Wednesday 14 September 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 19 - IKHWAN MUSLIMIN ]






IKHWAN MUSLIMIN








Hasan Al-Banna berdiri di tingkap hotel biliknya yang terletak di tingkat paling atas. Dari situ kelihatan bandar Ismailiyah yang cantik. Di bahagian barat kelihatan kawasan tentera British. Pada waktu malam, tentera British itu mengunjungi tempat hiburan di Ismailiyah. Mereka sering mabuk dan suka bergaduh.

     Kelihatan juga bangunan cantik kepunyaan pejabat Syarikat Terusan Suez. Orang-orang Mesir yang bekerja di dalam pejabat syarikat itu dilayan seperti hamba. Orang-orang asing diberi penghormatan sebagai pegawai pemerintah. Pejabat syarikat Terusan Suez menguasai hal ehwal kehidupan rakyat Ismailiyah. Biasanya, Majlis Perbandaran Ismailiyah menguruskan bekalan air, kesihatan dan kebersihan, dan tugas-tugas lain. Tetapi tugas-tugas itu sudah diambil alih oleh Syarikat Terusan Suez. Pengurusan jalan raya yagng menghubungi Ismailiyah ke Mesir juga terletak di tangan syarikat tersebut. Sesiapa pun tidak boleh masuk ataupun keluar dari bandar raya Ismailiyah tanpa mendapat permit dari syarikat itu.

     Penginapan orang-orang asing terdiri daripada banglo yang cantik. Para pekerja asing syarikat itu tinggal di dalam rumah-rumah mewah itu. Di hadapan perkampungan orang-orang asing itu, terdapat pondok-pondok buruh Arab yang sempit dan gelap. Kesemua papan-papan tanda di jalan ditulis dalam bahasa-bahasa Eropah. Bahkan nama Jalan Masjid pun ditulis 'Rue De Le Mosque'. Nama-nama Eropah sudah dimasyhurkan oleh papan-papan tanda tadi.

     Keadaan itu mencuit hati Hasan Al-Banna. Malah setiap umat Islam yang mempunyai harga diri berasa sedih dengan keadaan di Ismailiyah. Orang-orang Eropah itu menyekat orang-orang Islam daripada mendapat pelajaran tinggi, menghalang kemajuan ekonomi serta menyekat umat Islam daripada bersatu.

     Seringkali Hasan Al-Banna berdiri di tebing Tasik At-Tamsah sambil memikirkan nasib rakyat Mesir di tanah airnya sendiri.

     Apabila berceramah di kedai kopi, di rumah Haji Mustafa, dan di surau, Hasan Al-Banna sering menyentuh perkara itu. Dia mahu penduduk Ismailiyah membuka mata terhadap apa yang berlaku di depan mata mereka.

     Pada bulan Zulkaedah 1347 Hijrah, bersamaan bulan Mac 1927 Masihi, Hasan Al-Banna mencipta sejarah apabila berceramah di rumah Haji Mustafa, dan dia menyentuh perkara itu.

     "Apakah tuan-tuan dan puan-puan tidak tahu? Seramai 160 ribu orang rakyat Mesir sudah terkorban semasa membina Terusan Suez. Terusan itu menjadi kebanggaan Negara Mesir dan kebanggaan kita semua. Tetapi sekarang siapa yang mendapat keuntungan daripada Terusan Suez? Mereka mengaut kekayaan di tanah air kita, kemudian menjadi kita hamba mereka," kata Hasan Al-Banna.

     Selesai berceramah, Hasan Al-Banna didatangi enam orang pemuda yang memperkenalkan diri mereka sebagai, Hafiz Abdul Hamid, Ahmad Al-Husari, Fuad Ibrahim, Abdur-Rahman Hasabullah, Ismail Izz, dan Zaki Al-Maghribi. Wajah mereka yang berseri-seri itu menunjukkan keazaman yang sedang bersemadi dalam diri mereka. Mata mereka bersinar-sinar dan suara mereka bertenaga sekali.

     "Kami sudah mendengar ceramah kamu sebentar tadi. Ia membuatkan kami berfikir mengenainya dengan begitu mendalam. Kami sangat tertarik dengan perkara yang kamu sampaikan. Tetapi kami tidak tahu bagaimana mahu bertindak secara berkesan. Kami benci dengan cara hidup yang ada sekarang. Cara hidup sekarang seperti kehidupan orang tawanan yang penuh kehinaan. Kamu melihat orang-orang Arab dan orang-orang Islam tidak ada harga diri lagi di negara ini. Mereka hanya khadam-khadam yang sangat patuh kepada orang-orang asing."

     "Sesungguhnya kami tidak rela perkara ini berlaku. Darah yang mengalir di dalam urat saraf kami adalah darah yang panas. Kami memiliki iman dan maruah. Kami membawa dirham-dirham yang sedikit ini kepada kamu selepas kami mengurangkan perbelanjaan kami. Kamulah yang lebih tahu cara yang paling baik untuk kami memberi sumbangan kepada Islam, umat Islam, dan negara. Kami datang kepada kamu bagi menyerahkan segala milik kami agar kewajipan kami kepada Allah terlaksana. Kamulah yang akan memimpin kami," kata seorang daripada mereka.

     Hasan Al-Banna termenung seketika mendengarnya. Kata-kata mereka yang ikhlas itu menarik hatinya. Dia tidak dapat melepaskan diri daripada tanggungjawab yang sudah diletakkan di atas bahunya. Tanggungjawab itu samalah dengan tanggungjawab yang sedang diperjuangkannya selama ini.

     Dengan rasa terharu dan bersyukur, Hasan Al-Banna pun berkata, "Allah amat suka kepada kamu. Semoga Allah memberkati niat baik kamu semua. Semoga Allah memberi kita kekuatan bagi mencari keredhaan-Nya dan juga memperjuangkan kepentingan umat Islam. Kewajipan kita adalah untuk berusaha dan bekerja, dan hasilnya terpulang kepada Allah. Marilah kita bersumpah di hadapan Allah bahawanya kita akan menjadi pejuang-pejuang Islam. Kebahagiaan negara kita terletak kepada kejayaan kita melaksanakan tugas ini."

     "Kami bersyukur dapat bertemu dengan kamu. Tuhan hantar kamu ke Ismailiyah ini bagi mengubah kehidupan kami supaya kembali kepada ajaran Islam. Kami bersumpah di hadapan Allah, bahawasanya kami akan menjadi pejuang Islam," kata Hafiz Abdul Hamid.

     Kemudian dia berkata lagi, "Mari kita berbaiah atau bersumpah setia hidup sebagai saudara antara satu sama lain, bekerja bersungguh-sungguh bagi mengembalikan kegemilangan Islam, dan melancarkan jihad bagi mencapai tujuan itu."

     Fuad Ibrahim bangun lalu bertanya, "Apakah nama yang hendak kita berikan kepada kumpulan kita ini? Adakah nama itu hendak kita tentukan menurut nama mana-mana persatuan, kelab, mazhab, agama ataupun pertubuhan agama? Marilah kita tentukan namanya sebagai pengenalan rasmi kumpulan kita."

     Hasan Al-Banna bangun lalu berkata, "Kita tidak akan menjadi seperti kita. Adalah lebih baik kita menjauhkan diri daripada sikap riyak dan sikap jumud. Dakwah, tarbiyah, dan iman serta amali menjadi asas perpaduan dan pertubuhan kita. Kita bersatu bagi memperjuangkan Islam dan kita semua adalah bersaudara. Justeru itu kita akan menamakannya Ikhwan Muslimin."

     Fuad Ibrahim, Abdur-Rahman Hasabullah, dan Zaki Al-Maghribi menyatakan persetujuannya. Mereka terus mencadangkan Hasan Al-Banna menjadi pemimpinnya.

     "Kita mahu Ikhwan Muslimin menjadi sebuah pertubuhan yang bergerak aktif memperjuangkan Islam. Kita tidak mahu ahlinya berpeluk tubuh melihat apa yang berlaku di sekelilingnya. Kerana itu kita perlu menyusun rancangan dan mencari tempat bagi mengadakan mesyuarat," kata Hasan Al-Banna.

     Beliau menambah lagi, "Kita akan menyekat arus ini sehingga semua arus ini dapat dijauhkan daripada bumi kita, dan bangsa kita dapat diselamatkan daripada segala bencana. Kita akan jejaki arus ini sehingga ke puncanya dan kita akan gempur hingga ke lubuknya sehingga seluruh isi alam ini mengumandangkan nama Nabi Muhammad s.a.w, dan seluruh dunia ini yakin dengan ajaran Al-Quran serta dinaungi oleh bayangan Islam.

     Semua bersetuju dengan apa yang dikatakan Hasan Al-Banna itu. Mereka berjanji akan bersama untuk berdakwah bagi memperjuangkan Islam di bumi Mesir.

     Akhirnya mereka mendapat kata sepakat menyewa sebuah bilik di Perpustakaan Syeikh Alias Syarif, di Jalan Syare Farooq dengan kadar sewa 60 Qursh sebulan. Mereka bekerjasama untuk membayar sewa serta lain-lain keperluan. Masing-masing sanggup mengorbankan sebahagian daripada pendapatan untuk Ikhwan Muslimin. Mereka juga mengambil keputusan menyimpan semua rekod yang perlu dan mengadakan mesyuarat di dalam bilik itu.

     Setiap petang selepas sembahyang asar, semua anggota Ikhwan Muslimin berkumpul di perpustakaan. Kemudian mereka jadikan tempat itu sebagai sekolah, selepas semua pelajar dan orang ramai meninggalkan perpustakaan itu. Mereka menamakan sekolah itu 'Madrasah Al-Tahzib'.

     Susunan pengajiaannya melibatkan pendidikan Islam dan ditekankan pembacaan Al-Quran yang betul. Setiap anggota Ikhwan Muslimin diminta membaca Al-Quran menurut hukum tajwid yang betul. Mereka akan berusaha menghafal beberapa potong ayat Al-Quran berserta tafsirannya sekali. Di sekolah itu juga diajar ilmu hadis. Mereka dikehendaki menghafal beberapa hadis dan makna serta huraiannya sekali. Mereka juga diajar sunah dan sejarah Islam. Di samping itu, mereka juga diajar perkara-perkara berikut.

     1.     Cara menunaikan ibadat dengan betul.
     
     2.     Keimanan yang sebenar.

     3.     Kajian mengenai susunan dan sifat sesuatu masyarakat Islam.

     4.     Sejarah hidup para wali Allah dan orang-orang soleh.

     Sejak itu bilangan ahli Ikhwan Muslimin semakin ramai. Mereka dididik supaya menganggap ahli yang lain sebagai keluarga ataupun saudara. Sehinggakan ada kisah, ada sebuah kedai kepunyaan ahli Ikhwan Muslimin bernama Syed Abu Said. Seorang anggota Ikhwan Muslimin yang lain bernama Mustafa Yusuf membeli sebotol minyak wangi. Dia membayar harganya sebanyak sepuluh Qursh. Tetapi Syed Abu Said hanya menerima lapan Qursh. Kedua-dua belah pihak enggan beralah daripada pendirian masing-masing.

     Akhirnya mereka meminta Hasan Al-Banna menyelesaikannya. Dia meminta senarai harga barang tersebut. Setelh diteliti, si peniaga tidak mahu mengambil sebarang keuntungan daripada sahabatnya.

     "Sekiranya kamu tidak mahu mengambil sebarang keuntungan daripada sahabat kamu dan orang lain pula tidak membeli suatu apa pun dari kedai kamu, bagaimana kamu hendak menyara diri dan keluarga?" tanya Hasan Al-Banna.

     Dengan tegas Syed Abu Said menjawab, "Saya menganggap dia saudara saya. Tidak ada perbezaan antara saya dengan dia. Kerana itu saya berasa gembira sekiranya dia menerima tawaran saya itu."

     Hasan Al-Banna bertanya pula kepada Mustafa Yusuf, "Mengapa kamu menolak tawaran sahabat kamu itu?"

     "Sekiranya di kedai lain, saya perlu membayar 10 Qursh. Di kedai sahabat pula, saya berkewajipan membeli barang walaupun dengan harga yang lebih daripada itu," jawab Mustafa Yusuf.

     Selepas mendengar penerangan daripada kedua-dua belah pihak, Hasan Al-Banna bertanya, "Sekiranya begitu, boleh saya selesaikan perkara ini?"

     "Silakan Tuan," jawab mereka berdua.

     "Kamu bayar harga sebotol minyak wangi itu sebanyak sembilan Qursh. Kamu mesti menerimanya," kata putus Hasan Al-Banna itu mereka patuhi.

     Hasan Al-Banna berasa gembira dengan peristiwa itu. Baginya yang penting dalam peristiwa bukanlah jumlah wang yang terlibat, tetapi rasa ukhuwah Islamiah atau persaudaraan Islam sejati yang telah ditunjukkan. Sekiranya persaudaraan sejati ini tersebar luas, ia akan menyelesaikan masalah yang ada di seluruh dunia. Lantaran itu, umat Islam akan hidup dengan aman dan sentosa.

     Pada suatu ketika, para anggota Ikhwan Muslimin mendapat tahu salah seorang Ikhwan menganggur kerana dibuang kerja oleh majikannya. Apabila mendengar berita itu, lebih sepuluh anggota Ikhwan menziarahinya. Setiap orang daripada mereka memberi kata-kata nasihat sambil menyerah separuh daripada pendapatan mereka kepadanya. Ini bagi menjadikan modal untuk menjalankan perniagaan. Dia menerima sumbangan sebahagian daripada mereka dan menolak sumbangan yang lain kerana sudah memadai dengan apa yang ada. Mereka yang ditolak sumbangannya pulang dengan muka yang sedih.

     Anggota Ikwan Muslimin juga menjalani kehidupan mengikut ajaran Islam. Mereka berjiwa dan berakhlak Islam apabila berhubungan sesama sahabat ataupun dengan orang lain.

     Pada suatu hari, Encik Masue Solent yang bertugas sebagai Ketua Jurutera Syarikat Terusan Suez memanggil seorang anggota Ikhwan yang bernama Hafiz bagi memperbaiki dinding ruang tamu rumahnya.

     "Berapa upahnya," tanya Encik Solent.

     "130 Qursh," jawab Hafiz selepas melihat kerosakan ruang tamu itu dan menilai apa yang perlu dibaiki. 

     Serta-merta Encik Solent naik angin mendengar jawapan itu. "Kamu bersikap seperti seorang perompak yang mahu merompak duit saya."

     Walaupun marah dengan kata-kata orang putih itu, tetapi Hafiz masih dapat mengawal perasaan marahnya lalu berkata, "Bagaimana saya boleh dituduh perompak?"

     "Kamu meminta upah daripada saya lebih daripada yang sepatutnya. Sikap tamak kamu itu sama seperti perompak," marah Solent.

     "Baiklah, saya sanggup melakukan tugas ini secara percuma dan tidak mengenakan apa-apa bayaran langsung kepada kamu, sekiranya salah seorang daripada jurutera kamu mengatakan saya meminta upah yang mahal. Tetapi sekiranya jurutera kamu itu mengatakan upah yang saya minta itu berpatutan, saya akan menebus maruah saya yang dicemari oleh kata-kata awak tadi," kata Hafiz pula.

     Encik Solent rasa tercabar lalu memanggil salah seorang juruteranya dan tanya mengenai upah kerja membaiki bahagian yang rosak itu. Selepas melakukan kiraan, dia menetapkan upah kerja itu sebanyak 200 Qursh.

     Encik Solent terkejut mendengar jawapan daripada juruteranya. Dia memberitahu upah yang diminta oleh Hafiz. "Dia meminta upah 130 Qursh sahaja."

     "Upah itu terlalu murah. Sepatutnya dia meminta 200 Qursh," kata jurutera itu pula.

     Kemudian Encik Solent pun memanggil Hafiz lalu menyuruhnya membuat kerja itu. "Saya beri upahnya 130 Qursh seperti yang kamu minta."

     Hafiz merenung muka orang putih itu lalu berkata, "Saya hanya membuat kerja itu selepas kamu meminta maaf di atas kebiadaban dan tuduhan kamu terhadap saya. Saya mahu kamu menarik balik kata-kata kamu itu."

     Wajah Encik Solent merah padam kerana marah lalu berkata, "Siapa kamu sehingga sanggup menyuruh saya meminta maaf? Sekiranya Raja Mesir berada di sini pun saya tidak akan meminta maaf."

     "Encik Solent, kamu sudah melakukan dua kesalahan. Pertama, menghina maruah saya dengan menuduh sebagai perompak. Kedua, kamu berada dalam negara Raja Fuad. Kamu sepatutnya tahu adab dan resam negara tuan rumah. Tidak patut kamu mengeluarkan kata-kata yang biadab seperti itu. Saya tidak akan membenarkan awak bercakap mengenai Raja Fuad dengan cara yang kurang ajar seperti itu," kata Hafiz dengan nada suara yang lembut tetapi sinis.

     Encik Solent rasa teramat marah, namun tidak berani bertindak kepada Hafiz. Dia berjalan mundar-mandir di ruang tamu rumahnya yang luas itu sambil tangannya dimasukkan ke dalam poket. Hafiz pula bertindak meletakkan alat perkakasnya di lantai dan terus duduk di atas sebuah kerusi. Suasana menjadi sunyi sepi yang kedengaran hanya tapak kaki Encik Solent.

     Selepas beberapa ketika, dia mendekati Hafiz lalu berkata, "Seandainya saya tidak mahu meminta maaf, apa yang boleh awak lakukan?"

     Perkara itu senang sahaja. Mula-mula saya akan tulis surat kepada konsul dan duta awak. Kemudian saya akan beritahu pihak atasan Syarikat Terusan Suez di Paris. Selepas itu saya akan tulis surat kepada ketua-ketua pengarang akhbar tempatan dan luar negeri. Di samping itu, setiap kali seorang ahli Majlis datang ke sini, saya akan menemuinya dan membuat pergaduhan. Sekiranya saya gagal dalam usaha-usaha tadi, saya akan mencela kamu di hadapan umum. Dengan cara ini saya mendapat dua keuntungan dan saya berazam penuh untuk melakukannya. Jangan menyangka saya akan mengadu kepada kerajaan Mesir kerana awak melemahkan kuasanya melalui pengaruh awak. Saya tidak akan berasa senang selagi maruah saya tidak ditebus," kata Hafiz dengan berani.

     "Saya berasa seperti sedang bercakap dengan seorang pegawai tinggi, bukannya seorang tukang kayu. Tidakkah kamu sedar yang kamu sedang bercakap dengan Ketua Jurutera Syarikat Terusan Suez? Bagaiaman kamu boleh terfikir saya akan meminta maaf kepada kamu?" marah Encik Solent.

     "Awak bangga dengan pangkat awak. Tidakkah kamu sedar Syarikat Terusan Suez ini berada di dalam negara saya dan bukannya di dalam negara awak? Lagipun penguasaan kamu ke atas syarikat ini adalah sementara sahaja. Suatu hari nanti, syarikat ini akan jatuh juga ke tangan kami. Waktu itu, awak dan orang-orang seperti awak akan menjadi pekerja kami. Oleh itu, bolehkah kamu membuat kesimpulan bahawa saya akan melepaskan hak saya?" kata Hafiz pula.

     Encik Solent menepuk-nepuk dadanya menahan marah. Dia terus berjalan mundar-mandir. Kemudian dia mendekati Hafiz. Kali ini wajahnya kelihatan lembut.

     "Hafiz, saya minta maaf dan saya menarik balik kata-kata saya," akhirnya keluar juga kata-kata itu daripada Encik Solent.

     Hafiz bangun kerana sudah rasa puas hati. Dia mengucapkan terima kasih kepada Encik Solent dan memulakan kerjanya. Tidak lama kemudian, kerjanya pun selesai.

     "Saya puas hati dengan kerja awak. Ambil upahnya 150 Qursh," kata Encik Solent sambil menghulurkan duit 150 Qursh.

     "Upah kerja saya adalah 130 Qursh sahaja. Tidak lebih daripada itu," kata Hafiz lalu mengambil 130 Qursh dan mengembalikan baki 20 Qursh kepada Encik Solent.

     "Kamu simpanlah 20 Qursh itu," kata Encik Solent.

     Hafiz bertegas dengan berkata, "Tidak. Saya tidak mahu menjadi perompak dengan mengambil lebih daripada hak saya."

     Encik Solent terpegun dan berkata, "Saya sungguh terkejut dengan keberanian dan keikhlasan kamu. Mengapa orang Arab yang lain tidak menjadi seperti kamu? Adakah kamu dari keluarga Muhammad?"

     "Setiap orang Islam adalah keluarga Muhammad. Tetapi sesetengah orang Islam sudah hilang keberanian kerana mereka tunduk dengan orang-orang Eropah, dan kerana mereka menurut secara membuta-tuli. Mereka sudah menjatuhkan maruah mereka sendiri," kata Hafiz.

     Encik Solent bersetuju dengan kata-kata Hafiz. Dia menjabat tangan Hafiz sambil mengucapkan terima kasih. Kisah Hafiz dengan Encik Solent itu menjadi perbualan ahli Ikhwan Muslimin. Mereka mahu menjadi seperti Hafiz.

     Ahli Ikhwan Muslimin terus diduga. Beberapa hari kemudian, berlaku kisah menarik kepada Hasan Marsi, seorang yang pandai membuat kabinet radio yang bermutu tinggi. Dia bekerja dengan Encik Mario seorang bangsa Eropah. Majikannya memberi sepenuh kepercayaan kepadanya termasuk membeli peralatan kabinet radio. Pada suatu hari, datang seorang kawan baik majikannya.

     "Berapa gaji yang diberi oleh majikan kamu?" tanya lelaki itu.

     Hasan Marsi tidak mahu menyatakan jumlahnya dengan tepat. "Cukup untuk menyara keluarga saya."

     "Tidakkah kamu mahu pendapatan yang lebih?" tanya lelaki itu lagi.

     Hasan Masri menolak dengan baik dengan berkata, "Saya bersyukur dengan apa yang ada."

     "Saya ada satu cadangan baik yang dapat menguntungkan kita berdua," pujuk lelaki itu.

     "Apa dia?" tanya Hasan Masri.

     "Kamu buat kabinet radio tanpa pengetahuan majikan kamu. Kemudian jual separuh harga kepada saya. Dengan ini kamu untung dan saya pun untung," pujuk lelaki itu.

     Hasan Masri memandang lelaki itu lalu berkata, "Saya orang Islam. Agama saya melarang perbuatan menipu. Saya tidak tergamak menipu orang yang memberi kepercayaan kepada saya. Saya terkejut melihat sikap kamu. Kamu adalah kawannya, seagama dengannya dan senegara dengannya, tetapi kamu masih berniat hendak menipunya. Kamu cuba menghasut saya melakukan kesalaham. Kamu sepatutnya berasa malu dengan perbuatan itu. Walau bagaimanapun, saya tidak akan melaporkan perkara ini kepada majikan saya, kerana saya tidak mahu melihat persahabatan kamu berdua terputus. Tetapi kamu mesti berjanji tidak akan melakukan perkara itu lagi pada masa hadapan."

     Lelaki itu tidak berputus asa. Dia terus menghasut Hasan Masri dengan berkata, "Saya akan memberitahu sahabat saya bahawa kamulah yang membuat tawaran itu kepada saya. Saya pasti dia akan percaya kepada kata-kata saya dan membuang kamu sebagai pekerjanya atas tuduhan pecah amanah. Di samping itu, kamu juga akan kehilangan maruah. Oleh itu, buatlah sepeti yang saya suruh. Kamu selamat oleh saya pun selamat."

     "Buatlah apa yang kamu suka. Sekiranya diizinkan Allah, kamu yang akan mendapat malu," kata Hasan Masri.

     Lelaki itu membuat laporan palsu kepada majikan Hasan Marsi. Encik Mario pun menjalankan siasatan. Akhirnya kebenaran mengatasi kepalsuan. Hasan Marsi berterus-terang menceritakan kesemuanya. Majikannya yakin dengan penjelasan Hasan Marsi. Berikutan itu, Encik Mario memutuskan persahabatannya dengan lelaki itu, dan menaikkan gaji Hasan Marsi kerana menghargai sifat amanahnya.

     Seorang lagi ahli Ikhwan Muslimin bernama Abdul Aziz Ghulam Nabi berasal dari India, dan bekerja sebagai tukang jahit di perkhemahan tentera British. Pada suatu hari, isteri seorang pegawai tinggi British memanggil Abdul Aziz Ghulam Nabi ke banglonya. Isteri itu keseorangan di rumahnya. Beliau cuba menggoda Abdul Aziz dengan pelbagai helah.

     Abdul Aziz Ghulam Nabi berusaha menegah perbuatan yang dilarang itu. Wanita itu tetap juga menggoda sehingga menimbulkan kemarahan Abdul Aziz Ghulan Nabi.

     Wanita itu berasa marah lalu mengancam hendak melaporkan kepada suaminya bahawa Abdul Aziz Ghulam Nabi cuma memperkosanya. Tetapi lelaki ahli Ikhwan Muslimin itu tidak takut dengan ancaman itu. Kemudian wanita itu mengacukan pistol ke arah Abdul Aziz Ghulam Nabi lalu memaksanya melakukan sesuatu ke atas dirinya.

     "Saya hanya takutkan Allah," kata Abdul Aziz Ghulan Nabi.

     "Aku akan tembak kepala kamu atas tuduhan cuba memperkosa," kata wanita itu sambil mengacukan pistol ke dahi Abdul Aziz Ghulam Nabi.

     Abdul Aziz Ghulam Nabi yang menyangka ajalnya sudah sampai lalu menutup matanya sambil mengucap Kalimah Syahadah dengan suara yang kuat. Tiba-tiba wanita itu berasa takut, tangannya menggigil hingga pistol terlepas dari tangannya. Abdul Aziz Ghulam Nabi segera keluar dari rumah banglo itu dan terus berlari ke pejabat Ikhwan bagi menceritakan kisah yang baru dialaminya.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment