Thursday 8 September 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 10 - MENUJU KE KAHERAH ]






MENUJU KE KAHERAH








Pagi itu Hasan Al-Banna yang ditemani ayah, ibu, dan adik-beradiknya sudah berada di stesen kereta api Mahmodiyah.

     "Apabila abang sampai di Kaherah nanti, jangan lupakan kami," pesan Abdul Rahman Al-Banna, adik Hasan Al-Banna.

     "Abang tidak lupakan kamu semua," kata Hasan Al-Banna pula sambil tersenyum.

     "Apabila sampai di Kaherah nanti jaga diri kamu baik-baik," pesan Fudhla pula.

     "Baik ibu," ujar Hasan Al-Banna.

     Imam Ahmad Al-Banna mengeluarkan sepucuk surat dari sakunya lalu diberikannya kepada Hasan Al-Banna.

     "Berikan surat ini kepada kawan ayah itu. Dia pasti membantu kamu kerana ayah kenal baik dengannya. Dia juga seorang yang alim dan warak," kata Imam Ahmad Al-Banna.

     Hasan Al-Banna mengambil surat itu lalu berkata, "Baiklah, saya akan cari orang itu dan serahkan surat ini kepadanya."

     Tidak lama kemudian, kereta api sampai. Hasan Al-Banna naik kereta api itu selepas bersalaman dengan ayah, ibu, dan adik-beradiknya. Kebetulan hari itu adalah hari pertama bulan Ramadhan.

     Inilah kali pertama Hasan Al-Banna sampai di Kaherah, dan semuanya kelihatan begitu baru dan asing. Namun ayahnya sudah memberi panduan untuk sampai ke Darul Ulum.

     Hasan Al-Banna turun dari kereta api di Babul Hadid. Ketika itu sudah masuk waktu solat asar. Di situ ada sebuah surau dan Hasan Al-Banna sempat mengerjakan sembahyang. Kemudian Hasan Al-Banna naik kereta api ke Utba dan turun di Saidina Hussain.

     Hasan Al-Banna mencari kedai buku yang dimaksudkan oleh ayahnya, dan akhirnya dia terjumpa. Ketika itu ramai pelanggan di dalam kedai buku itu. Hasan Al-Banna melihat seorang lelaki yang kurus tinggi dan rambutnya beruban seperti yang dikatakan ayahnya. Hasan Al-Banna mendapatkan lelaki itu lalu memberi salam serta memperkenalkan nama ayahnya. Kemudian Hasan Al-Banna memberikan surat kepada lelaki itu.

     Alangkah hampanya hati Hasan Al-Banna kerana lelaki itu bersikap acuh tidak acuh terhadapnya. Surat itu diambil dengan tangan kiri, manakala tangan kanannya terus menulis pada sehelai kertas. Tuan punya kedai itu langsung tidak membaca surat itu.

     Hasan Al-Banna terus menunggu. Disebabkan rasa terganggu dengan kehadiran seorang budak lelaki yang tidak dikenalinya, tuan punya kedai itu memanggil seorang pekerjanya lalu disuruhnya melayan Hasan Al-Banna.

     "Sekiranya dia mahu kerja, katakan tidak ada kerja kosong di sini. Sekiranya mahu meminta derma, katakan ini bukan rumah kebajikan," kata tuan punya kedai itu.

     Tersentak Hasan Al-Banna mendengar kata-kata lelaki itu. Tidak disangka kata-kata itu boleh dilafazkan oleh lelaki yang dikatakan alim dan warak oleh ayahnya. Namun tidak mustahil seseorang itu boleh berubah selepas menjadi kaya-raya.

     Pekerja yang dipanggil tuan punya kedai itu menghampiri Hasan Al-Banna dan melihatnya dengan mata tidak berkedip.

     "Rasanya saya kenal kamu. Bukankah kamu dari Mahmodiyah?" tanya pekerja itu.

     "Saya Hasan Al-Banna dari Mahmodiyah," jawab Hasan Al-Banna memperkenalkan dirinya.

     "Saya kenal kamu dan ayah kamu," kata lelaki itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Rafiq.

     Menurut Rafiq, dia berhijrah ke Kaherah dan bekerja di kedai buku itu. Hasan Al-Banna bertanya, mengapa tuan punya kedai buku itu tidak membaca surat yang diberikan?

     Hasan Al-Banna terus bertanya, "Adakah dia seorang yang sombong?"

     "Mungkin dia sibuk, kerana itu belum sempat membaca surat itu," jawab Rafiq.

     Tidak berpuas hati dengan keadaan itu, Hasan Al-Banna bertanya lagi, "Mengapa dia menyangka saya mahu meminta kerja dan peminta derma?"

     "Memang begitu kebiasaannya. Ramai yang datang mahu minta kerja ataupun meminta derma. Majikan saya itu memang kedekut," jawab Rafiq dengan suara berbisik, bimbang didengar tuannya.

     Hasan Al-Banna menerangkan tujuan kedatangannya, "Saya datang ke Kaherah mahu belajar di Darul Ulum. Tujuan saya berjumpa dengannya kerana disuruh oleh ayah saya. Dahulu mereka pernah berkawan baik."

     "Mungkin dia terlupa ataupun mungkin juga dia sedang sibuk. Esok cuba datang lagi," kata Rafiq.

     "Baiklah," kata Hasan Al-Banna.

     Ketika itu hari sudah petang dan kedai buku itu mahu ditutup. Rafiq mempelawa Hasan Al-Banna menjadi tetamu di rumahnya. Pelawaan itu tidak ditolaknya, tambahan pula dia tidak tahu di mana hendak bermalam. Menurut Rafiq, dia masih bujang dan tinggal sendirian di rumah itu.

     Semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Rafiq singgah di sebuah kedai membeli roti dan susu untuk berbuka puasa. Dan petang itu Hasan Al-Banna berbuka puasa di rumah Rafiq. Selepas itu mereka pergi ke masjid untuk sembahyang tarawih. Selepas tarawih Rafiq mengajak Hasan Al-Banna berjalan-jalan di bandar Kaherah.

     "Saya ada seorang kenalan menjadi guru di Darul Ulum. Namanya Syeikh Abdul Mutalib. Saya tahu di mana rumahnya. Sekiranya kamu mahu saya boleh, bawa pergi ke rumahnya, dan minta pertolongannya bagi membolehkan kamu masuk belajar di Darul Ulum," kata Rafiq mencadangkan.

     Pada mulanya, ingin juga Hasan Al-Banna menerima cadangan itu. Tetapi dia teringat pesan ayahnya supaya meminta pertolongan daripada Allah sahaja dalam perkara menuntut ilmu.

     Hasan Al-Banna menolak dengan memberi alasan, "Saya rasa lebih baik kita balik sahaja kerana hari sudah jauh malam. Esok kita kena bangun awal untuk bersahur."

     Rafiq bersetuju lalu mereka terus pulang ke rumah. Hasan Al-Banna sempat tidur sekejap sebelum bangun makan sahur dan sembahyang subuh.

     "Tunjukkan saya bagaimana mahu ke Darul Ulum," tanya Hasan Al-Banna kepads Rafiq.

     "Kamu naik tum-tum ke Utba. Dari Utba, naik kereta api ke Jalan Qasrul 'Ainee. Di situ akan nampak bangunan Darul Ulum," beritahu Rafiq.

     Hasan Al-Banna akhirnya sampai di Darul Ulum. Dia berdiri di pintu pagar bagi menunggu seorang kenalannya bernama Muhammad Syarif Hujjaj. Mereka pernah bertemu semasa menuntut di Maktab Perguruan Damanhur. Ketika itu Muhammad Syarif Hujjaj adalah pelajar senior di maktabnya. Sebelum ke Kaherah, Hasan Al-Banna menulis surat berkenaan kedatangannya.

     Tidak lama kemudian, muncul Muhammad Syarif Hujjaj, dan mereka berdua berpelukan kerana sudah lama tidak bertemu. Muhammad Syariff Hujjaj mempelawa Hasan Al-Banna tinggal di asramanya, Mohallah Abdul Baqi.

     "Saya tinggal di tingkat dua. Kamu akan berkenalan dengan kawan-kawan saya. Mereka semuanya baik belaka," beritahu Mohallah Abdul Baqi.

     Kedatangan Hasan Al-Banna disambut baik penghuni asrama itu. Pada malam itu, Hasan Al-Banna tidak tidur nyenyak. Dia bersyukur kepada Tuhan kerana mempermudahkan perjalanannya. Ketika dia terkapai-kapai di Kaherah, ada insan baik hati yang sudi membantunya.

     Keesokan harinya Hasan Al-Banna mahu memerika matanya. Mujur dia bertemu Rafiq, dan Rafiq mencadangkan Hasan Al-Banna pergi ke Universiti Al Azhar. Di sana pasti ada pelajar yang boleh membantu membawanya berjumpa doktor mata.

     Hasan Al-Banna segera pergi ke Universiti Al Azhar. Beliau terpegun kerana pertama kali dapat menjejakkan kaki ke gedung ilmu itu. Beliau terus melangkahkan kakinya melewati satu tempat ke satu tempat. Akhirnya beliau bertemu dengan sekumpulan pelajar yang sedang berbincang cara-cara bagi memasuki Darul Ulum. Rupanya-rupanya mereka juga sedang membuat persiapan untuk tujuan yang sama, iaitu menjalani pemeriksaan doktor dan menjalani ujian kemasukan. Hasan Al-Banna terus bergabung dengan mereka.

     "Ujian masuk ke Darul Ulum akan diadakan 10 hari lagi. Sebelum itu kamu perlu menjalani ujian mata dahulu," kata seorang pelajar bernama Said.

     "Boleh tunjukkan tempat di mana saya boleh menjalani pemeriksaan mata?"

     "Mata saya diperiksa seorang doktor wanita, pakar mata bangsa Yunani yang sudah menjadi rakyat Mesir. Cermin matanya cantik dan harganya berpatutan. Sekiranya mahu, boleh saya hantarkan," kata Said menawarkan khidmatnya.

     "Tidak ada pakar mata lelaki?" tanya Hasan Al-Banna pula.

     Said menggeleng.

     "Hanya itu yang saya kenal. Sekiranya mahu, boleh saya hantar ke kliniknya yang terletak tidak jauh dari sini. Kita boleh pergi hanya dengan berjalan kaki."

     Hasan Al-Banna bersetuju kerana tidak ada pilihan lain. Kira-kira 20 minit berjalan kaki, mereka sampai di sebuah klinik pakar mata. Selepas menjalani pemeriksaan mata, Hasan Al-Banna diminta membayar sebanyak 50 Qursh. Kemudian doktor itu menyuruhnya pergi ke sebuah kedai menjual cermin mata. Dia dikenakan bayaran sebanyak 150 Qursh.

     "Selepas menjalani pemeriksaan mata, kamu perlu menjalani pemeriksaan kesihatan pula. Ramai yang gagal dalam pemeriksaan itu," kata Said.

     Hasan Al-Banna bertanya kepada Said, "Saudara sudah lulus ujian itu?"

     "Saya sudah lulus dan berasa senang hati. Ada seorang kawan saya, namanya Ali Naufal. Dia juga akan menjalani pemeriksaan kesihatan. Kamu boleh pergi bersamanya," jawab Said.

     Kemudian Hasan Al-Banna diperkenalkan dengan kawan Said yang bernama Ali Naufal, yang datang dari Iskandariyah.

     "Esok kita sama-sama pergi menjalani pemeriksaan kesihatan," kata Ali Naufal semasa bersalaman dengan Hasan Al-Banna.

     "Baiklah, esok kita jumpa di sini sebelum pergi," kata Hasan Al-Banna.

     "Malam ini kamu tidur di mana?" tanya Ali Naufal.

     "Di surau universiti ini," jawab Hasan Al-Banna.

     Malam itu selepas sembahyang isyak di surau Universiti Al Azhar, Hasan Al-Banna bercadang mahu pergi ke rumah Syeikh Moosa Abu Qamar yang letaknya tidak jauh dari kawan universiti. Selain mahu berkenalan dengan orang yang ada pertalian saudara dengan ibunya, Hasan Al-Banna juga mahu bertanya mengenai pemeriksaan kesihatan yang bakal dihadapinya.

     Apabila sampai, Hasan Al-Banna terus mengetuk pintu rumah Syeikh Moosa Abu Qamar. Tiba-tiba dia rasa bersalah kerana sepatutnya dia memberi salam dahulu, bukan terus mengetuk pintu. Mengetuk pintu rumah orang apatah lagi rumah yang baru pertama kali mahu dikunjungi adalah tidak sopan. Menyedari kesilapan yang dilakukannya, maka Hasan Al-Banna segera berlalu meninggalkan rumah itu.

     Keesokan harinya, Hasan Al-Banna bertemu dengan Ali Naufal di tempat yang dijanjikan. Mereka pergi ke sebuah hospital kerajaan bagi menjalani pemeriksaan kesihatan. Di situ beberapa orang pelajar lagi sedang menunggu dengan tujuan yang sama.

     Hasan Al-Banna adalah orang terakhir dalam pemeriksaan doktor. Dia dapat melihat wajah-wajah yang keluar dari bilik pemeriksaan. Ada yang keluar dengan wajah ceria, tidak kurang pula yang keluar dengan wajah yang muram. Tidak lama kemudian, sampai pula giliran Ali Naufal. Dia keluar dengan wajah yang muram.

     "Ada tiga orang doktor yang memeriksa. Doktor pertama dan kedua baik orangnya. Tetapi saya digagalkan oleh doktor yang ketiga," kata Ali Naufal.

     Hasan Al-Banna segera bertanya, "Doktor itu beritahu sebab mengapa gagal?"

     "Katanya cermin mata yang saya pakai tidak sesuai. Saya disuruh menggantikannya dengan yang lebih sesuai," jawab Ali Naufal.

     Hasan Al-Banna turut bersimpati dengan nasib rakannya itu. "Selepas saya menjalani pemeriksaan doktor nanti, saya temankan kamu ke kedai cermin mata."

     Namun Ali Naufal menolak. Dia berkata, "Saya perlu pergi sekarang. Bimbang nanti terlambat dan doktor itu sudah keluar."

     Tidak lama kemudian, nama Hasan Al-Banna dipanggil masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Di situ ada tiga orang doktor yang semuanya berbangsa Arab. Doktor pertama kelihatan peramah dan dia memeriksa dengan baik, begitu juga dengan doktor kedua. Akhirnya Hasan Al-Banna diperiksa oleh doktor yang ketiga.

     Doktor itu bertanya, "Kamu datang dari mana?"

     "Mahmodiyah," jawab Hasan Al-Banna.

     "Ayah kamu kerja apa?" tanya doktor itu lagi.

     "Tukang membaiki jam," jawab Hasan Al-Banna.

     Doktor itu kelihatan tersenyum selepas memeriksa tubuh Hasan Al-Banna. Apabila keputusan diumumkan, nama Hasan Al-Banna tersenarai mereka yang lulus ujian pemeriksana itu. Dia berasa amat bersyukur.

     "Seminggu lagi akan diadakan ujian lisan dan tulisan. Sekiranya berjaya, barulah kita diterima belajar di Darul Ulum," kata Omar, kawan yang baru ditemui Hasan Al-Banna.

     "Mari kita sama-sama membuat persediaan," kata Hasan Al-Banna pula.

     Hasan Al-Banna bersama calon-calon yang akan menduduki peperiksaan terpaksa tinggal di Universiti Al Azhar. Mereka mengambil tempat yang sesuai untuk membaca buku dan bermalam. Kesemua mereka sibuk membuat persiapan bagi menghadapi ujian. Mereka tidur hanya apabila perlu. Hasan Al-Banna mula berasa susah hati apabila mengetahui kebanyakan calon pelajar itu terdiri daripada penuntut Universiti Al Azhar peringkat sijil. Namun Hasan Al-Banna tidak berputus asa. Dia terus berusaha dan berdoa.

     Pada keesokan harinya, Hasan Al-Banna menduduki ujian. Hasan Al-Banna dapat menjawab semua soalan ujian tersebut dengan lancar.

     Kemudian Hasan Al-Banna terpaksa pula menjalani ujian lisan dan namanya tertera sebagai calon terakhir. Kerana beliau kelihatan terlalu muda, ada beberapa orang calon yang mengusiknya.

     "Di sini ujian lisan peringkat tinggi. Ujian lisan peringkat rendah di tingkat bawah," kata salah seorang daripada mereka. 

     Hasan Al-Banna tidak mempedulikan usikan itu. Beliau menjawab, "Saya mahu mengambil ujian lisan peringkat tinggi."

     "Adakah kamu tidak tahu dia adalah calon pengganti sekiranya kita tidak terpilih?" kata seorang lagi sambil disambut dengan ketawa kawan-kawannya.

     "Saya seperti kamu juga, sudah lulus pemeriksana kesihatan dan ujian bertulis. Sekarang kita sama-sama menjalani ujian lisan. Kita tidak tahu siapa antara kita yang akan gagal," kata Hasan Al-Banna.

     Tidak lama kemudian, ujian lisan pula dimulakan. Seorang demi seorang dipanggil masuk hingga calon terakhir iaitu Hasan Al-Banna. Dia melangkah masuk ke dalam bilik dengan tenang. Di situ terdapat tiga orang penemuduga iaitu Ahmad Badwi, Abdul Fateh Asyoor, dan Syeikh Ahmad bin Zanati.

     "Adakah kamu berniat mahu melanjutkan pelajaran di Darul Ulum peringkat atas?" tanya Ahmad Badwi memulakan soalan.

     "Ya, Tuan," jawab Hasan Al-Banna.

     Ahmad Badwi melihat Hasan Al-Banna penuh hairan lalu bertanya lagi, "Adakah Darul Ulum ini terlalu kecil untuk kamu?"

     Hasan Al-Banna tidak faham dengan kata-kata itu lantas dia bertanya, "Saya tidak faham apa maksud Tuan."

     "Berapa umur kamu?" tanya Ahmad Badwi lagi.

     "Enam belas tahun enam bulan dan 16 hari," jawab Hasan Al-Banna.

     Ahmad Badwi bertanya lagi, "Adakah kamu tidak tahu syarat masuk ke Darul Ulum perlu berumur 18 tahun? Mengapa kamu tidak menunggu sehingga umur kamu meningkat?"

     Hasan Al-Banna memberanikan diri menjawab, "Setahu saya syarat masuk ke Darul Ulum adalah lulus pemeriksaan kesihatan dan lulus ujian kemasukan. Saya memohon awal kerana yakin lulus ujian itu. Dan saya tidak mahu melepaskan peluang ini.

     Abdul Fateh Asyoor kelihatan tertarik hati mendengar jawapan Hasan Al-Banna dan berasa simpati.

     "Kita sedang menemuduga pelajar ini. Jangan bergurau dengannya," kata Abdul Fateh Asyoor.

     "Baiklah semoga kamu berjaya," kata Ahmad Badwi.

     Abdul Fateh Asyoor mula bertanya, "Sudah kamu menghafal Kitab Alfiyah?" 

     "Ya, saya sudah mempelajari kitab itu," jawab Hasan Al-Banna.

     "Sekiranya begitu, bacalah," kata Abdul Fateh Asyoor.

     Hasan Al-Banna pun membacanya dengan lancar dan pantas. Kemudian Abdul Fateh Asyoor bertanya mengenai kesusasteraan Arab dan pengetahuan am. Semuanya dapat dijawab dengan mudah oleh Hasan Al-Banna. Kemudian giliran Syeikh Ahmad Bin Zanati bertanya mengenai Al-Quran.

     Soalan pertama daripada Syeikh Ahmad Bin Zanati berbunyi, "Sejak umur berapa kamu menghafal Al-Quran?"

     "Dengan izin Tuhan, saya dapat menghafalnya ketika berumur 14 tahun," jawab Hasan Al-Banna.

     "Cuba bacakan saya permulaan Surah Luqman?" tanya Syeikh Ahmad bin Zanati.

     Hasan Al-Banna membaca dengan lancar. Kemudian Syeikh Ahmad bin Zanati membaca sepotong ayat daripada Surah Muhammad lalu menyuruh Hasan Al-Banna menyambungnya. Dia dapat menyambung ayat itu dengan baik dan lancar sehingga Syeikh Ahmad Bin Zanati terpesona mendengarnya. Tambahan pula, suara Hasan Al-Banna merdu apabila membaca ayat-ayat Al-Quran. Maka selesai sudah ujian lisan terhadap Hasan Al-Banna dan sebelum keluar dari bilik, Ahmad Badwi mendoakan semoga beliau berjaya.

     Selesai ujian lisan, Hasan Al-Banna pulang ke Mahmodiyah. Sebelum pulang, dia sempat bertemu dengan mereka yang membantunya selama berada di Kaherah.

     Hasan Al-Banna juga mengunjungi rumah Syeikh Moosa Abu Qamar. Kali ini dia datang dengan memberi salam terlebih dahulu. Selepas berbual, baru Hasan Al-Banna memperkenalkan dirinya.

     "Sekiranya kamu datang ke rumah ini lebih awal, bolehlah bermalam di sini dan boleh saya bantu kamu untuk lulus pemeriksaan kesihatan dan ujian kemasukan Darul Ulum. Saya kenal baik dengan doktor yang membuat ujian terhadap kamu," marah Syeikh Moosa Abu Qamar.

     Hasan Al-Banna memohon maaf lalu menceritakan dia pernah datang ke rumah itu tetapi segera meninggalkannya selepas rasa bersalah. Syeikh Moosa Abu Qamar memuji perbuatan Hasan Al-Banna itu.

     Kira-kira dua minggu berada di Mahmodiyah, Hasan Al-Banna mendapat dua tawaran yang menggembirakan hatinya. Tawaran pertama menjadi guru di Sekolah Rendah Khartaba oleh Lembaga Pelajaran Buhairah. Beliau diarah memulakan tugas sebaik sahaja cuti musim panas berakhir.

     Hasan Al-Banna terpaksa membuat satu antara dua pilihan. Akhirnya dia menolak tawaran sebagai guru dan menerima tawaran masuk ke Darul Ulum.

     Dengan linangan air mata, Ahmad Afandi Sakri berkata, "Kamu dan keluargamu akan berpindah ke Kaherah. Dan itu sesuatu yang amat menyedihkan hatiku."

     "Saya juga sedih meninggalkan Mahmodiyah dan lebih sedih kerana terpaksa berpisah denganmu, sahabatku. Pemergian saya ini bagi menyahut panggilan jihad kerana menuntut ilmu itu adalah satu jihad. Kita pasti berjumpa lagi," kata Hasan Al-Banna.

     


N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB

No comments:

Post a Comment