Saturday 8 April 2017

DOA IBU MEMBERI FAEDAH






DOA IBU MEMBERI FAEDAH







Setiap Doa Memberi Faedah

Setiap orang yang beriman perlu yakin, doa yang dipanjatkan kepada Allah, Tuhan yang maha suci dan maha mengabulkan doa pasti memberi faedah bagi kehidupannya di dunia dan akhirat.

     Memang sebahagian daripada kita kadang-kadang merasakan, kita banyak kali berdoa tetapi Allah tidak pernah mengabulkannya. Bolehkah kita membiarkan perasaan seperti itu muncul dalam hati kita? Tentu tidak. Ini kerana Allah bergantung pada sangkaan hamba kepadanya. Apabila kita merasakan doa kita tidak terkabul, itulah yang berlaku.

     Allah maha mengetahui semua keperluan makhluknya dan dialah yang lebih memahami apa yang kita perlukan dalam mengharungi kehidupan ini. Dialah yang maha mengatur perjalanan hidup setiap makhluk dengan segala kudrat dan iradatnya. Semuanya berada dalam genggaman kekuasaan Allah yang tidak terbatas.

     Apabila seseorang itu banyak berdoa kepada Tuhan, dia tidak rugi sedikit pun. Sebaliknya, dialah orang yang memperoleh keuntungan. Kita sering memerlukan seseorang sebagai tempat mengadu bagi meringankan beban fikiran dan jiwa kita. Apabila kita menceritakan masalah kita kepada seseorang, bebanan kita terasa lebih ringan. Begitu jugalah bagi orang yang berdoa. Berdoa seperti mengadu masalah kepada Allah. Allah adalah sebaik-baik teman yang dapat memberikan penyelesaian terbaik bagi sesiapa sahaja yang memerlukannya.

     Itu adalah salah satu aspek positif ataupun manfaat doa. Bagaimana pula dengan doa seorang ibu? Tentu sahaja doa yang dipanjatkan oleh seorang ibu memberi faedah. Pertama, untuk dirinya sendiri dan kedua, untuk anak-anak yang dikasihinya.

     Daripada apa yang saya huraikan di atas, yakinlah doa memiliki kekuatan dan banyak mendatangkan manfaat. Mari kita lihat penjelasan selanjutnya berkenaan kekuatan dan faedah doa seperti berikut:

     1. Berdoa adalah ibadah. Ia adalah perintah Allah seperti
         yang dinyatakan dalam ayat berikut:

     "Tuhanmu berkata, 'Berdoalah kepadaku, nescaya aku
     perkenankan bagimu'." (Surah al-Mukminun, ayat 60)

     2. Berdoa mendekatkan diri kita kepada Allah. Dengan
         berdoa, kita merasakan kita memerlukan Allah dan
         merasa hina di hadapan Allah. Oleh itu, kita perlu
         merendah diri di hadapannya. Sebaliknya, orang yang
         enggan berdoa adalah orang yang sombong di hadapan
         Allah. Ayat berikut menyatakan:

     "Sesungguhnya orang-orang yang sombong dan enggan
     menyembahku kelak masuk neraka jahanam dalam keadaan
     hina dina." (Surah al-Mukminun, ayat 60)

     3. Berdoa adalah zikir. Berzikir dengan mulut ataupun
         dalam hati adalah sebahagian daripada kaedah ataupun
         kunci mengenal diri dan menjadikan jiwa tenang serta
         tenteram. Dalam hal ini, Allah berkata:

     "Ingatlah hanya dengan mengingat Allah, hati menjadi
     tenang." (Surah al-Ra'd, ayat 28)

     4. Allah mengabulkan doa. Allah pasti mengabulkan doa
         hamba-hambanya menurut apa yang baik untuk mereka.
         Antaranya adalah:
         
         a. Allah meningkatkan darjat hambanya yang
             berdoa.
         b. Doa menghapuskan dosa-dosa apabila seseorang
             hamba banyak berbuat dosa.
         c. Doa menjamin keselamatan seseorang apabila ada
             keburukan yang bakal menimpanya.
         d. Allah mengabulkan doa seorang hamba apabila doa
             itu sesuai dengan apa yang diperlukannya.

     5. Berdoa menunjukkan jati diri. Hamba yang memiliki
         sifat sebagai mukmin yang sejati yakin tidak ada sesiapa
         yang boleh memberikan pertolongan kepadanya selain
         Allah.


Doa Ibu Lebih Tajam Daripada Pisau

Setiap anak pasti merasakan dirinya lebih dekat pada ibunya berbanding bapanya. Begitu juga dengan seorang anak yang suka membantah. Dia biasanya lebih banyak membantah ibunya daripada bapanya. Ini kerana ibulah yang mengandung dan melahirkannya. Ibulah yang menyusukannya, menjaga dan menguruskan seorang anak hingga dewasa. Ibu memang memainkan peranan utama dalam membesarkan anak-anak.

     Pasti setiap ibu selalu mendoakan anaknya menjadi baik dan berjaya apabila anak itu dewasa kelak. Namun kadang-kadang keadaan yang sebaliknya timbul. Ada ibu yang membiarkan anaknya hidup sengsara dan tidak mahu memaafkan kesalahan anaknya apabila anak itu derhaka kepadanya. Malah mungkin juga si ibu mendoakan keburukan untuk anaknya. Kita dapat melihat hal itu dalam kisah-kisah lama seperti Si Tanggang.

     Orang tua, khususnya ibu memiliki satu senjata yang ampuh iaitu doa. Apabila seorang ibu selalu mendoakan kebaikan untuk anaknya, insya-Allah, anaknya menjadi baik dan terhindar dari perkara buruk. Sebaliknya, sekiranya seorang ibu terlanjur mengutuk anaknya, maka malanglah nasib anak itu. Oleh itu, seorang anak perlu berhati-hati dalam menjaga hubungan baik dengan orang tuanya. Setiap anak perlu berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapanya.

     Orang tua juga perlu menyedari, watak setiap anak tidak sama. Setiap anak memiliki watak ataupun karakter tersendiri. Ada yang patuh kepada ibu bapa dan ada pula yang bersikap kasar kepada orang tuanya. Di sinilah letaknya ujian kesabaran untuk ibu dan bapa. Seorang ibu ataupun bapa tidak boleh cepat marah dan mengeluarkan kata-kata bersifat kutukan kepada anaknya. Contohnya, 'anak monyet', 'anak syaitan' dan seumpamanya. Ini kerana kata-kata yang bersifat baik ataupun buruk yang diungkapkan oleh orang tua kepada anaknya adalah doa dan Allah maha mendengar semua doa.

     Dalam hal ini Nabi Muhammad menegaskan, Allah tidak menolak doa orang tua untuk anak-anaknya. Sehubungan itu, sebaik-baiknya orang tua membantu anak-anak meraih kejayaan dalam hidup, sama ada di dunia mahupun dia akhirat dengan mendoakan mereka. Begitu juga sebaliknya. Anak-anak juga perlu mendoakan orang tua mereka. Demikianlah hubungan yang baik antara ibu bapa dan anak-anak.


Faedah Doa Ibu untuk Anaknya

Ibu dan bapa perlu memahami setiap anak tanpa mengira di mana dan bagaimana keadaannya, menganggap ibunya adalah istimewa. Sekurang-kurangnya setiap anak memahami, derhaka kepada orang tua menyebabkan kemurkaan Allah. Sebaliknya apabila seorang anak membahagiakan orang tuanya, Allah menurunkan rahmat kepadanya. Perasaan itu tertanam dalam diri setiap anak dan ia adalah fitrah semua manusia di dunia ini. Samalah seperti fitrah seorang ibu yang menyayangi anak-anaknya.

     Kita dapat melihat perasaan fitrah itu dalam kisah Nabi Yaakob yang disebut di dalam Quran iaitu dalam Surah Yusuf, ayat 97 hingga 98 seperti berikut:

     "Mereka berkata, 'Wahai ayah kami, mohonkanlah 
     keampunan untuk kami atas dosa-dosa kami. Sesungguhnya
     kami adalah orang-orang yang berdosa.' Yaakob berkata, 
     'Aku memohonkan ampun untukmu daripada Tuhanku.
     Sesungguhnya dialah yang maha pengampun lagi maha
     penyayangnya'." (Surah Yusuf, ayat 97-98)

Anak-anak Nabi Yaakob menderhaka kepadanya, kepada Allah dan juga kepada Yusuf, saudara tiri mereka. Mereka menipu Nabi Yaakob dengan mengatakan Yusuf mati dimakan oleh serigala sedangkan itu bukanlah apa yang sebenarnya berlaku. Jelas, berdusta adalah suatu dosa. Akhirnya mereka menyedari kesalahan mereka dan mengaku di hadapan Nabi Yaakob dan Yusuf. Mereka memohon Nabi Yaakob memaafkan mereka dan memohonkan keampunan daripada Allah.

     Allah menyebutkan kisah itu di dalam Quran bukan sekadar sebagai suatu kisah berkenaan keluarga Nabi Yaakob. Ia adalah suatu pengajaran kerana hal seperti itu pasti terus berlaku pada manusia. Pada kisah di atas, kita melihat bagaimana anak-anak Nabi Yaakob secara fitrah mengharapkan orang tua mereka membantu mereka bagi memperoleh kebaikan dan kebahagiaan di dunia serta akhirat. Sesungguhnya, itulah fitrah yang terkandung dalam diri setiap manusia.

     Dengan demikian, memohon ibu bapa mendoakan kebaikan untuk kita adalah sesuatu yang bersifat fitrah. Dalam hal ini sebenarnya, sama ada kita meminta ataupun tidak, merasakannya perlu ataupun tidak, disedari ataupun tidak, setiap anak mengharapkan sentuhan doa orang tua mereka, terutama ibu yang melahirkannya ke dunia ini.




N / F : DARIPADA "DAHSYATNYA DOA IBU", OLEH SYAMSUDDIN NOOR.






No comments:

Post a Comment