Monday 12 September 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 16 - BERHIJRAH KE ISMAILIYAH ]






BERHIJRAH KE ISMAILIYAH








"Wahai ibu, saya tidak berasa kecewa apabila gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kerana Darul Ulum tidak mengeluarkan biasiswa pada tahun ini. Saya boleh terima keadaan itu. Tetapi saya dihantar ke Ismailiyah. Saya tidak tahu di mana Ismailiyah dan nama itu amat asing kepada saya," kata Hasan Al-Banna meluahkan perasaan kepada ibunya.

     "Kamu sudah berbincang dengan ayahmu?" tanya Fudhla pula.

     Hasan Al-Banna menggeleng lalu menjawab, "Belum, sebab surat tawaran ini baru sahaja sampai. Saya tidak menolak untuk dihantar ke Ismailiyah. Saya mahu mengajar di Kaherah. Di sini banyak sekolah dan dekat dengan keluarga. Sekiranya di Ismailiyah, saya akan jadi orang asing dan terasing."

     Fudhla berasa simpati dengan anaknya. Dia mencadangkan, "Sekiranya begitu cuba berbincang dahulu dengan pegawai kementerian pelajaran. Mungkin mereka dapat membantu."

     Mendengar cadangan ibunya itu, Hasan Al-Banna segera bangun dan berkata, "Baiklah ibu, sekarang juga saya mahu pergi ke kementerian pelajaran."

     Hasan Al-Banna pergi ke kementerian pelajaran lalu menemui seorang pegawai yang ada kaitan dengan pelantikan guru baru.

     "Saya bukan menolak pelantikan ini tetapi mahu memohon supaya berkhidmat di Kaherah, bukan di Ismailiyah," kata Hasan Al-Banna sambil membuat rayuan.

     "Pada tahun ini, jumlah calon yang dilantik menjadi guru melebihi jumlah guru yang diperlukan oleh kementerian pelajaran. Kamu masih bernasib baik kerana terpilih untuk jawatan itu. Terima sahaja dan jangan banyak permintaan."

     "Jika pelantikan guru sudah melebihi jumlah yang diperlukan, saya rela Tuan membatalkan pelantikan saya ini, dan beri biasiswa bagi membolehkan saya melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar ataupun keluar negara," kata Hasan Al-Banna pula.

     Pegawai muda itu bersimpati dengan Hasan Al-Banna. Dengan suara yang lembut dia memujuk, "Tahun ini biasiswa tidak dikeluarkan. Sebaiknya terima sahaja pelantikan itu. Penempatan guru di Kaherah sudah penuh, kerana itu ramai yang dihantar di luar Kaherah."

     Hasan Al-Banna tetap berkeras mahu berkhidmat di Kaherah bukan di Ismailiyah dengan mengemukakan hujah-hujah yang meyakinkan. Maka berlaku pertengkaran antara kedua-duanya. Tiba-tiba muncul Syeikh Abdul Hamid Bik Hassani.

     "Janganlah kamu bertengkar kerana pertengkaran itu melemahkan kita," katanya sambil berseloroh.

     "Puncanya kerana guru baru ini tidak mahu berkhidmat di Ismailiyah," beritahu pegawai pelajaran itu.

     "Saya boleh selesaikan perkara ini, Insya Allah," kata Syeikh Abdul Hamid bin Hassani.

     Kemudian dia membawa Hasan Al-Banna ke sebuah bilik. Di  situ ads Syeikh Abdul Hamid Al-Khauli dan Ali Hasbullah yang menjadi guru di Ismailiyah.

     Syeikh Abdul Hamid Bik Hasani memandang kedua-dua lelaki yang berada di situ. Kemudian dia menoleh ke arah Hasan Al-Banna seraya berkata, "Kedua-dua lelaki ini menjadi saksi bahawa Ismailiyah adalah satu bandar raya pilihan Allah. Kamu akan berasa gembira dan selesa apabila berada di situ. Ismailiyah adalah sebuah bandar raya yang tenang dan penuh dengan pemandangan semula jadi yang indah. Ismailiyah juga terkenal dengan buminya yang subur dan banyak hasil pengeluarannya. Sekiranya saya berada di tempat kamu, tentu saya tidak menolak tawaran itu."

     Mendengar kata-kata Syeikh Abdul Hamid Bik Hasani, Ali Hasbullah mengangguk lalu berkata, "Saya juga berasal dari Kaherah dan dihantar berkhidmat di Ismailiyah sejak tiga tahun yang lalu. Saya seronok bertugas di sana sehingga dipindahkan ke Kaherah."

     "Saya lahir di Ismailiyah dan dibesarkan di sana. Kemudian belajar di Kaherah dan menetap di sini. Setiap kali cuti musim panas, saya kembali ke Ismailiyah kerana di sana tempat yang sesuai untuk saya dan keluarga berehat," kata Syeikh Abdul Hamid Al Khauli pula.

     Kemudian tiga lelaki itu memujuk Hasan Al-Banna supaya menerima tawaran itu dan menganggapnya sebagai tuah. Barulah senang hati Hasan Al-Banna mendengarnya. Apabila pulang ke rumah, dia terus berjumpa ayahnya.

     Imam Ahmad Al-Banna memujuk anaknya dengan berkata, "Serah sahaja kepada Allah dan pergilah ke sana. Apa yang Allah pilih adalah lebih baik untuk kamu."

     Semangat Hasan Al-Banna menjadi kuat untuk pergi ke Ismailiyah.

     Pada hari Isnin, 19 September, 1927, saudara mara dan kawan-kawan berkumpul di rumah Hasa Al-Banna bagi mengucapkan selamat jalan diiringi dengan kata-kata yang penuh bersemangat.

     "Lelaki yang soleh, ke mana sahaja pergi pasti meninggalkan kesan yang baik. Kami harap saudara kami ini akan meninggalkan kesan-kesan yang baik di bandar raya Ismailiyah yang merupakan tempat baru untuknya," kata Muhammad Afandi As, Syarnoobi.

     "Benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau," kata Hasan Dik pula.

     Semakin berkobar semangat Hasan Al-Banna mendengar kata-kata daripada kawan-kawannya. Kemudian dia mengucapkan selamat tinggal kepada mereka. Kemudian orang ramai pun bersurai.

     Hasan Al-Banna naik kereta api pada waktu pagi supaya tiba di Ismailiyah pada waktu zohor. Di dalam kereta api itu, dia bertemu dengan beberapa orang pemuda yang juga dilantik sebagai guru di Ismailiyah. Nama-nama mereka adalah Muhammad Bahiuddin Afandi, Ahmad Hafiz Afandi, Abdul Majeed Afandi, dan Mahmood Abdul Nabi Afandi.

     Selepas beberapa lama, kereta api pun tiba di stesen Ismailiah. Para penumpang pun turun menuju ke tempat tujuan masing-masing. Hasan Al-Banna juga turun dan melalui sebuah jambatan yang menghubungkan bandar Ismailiyah dengan stesen kereta api.

     Hasan Al-Banna merenung bandar Ismailiyah yang kelihatan indah. Hatinya tertarik dan terpegun dengan kecantikan bandar itu. Dia berhenti sebentar lalu berfikir dengan mendalam. Dia berfikir tentang masa depannya di bandar raya yang cantik itu.

     Kemudian Hasan Al-Banna menuju ke sebuah hotel yang terletak tidak jauh dari sekolah tempat dia berkhidmat.

     Hotel itu bukan sebuah hotel mewah yang biasa dihuni pegawai Inggeris. Hanya hotel biasa, namun cukup selesa bagi orang yang tidak mementingkan kemewahan seperti guru muda itu. Hasan Al-Banna kemudian keluar bagi bertemu dengan pengetua dan guru-guru sekolah tempat dia mengajar. Kedatangannya disambut dengan ramah mesra.

     "Adakah saudara masih kenal dengan saya?" tanya seorang lelaki yang datang lalu bersalaman dengan Hasan Al-Banna.

     "Syeikh Ibrahim Al-Bonhawi Afandi, manakan saya boleh lupa kerana kita pernah menuntut di Maktab Perguruan Damanhur," jawab Hasan Al-Banna dan mereka berdua berpelukan.

     "Bersyukur kepada Tuhan kerana mempertemukan kita semula. Saya berasa amat gembira," kata Syeikh Ibrahim Al-Bonhawi Afandi.

     Hasan Al-Banna sangat gembira dengan pertemuan itu. Dia berkata, "Pada mulanya saya menyangka hanya keseorangan di Ismailiyah ini. Rupa-rupanya Tuhan sudah aturkan pertemuan kita."

     "Kamu tinggal di mana?" tanya Syeikh Ibrahim Al-Bonhawi Afandi.

     "Di hotel tidak jauh dari sekolah ini. Saya seorang diri sahaja. Sekiranya dapat, saya mahu berkongsi dengan seorang lagi," jawab Hasan Al-Banna.

     Syeikh Ibrahim al-Bonhawi mengucap syukur lalu berkata, "Memang saya bernasib baik. Rumah yang saya sewa mahu diambil semula oleh tuannya. Kerana itu izinkan saya duduk bersama kamu. Berapa sewa hotel itu kita kongsi bersama."

     Hasan Al-Banna berasa gembira dan membantu kawannya itu berpindah ke bilik hotel. Mereka berkongsi bilik hotel. Hubungan kedua-duanya semakin rapat.

     Pada hari pertama sampai di Ismailiyah hingga hari yang ke-40, Hasan Al-Banna menghabiskan masa di sekolah, masjid, dan di dalam bilik penginapan. Pada sebelah pagi beliau mengajar, pada sebelah malam hingga waktu isyak beliau berada di masjid. Menjelang tengah malam baru pulang ke biliknya.

     Pada hari-hari cuti, Syeikh Ibrahim pulang ke rumahnya, dan Hasan Al-Banna pula sibuk dengan tugas peribadinya. Dia mengkaji bandar raya Ismailiyah. Ada berapa buah gereja, berapa buah masjid, dan berapa kedai menjual arak. Kemudian Hasan Al-Banna membuat kajian tentang penduduknya pula. Berapa jumlah penduduk Islam dan berapa jumlah penduduk yang bukan Islam. Termasuk juga di mana tempat-tempat yang menarik.

     Selain itu Hasan Al-Banna mengkaji Al-Quran dan buku-buku pengetahuan lain. Hanya itulah kegiatan yang dilakukannya selama 40 hari di Ismailiyah. Hasan Al-Banna juga teringat kata kawan baiknya semasa mahu berpindah ke Ismailiyah.

     "Lelaki yang soleh, ke mana sahaja pergi pasti meninggalkan kesan yang baik. Kami harap saudara kami ini akan meninggalkan kesan-kesan yang baik di bandar raya Ismailiah yang merupakan tempat baru untuknya," kata Muhammad Afandi As-Syarnoobi. Kata-kata itu tersemat dalam hati Hasan Al-Banna dan tidak dilupakannya.

     Daripada kajian yang dilakukannya selama 40 hari, penduduk Islam di Ismailiyah berjumlah 20 ribu orang dan mereka hanya mempunyai sebuah masjid. Penduduk bukan Islam pula berjumlah 4 ribu orang mempunyai empat buah gereja.

     Ismailiyah menjadi tumpuan orang Inggeris, Perancis, dan Itali kerana adanya Terusan Suez. British yang menguasai terusan itu mengambil kakitangan dari negara Barat dan Eropah, tetapi kulinya terdiri daripada rakyat Mesir.

     Kerana berpengaruhnya orang-orang Eropah di Ismailiyah, mereka dapat menerapkan budaya mereka. Terdapat juga perbezaan yang ketara antara rakyat Mesir dengan rakyat Eropah. Ismailiyah terbahagi kepada dua. Tempat tinggal orang-orang British dan kakitangannya berada di sebelah Barat. Rumah kediaman mereka besar dan cantik yang melambangkan kemewahan hidup. Rakyat Mesir dan pekerja Terusan Suez pula berada di sebelah Timur. Rumah kediaman mereka kelihatan buruk dan kotor, melambangkan taraf kehidupan mereka yang miskin.

     Namun begitu, kebanyakan rakyat Ismailiyah masih cinta kepada Islam walaupun kebudayaan dan pengaruh Eropah begitu ketara mengelilingi mereka. Mereka masih mencintai ulama dan sering berkumpul bagi mendengar ceramah agama dengan penuh minat.

     Terdapat seorang ulama yang mengambil kesempatan menyebarkan fahaman yang ganjil mengenai Islam. Pandangan ulama itu ditentang oleh beberapa orang ulama lain. Akibatnya orang ramai terbahagi kepada dua kumpulan. Antara dua kumpulan itu sering berdebat yang hasilnya hanya memecah-belahkan umat Islam.

     Pada suatu hari seorang pegawai British datang membuat lawatan ke sekolah tempat Hasan Al-Banna mengajar. Apabila melihat Hasan Al-Banna memakai serban, orang Inggeris itu pun memandang rendah terhadapnya.

     Pegawai British itu bertanya kepada Hasan Al-Banna, "Boleh beritahu saya mengapa awak memakai serban?"

     Hasan Al-Banna menjawab soalan itu dengan soalan juga. "Boleh beritahu saya pula mengapa awak memakai topi?"

     "Kerana saya suka memakai topi," jawab orang Inggeris itu.

     "Saya memakai serban juga kerana saya suka memakainya," kata Hasan Al-Banna pula.

     "Memakai topi budaya orang Inggeris. Kerana itu saya memakainya," kata orang Inggeris itu lagi.

     "Memakai serban mengikut sunah Nabi Muhammad s.a.w. Kerana itu saya memakainya," balas Hasan Al-Banna pula.

     Orang Inggeris itu terdiam lalu segera meninggalkan Hasan Al-Banna. Kejadian itu membuat Hasan Al-Banna lebih kuat azamnya memakai serban.

     Hasan Al-Banna menjalankan tugasnya dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Pada waktu pagi hingga tengah hari, beliau mengajar kanak-kanak di sekolah. Pada waktu petang pula beliau mengajar orang dewasa yang kebanyakannya terdiri daripada ibu bapa para pelajarnya. Beliau melakukannya secara sukarela tanpa apa-apa bayaran.

     Pada waktu malam pula, beliau bergiat dalam pertubuhan dakwah bertujuan bagi memelihara prinsip-prinsip akhlak Islam, dan menentang gerakan dakwah Kristian. Hasan Al-Banna juga suka membaca buku tulisan Imam Al Ghazali dan menjadikan panduan apabila berdakwah.

     Selain itu Hasan Al-Banna juga rajin membaca buku-buku tasawuf, sirah Rasulullah s.a.w, kisah-kisah para sahabat dan kisah pahlawan Islam yang berjuang menegakkan Islam. Kerana itu Hasan Al-Banna menjadi seorang yang mempunyai kefahaman Islam yang mendalam.

     Pada ketika itu juga Hasan Al-Banna mula memerhati dan menganalisa keadaan politik negara Mesir. Dia melihat dengan jelas pergolakan politik yang dimainkan oleh pihak British, dengan munculnya fahaman yang menentang agaman yang dicetuskan oleh gerakan Mustafa Kamal Ataturk di Turki. Sehingga ada yang berpendapat, sekiranya negara Mesir mahu mahu seperti barat, mereka mesti menegakkan sekularisma, menentang ajaran agama, dan membuang adat nenek moyang mereka.

     Apabila melihat begitu kuatnya usaha yang dilakukan bagi melemahkan pengaruh agama, dan melihat begitu banyak penyakit-penyakit sosial yang dihadapi rakyat Mesir, Hasan Al-Banna sering berkata, "Aku begitu risau hingga menangis."

     Hasan Al-Banna melibatkan diri dalam Persekutuan Budi Utama Islam yang giat memberi ceramah di masjid. Dari situ terjalinnya hubungan dengan tokoh-tokoh pemimpin Islam yang terkenal pada zaman itu. Antaranya adalah Muhibuddin Al Khatib, Muhammad Rashid Reda, dan Farid Wajdi. Mereka sering bertemu dan berbincang bagi menyusun kegiatan dakwah dengan berkesan dan teratur.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment