Wednesday 12 April 2017

BUKTI DAHSYATNYA DOA IBU






BUKTI DAHSYATNYA DOA IBU








Maryam Wanita Mulia

Kisah Hanah binti Faqud, ibu Maryam terkandung di dalam Quran. Sewaktu beliau mengandungkan Maryam, beliau sentiasa berdoa supaya anak yang sedang dikandungnya kelak menjadi anak yang berguna, terhormat dan mulia. Hanah patut menjadi teladan kepada kaum ibu di seluruh dunia. Bapa Maryam pula bernama Imran. Nama keluarga Imran menjadi salah satu nama surah Quran iaitu Surah Ali Imran. Begitu juga dengan nama Maryam yang diabadikan di dalam Quran sebagai Surah Maryam.

     Allah memberikan kemuliaan kepada keluarga Imran kerana mereka mempunyai keistimewaan di dalam Quran Allah menyatakan, dia meninggikan darjat sebahagian hambanya di muka bumi ini. Antaranya adalah Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga Imran. Allah mengurniakan keistimewaan kepada mereka berbanding hamba-hambanya yang lain, malahan mereka lebih mulia daripada segala isi alam pada zaman mereka masing-masing. Allah melebihkan darjat mereka kerana ketaatan mereka yang tinggi kepada Allah. Dalam hal ini dapat kita katakan, darjat manusia diukur daripada ketinggian ataupun kerendahan takwanya kepada Allah. 

     Allah berkata:

     "Sesungguhnya Allah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim
     dan keluarga Imran melebihi semua umat pada zaman
     mereka masing-masing." (Surah Ali Imran, ayat 33)

Selepas sekian lama Hanah berkahwin dengan Imran, mereka masih belum memperoleh anak. Hanah ingin benar mengandung dan melahirkan anak. Pada suatu hari, Hanah melihat seekor burung memberi makan kepada anaknya menggunakan paruhnya. Ibu burung itu dengan penuh kasih sayang menyuapkan makanan ke mulut anaknya. Menyaksikan hal itu, Hanah menjadi semakin rindu hendak mempunyai anak. Beliau berdoa kepada Allah, "Ya Allah, kurniakanlah seorang anak kepadaku."

     Tidak lama selepas itu, Hanah merasakan adanya tanda-tanda beliau hamil. Hanah berasa bahagia dan bersyukur kerana Allah mengabulkan doanya. Selepas itu, Hanah semakin tekun beribadah. Begitu juga dengan suaminya, Imran. Hanah sering duduk bersimpuh di hadapan Allah, memanjatkan puji-pujian bagi menunjukkan rasa syukur dan bermunajat kepada Allah. Dengan air mata bercucuran, Hanah berdoa, "Ya Allah, semoga engkau jadikan bayi yang aku kandung ini anak yang soleh." Hanah juga bernazar, apabila anaknya besar nanti, beliau mahu menghantarnya berkhidmat di Baitulmuqaddis.

     Nazar Hanah itu terkandung di dalam Quran dalam ayat berikut:

     "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menazarkan kepada
     engkau anak dalam kandunganku ini menjadi hamba yang
     soleh dan berkhidmat di Baitul Maqdis. Terimalah nazarku
     ini. Sesungguhnya engkau yang maha mendengar lagi maha
     mengetahui." (Surah Ali Imran, ayat 35)

Sembilan bulan kemudian, Hanah melahirkan anaknya dengan selamat. Hanah dan suaminya gembira dengan kelahiran anak mereka. Namun mereka menjadi gusar apabila mendapati anak mereka itu perempuan.

     Imran berkata kepada isterinya, "Wahai isteriku, kamu melahirkan anak perempuan! Bagaimana dengan nazarmu? Bolehkah anak kita ini menjadi khadam di Masjid al-Aqsa sedangkan dia perempuan?" Mendengarkan kata-kata suaminya, Hanah mengeluh dan berkata, "Ya Tuhanku, mengapa aku melahirkan anak perempuan?" Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang berlaku.

     Walaupun anak mereka perempuan, Hanah dan Imran tetap menerima kehadiran anak mereka. Hanah yang bernazar menginginkan anaknya berkhidmat di Masjid al-Aqsa pasrah dan menyerahkan nasib anaknya kepada Allah. Allah yang maha pencipta memberikan anak perempuan kepadanya. Hanah menyedari semua yang berlaku atas kehendak Allah dan Allah pasti menerima nazarnya walaupun anaknya perempuan.

     Hanah kemudian mula mencari nama yang sesuai untuk anaknya. Akhirnya, Hanah menamakan anaknya Maryam yang bermaksud 'pelayan Tuhan' dalam bahasa mereka pada zaman itu. Kemudian, Hanah berdoa kepada Allah, "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menamakan anakku Maryam dan aku memohon engkau memberikan perlindungan kepadanya dan kepada keturunannya daripada syaitan yang terkutuk."

     Sesuai dengan nazarnya, Hanah menyerahkan Maryam kepada Zakaria iaitu suami kepada ibu saudaranya, Hamilah. Ini kerana pada waktu itu, Zakaria adalah khadam di Masjid al-Aqsa. Tindakan Hanah itu adalah atas petunjuk Allah. Selain menjadi khadam, Zakaria juga adalah seorang nabi dan dikenali sebagai orang yang soleh. Seluruh hidupnya digunakan bagi berdakwah dan beribadah di Masjid al-Aqsa. Kebetulan, Nabi Zakaria dan isterinya tidak mempunyai anak hingga usia mereka lanjut. Jadi, mereka gembira kerana dapat memelihara dan membesarkan Maryam.

     Zakaria dan isterinya sayang kepada Maryam dan memeliharanya seperti anak kandung. Apalagi sejak kecil, Maryam menunjukkan tanda-tanda beliau adalah seorang yang luar biasa. Pada diri Maryam terlihat ciri-ciri wanita cerdas, mulia, suci dan terhormat. Semua itu menunjukkan Allah menerima doa dan nazar ibunya.

     Maryam membesar menjadi anak yang taat beribadah dan menunjukkan sebagai sifat pelayan Allah seperti yang dinazarkan oleh ibunya. Nabi Zakaria membina mihrab di Masjid al-Aqsa sebagai tempat Maryam tinggal dan beribadah. Maryam tinggal di mihrab itu sejak kecil hingga beliau menginjak usia remaja. Ada pendapat yang menyatakan Maryam adalah seorang gadis suci yang tidak pernah mengalami haid. Dengan demikian, beliau tidak perlu meninggalkan tugasnya sebagai khadam di masjid al-Aqsa. Hingga beliau dewasa, tidak ada lelaki yang masuk ke mihrabnya kecuali Nabi Zakaria, bapa angkatnya.

     Pada suatu hari, Zakaria masuk ke mihrab Maryam dan melihat terdapat banyak makanan dan buah-buahan segar. Zakaria kehairanan dan bertanya dari manakah Maryam memperoleh semua makanan itu. Maryam menjawab, "Semua makanan itu daripada Allah."

     Mendengarkan jawapan Maryam, Zakaria tersentak dan takjub. Beliau sedang menyaksikan kebesaran Allah. Pada waktu itu, Maryam masih kecil tetapi Allah memberikan keistimewaan yang besar kepadanya. Apa yang Maryam alami sama dengan apa yang dialami oleh para wali.

     Peristiwa itu menjadikan Zakaria semakin yakin, Allah maha pengasih dan penyayang kepada semua hambanya. Allah adalah Tuhan yang maha berkuasa dan dapat melakukan apa sahaja mengikut kehendaknya serta dapat mengabulkan doa hamba-hambanya. Tidak lama selepas itu, timbul keinginan dalam diri Zakaria mendapat anak walaupun usianya lanjut dan isterinya pula mandul. Namun, beliau yakin, apabila Allah mengkehendakinya, tidak ada perkara yang mustahil.

     Dalam Quran, kita dapat melihat doa-doa Zakaria kepada Allah yang memohon diberikan keturunan. Akhirnya, Allah mengabulkan doa beliau sama seperti Allah mengabulkan doa Hanah. Nabi Zakaria dan isterinya dikurniakan seorang anak yang mereka namakan Ishak.

     Allah mengabulkan doa Hanah yang menginginkan anak yang soleh. Allah benar-benar menjadikan Maryam sebagai wanita terbaik pada zamannya, malah darjatnya melebihi darjat lelaki. Begitulah dahsyatnya doa seorang ibu untuk anaknya.

     Maryam adalah wanita yang baik dan suci secara lahir dan batin. Atas kesuciannya dan ketaatannya kepada Allah, Allah berkehendak mengurniakan seorang anak yang kelak menjadi utusan Allah. Dengan kuasa dan izin Allah, Maryam melahirkan seorang bayi yang dinamakan Isa. Bayi itu ajaib kerana dia wujud dan lahir tanpa percampuran benih lelaki dan perempuan. Kelahiran Isa semata-mata atas kehendak Allah. Allah menciptakannya tanpa seorang bapa, sama seperti dia menciptakan Adam tanpa ibu dan bapa.

     Isa, putera Maryam bukanlah anak Tuhan seperti anggapan sebahagian orang. Beliau adalah hamba Allah yang diutuskan kepada manusia supaya menyeru manusia menyembah Allah dan tidak menyekutukannya. Allah berkata:

     "Ingatlah ketika malaikat Jibrail berkata, 'Hai Maryam, se-
     sungguhnya Allah memilihmu, menyucikanmu dan melebih-
     kan dirimu daripada semua wanita di dunia yang sezaman
     denganmu.'" (Surah Ali Imran, ayat 42)

Demikianlah kisah seorang wanita pilihan yang darjatnya lebih tinggi daripada lelaki. Beliau lahir daripada seorang ibu yang solehah dan keluarga yang terkenal dengan kesolehannya iaitu keluarga Imran. Maryam adalah salah seorang wanita yang mendapat tempat istimewa di syurga.

     Satu hadis melaporkan, "Wanita-wanita mulia yang terjamin tempat mereka di syurga adalah Khadijah, Fatimah, Maryam puteri Imran dan Asiah isteri Firaun."

     Subhanallah! Sesungguhnya Maryam adalah wanita mulia. Beliau menjadi mulia kerana doa ibunya yang mustajab dan hasil didikan keluarganya yang soleh. Kisah Maryam perlu menjadi contoh teladan untuk kaum wanita sepanjang zaman. Maryam membuktikan kepada kita, wanita mampu menjadi lebih baik daripada lelaki walaupun secara fitrah, kedudukan wanita berada di bawah lelaki.


Aisyah Bebas daripada Fitnah

Ummu Rumman adalah isteri Abu Bakar as-Siddiq dan juga ibu mentua Nabi Muhammad. Puterinya Aisyah adalah isteri Nabi Muhammad yang muda, cantik dan perawan. Ummu Rumman adalah wanita yang menjadi perawi hadis dan salah seorang yang awal memeluk Islam bersama suaminya. Beliau juga termasuk golongan pertama yang berbaiah pada agama Islam dan berhijrah dari Mekah ke Madinah.

     Ummu Rumman adalah seorang isteri solehah yang sentiasa berdiri di samping suaminya, membantu suaminya dan meringankan beban yang ditanggung suaminya. Beliau membantu Abu Bakar menghadapi saat-saat sukar dan rintangan keras yang menimpa kaum muslimin. Pada zaman permulaan Islam, Ummu Rumman membantu suaminya secara maksimum. Beliau mendorong semangat Abu Bakar, memberikan motivasi kepadanya supaya suaminya mampu mencurahkan segenap tenaganya di jalan dakwah Islam. Dengan bantuan dan sokongan isterinya, Abu Bakar berjuang demi membebaskan ramai orang Islam daripada penindasan.

     Dalam aspek lain, Ummu Rumman adalah sebaik-baik ibu yang mencurahkan sepenuh kasih sayang dalam mendidik anak-anaknya. Beliau mendidik anak-anaknya dengan didikan yang baik dan menjaga mereka dengan sempurna. Ummu Rumman dikenali sebagai seorang ibu yang sabar.

     Sewaktu Nabi Muhammad melamar puterinya sebagai tanda taat kepada perintah Allah, Ummu Ruman berasa bahagia. Ini kerana beliau memperoleh hubungan sebagai mentua kepada Rasulullah. Baginya, tidak ada kemuliaan yang lebih daripada itu.

     Pada masa yang sama, kaum musyrikin tetap mengganggu ketenteraman orang Islam. Mereka bertindak kejam dan zalim kepada sesiapa sahaja yang memeluk Islam. Oleh sebab itulah, Allah mengizinkan kaum muslimin berhijrah ke Madinah demi keselamatan mereka. Namun Nabi Muhammad dan sahabatnya yang setia, Abu Bakar tetap berada di Mekah menunggu perintah berhijrah daripada Allah.

     Perintah itu akhirnya turun dan nabi berhijrah bersama Abu Bakar. Ummu Rumman ditinggalkan dahulu di Mekah. Dengan itu, beliau perlu menanggung ancaman daripada orang musyrikin. Asma binti Abu Bakar mengisahkan, "Sewaktu Abu Jahal bin Hisyam datang dan berdiri di hadapan pintu rumahku, aku pun pun keluar menemuinya. Dia bertanya, 'Di mana bapamu wahai Asma?' Aku menjawab, 'Aku tidak tahu di mana dia.' Abu Jahal yang terkenal dengan kebengisannya itu mengangkat tangannya dan menampar pipiku hingga subangku terjatuh."

     Apabila Nabi Muhammad dan Abu Bakar selamat tiba di Madinah, beliau mengutuskan Zaid bin Haritsah dan Abu Rafi bagi menjemput keluarganya di Mekah. Abu Bakar pula mengutus Abdullah bin Uraiqith bagi tujuan yang sama. Di Mekah, mereka bertemu dengan Thalhah yang juga mahu berhijrah ke Madinah. Jadi, keluarga nabi, keluarga Abu Bakar dan Thalhah sama-sama berhijrah. Semuanya selamat tiba di Madinah dan mereka tinggal di sana bersama Nabi Muhammad dan kaum muslimin.

     Hari-hari berlalu di Madinah dengan aman hingga pada suatu hari, berlaku sesuatu yang tidak diduga. Aisyah binti Abu Bakar difitnah oleh seorang pendusta dan munafik. Berita fitnah itu tersebar dari mulut ke mulut hingga ia sampai ke pendengaran Ummu Ramman. Apabila beliau mendengar fitnah yang menimpa puterinya itu. Ummu Rumman terkejut hingga pengsan. Ummu Rumman merahsiakan hal itu daripada Aisyah kerana tidak sanggup melihat Aisyah menderita.

     Namun akhirnya, Aisyah mendapat berita itu daripada Ummu Masthah. Selepas Aisyah mendengar fitnah yang keji itu, beliau terus pulang ke rumah orang tuanya dan mengadukan hal itu. Aisyah menangis dan menyalahkan ibunya kerana merahsiakan hal itu daripada pengetahuannya.

     Berkatalah Ummu Rumman sambil berlinangan air mata, "Wahai puteriku, terimalah berita ini dengan ringan. Demi Allah, tidak ada seorang wanita pun yang hidup bermadu yang tidak menerima cubaan." Kemudian Ummu Rumman memohon daripada Allah, "Ya Allah, mudahkanlah cubaan ini ke atas puteriku. Engkau lepaskanlah tuduhan yang ditujukan kepadanya."

     Begitulah Ummu Rumman berusaha memujuk dan menenangkan perasaan anaknya. Dia meminta Aisyah menerima cubaan Allah itu dengan hati yang tabah dan bertawakal kepadanya. Allah mendengar suara hati dan doa daripada Ummu Rumman hingga turun wahyu iaitu ayat 11 hingga 19 dalam Surah an-Nur yang membebaskan Aisyah daripada fitnah yang keji itu.

     Maksud ayat itu adalah seperti berikut:

     Allah berkata: "Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu sendiri. Janganlah kamu mengira berita bohong itu buruk bagi kamu. Ia sebenarnya baik bagi kamu. Ingatlah, setiap orang mendapat balasan daripada apa yang mereka lakukan. Sesiapa yang memainkan peranan dalam menyebarkan fitnah, azab yang besar tersedia untuk dirinya. Mengapa sewaktu mendengar berita bohong itu, orang mukmin tidak bersangka baik sesama mereka sendiri dan mengapa mereka tidak berkata, 'Ini adalah berita bohong yang nyata'. Mengapa orang yang membuat tuduhan itu tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh sebab mereka tidak membawa saksi, maka di sisi Allah, mereka adalah orang yang berdusta. Sekiranya Allah tidak menurunkan kurnia dan rahmatnya kepada kamu di dunia dan di akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar kerana menyebarkan fitnah itu. Ingatlah sewaktu kamu menerima fitnah itu dan menyampaikannya dari mulut ke mulut, kamu menganggapnya perkara yang ringan sedangkan kamu tidak mengetahuinya. Sesungguhnya, hal itu adalah besar di sisi Allah. Mengapa kamu tidak berkata, 'Sekali-kali tidak wajar bagi kita menyebarkan hal ini. Maha suci engkau ya Allah, sesungguhnya ini adalah dusta yang besar'. Allah mengingatkan kamu supaya jangan kamu sekali-kali melakukan hal yang seperti itu lagi selama-lamanya sekiranya benar kamu orang yang beriman. Allah menerangkan ayat-ayatnya kepadamu dan Allah yang maha mengetahui lagi maha bijaksana. Sesungguhnya orang yang mahu berita itu tersebar di kalangan orang yang beriman melakukan perbuatan yang keji. Bagi mereka, azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Allah yang maha mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." (Surah an-Nur, ayat 11-19)

     Ayat itu menjadi pengajaran yang penting bagi kamu muslimin supaya tidak mudah mempercayai berita ataupu khabar yang tidak dapat dibuktikan kebenarannya. Kejadian yang menimpa Aisyah itu juga menunjukkan bagaimana kesabaran seorang ibu dapat meredakan keadaan.

     Berkat kesabaran Ummu Rumman, puterinya terselamat daripada fitnah yang bertujuan memusnahkan kedudukannya. Begitulah dahsyatnya doa seorang ibu untuk anaknya. Sewaktu fitnah itu tersebar, Ummu Rumman melalui waktu yang pahit dan getir hingga beliau jatuh sakit. Aisyah menjaga dan merawat ibunya hingga beliau wafat. Ummu Rumman meninggal dunia pada tahun keenam hijrah.

     Sewaktu beliau dikebumikan, Nabi Muhammad berkata, "Ya Allah, engkau lebih tahu apa yang selama ini ditanggung oleh Ummu Rumman. Sesungguhnya dia sentiasa mengikut jalanmu dan jalan rasulmu." Riwayat lagi mengatakan, nabi berkata, "Sesiapa yang suka melihat wanita dari syurga, maka lihatlah Ummu Rumman." Begitulah Nabi Muhammad memberikan penghormatan kepada ibu mentuanya.


Keluarga Khaulah binti Tsa'labah Terselamat

Pada suatu hari, Khalifah Umar al-Khattab berjalan bersama seorang sahabatnya. Tiba-tiba seorang wanita tua menghentikan mereka di tenfah jalan dan berkata, "Ya Umar, aku kenal kamu. Dahulu kamu seorang anak kecil dan sekarang kamu menjadi khalifah Amirul Mukminin. Bertakwalah kamu kepada Allah atas apa yang menjadi tanggungjawabmu!"

     Umar menangis mendengar kata-kata wanita tua itu sehingga sahbaatnya menjadi gelisah. Sahabatnya tersinggung dengan perbuatan wanita itu dan berkata, "Cukup wahai wanita tua. Engkau menjadikan Amirul Mukminin sedih!"

     Namun Umar berkata kepada sahabatnya, "Diam! Adakah engkau tidak mengenal siapa wanita ini? Dia adalah Khaulah binti Tsa'labah. Allah mendengar kata-katanya dari langit ketujuh. Dengan itu, wajarlah kita mendengar kata-katanya."

     Wanita itu hanya seorang rakyat biasa tetapi Umar mendengar kata-katanya, malah dia mampu menjadikan Umar menangis. Siapakah sebenarnya wanita tua itu? Wanita itu disebutkan dalam hadis Sahih Bukhari seperti berikut:

     "Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang mendengar
     semua suara. Sesungguhnya, datang sekumpulan orang
     mengadukan suatu perkara kepada Nabi Muhammad. Aku
     sedang berada di penjuru rumahku dan aku tidak dapat
     mendengar apa yang mereka katakan. Kemudian Allah
     menurunkan wahyu iaitu ayat 1, Surah al-Mujadalah yang
     berbunyi, 'Sesungguhnya Allah mendengar perkataan wanita
     yang mengajukan aduan kepadamu berkenaan suaminya'."
     (Hadis laporan Bukhari)

Mari kita lihat siapakah sebenarnya yang diadukan oleh Khaulah kepada Nabi Muhammad. Dia berkata, "Allah menurunkan ayat pertama daripada Surah al-Mujadalah kepadaku sedangkan aku adalah isteri Aus bin Shamit, seorang tua yang kasar tingkah lakunya. Apabila aku meminta sesuatu daripadanya, dia pasti marah dan berkata, 'Kamu seperti punggung ibu.' Kemudian dia keluar dan bertemu kaum kerabatnya. Tidak lama selepas itu, dia kembali dan merayu kepadaku. Aku pun berkata, 'Demi jiwaku yang berada dalam genggaman Allah, aku tidak benarkan engkau menjamah tubuhku selepas apa yang engkau katakan padaku tadi hingga Allah dan rasul menurunkan hukum mengenai perkara itu.'

     Aku pun segera berlari ke rumah jiranku kerana hendak meminjam baju bagi menghadap Nabi Muhammad dan mengadukan apa yang terjadi. Selepas aku menceritakannya kepada nabi, nabi berkata, 'Wahai Khaulah! Bukankah suamimu itu anak bapa saudaramu? Sayangilah dia.' Khaulah masih tidak mahu meninggalkan nabi hingga ada ayat yang menjelaskan berkenaan masalahnya itu.

     Kemudian nabi berkata, 'Ya Khaulah, Allah menurunkan ayat kepada dirimu iaitu Surah al-Mujadalah. Nabi pun membacakan ayat itu kepadanya hingga selesai dan berkata, 'Suruhlah suamimu membebaskan seorang hamba.'

     Khaulah berkata, 'Bagaimana dia hendak melakukan hal itu ya Rasulullah sedangkan dia tidak memiliki apa-apa.'

     'Sekiranya begitu, suruhlah dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut ataupun memberi makan kepada 60 orang miskin,' kata nabi.

     Khaulah berkata, 'Ya Rasul, dia tidak mampu melakukan hal itu.'

     Nabi berkata pula, 'Baiklah, aku akan membantunya dengan beberapa tangkai kurma.'

     Khaulah berasa lega dan berkata, 'Baiklah, aku juga akan membantunya.'

     'Kamu memang wanita yang baik dan bijaksana. Sekarang bawalah kurma ini, sedekahkannya dan layanlah suamimu dengan baik,' kata nabi."

     Laporan lain pula menyampaikan kisah itu dengan berbeza. Begini laporannya, "Nabi berkata kepada Khaulah, 'Aku rasa engkau sudah diharamka untuk suamimu.' Khaulah merayu kepada nabi supaya menyelesaikan masalahnya. Dia berkata, 'Ya Rasulullah, kami mempunyai ramai anak. Tolonglah!' Khaulah kemudian menadahkan tangannya ke langit dan berdoa, 'Ya Allah, aku mengadukan masalahku kepadamu.' Sebaik sahaja Khaulah selesai berdoa, Allah menurunkan ayatnya yang bijaksana bagi menyelesaikan masalahnya itu."

     Kisah Khaulah terkandung di dalam Quran iaitu dalam Surah al-Mujadalah, ayat 2 hingga 4. Maksud daripada ayat itu adala seperti berikut:

     "Orang yang menziharkan isteri mereka menganggap isteri mereka sebagai ibu mereka sedangkan isteri mereka bukanlah ibu mereka. Ibu mereka adalah wanita yang melahirkan mereka dan sesungguhnya mereka mengucapkan kata-kata yang mungkar serta dusta. Allah maha pengampun lagi maha pemaaf. Orang yang menziharkan isteri mereka dan kemudian mereka menarik balik kata-kata mereka, maka wajib ke atas mereka memerdekakan seorang hamba sebelum mereka bergaul dengan isteri mereka. Sesiapa yang tidak mampu melakukan hal itu, wajiblah dia berpuasa dua bulan berturut-turut dan sesiapa yang masih tidak mampu melakukan hal itu, wajiblah dia memberi makan kepada 60 orang miskin. Demikianlah perintah Allah supaya kamu beriman kepada Allah dan rasulnya. Itulah hukum-hukum Allah dan orang kafir pasti menerima seksaan yang pedih."

     Dalam masalah yang menimpa Khaulah dan suaminya, mereka tidak mampu mengikut semua perintah itu disebabkan kemiskinan. Dengan itu, Nabi Muhammad bersedekah atas nama suami Khaulah bagi membebaskannya daripada kesalahannya itu. Akhirnya, keluarga Khaulah kembali hidup dengan aman dan bahagia.

     Khaulah binti Tsa'labah adalah wanita yang solehah, ibu yang baik dan isteri yang setia. Oleh sebab itulah, dia menolak kehadiran suaminya sebelum turun hukum Allah yang menjelaskan perbuatan suaminya. Kata-kata, 'engkau seperti punggung ibuku' adalah kata-kata yang biasa diucapkan oleh orang Arab Jahiliah. Dengan ucapan itu, isteri mereka menjadi haram digauli walaupun tidak diceraikan. Nasib wanita itu menjadi tidak menentu dan tergantung kerana dia tidak boleh berkahwin lain sedangkan suaminya tidak lagi menghiraukannya. Dia juga tidak lagi mempunyai hak ke atas suaminya.

     Apabila Nabi Muhammad menegaskan kepadanya, haram bagi suaminya menggaulinya, Khaulah tetap berusaha, berdoa dan menunggu perintah serta hukum daripada Allah berkaitan masalahnya itu. Ini kerana dia menginginkan sumah tangganya kembali pulih, anak-anaknya terpelihara dengan baik dan dia tidak terpisah daripada suaminya.

     Itulah Khaulah, wanita yang mukminah dan solehah, isteri yang setia dan ibu yang mulia. Khaulah begitu berani hingga sanggup menghalang Umar al-Khattab di tengah jalan kerana mahu mengingatkan Umar berkenaan tanggungjawabnya sebagai khalifah. Kita tahu, betapa Umar adalah seorang pemimpin yang adil dan teliti dalam menguruskan rakyatnya. Beliau juga tegas dalam menjatuhkan hukuman kepada sesiapa yang melakukan kesalahan. Namun Khaulah tetap mahu mengingatkannya.

     Sesungguhnya, Allah menurunkan rahmatnya kepada Umar sebagai pemimpin yang adil dan Khaulah sebagai isteri yang solehah.


Seorang Ibu Bersama Anaknya Selamat daripada Bahaya

Seorang lelaki yang soleh pulang dari Mekah dan menceritakan berkenaan seorang ibu yang berdoa memohon keselamatan untuk dirinya dan anaknya. Lelaki itu bercerita, "Sewaktu aku sedang tawaf di Baitullah, aku mendengar suara seorang wanita. Aku menoleh ke arah suara itu dan melihat seorang wanita muda yang mendukung seorang anak kecil.

     Ibu muda itu juga sedang tawaf sambil berdoa, 'Yaa kariim. Ya kariim. 'Ahdakal qadiim'. Maksud doa itu adalah, 'Ya Tuhan yang maha pemurah lagi maha pengasih, aku mengharapkan janjimu dahulu.' Aku hairan mendengarkan doanya itu lalu aku pun menegurnya, 'Wahai ibu yang mendukung anak kecil, apakah janjimu dengan Tuhan?"

     Ibu itu berkata, 'Tidak berapa lama dahulu, aku naik kapal bersama para pedagang. Pada suatu malam, taufan melanda dan menggelamkan kapal itu. Aku sempat mencapai sekeping kayu dan menyelamatkan diriku dan anakku. Alhamdulillah, kami tidak tenggelam. Kami hanya terapung-apung di tengah lautan luas. Pada mulanya, aku fikir hanya aku dan anakku yang terselamat tetapi samar-samar dalam kegelapan malam itu, aku melihat seorang lelaki hitam. Dia juga terapung-apung di atas sekeping kayu.

     Pada keesokan paginya, aku dapati lelaki hitam itu asyik memandang ke arahku. Kemudian, dia berusaha menghampiriku. Aku berfikir dia mahu menolong aku dan anakku. Namun, apabila dia sampai dekat denganku, dia naik ke atas kayuku dan merayuku melakukan zina.

     Aku menjadi takut setengah mati, apabila memikirkan keselamatan anakku. Dengan ketakutan, aku berkata kepadanya, 'Wahai hamba Allah, adakah engkau tidak takut kepada Allah? Kita ini sedang dalam bahaya, kita perlu mengharapkan keselamatan daripadanya bukannya melakukan maksiat!' Lelaki hitam itu berkata, 'Ah, janganlah berkata begitu. Aku tidak dapat menahan diriku.'

     Pada waktu itu, anakku sedang tidur nyenyak di pangkuanku. Aku mencari jalan bagaimana hendak mengalihkan perhatian lelaki itu, jadi aku pun mencubit anakku. Anakku terus terjaga dan menangis. Aku berkata kepada lelaki itu, 'Lihat anakku ini menangis. Bolehkah engkau bersabar sedikit kerana aku hendak menidurkannya. Selepas dia tidur, engkau boleh melakukan apa sahaja kepada diriku.' Mendengarkan kata-kataku itu, lelaki itu kelihat gembira dan tiba-tiba dia menjadi tidak waras. Nafsunya menguasai dirinya hingga dia merampas anakku daripada pangkuanku dan membuang anakku ke laut. Aku menjadi tidak berdaya. Apa yang mampu aku lakukan hanya memohon pertolongan Allah.

     Aku segera menadahkan tangan, mendongak ke langit dan berdoa, 'Ya Allah, Tuhan yang dapat memisahkan seseorang daripada buah hatinya, pisahkanlah aku daripada si hitam ini dengan kekuasaanmu dan kekuatanmu. Sesungguhnya engkau maha berkuasa atas segala sesuatu.'

     Demi Allah, sebelum aku selesai memanjatkan doaku, tiba-tiba muncul seekor haiwan yang besar dari dalam laut. Haiwan itu melompat ke arah lelaki itu dengan mulut ternganga dan dalam sekelip mata ia menelan lelaki itu. Allah menyelamatkan aku dengan rahmatnya. Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu.

     Selepas kejadian itu, ombak membawa aku ke sebuah pulau. Di pulau itu, terdapat banyak pokok buah. Aku pun mengambil buah-buah itu dan memakannya. Selepas aku berada di pulau itu selama lima hari, aku melihat sebuah kapal sedang berlayar tidak jauh dari pulau itu. Aku berlari ke atas satu anak bukit dan melambai-lambaikan kainku ke arah kapal itu dengan harapan ia datang menyelamatkanku.

     Alhamdulillah, orang di atas kapal itu melihatku. Mereka mendekatkan kapal itu ke pulau di mana aku berada. Sebaik sahaja ia tiba di tepi pulau, tiga orang kelasi kapal turun dan membawaku ke atas kapal mereka. Apabila aku naik ke atas kapal itu, betapa terkejutnya aku melihat anakku juga berada di atas kapal itu! Aku segera memeluk dan menciumnya sambil berkata, 'Inilah anakku, buah hatiku!'

     Semua orang yang melihat gelagatku di atas kapal itu kehairanan dan menganggap aku gila. Aku mengatakan kepada mereka. 'Demi Allah, aku tidak gila.' Lalu aku menceritakan kepada mereka apa yang terjadi.

     Selepas mereka mendengar ceritaku, salah seorang daripada mereka berkata, 'Wahai puan, apa yang anda ceritakan itu adalah sesuatu yang ajaib. Sekarang, saya juga mahu menceritakan sesuatu yang ajaib.'

     'Sewaktu kami sedang belayar, tiba-tiba muncul seekor haiwan laut yang besar yang menghalang perjalanan kami. Di atas belakang haiwan itulah, anak itu berada. Kami mendengar satu suara yang berkata, 'Ambillah anak ini sekiranya kamu tidak mahu binasa.' Salah seorang daripada kami segera turun mengambil anak itu dan sejurus selepas itu, haiwan itu kembali ke dasar laut. Sungguh ajaib kejadian yang kami alami dan apa yang puan alami. Sejak kejadian itu, kami berjanji kepada Allah, tidak mahu berbuat dosa dan maksiat lagi. Pada hari ini, kami semua bertaubat.'"

     Laporan lain menyatakan doa ibu itu adalah seperti berikut:

     "Ya latif, ya karim biluthfikal qadiim fa inna qalbi alal ahdil
     muqiim."

Begitulah contoh betapa dahsyatnya doa ibu. Kisah di atas bukanlah kisah rekaan melainkan ia benar-benar berlaku. Kisah itu terkandung di dalam Kitab Irsyadul Ibad karangan Syaikh Zaenuddin bin Abdul Aziz al-Malebary.


Lelaki Panjang Umur pada Zaman Nabi Sulaiman

Nabi Sulaiman memiliki kelebihan bercakap dengan semua binatang. Selain menjadi nabi, beliau juga adalah seorang raja yang agung. Dengan izin Allah, Nabi Sulaiman berjaya menakluk negeri Ratu Balqis dan mengajak ratu itu memeluk agama Islam.

     Al-Yafi'i berkata, "Allah mewahyukan kepada Nabi Sulaiman, 'Keluarlah ke tepi laut. Di sana engkau dapat melihat sesuatu yang ajaib dan luar biasa.' Nabi Sulaiman pun keluar dari istananya dan menuju ke arah laut diiringi rombongan jin dan manusia. Apabila beliau sampai di tempat yang Allah maksudkan, Nabi Sulaiman melihat keadaan di sekelilingnya. Nabi Sulaiman meminta jin menyelam ke dasar laut dan membawakan apa-apa yang ajaib dari sana. Nabi Ifrit segera menyelam mengikut perintah Nabi Sulaiman. Beberapa saat kemudian, ia naik semula dan berkata kepada Nabi Sulaiman, 'Aku menyelam jauh ke dasar lautan tetapi aku tidak melihat apa-apa yang ajaib.'

     Nabi Sulaiman tidak putus asa dan memerintahkan jin lain pula menyelam. Jin yang kedua turut tidak bertemu apa-apa pun yang ajaib, walaupun ia menyelam lebih dalam daripada jin yang pertama. Nabi Sulaiman kemudian berkata kepada Aashif bin Barkhiya, seorang yang mendapat ilmu terus daripada Allah, "Wahai Aashif bin Barkhiya, bawakan kepadaku sesuatu yang ajaib yang ada dalam lautan ini.' Aashif terus berdoa kepada Allah dan memohon Allah menunjukkan keajaiban itu kepadanya. Tiba-tiba memancar cahaya dari dasar laut itu dan kemudian muncul sebuah kubah yang dibina daripada mutiara putih. Ia mempunyai empat pintu yang setiap satunya diperbuat daripada intan permata, batu yakut, mutiara dan batu yang berwarna hijau.

     Nabi Sulaiman kagum melihat kubah itu lalu beliau berdoa kepada Allah memohon Allah membuka pintu kubah itu. Dengan izin Allah, semua pintu itu terbuka tetapi tidak ada setitis air pun yang memasuki kubah itu. Di tengah-tengah kubah itu kelihatan pemuda yang berpakaian bersih dan berwajah tampan. Ternyata pemuda itu sedang berdiri dalam solatnya.

     Apabila dia selesai solat, Nabi Sulaiman masuk ke dalam kubah itu lalu memberi salam kepada pemuda yang menghuni kubah itu. Nabi Sulaiman bertanya kepadanya, 'Siapakah kamu? Malaikat, jin ataupun manusia?'

     Pemuda itu menjawab, 'Aku manusia.'

     'Mengapa kamu tinggal di dalam kubah yang berada di dasar lautan ini?' tanya Nabi Sulaiman lagi.

     Pemuda itu berkata, 'Wahai nabi Allah, ayahku dahulu seorang yang lumpuh dan ibuku pula buta. Tidak ada yang menjaga dan melayani mereka selain aku. Aku menjaga mereka selama tujuh tahun. Sewaktunya ibunya hampir hendak meninggal dunia, dia berdoa kepada Allah, 'Ya Allah, panjangkanlah umur anakku, limpahkan sifat qanaah kepadanya dan jadikanlah dia anak yang taat kepadamu. Tempatkanlah anakku di suatu tempat di mana syaitan tidak dapat mengganggunya.'

     'Sejak kematian ibu bapaku, aku meninggalkan rumah dan datang ke tepi lautan ini. Tiba-tiba aku melihat kubah ini dan aku masuk ke dalamnya. Sebaik sahaja aku memasuki kubah ini, malaikat membawanya ke dasar laut.'

     Nabi Sulaiman bertanya lagi, 'Waktu itu, kamu berada pada zaman mana?'

     Dia menjawab, 'Zaman Nabi Ibrahim.'

     Dengan demikian, umur pemuda itu mencapai kira-kira 1,500 tahun tetapi wajahnya tetap muda dan tidak ada sehelai uban pun di atas kepalanya.

     'Bagaimana kamu makan dan minum?' tanya Nabi Sulaiman.

     Pemuda itu menjawab, 'Setiap hari ada burung yang datang membawakan makanan kepadaku. Apabila aku memakannya, aku merasakan makanan yang ada di seluruh dunia. Aku kenyang dan puas, hilang rasa laparku dan hilang hausku. Hilang juga rasa panas dan sejuk, rasa mengantuk, jemu dan malas.'

     Kemudian Nabi Sulaiman bertanya, 'Adakah kamu suka tinggal di sini ataupun kamu mahu mengikutku balik ke atas daratan?'

     'Kembalikan sahaja aku ke dasar laut wahai nabi,' jawabnya.

     Dengan itu, Nabi Sulaiman pun bersalaman dengan pemuda itu dan mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Kemudian Nabi Sulaiman segera meminta Aashif mengembalikan kubah itu ke dasar laut.

     Lihatlah bagaimana Allah menerima doa seorang ibu yang begitu luar biasa. Oleh sebab itu, kita perlu berhati-hati dan jangan sekali-kali menderhaka kepada ibu bapa kita.


Pemuda Derhaka Meninggal Dunia dalam Husnul Khatimah

Amin dan Adi adalah adik-beradik kandung. Mereka lahir dalam keluarga yang taat beragama namun tingkah laku mereka berbeza. Amin adalah abang sementara Adi pula adik. Sejak kecil Amin dikenali sebagai orang yang baik dan tidak suka berfoya-foya. Dia tidak pernah menyentuh minuman keras, malah dia banyak menghabiskan waktu di masjid. Dia tidak suka bergaul dengan wanita yang bukan muhrimnya. Seorang gadis yang juga sepupunya pernah cuba menggodanya tetapi Amin langsung tidak menghiraukannya. Dengan kebaikan dan akhlaknya yang mulia, keluarganya dan masyarakat menyayanginya.

     Sebaliknya, Adi adalah seorang yang nakal sejak kecil. Sejak usia remaja, dia mula berjinak-jinak dengan tempat maksiat. Hampir setiap hari dia mabuk dan melakukan pelbagai maksiat. Kadang-kadang dia mengikut kumpulan perompak dan merampas harta benda orang lain. Sewaktu dia merompak, ada kalanya juga dia memperkosa anak gadis. Kesimpulannya, dia melakukan hampir semua jenis maksiat yang memuaskan nafsunya. Oleh sebab itulah, keluarganya dan masyarakat membencinya.

     Pada suatu hari, polis berjaya menangkap Adi sewaktu dia sedang merompak. Akibatnya, dia dipenjarakan selama beberapa tahun. Selepas tempoh tahanan itu tamat, Adi dibebaskan, namun tembok penjara tidak mampu menginsafkannya. Adi tetap jahat dan terus melakukan maksiat, malah lebih buruk lagi berbanding sebelum dia dipenjara.

     Ibunya yang kini lanjut usianya hanya mewarisi kedai peninggalan arwah bapanya. Selama ini ibunya yang menjaga kedai itu dan berusaha membesarkan kedua-dua anaknya. Melihat tingkah laku anaknya yang tetap tidak mahu berubah, ibunya berasa sedih yang tidak dapat digambarkan. Adi bukan sahaja mencuri di rumah orang lain tetapi dia turut mencuri wang dan barang kemas ibunya sendiri. Ibunya tidak mampu melakukan apa-apa lagi selain memohon daripada Allah yang maha kuasa semoga anaknya mendapat hidayah dan kembali ke jalan yang lurus.

     Pada suatu hari, Adi pulang ke rumah dan memohon bahagian harta pusaka peninggalan bapanya. Dia berkata kepada ibu dan abangnya, dia mahu menggunakan wang itu bagi memulakan perniagaan. Ibu dan abangnya meras alega dan gembira kerana mereka fikir Adi insaf dan mahu mengubah cara hidupnya selama ini. Alangkah terkejut dan marahnya mereka apabila mengetahui perniagaan yang mahu dijalankan itu adalah rumah pelacuran. Ibu dan abangnya tidak bersetuju dan enggan memberikan wang kepadanya.

     Pada malam hari, secara senyap-senyap Adi masuk ke dalam bilik ibunya dan mencuri dokumen harta pusaka bapanya. Ibunya terjaga daripada tidur dan sempat melihat Adi mencuri dokumen itu. Dia cuba menghalang Adi tetapi Adi menendang ibunya dengan kasar. Dalam kesakitan, ibunya berdoa, "Ya Allah, berikanlah petunjukmu kepada anakku Adi, semoga dia kembali ke jalan yang engkau redhai."

     Selepas kejadian itu, Amin, merenung nasib dirinya. Tiba-tiba, satu suara halus berkata-kata kepadanya, "Sejak kecil, engkau sentiasa melakukan kebaikan dan rajin beribadah. Engkau mendapat tempat di hati masyarakat tetapi engkau tidak pernah merasa sedikit pun nikmat dunia. Lihatlah adikmu, dia puas menikmati hidupnya. Dia gembira dengan ramai wanita di sekelilingnya. Engkau sama sekali tidak pernah merasakan kegembiraan itu. Mengapa engkau tidak mahu mengunjungi rumah pelacuran yang adikmu usahakan itu? Datang sekali sahaja, kemudian bertaubatlah. Engkau boleh membaca istighfar beribu-ribu kali dalam solat tahajudmu dan memohon keampunan daripada Allah. Bukankah Allah itu maha pengampun?"

     Pujukan hawa nafsunya itu ternyata mempengaruhi akal fikiran Amin yang waras. Begitulah kerja syaitan yang menggoda manusia secara halus, ia masuk ke dalam aliran darah manusia dan memujuk manusia melakukan maksiat.

     Dalam hatinya, Amin berkata, "Betul juga, mengapa aku tidak mahu berhibur? Sekali-sekala apalah salahnya. Malam nanti aku akan pergi ke rumah pelacuran itu. Sepupuku, Mira yang dahulu pernah merayuku juga ada di sana menjadi pelacur. Selepas berseronok seketika, aku pulang dan bertaubat. Bukankah Allah itu maha pengasih dan pengampun?"

     Pada waktu yang sama di rumah pelacuran, Adi juga termenung dan memikirkan untung nasibnya. Dia mulai bosan dengan kehidupan yang dijalaninya selama ini. Hati nuraninya berkata, "Bertahun-tahun aku hidup bergelumang dosa. Aku melakukan segala jenis maksiat. Sampai bila aku hendak hidup begini? Keluargaku membenciku, masyarakat juga membenciku. Mengapa aku tidak cuba menjadi baik seperti abangku? Sekiranya aku terus hidup begini, aku pasti masuk neraka kelak sementara abangku masuk syurga. Tidak, aku tidak boleh terus hidup dalam maksiat!"

     Dia terbayang apa yang kelak terjadi pada dirinya apabila dia mati. Dengan itu, dia bertekad hendak mengubah kehidupannya. Hatinya berkata, "Aku mesti mengubah hidupku ini. Selepas maghrib nanti, aku hendak pergi ke masjid di mana abangku selalu solat. Aku mahu solat bersama-samanya dan aku mahu bertaubat. Aku mahu kembali ke pangkuan Allah. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosaku selama ini!"

     Pada malam itu, kedua-dua adik-beradik itu melaksanakan niat masing-masing. Sesudah mengerjakan solat maghrib di masjid, Amin pulang ke rumah bagi mengganti baju dan kemudian menuju ke rumah pelacuran adiknya. Sementara itu, Adi sudah meninggalkan rumah itu dan berjalan menuju ke masjid. Oleh sebab mereka mengikut jalan yang berlainan, mereka tidak bertemu di tengah jalan.

     Apabila Amin sampai di rumah pelacuran itu, dia mencari-cari adiknya tetapi tidak berjumpa. Para pekerjanya berkata mereka tidak tahu ke mana dia pergi. Walaupun adiknya tidak ada di rumah itu, dia tetap meneruskan niatnya. Apalagi, Mira menyambutnya dengan mesra. Nafsu syaitan mula menguasai diri Amin dan dia hanyut dalam pujuk rayu Mira.

     Pada waktu yang sama, Adi sampai di masjid. Dia bertekad hendak bertaubat, lalu dia terus mengambil wuduk dan masuk ke dalam masjid. Adi mencari-cari abangnya tetapi ternyata abangnya tiada di situ. Orang yang berada di masjid itu juga tidak tahu di mana abangnya. Adi meneruskan niatnya dan mengerjakan solat. Sesudah solat, dia beristighfar sebanyak-banyaknya sambil air matanya bercucuran dengan penuh penyesalan. Tiba-tiba bumi bergoncang dengan hebatnya.

     Di sekelilingnya, orang menjerit, "Gempa bumi! Gempa bumi!"

     Semua orang panik dan lari bertempiaran keluar dari masjid dan rumah masing-masing bagi menyelamatkan diri. Semuanya takut rumah mereka runtuh. Adi yang larut dalam wirid dan doanya tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya, malah dia tidak dapat merasakan gempa yang hebat itu. Pada malam itu, banyak bangunan runtuh termasuk masjid dan rumah pelacuran milik Adi.

     Keesokan paginya, orang ramai sibuk mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan. Ada yang masih bernyawa dan ramai yang terkorban. Orang ramai turut menemukan mayat Amin dan Mira dalam keadaan yang memalukan. Adi turut terkorban dalam runtuhan masjid. Orang ramai menemukan mayatnya dengan kedua-dua belah tangannya memegang Quran di dadanya.

     Orang ramai yang mengenali kedua-dua adik-beradik itu menitiskan air mata melihatkan keadaan Amin dan Adi tetapi mereka kehairanan mengapa mayat Amin berada di rumah pelacuran sementara mayat Adi pula berada di dalam masjid. Amin yang selama hidupnya adalah seorang ahli ibadah mati dalam keadaan tragik dan memalukan. Sebaliknya, Adi yang selama ini dikenali sebagai ahli maksiat, mati dalam husnul khatimah.

     Ibu mereka menangis tanpa henti apabila mendapat berita kedua-dua anaknya terkorban dalam gempa bumi itu. Kesedihannya bertambah dalam apabila melihat mayat Amin yang terkorban dalam pelukan seorang pelacur. Barulah dia sedar, selama ini dia tidak pernah mendoakan Amin kerana menganggapnya anak yang soleh. Dia terlupa memohon daripada Allah supaya Amin tetap taat dan istiqamah.

     Peristiwa itu memberi pengajaran yang berharga kepada kita. Kematian itu dapat datang menjemput kita pada bila-bila masa. Hanya Allah yang mengetahuinya. Dengan itu, janganlah sekali-kali kita menuruti hawa nafsu. Siapa tahu, sewaktu kita sedang melakukan kejahatan, pada waktu itulah maut datang menjemput kita. Nauzubillah, semoga Allah sentiasa menjaga kita dan memberikan kematian yang baik kepada kita.

     Wahai ibu-ibu, doakanlah semua anak-anakmu semoga mereka memperoleh kebaikan di akhirat dengan husnul khatimah. Walaupun seburuk mana kelakuan anakmu ataupun sebaik mana mereka, janganlah lupa mendoakan mereka.

     "Ya Allah, kurniakanlah kepada kami, kepada anak dan cucu kami, keteguhan iman dan istiqamah berada pada jalanmu. Kurniakanlah kepada kami, kepada anak dan cucu kami, husnul khatimah. Amin."







N / F : DARIPADA "DAHSYATNYA DOA IBU", OLEH SYAMSUDDIN NOOR.

No comments:

Post a Comment