Sunday 11 September 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 15 - BERUSAHA MENENTANG KEJAHATAN ]






BERUSAHA MENENTANG KEJAHATAN








Semasa di Kaherah, Hasan Al-Banna masih mengamalkan puasa selama tiga bulan beruturt-turut pada bulan Rejab, Syaaban, dan Ramadan. Dia juga sentiasa berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Kini Ramadan menjelma lagi. Namun tidak semua umat Islam di Mesir berpuasa. Mereka yang terpengaruh dengan fahaman athies tidak lagi mengamalkan ajaran Islam. Keadaan umat Islam di Mesir bertambah teruk tanpa ada usaha untuk mengatasinya. Itu yang merunsingkan fikiran Hasan Al-Banna.

     Tahun itu sudah separuh Ramadan berlalu, Hasan Al-Banna masih resah gelisah hingga tidak dapat tidur kerana memikirkan keadaan rakyat Mesir. Tidak kurang pula yang terpengaruh dengan fahaman kebendaan. Hasan Al-Banna berfikir dan terus berfikir bagaimana untuk melawan pengaruh luar yang sedang merosakkan umat Islam itu.

     Setelah lama berfikir, akhirnya Hasan Al-Banna mengambil keputusan untuk bertemu dengan mereka yang terpengaruh, yang mana kata-kata mereka dapat mempengaruhi orang ramai. Antara yang paling sesuai pada fikiran Hasan Al-Banna adalah Syeikh Yusof Ad-Dajwi seorang ulama yang banyak menulis buku dan dikenali ramai.

     Keesokan harinya, selepas berbuka puasa dan sembahyang tarawih, Hasan Al-Banna pun menziarahi Syeikh Yusof Ad Dajwi di rumahnya yang terletak tidak jauh dari Darul Ulum. Ketika itu beliau sedang kerumuni orang-orang alim terkemuka yang juga datang bagi menziarahinya. Seorang daripada mereka bernama Ahmad bin Kamil. Hasan Al-Banna mengucapkan salam lalu disambut baik oleh Syeikh Yusof Ad Dajwi.

     "Apa hajat kedatangan kamu wahai anak muda?" tanya Syeikh Yusof Ad Dajwi dengan ramah.

     Hasan Al-Banna bertanya dengan penuh hemah, "Boleh saya mengemukakan pendapat saya kepada Tuan?"

     Dipersilakan...," kata Syeikh Yusof Ad Dajwi.

     "Saya berasa sedih kerana Mesir sedang dilanda gelombag fahaman atheis dan maksiat. Sudah bermula kemusnahan terhadap agama, akhlak, dan fahaman atas nama kebebasan berfikir. Universiti-universiti di Mesir yang didirikan oleh rakyat diambil alih oleh kerajaan dan banyak maktab diletakkan di bawah pengawasan secara langsung dari kerajaan. Lantaran itu, pihak universiti mengamalkan dasar permikiran dan kebudayaan Barat yang berciri kebendaan itu. Para guru dan murid pula membebaskan diri mereka dari sebarang ikatan dengan guru mereka."

     "Mereka yang datang dari Barat itu membawa fahaman fikiran bebas atau liberal. Ia sebenarnya bermaksud menyebar kekacauan dan kemaksiatan. Satu persatuan permikiran atau ilmu ketuhanan ditubuhkan di Jalan Al-Manakh. Mereka ini cenderung kepada ilmu ketuhanan (Theosopy). Persatuan itu mengajurkan ceramah-ceramah yang mengecam agama-agama lama dan menyebarkan satu agama baru. Para penceramahnya terdiri daripada orang-orang Islam, Yahudi, dan Kristian yang diberi upah. Persoalannya sekarang, apa pula tindakan kita? Apakah kita hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh?" kata Hasan Al-Banna.

     Syeikh Yusof Ad Dajwi kelihatan sedih mendengar kata-kata yang diucapkan Hasan Al-Banna. Kemudian dia berkata, "Saya juga melihat musibah yang menimpa Mesir. Nampaknya golongan Islam tidak mampu menghadapi gejala yang buruk itu. Universiti Al Azhar dan ulamanya tidak mampu berbuat apa-apa. Saya menubuhkan Persatuan Nahdatul Islam, tetapi tidak berhasil. Semasa Persidangan Agama-Agama yang diadakan di Jepun, saya menghantar majalah-majalah Islam ke persidangan tersebut. Namun kesimpulan perbincangan mereka adalah untuk menunjukkan bahawa setiap usaha menemui kegagalan. Dalam keadaan sekarang, sudah memadai seseorang itu memelihara dirinya dengan menyelamatkan dirinya daripada zaman kebendaan yang tidak bertuhan itu."

     "Saya kagum dengan semangat orang muda seperti kamu, namun ibarat anjing menyalak bukit tanpa memberi apa-apa kesan terhadap mereka. Kerana itu saya berpesan kepada kamu wahai anak muda, berusahalah dengan cara yang sebaik mungkin, kemudian serahkan hasil dan keputusannya kepada Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan membebankan seseorang dengan bebanan yang di luar kemampuaannya," kata Syeikh Yusof Ad Dajwi.

     Melihat Hasan Al-Banna diam, Syeikh Yusof Ad Dajwi bertanya, "Wahai anak muda, mengapa kamu diam? Apakah kamu setuju dengan kata-kataku?"

     Hasan Al-Banna berasa dia perlu berterus-terang menyatakan pendapatnya. Apa yang mahu diperkatakannya adalah kerana Allah, bukan mahu menunjuk pandai. Kemudian terserah kepada yang mendengarnya.

     "Saya tidak setuju dengan pendapat Tuan itu kerana kata-kata itu melambangkan semangat yang lemah. Pendapat itu adalah satu alasan bagi mengelakkan diri daripada tanggungjawab. Tuan takutkan siapa? Adakah Tuan takutkan Al Azhar ataupun kerajaan? Pencen Tuan sudah mencukupi. Tuan boleh duduk di rumah dan bekerja untuk Islam. Sesungguhnya, rakyat bersama Tuan. Hadapilah mereka. Mereka itu adalah rakyat Islam. Saya melihat mereka di kedai-kedai kopi, di masjid-masjid, di jalan-jalan, dan di lorong-lorong. Saya dapati hati mereka ini penuh dengan kecintaan iman dan Islam. Sebenarnya tenaga hebat yang ada pada rakyat ini tidak dipedulikan. Para pengikut fahaman lucah dan atheis tidak mampu berhadapan dengan seorang Muslim sejati. Mereka berjaya menerbitkan majalah dan akhbar kerana kita lalai dan cuai. Mereka ini akan lenyap sekiranya kita semua ada kesedaran politik dan agama."

     "Tuan yang saya hormati, sekiranya Tuan tidak mahu melakukan sesuatu untuk Allah, maka sekurang-kurangnya lakukan sesuatu untuk dunia Tuan. Berusahalah untuk mendapatkan rezeki harian Tuan. Andainya Islam lenyap dari rakyat, maka Al-Azhar juga turut lenyap dan para ulamanya akan terkapai-kapai, tidak tahu hendak ke mana. Lantaran itu, Tuan pun turut tidak dapat makanan dan pakaian. Sekiranya Tuan tidak dapat mempertahankan Islam, sekurang-kurangnya berusahalah untuk mempertahankan diri Tuan. Berusahalah untuk mendapat keuntungan duniawi sekiranya Tuan tidak mahu berusaha mendapatkan keuntungan Tuan di akhirat. Sekiranya tidak, Tuan akan rugi kedua-duanya sekali, iaitu rugi dunia dan juga akhirat," kata Hasan Al-Banna dengan panjang lebar.

     Seorang ulama yang berada di samping Syeikh Yusof Ad Dajwi mula hiang sabar lalu berkata, "Hei anak muda, kata-kata kamu itu penuh dengan penghinaan. Tidakkah kamu tahu sedang bercakap dengan siapa? Dia jauh lebih mulia daripada kamu. Kamu mengecam ulama dan Al-Azhar. Apa yang kamu cakap itu sama seperti menghina Islam. Islam tidak akan lemah kerana Allah sendiri memeliharanya."

     Sebelum sempat Hasan Al-Banna menjawab tuduhan itu, Ahmad Bin Kamil pun bangun dan berkata, "Ya Ustaz, pemuda ini berkata benar. Adalah menjadi kewajipan kamu sekarang untuk maju ke depan. Berapa lamakah lagi kamu hendak membatukan diri?"

     Kemudian Ahmad bin Kamil berkata lagi, "Pemuda ini mahu kamu semua bersatu bagi memperjuangkan Islam. Sekiranya kamu perlu tempat bagi bermesyuarat, rumah saya sentiasa terbuka untuk dimiliki dan digunakan oleh pihak Tuan. Sekiranya kamu perlu wang, orang-orang Islam yang pemurah tidak pernah berkurangan. Kamu semua adalah para pemimpin negara. Keluarlah dan kami akan menurut kamu. Perbahasan yang kosong ini tidak mendatangkan apa-apa."

     Para hadirin yang berada di situ akhirnya terbahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan memihak ulama yang membangkang pendapat Hasan Al-Banna, dan satu kumpulan lagi memihak Ahmad bin Kamil. Syeikh Yusof Ad Dajwi pada mulanya hanya berdiam diri. Apabila keadaan menjadi bertambah tegang, dia pun terfikir hendak menyelesaikan pertikaian itu.

     "Saya berdoa kepada Allah supaya memberi kita kekuatan bagi melaksanakan kehendak-Nya. Sesungguhnya kita semua memang mahu berbuat demikian. Namun apakan daya. Hal ini terserah kepada Allah. Bagi menyelesaikan perkara ini, saya rasa elok kita bertemu dengan Syeikh Muhammad Saad. Marilah kita pergi menemuinya," kata Syeikh Ad Dajwi.

     Semua yang berada di situ bersetuju lalu pergi ke rumah Syeikh Muhammad Saad. Rumahnya berdekatan dengan rumah Syeikh Yusof Ad Dajwi. Hasan Al-Banna mengambil temoat berhadapan Syeikh Dajwi supaya dapat berbincang perkara-perkara penting dengannya.

     Syeikh Muhammad Saad menyambut kedatangan mereka dengan mesra lalu menghidangkan manisan kepada para hadirin. Sudah menjadi kebiasan di Mesir pada bulan Ramadan dihidangkan manisan kepada tetamu yang datang.

     "Siapa kamu wahai orang muda?" tanya Syeikh Muhammad Saad.

     "Nama saya Hasan Al-Banna," jawab Hasan Al-Banna.

     Dahi ulama itu berkerut seperti cuba mengingati sesuatu. Katanya, "Saya seperti pernah mendengar nama itu. Adakah kamu juga ikut serta dalam perbincangan ini?"
    
     Hasan Al-Banna mengangguk lalu berkata, "Ya, Tuan. Saya tidak akan pergi selagi kita tidak mencapai satu kesimpulan."

     Syeikh Muhammad Saad mengambil segenggam gula-gula lalu diberikannya kepada Hasan Al-Banna sambil berkata, "Ambillah gula-gula ini. Insya Allah kita akan mencapai satu penyelesaian."

     "Puji-pujian bagi Allah," balas Hasan Al-Banna.

     "Siapa yang dahulu mahu berkata mengenai masalah yang mahu dibincangkan?" tanya Syeikh Muhammad Saad.

     "Tuan, kita tidak tahu membuang masa lagi berfikir mengenai perkara yang remeh-temeh. Perkara ini amat penting dan memerlukan tindakan segera. Sekiranya saya gemarkan gula-gula ini, sudah tentu saya akan membelinya sendiri dan berehat di rumah. Saya tidak akan bersusah payah datang ke sini bagi menemui tuan."

     "Tuan, Islam sedang diserang hebat oleh musuh-musuhnya, tetapi para penganut dan pemimpinnya membuang masa dengan memakan gula-gula. Adakah Tuan fikir Allah tidak akan mempersoalkan sesiapa pun? Sekiranya ada para pemimpin lain selain Tuan untuk bekerja demi agama Islam, tunjukkanlah mereka kepada saya. Saya akan pergi kepada mereka. Mungkin saya akan mendapat sesuatu dalam diri mereka yang tidak dimiliki oleh Tuan," kata Hasan Al-Banna.

     Suasana di rumah Syeikh Muhammad Saad menjadi sunyi sepi. Tidak ada yang berani membantah kata-kata Hasan Al-Banna. Kemudian kedengaran Syeikh Yusof Ad Dajwi menangis teresak-esak sehingga air matanya membasahi janggutnya. Beberapa orang yang lain turut menangis Syeikh Muhammad Saad memecah kesunyian dengan kata-katanya yang bernada sedih, "Apa yang patut saya lakukan wahai anak muda?"

     "Saya mahu Tuan cadangkan nama-nama ulama yang cintakan Islam. Mereka ini akan bertemu dan sama-sama mencari jalan bagi menghadapi keadaan seperti ini. Satu akhbar mingguan boleh diterbitkan dalam usaha menentang unsur-unsur Barat dan atheis (Mulhid). Kita juga boleh menerbitkan bahan-bahan kesusasteraan Islam bagi mengubati penyakit-penyakit yang disebarkan oleh musuh-musuh Islam. Kita juga boleh menubuhkan pelbagai persatuan dan menggalakkan para pemuda Islam memasukinya. Kita sepatutnya mempercepatkan usaha kebangkitan Islam. Kita boleh melancarkan banyak rancangan serentak." Panjang lebar Hasan Al-Banna menyatakan cadangannya.

     Syeikh Muhammad Saad kelihatan gembira lalu berkata, "Subhanallah, sungguh baik sekali cadangan itu, wahai anak muda."

     Kemudian Syeikh Muhammad Saad menyuruh pembantunya membawa segala pinggan mangkuk yang berisi gula-gula masuk ke dalam rumah. Disuruhnya sekali membawa pena dan kertas.

     "Sekarang kita akan catatkan sebarang keputusan yang diambil," katanya.

     Mereka terus berbincang mengenai banyak perkara. Satu senarai panjang nama-nama ulama terkemuka dituliskan. Antara mereka yang namanya termasuk dalam senarai adalah Syeikh Dajwi, Syeikh Muhammad Al-Khizr Hussain, Syeikh Abdul Aziz Jawish, Syeikh Abdul Wahab Najjar, Syeikh Muhammad Ahmad Ibrahim, dan Syeikh Abdul Aziz Al-Khauli.

     Dimasukkan juga nama-nama mereka yang berpengaruh seperti Ahmad Taimoor Pasya, Naseem Pasya, Abu Bakar Yahya Pasya, Mutawalli Bek Ghaneem, Abdul Aziz Bek Muhammad, Abdul Hameed Bek Sa'id, dan beberapa orang lagi.

     Kemudian Syeikh Muhammad Saad berkata, "Kita perlu bekerjsama kerana ini adalah kewajipan kita. Sekarang kamu berkewajipan menghubungi orang-orang yang kamu kenal rapat dan saya pula akan menghubungi orang-orang yang saya kenal rapat. Insya Allah, kita akan bertemu lagi minggu depan."

     Mereka menjalankan tugas masing-masing. Dan seperti yang dijanjikan, seminggu selepas itu mereka mengadakan perjumpaan. Kemudian diadakan lagi perjumpaan sehingga akhirnya mereka berjaya menubuhkan satu gerakan Islam dengan bantuan para ulama terkemuka.

     Selepas para ulamak itu mengadakan perjumpaan selepas Hari Raya Aidil Fitri, sebuah majalah bergelar Al-Fatah diterbitkan. Syeikh Abdul Baqi Sawwar Na'im menjadi ketua pengarang dan Syed Muhibuddin Al-Khatib bertugas sebagai pengurus majalah tersebut. Tidak lama kemudian, tugas ketua pengarang dan pengurus majalah itu dijalankan oleh Syeikh Muhibuddin Al-Khatib. Majalah itu menjadi terkenal lantaran usahanya. Majalah Al-Fatah berperanan sebagai panduan untuk para belia terpelajar.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.



No comments:

Post a Comment