Thursday 20 April 2017

PERANG UHUD [ BAB 6 - OPERASI DI BAHRAN ]






OPERASI DI BAHRAN








Rabiul Akhir tahun ke-3 Hijrah

Selepas solat Subuh, Nabi Muhammad memimpin pasukan tentera Islam seramai 300 orang bagi menjalankan satu operasi di Bahran yang terletak di kawasan Hijaz. Operasi itu dilakukan kerana baginda mendapat laporan kafilah Quraisy telah membuat laluan baru ke Syam melalui kawasan Bahran. Mereka juga sering mengganggu penduduk di sepanjang laluan tersebut. Orang-orang Quraisy juga menghasut Bani Salim supaya memusuhi Nabi Muhammad.

     Kafilah dagang Quraisy terpaksa mengambil laluan di Bahran untuk pergi ke Syam kerana hanya kawasan itu yang masih selamat untuk dilalui. Sejak kalah dalam perang Badar, mereka tidak berani lagi mengambil risiko melalui jalan dalam kawasan Madinah kerana bimbang diserang pasukan peronda Islam. Selepas berlakunya Perang Badar, mereka lebih berhati-hati dengan orang Islam. Mereka sanggup melalui Bahran walaupun laluan itu sukar dan jauh.

     Selepas membuat persiapan, maka pasukan Madinah itupun berangkat ke Bahran. Nabi Muhammad melantik Ibnu Ummu Maktum sebagai pengganti untuk menjaga di Madinah.

     "Muhammad dan pasukan tenteranya sedang mara ke Bahran. Berilah cadangan apa yang harus kita lakukan?" tanya As-Salim, pemimpin Bani Salim yang mendiami kawasan Bahran.

     "Muhammad datang ke sini untuk berperang dengan orang Quraisy Mekah. Bukan untuk berperang dengan kita. Oleh itu, jangan diganggu kedatangan mereka," kata Jidan, seorang penduduk Bani Salim.

     Beliau sendiri berasa gementar untuk berdepan dengan pahlawan Islam yang dikatakan terlalu gagah dan berani di medan perang. Mereka tidak takut mati kerana mati di medan perang itu adalah syahid, balasannya syurga. Oleh itu, tentera Islam tidak pernah gentar apabila bertempur dengan musuh.

     "Jika kita tidak menghalang kedatangan pasukan Madinah itu, orang Quraisy akan menuduh kita bersubahat dengan musuh mereka. Akibatnya nanti mereka akan mengganggu kita. Siapa yang akan membantu?" tanya As-Salim pula. Dia sendiri dalam keadaan serba salah untuk membuat pilihan.

     "Jika kita berperang dengan pasukan Islam, apakah orang Quraisy akan membantu kita? Bukankah mereka baru saja dikalahkan dalam perang Badar. Sebab itu aku mencadangkan kita berdamai saja dengan Muhammad," kata Qayyum seorang lelaki yang alim di kalangan Bani Salim.

     "Aku bersetuju dengan cadangan itu kerana jika kita mengikat perjanjian damai dengan Muhammad, mereka akan melindungi kita. Itu yang mereka lakukan terhadap kabilah-kabilah yang mengikat perjanjian dengan mereka," sokong yang lain pula.

     Akhirnya mereka bersetuju berdamai dengan Nabi Muhammad. Apabila pasukan Madinah itu sampai di Bahran, mereka disambut baik. Malah As-Salim sendiri datang menghadap Nabi Muhammad lalu menyatakan kesediaan mereka untuk berdamai.

     "Wahai Muhammad, kami ingin berdamai dengan kamu. Kami berjanji tidak akan memerangi kamu. Tetapi kami tidak mahu dipaksa masuk Islam. Biarkanlah kami terus dengan agama kami," kata As-Salim.

     Permintaan itu dipersetujui oleh Nabi Muhammad dengan syarat Bani Salim membayar jizyah atau cukai perlindungan kerana mereka berada di bawah pemerintahan Islam. Bani Salim juga bersetuju membenarkan Nabi Muhammad berdakwah di kalangan orang Bani Salim dan mereka tidak boleh menghalang sesiapa hendak masuk Islam secara sukarela.

     Selepas mencapai kata sepakat maka diadakan perjanjian antara Nabi Muhammad dengan Bani Salim. Antara kandungan perjanjian itu, Bani Salim tidak membenarkan kafilah dagang Quraisy melalui kawasan mereka dalam perjalanan ke Syam. Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya berada di Bahran sehingga bulan Jamadil Awal. Sepanjang masa itu mereka sempat berdakwah sehingga ramai orang-orang Bani Salim masuk Islam. Selama berada di Bahran juga kafilah dagang Quraisy tidak berani lagi melalui jalan tersebut. 

     Pada penghujung bulan Jamadil Awal tahun ke-3 Hijrah, Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya selamat pulang ke Madinah.


OPERASI DI AL-QARADAH

Jamadil Akhir tahun ke-3 hijrah.

Musim sejuk telah berakhir dan musim panas sudah tiba. Kebiasaannya, apabila tiba musim panas, orang-orang Quraisy pergi berniaga di Syam. Tetapi sekarang laluan ke Syam telah disekat oleh orang-orang Islam.

     "Muhammad dan pengikutnya telah menyekat laluan kita ke Syam. Mereka mengadakan perjanjian dengan Bani Salim. Dengan adanya perjanjian itu kita tidak boleh melalui kawasan Bahran yang dikuasai Bani Salim. Jika keadaan ini berterusan kita tidak dapat lagi pergi berniaga ke Syam. Lalu apa lagi yang kita dapat selain kebuluran dan kemiskinan?" kata Safwan bin Umaiyah.

     "Salah kamu juga kerana memusuhi Muhammad dan pengikutnya. Sejak mereka berada di Mekah kamu memusuhi mereka dan sampai sekarang permusuhan itu semakin membara. Satu-satunya cara bagi mengatasi masalah ini adalah dengan berdamai dengan Muhammad," kata Al-Abbas.

     "Kami tidak akan berdamai dengan Muhammad kerana mereka sudah membunuh keluarga kami dan menyekat perniagaan kami. Satu-satunya cara bagi menyelesaikan masalah ini adalah dengan menyerang Madinah dan membunuh Muhammad," kata Safwan pula. Dendamnya kepada Nabi Muhammad tidak pernah reda. Malah semakin marak menyala.

     "Jikalau begitu yang kamu kata, aku lepas tangan. Buatlah apa sahaja yang kamu mahu," kata Al-Abbas dengan rasa kecewa.

     Safwan menuju ke Masjidil Haram untuk bertemu dengan Abu Sufian. Kebetulan beliau berada di situ.

     "Wahai sahabatku Abu Sufian, musim panas sudah tiba. Aku dan kawan-kawanku mahu membawa barang-barang dagangan ke Syam. Tetapi lalu sudah disekat oleh Muhammad. Apa yang harus kami lakukan?" tanya Safwan.

     "Mari kita perangi Muhammad. Itu sahaja cara untuk menyelesaikan masalah ini," kata Abu Sufian pula. Dendamnya terhadap Muhammad juga semakin membara. Baginya, berperang sahaja jalan penyelesainnya.

     "Kita baru sahaja dikalahkan dalam perang Badar. Berperang dengan Muhammad dan pengikutnya untuk kali kedua, kita mesti membuat persiapan yang secukupnya. Tetapi sekarang kita masih belum cukup kuat untuk mengalahkan mereka," kata Safwan.

     "Jika begitu apa perancangan kamu sekarang?" tanya Abu Sufian.

     "Kita mesti pergi ke Syam untuk berniaga. Hasil keuntungan perniagaan kita nanti dideramakn untuk membiayai perang melawan Muhammad. Kami juga akan membeli lebih banyak senjata dari Syam. Masalahnya sekarang, semua lalu ke Syam sudah disekat oleh orang Islam," jawab Safwan.

     "Ternyata aku lebih berpengalaman daripada kamu berkenaan perjalanan ke Syam. Sebab itu, sewaktu kami disekat oleh Muhammad di Badar, kami dapat melepaskan diri dengan melalui jalan yang belum pernah dilalui orang ramai," kata Abu Sufian dengan bangga.

     "Tunjukkan aku jalan itu. Kami akan ke Syam melalui jalan yang belum diketahui orang ramai itu," kata Safwan.

     "Aku tidak dapat bersama kamu ke Syam kerana banyak tugas di sini yang perlu aku lakukan. Sejak dilantik menjadi ketua, aku semakin sibuk sehingga tidak sempat lagi hendak berniaga. Bagaimana aku dapat menunjukkan kamu jalannya?" tanya Abu Sufian pula.

     "Tentu ada orang lain yang tahu jalan itu. Tunjukkan kami siapa orangnya supaya kami jadikan sebagai penunjuk jalan. Berapa saja upah yang dimintanya akan kami bayar," kata Safwan bersungguh-sungguh.

     "Cubalah kamu pujuk Al-Aswad bin Abdul Mutalib. Dia tahu jalan itu. Jika kamu pandai memujuknya pasti dia sanggup menjadi penunjuk jalan," jawab Abu Sufian.

     Safwan segera menemui Al-Aswad. Namun Al-Aswad berasa keberatan untuk membantu. Tambahan pula hatinya sudah cenderung untuk berhijrah ke Madinah dan memeluk agama Islam.

     "Aku tidak dapat membantu kamu. Tetapi aku boleh tunjukkan orang yang tahu jalan itu. Temuilah dia dan pujuklah dia," kata Al-Aswad.

     "Siapakah orang itu?" tanya Safwan.

     "Farrat bin Hayyan dari Bani Bakr. Dia tahu jalan itu," kata Al-Aswad.

     Safwan pergi ke perkampungan Bani Bakr untuk berjumpa dengan Farrat lalu memujuknya menjadi penunjuk jalan ke Syam melalui timur Madinah.

     "Jalan itu terlalu jauh dan sukar. Kita terpaksa melalui kawasan Iraq dan menyisir kawasan tepi pantai," kata Farrat seperti keberatan untuk menerima tawaran tersebut. 

     "Berapa upah yang kamu minta kami sanggup membayarnya. Perjalanan itu sangat penting kepada kami," pujuk Safwan dan akhirnya Farrat bersetuju.

     Perbualan mereka didengar oleh Nu'aim bin Mas'ud yang ketika itu belum masuk Islam. Kemudian Nu'aim menceritakannya kepada Salith bin An Nu'man yang telah menjadi pengikut Nabi Muhammad tetapi masih secara rahsia. Apabila Salith mendapat maklumat itu lalu disampaikannya kepada Nabi Muhammad.

     Rasulullah segera membentuk pasukan tentera seramai 100 orang dan melantik Zaid bin Harithah sebagai ketuanya. Walaupun jumlah mereka kecil, namun mereka dilengkapi dengan cukup peralatan senjata dan haiwan tunggangan. Mereka diperintahkan pergi menyekat kafilah dagang Quraisy di suatu tempat bernama Qaradah yang terletak dalam wilayah Najd.

     Apabila pasukan tentera Islam sampai di tempat itu, Zaid bin Harithah menyuruh Salith dan Malik pergi mengintip kafilah Quraisy. Tidak lama kemudian kedua-duanya datang membuat laporan.

     "Kafilah dagang Quraisy itu membawa seratus ekor unta yang sarat dengan muatan. Mereka dikawal oleh 200 tentera berkuda Quraisy. Sekarang mereka sedang berehat," kata Malik melaporkan.

     "Aku ada satu cadangan. Itu pun jika mendapat persetujuan daripada ketua kita," kata Salith pula.

     "Sila beritahu apa cadangan itu?" tanya Zaid bin Harithah.

     "Kafilah Quraisy itu hanya bergantung pada Farrat bin Hayyan sebagai penunjuk jalan. Jika Farrat tidak ada, mereka akan sesat dan terpaksa pulang semula ke Mekah. Oleh itu saya mencadangkan kita culik Farrat," jawab Salith.

     Zaid bin Harithah bersetuju dengan cadangan itu. Salith ditemani Malik dan Abu Salamah pergi ke kawasan air Qaradah.

     "Kamu berdua tunggu di sini. Biar aku menemui Farrat seorang diri. Kemudian aku akan mengajak dia minum arak di sini. Selepas dia mabuk kita tangkap dia," kata Salih mencadangkan.

     Malik dan Abu Salamah bersetuju dengan cadangan itu. Salith segera menemui Farrat yang sedang mandi di sebuah kolam air di Qaradah.

     "Bagaimana kamu boleh sampai ke sini?" tanya Farrat hairan.

     "Aku juga dalam perjalanan ke Syam tetapi dalam kafilah lain. Kami membawa banyak arak untuk dijual di Syam. Arab buatan kami itu sangat bagus. Alangkah enak jika kamu meminumnya selepas mandi," kata Salith lalu memujuk Farrat menerima pelawannya.

     Farrat akhirnya bersetuju dengan pelawaan Salith tanpa berasa curiga. Apabila sampai di tempat yang dijanjikan maka Malik dan Abu Salamah menangkap Farrat lalu dibawa berjumpa dengan Zaid bin Harithah.

     Safwan dan anggota kafilahnya menjadi kelam kabut dengan kehilangan Farrat. Mereka tidak dapat meneruskan perjalanan tanpa penunjuk jalan. Mereka terpaksa menunggu di situ dengan harapan Farrat akan muncul. Tiba-tiba mereka diserang oleh pasukan tentera Islam. Serangan mengejut itu membuat pasukan pengawal kafilah dagang Quraisy itu ketakutan lalu lari lintang pukang menyelamatkan diri.

     Safwan juga terpaksa lari menyelamatkan diri dengan meninggalkan banyak barang dagangan. Semua harta rampasan perang itu dibawa pulang ke Madinah.

     Rasulullah mengambil satu per lima daripada harta rampasan perang itu untuk dibahagikan kepada fakir miskin. Selebihnya, baginda membahagikannya kepada setiap anggota tentera yang mengambil bahagian. Mereka mendapat pembahagiaan sama rata. Farrat akhirnya masuk Islam di hadapan Rasulullah.

     Safwan dan anggota kafilah dagangnya selamat sampai ke Mekah.

     Dia mengumpulkan pemimpin-pemimpin Quraisy lalu berkata, "Semua barang dagangan kepunyaan aku dan barang-barang yang tuan-tuan titipkan kepada aku semuanya sudah dirampas oleh Muhammad dan para pengikutnya. Mereka juga menyekat semua laluan ke Syam. Kita tidak ada pilihan selain berperang dengan mereka habis-habisan. Peperangan kali ini akan menentukan masa depan kita. Jika kita kalah maka musnahlah masa depan kita. Kita mesti membuat persiapan untuk memenangi peperangan kali ini," kata Safwan.

     Semua yang hadis bersetuju dengan cadangan Safwan. Mereka membuat persiapan bagi menyerang Madinah.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment