Sunday 11 September 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 14 - MENGEJAR IMPIAN ]






MENGEJAR IMPIAN








Hari berganti minggu dan bulan berganti tahun. Hasan Al-Banna terus tekun menimba ilmu di Darul Ulum, hingga akhirnya sampai ke tahun keempat atau tahun akhir. Selama menuntut di situ, Hasan Al-Banna terus muncul sebagai pelajar cemerlang yang sentiasa mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Beliau disayangi guru dan rakan-rakannya.

     Pelajar di Darul Ulum juga dibolehkan berbincang mengenai politik negara di dalam bilik kuliah. Mereka sering berbincang mengenai tanah air, dan perselisihan pendapat yang berlaku antara Parti Wafd dan Parti Dastoor. Kesemua itu menambah kematangan Hasan Al-Banna dalam politik dan kehidupan.

     Sejak hari pertama belajar di Darul Ulum, Hasan Al-Banna memakai jubah dan serban apabila masuk ke kuliah. Ramai juga kawan-kawannya berpakaian yang sama. Namun, ada juga yang tidak memakainya kerana tidak ada peraturan pelajar mesti memakai jubah dan serban. Ditambah pula ada desakan supaya pelajar Darul Ulum berpakaian seragam. Ramai pelajar yang bersetuju dengan cadangan itu, tetapi Hasan Al-Banna mahu terus memakai jubah dan serban.

     Apabila penuntut baru masuk ke Darul Ulum, mereka memakai pakaian seragam baru cara barat. Namun ada juga yang masih memakai jubah dan serban. Tetapi, lama-kelamaan mereka lebih selesa memakai baju, kemeja, seluar, dan tarbus sahaja.

     Hari demi hari berlalu, suasana berubah dengan begitu pantas. Jumlah penuntut yang memakai jubah dan serban kian berkurangan. Sementara para penuntut yang memakai tarbus semakin bertambah. Akhirnya, hanya dua orang pelajar Darul Ulum yang masih memakai jubah dan serban, iaitu Hasan Al-Banna dan Syeikh Ibrahim.

     Pada suatu hari, mereka berdua dipanggil ke bilik Pengetua Darul Ulum, iaitu Muhammad Bek As-Sayyid. Beliau adalah seorang yang alim dan pandai berdiplomasi.

     "Kamu tahu apa sebab kamu dipanggil menghadap saya?" tanya pengetua dengan wajah yang tenang.

     Syeikh Ibrahim membuat andaian, "Mungkin disebabkan pakaian kami."

     "Pernahkah saya atau guru-guru yang lain melarang kamu memakainya?" tanya Muhammad Bek As-Sayyid pula.

     "Tidak siapa yang melarang kami memakainya," kata Hasan Al-Banna pula.

     "Selagi kamu ikut peraturan sekolah, dan cemerlang dalam pelajaran saya tidak melarang kamu memakainya," kata pengetua dengan nada suara yang lunak.

     "Alhamdulillah dan terima kasih Tuan pengetua," kata Hasan Al-Banna.

     "Kamu dipanggil kerana saya memaklumkan kamu berdua akan menjalani latihan mengajar di sebuah sekolah. Apakah kamu bersetuju?" tanya pengetua.

     "Kami setuju," jawab Hasan Al-Banna.

     "Tetapi dengan satu syarat, dan kamu perlu mematuhinya," kata Muhammad Bek As-Sayyid lagi.

     "Apa syaratnya wahai tuan pengetua?" tanya Syeikh Ibrahim pula.

     "Di sekolah tempat kamu menjalani latihan mengajar nanti, kamu akan bertemu dengan pengetua dan pelajar baru yang kamu tidak faham bagaimana sikap dan kehendak mereka. Mereka boleh menggagalkan kerjaya kamu, dan mereka juga boleh memberi sokongan terhadap prestasi kejayaan kamu. Kerana itu saya mahu kamu memakai cara barat, dan menggantikan serban dengan tarbus," jawab pengetua dengan penuh berhemah.

     Kemudian katanya lagi. "Memakai serban itu sunah Nabi, memang elok dipakai tetapi jika tidak memakainya tidak pula berdosa. Semasa menjalani latihan mengajar di sekolah nanti, kamu lebih selamat dengan pakaian yang saya cadangkan."

     Selepas memikirkan baik dan buruk, Hasan Al-Banna dan Syeikh Ibrahim mengambil keputusan bersetuju dengan permintaan pengetua Darul Ulum. Muhammad Bek As-Sayyid juga gembira, kerana dua pelajar cemerlang itu bersetuju dengan permintaannya.

     Beberapa hari kemudian, Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya dihantar menjalani latihan mengajar. Hasan Al-Banna dan Syeikh Ibrahim dihantar ke sebuah sekolah yang terletak di Jalan Bahr. Pengetua sekolah itu seorang yang baik hati. Dia membenarkan guru-guru di sekolah itu mengenakan pakaian pilihan mereka. Hasan Al-Banna dan Syeikh Ibrahim tetap memakai cara barat dan Tarbus, kerana itu perintah Pengetua Darul Ulum. Selesai menjalani latihan mengajar, Hasan Al-Banna dan Syeikh Ibrahim pulang semula ke Darul Ulum.

     Pengetua Darul Ulum memuji pencapaian kedua-dua orang pelajarnya. "Saya mendapat laporan daripada pengetua sekolah, kamu menjalankan tugas dengan cemerlang."

     "Kami patuh apa yang Tuan arahkan, dan kami bekerja dengan bersungguh-sungguh," kata Hasan Al-Banna pula. Pengetua kelihatan gembira serta mengucapkan tahniah.

     Kemudian Hasan Al-Banna dan kawan-kawannya menjalani peperiksaan akhir di Darul Ulum sebelum dikurniakan diploma. Bagi menghadapi peperiksaan bertulis, Hasan Al-Banna membaca serta merujuk 70 buah kitab. Bagi menghadapi ujian lisan pula, dia menghafal 18 ribu rangkap sajak.

     Semasa ujian lisan di hadapan Lembaga Ujian Lisan, yang terdiri daripada Syeikh Abdul Fatah al-Faqi dan Syeikh Najati, Hasan Al-Banna diminta menjawab soalan-soalan mengenai satu rangkap sajak dari kisah Napoleon Bonaparte. Kemudian dia diajak berbincang mengenai riwayat hidup Umar Khayyam. Kesemua itu dijawab dengan mudah oleh Hasan Al-Banna, sehingga memuaskan hati mereka yang bertanya.

     Semasa menjalani peperiksaan bertulis pula, pelajar diminta menjawab sebanyak 100 soalan berhubung dengan agama dan sebagainya. Hasan Al-Banna dapat menjawab kesemua soalan tersebut.

     Kemudian mereka diminta menulis sebuah karangan. Hasan Al-Banna masih ingat pesan gurunya, Syeikh Ahmad Yusuf Najati yang sangat gemar memilih tajuk-tajuk karangan yang menarik.

     "Wahai anakku, hendaklah karangan kamu itu mempunyai maksud atau tujuan. Gunakan bahasa yang indah tetapi mudah difahami. Bunga-bunga bahasa yang elok adalah yang ringkas. Demi Allah, saya tidak menilai karangan kamu berdasarkan panjang ataupun pendeknya karangan."

     Hasan Al-Banna pun menulis karangannya seperti berikut:

     Saya berpendapat seorang yang baik akan mencari kebahagiaan dengan berkhidmat kepada manusia. Dia berasa seronok apabila dia dapat membantu kesusahan orang dan membuat mereka gembira. Dia sanggup berkorban untuk kebaikan masyarakat dan menganggap keuntungan hakiki bagi dirinya. Dia berjihad bagi menghadapi kesukaran dan kesusahan dengan tabah dalam menegakkan kebenaran dan hidayat. Dia cuba menyelamatkan hati manusia dengan merasai penyakitnya. Dia mengkaji ciri-ciri yang mengakibatkan kemerosotan akhlak dan masyarakat. Dia berusaha untuk menegakkan peraturan masyarakat Islam yang lebih baik. Dia bersifat kasih sayang kepada manusia. Dia berusaha sebanyak mungkin untuk meringankan penderitaan manusia dan mencipta suasana yang boleh membantu mereka menjalani kehidupan yang bahagia. Dia juga berusaha memimpin mereka yang sesat ke jalan yang benar.

     Saya yakin tindakan yang tidak bermanfaat kepada orang lain dan juga dirinya adalah tindakan yang salah dan tidak berguna. Tindakan yang paling baik adalah tindakan yang bermanfaat kepada diri sendiri, saudara-mara, rakan taulan dan juga negara. Tindakan yang memberi manfaat kepada umum adalah tindakan yang hebat dan mulia. Pendapat-pendapat saya ini mendorong saya memilih kerjaya di bidang pendidikan kerana para pendidik adalah sumber cahaya ilmu bagi rakyat.

     Mereka menghapuskan kejahilan dan menyebarkan cahaya ilmu di seluruh dunia. Para pendidik ini umpama lilin yang sedang menyala sambil memberi cahaya kepada orang lain. Saya yakin cita-cita tertinggi yang dapat dicapai manusia ialah mencari keredhaan Allah dengan cara yang diterima dan dirahmati Nya. Seorang manusia yang ingin mencapai cita-cita tertinggi ini akan mendapati dirinya berada di persimpangan jalan. Setiap jalan mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Dia bolehlah memilih salah satu dari keduanya.

     Jalan yang pertama adalah falsafah sufi yang sebenar. Dasar jalan ini adalah keikhlasan amalan dan menjauhkan diri dari kesibukan sebarang makhluk yang baik dan tidak baik. Jalan ini lebih dekat dan selamat dari jalan-jalan yang lain. Jalan yang satu lagi adalah pendidikan, tarbiyah dan dakwah.

     Inilah jalan yang lebih mulia di sisi Allah. Al-Quran menggelarnya jalan yang terpuji. Rasulullah s.a.w. sendiri menyebut kepentingan dan kelebihan jalan ini. Selepas merantau dalam alam sufi, saya kini memilih jalan yang kedua kerana ia lebih mulia dan lebih penting. Saya juga yakin bahawa seorang yang telah mencapai ketinggian ilmu dan berpandangan jauh sudah tentu memilih jalan yang kedua.

     Saya dapati masyarakat kita sudah tidak mempedulikan agamanya lantaran pergolakan politik yang sedang dilaluinya dan juga kerana keadaan masyarakatnya yang terpengaruh dengan Barat. Mereka sudah lupa kepada pencapaian-pencapaian gemilang nenek moyangnya. Berbagai aliran fahaman bukan Islam telah bercampur baur dengan agama Islam yang tulen itu sehingga menghasilkan fahaman-fahaman yang penuh kekeliruan, dalam bentuknya yang jelas, tulen dan mudah itu telah dari pandangan. Di samping itu, terdapat pula tabir khurafat yang menyekat pertumbuhan fikiran kita. Ringkasnya, umat Islam sedang meraba-raba dalam kegelapan jahiliah. Golongan terpelajar dan para belia pula tenggelam di dalam jurang keraguan. Sikap ini merosakkan mereka. Iman mereka menjadi lemah dan mereka pun cenderung ke arah faham atheisma atau tidak percaya adanya Tuhan.

     Saya yakin manusia, dari segi fitrahnhya, adalah saling berkasih sayang. Dia akan mencari sesuatu yang menjadi sasaran kasih sayangnya. Tumpuan kasih sayang saya adalah seorang sahabat. Dia bersemadi di dalam diri saya seumpama roh saya sendiri. Saya menumpukan kasih sayang kepadanya.

     Hasan Al-Banna menulis sebuah lagi karangan bertajuk; Cita-citaku.

     Saya ingin menjadi guru dan pendakwah. Saya ingin mendidik kanak-kanak pada siang hari dan mendakwahkan ibu bapa mereka pada waktu malam melalui perbincangan dan syarahan di sekitar agama. Ini boleh juga dilakukan dengan mengarang buku-buku dan melawat berbagai tempat. Bagi mencapai cita-cita yang pertama (yakni cita-cita khas), saya meneliti sesuatu itu dengan baik. Bagi melaksanakan cita-cita yang kedua, saya menyediakan dua senjata akhlak iaitu ketegasan dan pengorbanan. Kedua-dua senjata ini perlu bagi seorang tokoh pembaharuan.

     Bahkan rahsia kejayaan berada pada kedua-dua senjata ini. Tokoh pembaharuan yang ada dua senjata ini tidak akan menghadapi kegagalan yang mungkin menjejaskan maruah atau mendatangkan malu kepadanya. Dia samping itu, ia juga memerlukan kepada cara praktik (amali) iaitu meneruskan pengajian. Saya juga menghubungi peribadi-peribadi yang sependapat dengan saya dan menyokong orang-orang yang berpendapat demikian. Badan saya lemah, namun begitu saya sudah biasa dengan kerja keras yang berterusan. Saya menyerahkan kehidupan saya kepada Allah. Saya berdoa kepada Allah supaya Dia menerima usaha saya ini dan memberi saya kekuatan untuk melaksanakan tugas saya. Semoga jasmani dan rohani saya mendapat bantuan Allah agar saya dapat menjalankan tugas saya ini. Semoga Allah memberi saya keberkatan dan rahmat seperti yang terdapat di dalani firman-Nya: (Muhammad:7)

     Maksudnya:

     "Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."

     Ini adalah satu perjanjian di antara saya dan Allah dan guru saya menjadi saksi kepada perjanjian ini. Saya membuat keputusan ini seorang diri. Tiada sesiapa yang mempengaruhi saya kecuali perasaan saya sendiri. Keputusan ini adalah hasil dari kesungguhan saya kepada Allah yang mengetahui rahsia hati manusia.

     Sekian terima kasih.

     Hasan Al-Banna memperoleh markah tujuh setengah daripada sepuluh bagi karangannya.

     Hasan Al-Banna mendapati ujian bertulis dan ujian lisan yang dihadapinya terlalu mudah. Namun dia tidak menyesal kerana merujuk 70 buah kitab dan menghafal 18 ribu sajak. Sesungguhnya dia belajar bukan untuk lulus peperiksaan sahaja tetapi tujuan dia belajar adalah bagi mendapat ilmu.

     Pada bulan Jun 1927, keputusan peperiksaan akhir Darul Ulum diumumkan, dan Hasan Al-Banna antara pelajar yang mendapat keputusan terbaik. Keputusan itu disambut rasa gembira dan syukur oleh keluarganya. Imam Ahmad Al-Banna paling gembira, kerana keputusannya membawa keluarga pindah ke Kaherah tidak sia-sia. Dia mahu anak-anak yang lain mengikut jejak langkah abang sulung mereka.

     Walaupun Hasan Al-Banna gembira di atas kejayaan yang digapainya, namun terselit perasaan sedih hendak meninggalkan Darul Ulum. Selepas empat tahun berada di situ, tumbuh rasa kasih dan sayangnya terhadap pusat pengajian itu.

     Seringkali Hasan Al-Banna berdiri di anjung Masjid Muneerah, sambil memandang ke arah Darul Ulum. Satu perasaan ganjil timbul dalam hatinya, lantaran rasa cintanya kepada Darul Ulum. Namun akhirnya perasaan itu dapat diatasinya.

     "Apa rancangan kamu selepas tamat belajar di Darul Ulum?" tanya Ahmad Afandi Sakri.

     "Mahu melanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar, atau ke negara Cina atau Eropah. Tetapi perlu mendapatkan biasiswa dahulu. Saya layak mendapat biasiswa, kerana saya memenuhi syaratnya yang mewajibkan, mesti mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akhir," jawab Hasan Al-Banna.

     Walaupun sedih namun Ahmad Afandi Sakri tetap menyokong cita-cita kawannya itu. "Saya tetap sokong cita-citamu itu, walaupun kita terpaksa berpisah lagi apabila kamu melanjutkan pelajaran ke luar negara."

     "Kamu tahu mengapa saya mahu terus melanjutkan pelajaran?" tanya Hasan Al-Banna pula.

     Ahmad Afandi Sakri mengusik rakannya, "Kerana otak kamu cerdik."

     "Saya sanggup menuntut ilmu walaupun sampai ke negara Cina ataupun Eropah, kerana pepatah Arab mengatakan, kebijaksanaan adalah kekayaan orang Islam yang sudah hilang dan layak dituntut semula. Sebab kedua, kerana saya mahu mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya. Saya tidak mahu mengikut Barat secara membuta tuli. Saya mahu menubuhkan satu gerakan Islam yang tersusun rapi, bagi menentang pengaruh kebudayaan Barat yang berbahaya itu," kata Hasan Al-Banna.

     "Ibu setuju sekiranya kamu menyambung pelajaran ke Universiti Al Azhar, tetapi ibu sedih sekiranya kamu menuntut ke luar negara," kata ibu Hasan Al-Banna pula, kerana tidak sanggup berpisah dengan anaknya.

     "Saya juga begitu. Sekiranya Hasan Al-Banna belajar di luar negara, kita terpaksa menahan rindu lagi kepadanya. Kerana itu belajar sahaja di Universiti Al Azhar," kata Ahmad Afandi Sakri.

     Hasan Al-Banna berasa serba salah apabila mendengar kata-kata sahabat baik dan ibunya itu. Namun perkara itu selesai apabila Darul Ulum mengumumkan pihaknya tidak memberi biasiswa kepada sesiapa pada tahun itu kerana Mesir kekurangan guru. Semua pelajar Darul Ulum yang sudah mendapat diploma ditawarkan jawatan guru. Ketika itu Hasan Al-Banna berumur 21 tahun.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment