapamu." (Surah al-Baqarah, ayat 83)

     "Sembahlah Allah dan janganlah kamu memperkutukan-
     nya dengan sesuatu apa pun dan berbuat baiklah kepada
     kedua ibu dan bapamu." (Surah an-Nisak, ayat 36)

     "Tuhanmu memerintahkan kamu supaya jangan menyembah
     selainnya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu dan
     bapamu dengan sebaik-baiknya." (Surah al-Israk, ayat 23)

Ayat-ayat di atas memerintahkan manusia menyembah hanya kepada Allah dan berbakti serta berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baiknya. Sebaik-baiknya bererti sempurna. Sempurna seperti tidak boleh kurang sama sekali. Allah juga melarang kita menjadi musyrik kerana sekali kita terjerumus melakukan kemusyrikan, buruk akibatya. Musyrik adalah perbuatan yang membawa dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah.

     Lihatlah betapa Allah meninggikan dan memuliakan darjat orang tua hingga perintah berbakti kepada kedua ibu bapa diletakkan dalam ayat yang sama yang memerintahkan manusia menyembah Allah.

     Kewajipan berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa menduduki tempat kedua selepas perintah menyembah Allah. Hal ini jelas menunjukkan ketinggian dan kemuliaan darjat orang tua di sisi Allah dan betapa besarnya hak orang tua kepada anak-anaknya. Anak-anak perlu menghormati, memuliakan dan melayani ibu bapa dengan sebaik-baiknya. Seorang anak hanya dapat kita katakan anak yang soleh apabila dia taat kepada Allah dan taat kepada ibu dan bapanya.

     Ali bin Abu Talib berkata, "Aku mendengar Nabi Muhammad berkata, 'Aku melepaskan diri daripada orang yang tidak memenuhi hak kedua orang tuanya.' Aku bertanya, 'Ya Rasulullah, bagaimana sekiranya dia tidak memiliki apa-apa yang dapat diberikan kepada orang tuanya?' Nabi menjawab, 'Apabila mendengar kata-kata orang tuanya, jawablah, 'Aku dengar dan aku taat.' Jangan kata, 'ah' dan jangan membentak dan mengeluarkan kata-kata yang tidak baik."

     Taat kepada orang tua adalah lebih utama daripada berjihad pada jalan Allah. Abdullah bin Umar melaporkan, "Ada seorang pemuda datang menemui Nabi Muhammad dan meminta izin hendak pergi berjihad. Nabi bertanya kepadanya, 'Adakah bapa dan ibumu masih hidup?' Pemuda itu menjawab, 'Ya.' Lalu nabi berkata, 'Berjihadlah demi keselamatan kedua orang tuamu.'"

     Perintah nabi kepada pemuda itu supaya dia melayani kedua orang tuanya jelas menunjukkan berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa sama nilainya dengan berjihad, malah lebih besar. Perhatikan bagaimana Nabi Muhamamd mementingkan perhatian kepada ibu bapa daripada berjihad di medan perang padahal nabi memerlukan para mujahid pemuda Islam.

     Mengapa kedudukan ibu dan bapa begitu tinggi? Mengapa pula perintah berbakti kepada mereka disamakan dengan perintah menyembah Allah, bahkan lebih penting daripada berjihad di medan perang?

     Jawapan bagi pertanyaan pertama adalah, Allah memuliakan kedudukan ibu dan bapa kerana melalui ibu dan bapalah, Allah menetapkan kehidupan manusia di muka bumi. Jawapan bagi pertanyaan kedua pula adalah kerana hubungan anak dengan orang tuanya adalah hubungan yang terus bersambung dari dunia hingga ke akhirat. Hubungan itu bukan sekadar di dunia ini sahaja.

     Oleh itu, Islam mengutamakan dan memberikan perhatian yang besar kepada mereka yang melakukan kebaikan kepada orang tua. Hal itu juga sesuai dengan naluri manusia. Hubungan antara ibu bapa dan anak tidak dapat diputuskan. Di sinilah letaknya perbezaan antara ajaran Islam dan barat yang individualistik hingga ada anak yang tidak menghiraukan ibu bapanya sendiri.

     Ibu dan bapa memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Allah seperti yang dijelaskan di atas. Apabila kita membandingkan antara ibu dan bapa, siapakah yang lebih utama? Jawapannya, tentulah ibu.


Kedudukan Ibu Lebih Mulia daripada Bapa

Allah lebih menekankan kewajipan berbakti kepada ibu tanpa melupakan jasa-jasa bapa dalam menjaga dan membesarkan anak. Dalam Quran, terdapat ayat-ayat khusus berkenaan melakukan kebaikan dan berbakti kepada ibu. Salah satunya adalah seperti berikut:

     "Kami perintahkan kepada manusia supaya mereka ber-
     buat baik kepada kedua ibu dan bapanya. Ibu me-
     ngandungkannya dalam keadaan lemah yang semakin
     lama semakin bertambah dan menyusuinya hingga dia ber-
     usia dua tahun. Bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua
     ibu bapamu dan hanya kepada akulah engkau kembali."
     (Surah Lukman, ayat 14)

Perkataan 'al-Wahn' pada ayat di atas menunjukkan kelemahan yang semakin bertambah. Maksudnya adalah, seorang ibu terpaksa menanggung anaknya yang semakin membesar dalam perutnya sewaktu dia mengandung. Kemudian, ibu menanggung pula kesakitan yang luar biasa sewaktu melahirkan anak. Seterusnya, ibu menyusukan bayi hingga dia berusia dua tahun.

     Oleh itu, Allah meletakkan perintah membuat kebaikan kepada orang tua dalam ayat yang sama yang memerintahkan manusia menyembah Allah. Ayat berikut pula menegaskan, seorang anak wajib berbakti dan berbuat baik kepada orang tua, terutama kepada ibunya.

     "Kami perintahkan kepada manusia supaya mereka berbuat
     baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya mengandungkannya
     dengan susah payah dan melahirkannya juga dengan susah
     payah. Kemudian, ibu menyusui anaknya hingga dia berusia
     30 bulan." (Surah al-Ahqaf, ayat 15)

Ayat di atas menyebutkan kesusahan ibu yang mengandung, melahirkan dan menyusui anak. Semua itu disebutkan supaya kita lebih mengutamakan ibu berbanding bapa.

     Abu Hurairah berkata, "Seseorang menemui Nabi Muhammad dan bertanya, 'Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku patuhi? Nabi menjawab, 'Ibumu.' Orang itu bertanya lagi, 'Selepas itu, siapa pula?' Nabi menjawab, 'Ibumu.' Orang itu terus bertanya, 'Kemudian, siapa lagi?' Buat kali ketiga, nabi menjawab, 'Ibumu.' Orang itu bertanya lagi, 'Kemudian, siapa pula?', Nabi menjawab, 'Bapamu.'" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

     Nabi menjawab 'ibumu' hingga tiga kali dan selepas itu barulah nabi menjawab 'bapamu'. Ini menunjukkan tinggi dan mulianya kedudukan ibu berbanding kedudukan bapa.

     Sehubungan kedudukan ibu, nabi juga berkata:

     "Syurga itu di bawah tapak kaki ibu."

Sungguh mulia seorang ibu hingga tidak ada hijab yang menghalang doanya kepada Allah demi kebaikan anaknya, mahupun keburukan anaknya. Dengan itu, berhati-hatilah dalam melayani orang tua, terutamanya ibu.


Dalil yang Menyatakan Dahsyatnya Doa Ibu

Berdasarkan keterangan-keterangan yang dijelaskan di atas berkenaan ketinggian dan kemuliaan orang tua, terutamanya ibu, tentu akal kita dapat menerima doa ibu itu mustajab dan dahsyat. Keterangan di dalam Quran dan hadis cukup jelas menunjukkan kedahsyatan doa ibu.

     Beberapa hadis nabi menyatakan, Allah mengabulkan doa beberapa golongan dengan segera. Lihat hadis berikut:

     "Allah tidak menolak doa daripada empat golongan iaitu
     orang yang sedang melaksanakan ibadah haji hingga dia
     kembali ke rumahnya, orang yang sedang berperang hingga
     dia menang, orang yang sakit hingga dia sembuh, dan orang
     yang mendoakan saudaranya yang jauh. Antara keempat-
     empat golongan itu, doa yang paling cepat dikabulkan
     adalah doa seseorang untuk saudaranya yang berada jauh
     daripadanya." (Hadis laporan ad-Dailami dan Ibnu Abbas)

     "Tiga jenis doa yang mustajab yang tidak diragukan
     keajaibannya adalah doa orang tua untuk anaknya, doa
     orang musafir dan doa orang yang dizalimi." (Hadis laporan
     Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah dalam
     al-Jami'us Shahih)

     "Tiga jenis doa mustajab adalah doa orang yang sedang ber-
     puasa, doa orang yang sedang bermusafir dan doa orang
     yang teraniaya." (Hadis laporan al-Aqili daripada Abu
     Hurairah)

Imam Abu Nu'aim di dalam kitabnya, Huliyah menjelaskan hadis nabi di atas dengan mengatakan ada empat jenis doa yang mustajab. Empat doa itu adalah doa imam ataupun pemimpin yang adil, doa seseorang yang mendoakan saudaranya yang jauh, doa orang yang teraniaya dan doa orang tua untuk anaknya.

     Abu Hasan di dalam Kitab ast-Tsulatsiyah menerangkan, Anas bin Malik menjelaskan hadis nabi dengan mengatakan ada tiga doa yang tidak ditolak Allah iaitu doa orang tua untuk anaknya, doa orang yang teraniaya dan doa seorang musafir.

     Daripada keterangan-keterangan di atas, kita dapat menyimpulkan Allah cepat mengabulkan doa-doa berikut:

     1. Doa orang yang sedang mengerjakan ibadah haji.

     2. Doa orang yang sedang berperang pada jalan Allah.

     3. Doa orang yang sedang sakit.

     4. Doa orang yang mendoakan saudaranya yang berada
         jauh daripadanya.

     5. Doa orang tua untuk anaknya.

     6. Doa orang yang sedang berpuasa.

     7. Doa orang yang sedang bermusafir.

     8. Doa orang yang teraniaya.

     9. Doa pemimpin yang adil.

Salah satu doa mustajab di atas adalah doa ibu untuk anaknya. Apabila seorang ibu selalu mendoakan kebaikan untuk anaknya, insya-Allah doanya segera terkabul. Bahkan dalam keadaan tertentu, doa ibu terus menjadi kenyataan.

     Keterangan lain menyebutkan, ibu yang mendoakan kebaikan dunia dan akhirat untuk anaknya sama seperti doa nabi untuk umatnya. Hadis berikut menjelaskan:

     "Doa orang tua untuk anaknya bafaikan doa nabi untuk
     umatnya." (Hadis laporan ad-Dailami)

Dalam hadis sahih Imam Bukhari dan Imam Muslim, kita melihat bagaimana doa ibu Juraij terkabul.

     Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad berkata, "Tidak ada bayi yang boleh berkata-kata kecuali Nabi Isa dan bayi yang menjadi saksi Juraij. Seorang sahabat bertanya, 'Wahai Rasulullah, siapakah Juraij itu?' Nabi menjawab, 'Dia adalah seorang ahli ibadah di sebuah biara. Ramai pengembala datang berteduh di biaranya.'"

     Berikut saya paparkan kisah Juraij. Semoga kita dapat mengambil pengajaran daripadanya.

     Pada suatu hari, ibu Juraij datang ke biaranya dan memanggil-manggilnya. Pada waktu itu, Juraij sedang solat dengan khusyuk. Dia menjadi bingung dan berkata dalam hatinya, "Ya Tuhanku, adakah aku perlu menjawab panggilan ibuku ataupun meneruskan solatku?" Akhirnya, Juraij meneruskan solatnya dan tidak menjawab panggilan ibunya walaupun solat yang sedang dikerjakannya itu adalah solat sunat.

     Tidak berapa lama selepas itu, ibu Juraij datang semula dan memanggil-manggilnya lagi, "Wahai Juraij, di manakah engkau, anakku?" Pada waktu itu, Juraij masih bersolat dan dia tetap meneruskan solatnya. Apabila anaknya tidak menjawab panggilannya yang berkali-kali, ibu Juraij balik semula ke rumahnya.

     Tidak lama selepas itu, ibu Juraij datang sekali lagi dan memanggil-manggilnya dengan suara yang keras, 'Juraij! Juraij! Di mana engkau? Ini ibumu, datanglah ke sini sebentar!' Juraij masih lagi bersolat dan dia kebingungan sama ada hendak menjawab panggilan ibunya ataupun meneruskan solat. Oleh sebab solatnya hampir solat, Juraij meneruskan solatnya.

     Selepas tiga kali ibunya datang dan memanggilnya, Juraij tetap tidak menjawab panggilannya. Ibunya marah dan terlanjur mengutuk Juraij dengan berkata, "Wahai Juraij, semoga Allah tidak mencabut nyawamu sebelum kamu melihat wajah seorang pelacur!" Demikianlah kata-kata ibu Juraij. Selepas itu dia pulang dengan perasaan marah.

     Selang beberapa ketika, seorang pelacur mengadu kepada raja, "Wahai raja junjunganku, aku melahirkan seorang anak."

     Raja pun bertanya, "Siapakah bapa anak ini?"

     Wanita itu menjawab, "Juraij adalah bapanya."

     Raja bertanya lagi, "Maksudmu, Juraij yang memiliki biara itu?"

     "Benar, wahai raja." Wanita itu menjawab.

     Mendengarkan kata-kata wanita itu, raja menjadi murka dan memerintahkan tenteranya menangkap Juraij yang terkenal sebagai orang yang soleh di negeri itu. Juraij ditangkap, diikat dan dibawa menghadap raja. Ramai pelacur yang datang ke istana kerana mahu melihat Juraij ditangkap. Namun Juraij kelihatan tenang dan tersenyum hingga semua orang yang melihatnya kehairanan. Raja kemudian memerintahkan biara milik Juraij dimusnahkan.

     Kemudian raja berkata kepadanya, "Wahai Juraij, kamu adalah seorang ahli ibadah tetapi perbuatanmu sungguh keji. Wanita ini datang menghadapku dan mengakui melahirkan anakmu. Adakah kata-katanya itu benar?"

     Dengan tenang, Juraij menoleh ke arah wanita itu dan bertanya, "Adakah benar aku pernah menggaulimu?"

     "Ya, benar," jawab pelacur itu dengan tegas.

     Juraij bertanya lagi, "Di manakah anak itu sekarang?"

     Wanita itu berkata, "Dia ada di dalam buaian itu."

     Juraij menghampiri bayi yang tidak berdosa itu dan bertanya, "Siapakah ayahmu?" Tiba-tiba bayi itu menjawab, "Dia penggembala lembu."

     "Nah, tuan raja dan sekalian yang hadir, wanita ini berbohong!" kata Juraij.

     Semua orang yang hadir terperanjat dan kagum menyaksikan kejadian yang luar biasa itu. Mereka juga berasa bersalah kerana menuduh Juraij tanpa usul periksa, terutama raja.

     Dengan rasa malu dan menyesal, raja berkata, "Wahai Juraij, saya akan membina semula biaramu dengan emas."

     Juraij menjawab, "Tidak perlu."

     Raja berkata lagi, "Bagaimana sekiranya aku membinanya dengan perak?"

     Sekali lagi Juraij menjawab, "Tidak perlu."

     "Lalu, dengan apakah saya perlu membina biaramu?" tanya raja.

     Juraij menjawab, "Binalah ia seperti sediakala."

     Dengan demikian, raja pun memerintahkan orang ramai membina semula biara Juraij seperti asal.

     Kemudian raja bertanya kepada Juraij, "Mengapa kamu menerima semua tuduhan itu dengan tenang, bahkan kamu tersenyum menghadapi pelacur itu?"

     Juraij menjawab, "Pada waktu itu saya menyedari, Allah mengabulkan doa ibuku." Pantas, Juraij menceritakan kepada raja apa yang berlaku.

     Kisah Juraij yang terkandung dalam hadis di atas tercatat di dalam Kitab Sahih Muslim terbitan Beirut, Lebanon. Hadis ini sahih dan kisah Juraij itu benar-benar berlaku. Ia perlu dijadikan renungan dan pengajaran untuk semua orang kerana ia membuktikan betapa mustajabnya doa seorang ibu.









N / F : DARIPADA "DAHSYATNYA DOA IBU", OLEH SYAMSUDDIN NOOR.

No comments:

Post a Comment