Tuesday 13 September 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 18 - DAKWAH KEDAI KOPI YANG BERJAYA ]






DAKWAH DI KEDAI KOPI YANG BERJAYA








Hasan Al-Banna melihat umat Islam di Ismailiyah bukan sahaja sedang diancam pengaruh Barat yang merosakkan akhlak, tetapi juga sedang dilanda perpecahan sesama sendiri akibat berbeza fahaman dan anutan mazhab. Wujud beberapa kumpulan yang menganggap amalan dan akidah mereka lebih baik daripada kumpulan yang lain. Sering berlaku perdebatan di masjid dan tempat awam yang tidak berkesudahan. Hasan Al-Banna sedar sesiapa yang cuba bercakap mengenai Islam akan menghadapi tindak balas daripada pelbagai kumpulan. Setiap kumpulan akan cuba menariknya masuk ke dalam kumpulan masing-masing, ataupun sekurang-kurangnya mereka mahu menganggap dia termasuk dalam sesuatu kumpulan tertentu, sama ada pihaknya ataupun musuhnya.

     Menurut kajian yang dibuatnya, penduduk Islam di Ismailiyah menerima ancaman daripada pengaruh Barat dan perpecahan sesama sendiri yang paling teruk berbanding kawasan yang lain. Terusan Suez yang menjadi kebanggaan di Ismailiyah itu bukan membawa kebaikan malah sebaliknya. Mereka yang mendapat keuntungan dari Terusan Suez adalah orang asing. Penduduk tempatan hanya layak menjadi buruh yang gajinya di bawah taraf kemiskinan. Kerana itu Hasan Al-Banna mahu membantu penduduk Ismailiyah dengan memberi kesedaran beragama.

     Pada suatu malam, orang ramai berkumpul di masjid untuk sembahyang berjemaah. Keadaan di dalam masjid itu penuh sesak sehingga melimpah ke luar. Sesuatu permandangan yang tidak pernah dilihat oleh Hasan Al-Banna sejak berada di Ismailiyah.

     "Malam ini ada seorang ulama Azhar dari Kaherah datang bagi menyelesaikan perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam Ismailiyah," kata seorang lelaki, menjawab pertanyaan Hasan Al-Banna. 

     Hasan Al-Banna duduk di barisan hadapan. Selesai sembahyang maghrib, ulama Azhar itu dijemput naik ke atas mimbar untuk berucap. Beliau melahirkan rasa kesal kerana orang Islam Ismailiyah berpecah, kerana fahaman agama dan politik masing-masing. Ulama itu menyalahka fahaman ahli Sufi dan Salafi yang dianggapnya menyebabkan terjadinya perpecahan itu.

     Tiba-tiba bangun seorang lelaki dari kumpulan sufi membantah ucapan ulama itu. Dia menuduh ahli Salafi yang menjadi puncanya. Mendengar tuduhan itu, bangun pula seorang lelaki mewakili golongan Salafi membantah tuduhan itu. Mula-mula berlaku pertengkaran antara dua lelaki itu sahaja. Tetapi apabila kedua-dua belah pihak masuk campur, akhirnya terjadi pergaduhan di dalam masjid.

     Hasan Al-Banna berasa amat dukacita kerana berlakunya pergaduhan itu. Tambahan pula ia berlaku di dalam masjid. Lantas dia menyalahkan kedua-dua belah pihak kerana tidak mahu mengalah. Hasan Al-Banna juga mengambil keputusan menjauhkan diri dari semua kumpulan dan tidak mahu lagi terlibat dengan perbalahan di dalam masjid. Dia berpendapat orang-orang di masjid suka bercakap dan berbincang mengenai perkara-perkara khilafiyah atau perbezaan pendapat dalam agama. Apabila ada sahaja peluang, mereka akan mengapi-apikan perkara itu serta menuduh pihak lain yang salah. 

     Selepas lama memikirkannya, akhirnya Hasan Al-Banna mengambil keputusan tidak menjadikan orang-orang masjid sebagai sasaran dakwahnya. Dia mula memikirkan cara-cara lain bagi menghubungi orang ramai yang bukan berada di dalam masjid.

     Semasa di Kaherah, Hasan Al-Banna pernah berdakwah di kedai-kedai kopi dengan kawan-kawannya. Usaha mereka itu boleh diterima orang ramai yang berkunjung ke kedai kopi. Dia berazam bagi mencubanya di Ismailiyah pula.

     "Penduduk Kaherah berfikiran terbuka. Penduduk Ismailiyah masih berfikiran tertutup. Kerana itu saya yakin mereka tidak dapat menerimanya. Kamu akan dipersendakan kerana berdakwah di kedai kopi," tempelak Syeikh Ibrahim Al-Bonhawi Afandi apabila Hasan Al-Banna mengemukakan cadangannya.

     "Semasa mula-mula saya kemukakan idea itu kepada kawan-kawan di Kaherah, mereka berkata perkara yang sama seperti yang kamu katakan. Tetapi selepas kami mencubanya, akhirnya mereka menerimanya," kata Hasan Al-Banna pula.

     "Saya bukan seperti kawan-kawan kamu di Kaherah. Maaf, saya tidak dapat membantu," kata Syeikh Ibrahim.

     Hasan Al-Banna memujuk kawannya itu. "Biar saya seorang yang bercakap. Kamu cuba temankan."

     Syeikh Ibrahim tetap bertegas dengan keputusannya. "Maaf, saya tidak mahu terlibat secara langsung atau tidak langsung. Kamu perlu usahakan sendiri."

     Hasan Al-Banna tidak kecewa apatah lagi berputus asa. Dia tetap teruskan rancangannya itu walaupun berseorangan. Bagi menjayakan rancangan 'Dakwah di Kedai Kopi' itu, Hasan Al-Banna memilih dua buah kedai yang paling ramai pelanggannya. Kedai itu terletak di tepi Sungai Nil. Pada malam Jumaat, paling ramai pelanggannya. Dia memakai pakaian biasa iaitu seluar, baju kemeja lengan panjang, dan memakai tarbus.

     Hasan Al-Banna mengunjungi kedai pertama selepas sembahyang isyak. Pada mulanya orang ramai terkejut dengan cara Hasan Al-Banna berdakwah. Namun mereka tertarik dengan cara percakapan anak muda itu yang tidak menyakiti hati sesiapa. Akhirnya mereka pun menjadi biasa dengan cara itu dan terus meminatinya.

     Begitu juga dengan kedai yang kedua. Hasan Al-Banna bercakap kira-kira 15 minit sahaja. Kemudian beliau berlalu dari situ tanpa meminta apa-apa makanan ataupun minuman.

     Untuk ceramah pada dua kedai kopi itu, Hasan Al-Banna memilih tajuk yang berlainan. Dia sanggup bersusah payah menyiapkan ceramah-ceramah tersebut. Dia memilih tajuk-tajuk ceramah yang mampu disampaikan dengan baik. Dia tidak melebihi sempadan tajuk-tajuk dakwah yang ditetapkan dan ia berbentuk nasihat umum sahaja. Hasan Al-Banna memilih tajuk-tajuk yang berkaitan dengan Allah, hari kiamat, ganjaran pahala amalan-amalan soleh, dan larangan-larangan melakukan perbuatan yang dilarang.
  
     Hasan Al-Banna hanya mencuit pemikiran pendengarnya. Bentuk ceramah yang disampaikannya mudah tetapi berkesan. Dia menggunakan bahasa harian bagi menyampaikan ceramah yang dihiasi dengan peribahasa dan kisah teladan. Walaupun singkat namun ceramahnya berjaya menarik perhatian orang ramai.

     Dalam masa 15 minit itu, Hasan Al-Banna menyentuh semua perkara penting supaya meninggalkan kesan kepada para pendengar. Dia memilih ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang sesuai dengan keadaan di situ. Dia membaca ayat-ayat dan hadis-hadis tadi, dan kemudian menghuraikan isinya dengan ringkas kepada mereka dan memberi kesimpulannya.

     Akhirnya orang ramai di Ismailiyah suka dengan cara Hasan Al-Banna berdakwah, dan mereka mula berbincang mengenai ceramah-ceramah yang disampaikannya. Hasan Al-Banna berjaya mencuit jiwa mereka. Mereka pun memenuhi kedai-kedai kopi kerana hendak mendengar ceramah yang disampaikan.

     Biasanya selesai ceramah, Hasan Al-Banna dihujani dengan soalan demi soalan. Namun jawapan yang diberikan biasanya tidak memuaskan hati mereka sepenuhnya.

     "Wahai anak muda, kami mahu menjadi Islam sejati. Ajarkan kami tentang hukum-hakam agama kita," pinta salah seorang daripada mereka.

     "Tempat ini tidak sesuai bagi mempelajari hukum Islam. Sekiranya kamu mahu, carikan tempat yang lebih sesuai," kata Hasan Al-Banna.

     Dengan penuh semangat mereka berkata, "Kami akan usahakan."

     Mereka mencari tempat yang sesuai dan akhirnya menemui sebuah rumah yang usang, tetapi masih boleh digunakan sekiranya diperbaiki. Mereka bergotong-royong membaiki bangunan itu. Rumah itu siap diperbaiki dalam masa dua hari sahaja. Kemudian mereka pun mengadakan perjumpaan yang pertama di dalam rumah itu. Pada hari pertama, Hasan Al-Banna bercakap mengenai cara mengambil wuduk yang sempurna. Kemudian dia membawa mereka ke pacur air dan menyuruh mereka duduk di dalam satu barisan. Hasan Al-Banna mengajar mereka dengan cara-cara mengambil wuduk dengan sempurna.

     Kemudian Hasan Al-Banna menerangkan pula faedah-faedah wuduk dari segi rohani, jasmani, dan keduniaan. Dia menyebut hadis-hadis yang berkaitan dengan wuduk supaya mereka berminat mencari ganjaran yang dijanjikan Allah.

     Kemudian Hasan Al-Banna memberitahu mereka tentang kepentingan sembahyang dan ganjaran-ganjarannya. Kemudian mereka diajar cara-cara mengerjakan sembahyang. Selepas itu Hasan Al-Banna menyuruh mereka sembahyang di depannya supaya dapat ditegur sekiranya melakukan kesilapan.

     Selepas itu diajar pula cara mengambil wuduk yang sempurna dan melakukan sembahyang, maka Hasan Al-Banna berceramah mengenai iman dan membetulkan akidah. Dia kemukana ayat-ayat Al-Quran dan hadis bagi menguatkan hujahnya.

     Mereka yang hadir di rumah itu bagi mendengar ceramah Hasan Al-Banna semakin ramai, hingga penuh sesak. Seorang hartawan berasa simpati lalu membina sebuah bangunan baru bersebelahan rumahnya.

     "Saya sudah membina sebuah rumah yang dapat kita gunakan untuk berkumpul bagi belaajr ilmu dan mengkaji Al-Quran dalam suasana yang penuh persaudaraan," kata seorang hartawan yang pemurah.

     Ramai yang memuji Haji Mustafa termasuk Hasan Al-Banna. Rumah itu mereka gunakan bagi mendengar ceramah Hasan Al-Banna yang biasanya dilakukan antara maghrib dan isyak. Selepas berceramah di rumah Mustafa barulah Hasan Al-Banna menyambung ceramahnya di kedia kopi.

     Nama Hasan Al-Banna mula menjadi sebutan ramai. Mereka memuji usaha yang dilakukan itu. Tambahan pula berjaya menarik perhatian ramai.

     "Sekarang ini sebelum berdakwah di kedai kopi, Hasan Al-Banna berceramah dulu di rumah Haji Mustafa. Jumlah mereka yang datang di rumah itu lebih ramai daripada di kedai kopi," kata Ibrahim Bik yang memuji usaha yang dilakukan Hasan Al-Banna.

     "Dia menyebelahi kumpulan mana? Adakah Hasan Al-Banna menyertai kumpulan Salafi?" tanya Imran Afandi pula.

     "Dia menyertai kumpulan sufi," kata yang lain pula.

     Bagi memastikan Hasan Al-Banna memihak pada kumpulan yang mana, mereka mahu mengujinya. Pada suatu malam, mereka beramai-ramai berkumpul di rumah Haji Mustafa.

     Malam itu apabila sampai di rumah Haji Mustafa, Hasan Al-Banna merasakan ada sesuatu yang aneh. Mereka yang datang terlalu ramai hingga melimpah ke halaman rumah. Mereka juga berada dalam keadaan tidak tersusun kerana duduk dalam beberapa kumpulan yang berlainan.

     Sebaik sahaja Hasan Al-Banna memulakan ceramah, tiba-tiba seorang lelaki bangun.

     "Malam ini kami mahu Tuan berceramah mengenai at-tawassul. Dan kami mahu tahu apakah pendapat tuan mengenai at-tawassul?" katanya dengan suara lantang.

     Hasan Al-Banna pula menjawab, "Saya andaikan bukan perkara ini sahaja yang kamu mahu tahu. Kamu akan bertanya begitu dan begini ketika dalam sembahyang, dan adakah perlu berdoa selepas azan. Kamu akan bertanya sama ada surah Al-Kahfi dibenarkan dibaca pada hari Jumaat ataupun tidak. Kamu juga akan bertanya sama ada perkataan 'Saidina' patut disatukan dengan nama Rasulullah s.a.w. ataupun tidak. Kamu akan bertanya di manakah ibu bapa Rasulullah s.a.w. ditempatkan selepas mereka mati dan di manakah mereka berada sekarang. Kamu akan bertanya sama ada pahala membaca Al-Quran sampai kepada orang mati ataupun tidak. Kamu akan bertanya sama ada perhimpunan ahli-ahli sufi dan ahli-ahli syariah merupakan satu dosa ataupun satu jalan menuju Allah."

     "Semua yang Tuan sebutkan itu kami sudah tahu jawapannya. Sekarang kami mahu tahu pendapat Tuan pula. Apa pendirian Tuan mengenai perkara itu?" tanya lelaki itu.

     Dengan wajah yang tenang dan suara yang lunak, Hasan Al-Banna berkata, "Saudaraku, saya bukanlah seorang ulama. Saya hanya seorang guru. Namun saya telah mempelajari beberapa ayat Al-Quran dan juga. Saya juga mengkaji beberapa tajuk yang menyentuh Islam dan mengetahui sedikit sebanyak mengenai syariat Islam. Saya menjalankan dakwah Islamiah secara sukarela. Sekiranya kamu keluar meninggalkan perbincangan ini, sesungguhnya kamu melukakan hati saya. Sila berikan perhatian andainya kamu suka mendengar ceramah saya dan menganggapnya berfaedah. Sekiranya kamu mahu mengetahui lebih banyak, kamu bebas berjumpa para ulama lain. Kamu akan mendapat jawapan kepada soalan-soalan tadi dari para ulama yang mampu menolong kamu. Saya menyampaikan segala apa yang saya tahu kepada kamu."

     Lelaki yang menyoal itu diam. Tidak ada lagi kata-kata yang keluar dari mulutnya. Dengan itu Hasan Al-Banna berjaya mengelak berlakunya kekecohan. Suasana sepi seketika.

     Hasan Al-Banna menyambung kata-katanya, "Saudara-saudaraku yang dikasihi. Saya sedar yang bertanya tadi dan kebanyakan kamu semua ingin tahu saya menyebelahi aliran yang mana satu. Kamu semua ingin tahu sama ada saya menyebelahi fahaman Syeikh Moosa ataupun fahaman Syeikh Abdus-Sami. Pertanyaan ini tidak mendatangkan apa-apa faedah. Kamu semua mensia-siakan selama bertahun-tahun dalam perbalahan yang tidak berkesudahan. Sekarang kamu semua perlu berhenti dari kegiatan tersebut. Orang-orang Islam berbeza pendapat dalam perkara-perkara tadi selama berabad-abad, dan perbezaan-perbezaan itu masih berterusan. Allah suka kita semua berkasih sayang dan bersatu. Allah tidak suka semua bertikai dan berselisih."

     "Saya berharap mulai sekarang, kamu semua sanggup berjanji kepada Allah bagi menjauhkan diri dari perbincangan-perbincangan yang merosakkan perpaduan umat Islam. Berusahalah mempelajari dasar-dasar itu dengan cara yang sebenar-benarnya. Ambillah dasar-dasar Islam dan laksanakanlah. Tinggalkanlah amalan-amalan yang bertentangan dengan Islam dan ikutilah kitab suci Al-Quran dan sunah Rasulullah supaya hati kamu semua menjadi terang dan jernih. Tujuan kia yang sepatutnya adalah mengikuti dasar-dasar Islam. Kita tidak menekankah kepada sesuatu aliran permikiran tertentu. Kita boleh menyuarakan pendapat kita dalam suasana yang penuh keyakinan dan persefahaman, dan terpupuk sifat kasih sayang dan amanah dalam kalangan kita. Saya yakin kamu semua akan menerima dan berpegang dengan nasihat saya ini."

     "Wahai Tuan, benar sekali apa yang Tuan katakan tadi. Kami sememangnya sering berbeza pendapat mengenai masalah agama. Tunjukkan kepada kami contoh yang baik untuk kami ikuti," kata seorang pengikut ahli sufi.

     "Baiklah, saya mahu bertanya, siapakah antara kamu ini bermazhab Hanafi?" tanya Hasan Al-Banna.

     Seorang lelaki bangun mengaku bermazhab Hanafi. Hasan Al-Banna menyuruh lelaki itu duduk di sebelah kanannya.

     "Siapakah antara kamu ini bermazhab Syafie?" tanya Hasan Al-Banna lagi.

     Bangun seorang lelaki yang mengaku bermazhab Syafie. Hasan Al-Banna menyuruh lelaki itu duduk di sebelah kirinya.

     "Wahai Tuan yang bermazhab Hanafi, apakah amalan Tuan mengenai pembacaan surah Al-Fatihah dalam sembahyang berjemaah?" tanya Hasan Al-Banna.

     Lelaki bermazhab Hanafi itu menjawab, "Saya berdiam diri dan tidak membaca Al-Fatihah. Cukup imam seorang yang membacanya."

     Kemudian Hasan Al-Banna bertanya lelaki bermazhab Syafie pula. Jawab lelaki itu, dia membaca Al-Fatihah.   

     "Apa pendapat kamu mengenai sembahyang yang dilakukan oleh saudara yang bermazhab Hanafi itu?" tanya Hasan Al-Banna.

     "Sembahyangnya tidak sah kerana dia tidak membaca Al-Fatihah bersama Imam. Membaca Al-Fatihah adalah salah satu rukun sembahyang," jawab lelaki bermazhab Syafie.

     Hasan Al-Banna menoleh kepada lelaki bermazhab Hanafi itu pula lalu bertanya, "Apa pula pendapat kamu mengenai saudara kita yang bermazhab Syafie tadi?"

     "Dia melakukan sesuatu perkara yang makruh tahrim. Membaca Al-Fatihah bersama imam adalah perbuatan makruh tahrim," jawab bermazhab Hanafi itu.

     "Kamu berdua sama-sama umat Islam. Tuhan kamu satu. Nabi kamu satu. Kitab kamu satu. Sanggupkah kamu memusnahkan tali persaudaraan dan akidah masing-masing hanya kerana perbezaan pendapat tadi?" tanya Hasan Al-Banna kepada kedua-dua lelaki itu.

     "Sudah tentu tidak," jawab kedua-dua lelaki itu serentak.

     "Baiklah, saya bertanya kepada semua yang hadir. Apakah kamu semua akan menegur dan mengkritik kedua-dua lelaki ini kerana berbeza fahaman mazhab?" tanya Hasan Al-Banna kepada orang ramai.

     "Tidak!" jawab mereka serentak.

     "Puji-pujian bagi Allah. Kamu semua kini boleh berdiam diri dalam persoalan mengenai sah ataupun tidak sahnya sembahyang seseorang. Tetapi mengapa kamu tidak boleh bertolak ansur apabila seseorang itu mengucap Allahumma Salli Ala Muhammad atau Allahumma Salli Ala Sayyidina Muhammad. Mengapa perkara kecil itu kamu jadikan punca pertikaian sehingga menyebabkan kekecohan besar sesama umat Islam?" tanya Hasan Al-Banna.

     Orang ramai terkesan dengan kata-kata Hasan Al-Banna itu. Kemudian mereka bersurai setelah berjanji untuk bekerjasama antara satu sama lain dalam usaha menyebarkan Islam, dan usaha menjauhi perkara-perkara khilafiyah.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment