Friday 9 September 2016

HASAN AL-BANNA [ BAB 11 - BERHIJRAH KE KAHERAH ]






BERHIJRAH KE KAHERAH








Hasan Al-Banna kembali semula ke Kaherah tiga hari sebelum kelas di Darul Ulum bermula. Masalah pertama yang perlu diselesaikannya adalah mencari rumah sewa berhampiran dengan tempat belajar. Seorang pemuda yang mengaku pelajar Darul Ulum mempelawa Hasan Al-Banna tinggal bersamanya. Pemuda itu meminta Hasan Al-Banna membayar sewa dan duit cagaran. Tanpa panjang bicara, Hasan Al-Banna memenuhi permintaan pemuda itu. Apabila mendapat duit, pemuda itu segera keluar dengan alasan berjumpa kawannya. Malam itu Hasan Al-Banna tidur seorang diri di rumah itu. Keesokan harinya, Hasan Al-Banna didatangi dua orang lelaki.

     "Saya sudah menjual rumah ini kepada sahabat saya, Ibrahim Bik. Mulai hari ini dia tuan punya rumah ini," kata salah seorang daripada lelaki itu.

     "Dan saya mahu mendiami rumah ini. Kamu terpaksa kosongkan rumah ini dalam masa tiga hari ataupun lebih cepat lebih bagus," kata Ibrahim Bik pula.

     Hasan Al-Banna terkejut dengan keadaan itu lalu bertanya, "Bagaimana pula dengan duit yang sudah saya bayar kepada pemuda itu?"

     Lelaki tuan punya rumah itu juga kelihatan terkejut. Dia bertanya, "Pemuda yang mana?"

     "Pemuda itu wajahnya seiras wajah Tuan. Katanya dia tinggal di rumah ini. Dia mengajak saya tinggal di sini dan meminta saya membayar sewa bulan ini berserta duit cagarannya," jawab Hasan Al-Banna.

     "Anak saya itu buat hal lagi. Dia memalukan saya," kata lelaki itu dengan wajah kesal.

     Ibrahim Bik memberikan cadangan kepada tuan rumah itu, "Pemuda ini sudah ditipu anak Tuan. Bantulah dia mendapatkan rumah sewa yang baru."

     Tuan punya rumah itu bersetuju membantu Hasan Al-Banna mendapatkan rumah sewa yang baru. Selepas puas mencari, akhirnya beliau mendapat sebuah rumah di Jalan Dahdaerah. Hasan Al-Banna bersetuju kerana letaknya tidak jauh dari Darul Ulum.

     Tidak lama kemudian, pihak Darul Ulum mengadakan peperiksaan khas dan mereka yang lulus akan mendapat wang sagu hati sebanyak satu Junaih (duit Mekah) setiap bulan. Hasan Al-Banna bersungguh-sungguh membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan itu. Berkat kesungguhannya, beliau antara pelajar yang layak mendapat wang tersebut. Dia menggunakan wang itu bagi membeli buku dan membuat perpustakaan sendiri di rumah sewanya.

     Di Darul Ulum juga, Hasan Al-Banna berkenalan dengan beberapa orang ahli Tarekat Hasafiyah, antaranya Afandi Ghalib. Beliau menyertai majlis-majlis ilmu yang mereka adakan. Hasan Al-Banna juga tidak lupa sahabat akrabnya Ahmad Afandi Sakri di Mahmodiyah. Apabila mengirim surat kepada ayahnya, Hasan Al-Banna tidak lupa mengirim surat kepada sahabatnya itu.

     Peluang melanjutkan pelajaran di Darul Ulum digunakan dengan sebaiknya oleh Hasan Al-Banna. Beliau belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat tempat pertama pada setiap kali peperiksaan. Beliau disayangi guru dan rakan-rakannya.

     Dalam diam-diam, ada seorang pelajar yang berasa amat cemburu dengan kejayaan Hasan Al-Banna. Namanya Hisyam dan berasal dari Ismailiah. Dia rakan sekelas Hasan Al-Banna, malah tinggal bersama di rumah sewa mereka.

     Cemburunya bermula apabila Hasan Al-Banna lulus peperiksaan khas dan mendapat wang sagu hati dari Darul Ulum. Sedangkan dia tidak lulus dalam peperiksaan. Dalam diam-diam, dia menyalahkan Hasan Al-Banna yang menyebabkan dia gagal. Dia bertambah cemburu apabila setiap kali peperiksaan, Hasan Al-Banna mendapat tempat pertama. Kemuncak kemarahannya apabila Hasan Al-Banna mempunyai perpustakaan sendiri di dalam biliknya.

     Hisyam merancang bagi membinasakan Hasan Al-Banna. Dia mahu matanya buta dan mukanya menjadi hodoh dan menakutkan. Bagi menjayakan rancangan itu, Hisyam membeli sebotol asid lalu menyimpan di dalam almari bajunya.

     Malam itu Hasan Al-Banna tidur agak lewat kerana membuat persediaan menghadapi peperiksaan penting sebelum bercuti musim panas. Menjelang dinihari barulah Hasan Al-Banna tidur. Hisyam rakan sebiliknya menunggu masa yang sesuai bagi menjalankan rancangan jahatnya.

     Baru sahaja Hasan Al-Banna melelapkan mata, tiba-tiba dia terasa tengkuk dan mukanya dicurah cecair yang amat memedihkan kulitnya. Dia bangun dengan pantas lalu menerpa ke bilik air bagi membasuh muka dan tengkuknya. Ketika itu dia tidak sedar apa yang berlaku.

     Tidak lama kemudian, kedengaran suara azan subuh dari Masjid Salibah yang terletak berhampiran dengan rumahnya. Hasan Al-Banna pergi sembahyang subuh dan pulang semula ke rumah. Ketika itu baru dia sedar apa yang berlaku pada dirinya.

     "Saya yakin ada orang telah mencurahkan asid pada kepala Hasan Al-Banna dengan bertujuan hendak membutakan matanya. Mujur Tuhan melindunginya," kata Khairil Bek, yang juga kawan baik Hasan Al-Banna. Dia juga tinggal di rumah itu.

     Adam bertanya dengan marah, "Siapa agaknya manusia terkutuk yang sanggup membuat kerja syaitan ini?"

     Khairil Bek membuat andaian. "Tentu orang di dalam rumah ini juga. Kerana malam tadi semua pintu dan tingkap dikunci."

     "Beberapa hari yang lepas, saya nampak Hisyam membeli sebotol asid di kedai," kata Hussin pula.

     "Tadi saya nampak Hisyam keluar dari rumah ini dengan tergesa-gesa. Saya lihat dia memegang botol," beritahu Karim pula.

     "Dia rakan sebilik saya Dia masih tidur semasa saya bangun pergi ke bilik air. Oleh itu jangan menuduhnya tanpa bukti," kata Hasan Al-Banna.

     Mereka mengambil keputusan menunggu Hisyam masuk ke bilik. Tidak lama kemudian, pemuda itu masuk dengan wajah yang pucat. Apabila disoal, Hisyam menafikan tuduhan itu.

     Hussin memberitahu Hisyam apa yang dilihatnya, "Beberapa hari yang lepas, saya melihat awak membeli asid di kedai."

     "Saya juga nampak awak masuk ke dalam rumah membawa botol yang dibungkus dengan kertas," kata Karim pula.

     Kemudian katanya lagi, "Sebentar tadi, saya melihat awak keluar tergesa-gesa sambil memegang botol. Lebih baik awak mengaku, sekiranya tidak kami akan melaporkan kepada polis. Biar polis yang menjalankan siasatan."

     "Awak mahu mengaku di depan kami ataupun di depan polis?" gertak Khairil Bek.

     Akhirnya Hisyam mengaku dia yang mencurahkan asid itu pada kepala Hasan Al-Banna. Dia mengaku menaruh rasa dengki dan iri hati dengan kejayaan yang dicapai oleh Hasan Al-Banna.

     "Saya mengaku bersalah dan bersumpah tidak buat lagi," kata Hisyam merayu.

     Khairil Bek terus bangun dan menarik tangan Hisyam. Dengan bengis dia berkata, "Mari kita hantar si celaka ini ke balai polis."

     "Saya tidak rasa perlu kita serahkan dia kepada pihak polis. Dia sudah mengaku bersalah dan kita serahkan kepada Allah," kata Hasan Al-Banna. Dia rasa bersyukur kerana Allah menyelamatkannya daripada angkara jahat itu. Kerana itu dia berpendapat lebih baik serahkan kepada Allah sahaja.

     Namun kawan-kawan serumah dengan Hasan Al-Banna masih tidak berpuas hati. Mereka tidak menghantar Hisyam ke balai polis, tetapi membelasahnya hingga teruk. Selepas itu Hisyam pulang ke Ismailiah dan tidak datang lagi ke Darul Ulum.

     Berita Hasan Al-Banna disimbah asid oleh rakan sebiliknya itu dengan cepat sampai ke Mahmodiyah. Imam Ahmad Al-Banna dan keluarganya berasa amat susah hati.

     "Saya lebih sayangkan anak kita Hasan Al-Banna dari semua harta yang kita ada. Kerana itu saya rela kehilangan harta tetapi tidak rela kehilangan dia," kata Imam Ahmad Al-Banna kepada isterinya.

     "Saya juga begitu kerana Hasan Al-Banna itu adalah segalanya untuk kita. Esok mari kita pergi ke Kaherah melihat keadaannya," desak Fudhla.

     "Dia cuma cedera di tengkuk dan di bawah dagu. Dia sedang menjalani peperiksaan. Beberapa hari lagi, anak kita itu pulang ke sini," pujuk Imam Ahmad Al-Banna.

     Beberapa hari kemudian, Hasan Al-Banna pulang ke Mahmodiyah disambut dengan tangisan rindu oleh ayah, ibu, dan adik-adiknya. Mereka bersyukur kerana Hasan Al-Banna masih sihat.

     Tidak lama kemudian, sampai surat keputusan peperiksaan dari Darul Ulum. Hasan Al-Banna mendapat tempat ketiga dalam kelas. Keputusan itu amat mengecewakannya kerana biasanya beliau mendapat tempat pertama.

     Hasan Al-Banna berkata dengan sedih, "Kemalangan itu berlaku pada hari pertama peperiksaan. Saya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian."

     Imam Ahmad Al-Banna tetap mengambil perhatian serius berkenaan perkara itu. Selepas berbincang dengan Fudhla isterinya, mereka memberi dua pilihan iaitu berhenti belajar ataupun kami akan berpindah ke Kaherah.

     "Ayah dan ibu tidak mahu perkara ini berulang lagi. Kerana itu kamu ada dua pilihan. Berhenti belajar dari Darul Ulum ataupun mahu kami berpindah ke Kaherah supaya kamu berada bersama kami," kata Imam Ahmad Al-Banna.

     "Saya mahu terus belajar di Darul Ulum. Orang yang khianat terhadap saya itu sudah tidak ada lagi di Kaherah. Kejadian seperti itu pasti tidak berulang lagi," rayu Hasan Al-Banna.

     "Jika begitu, keluarga kita akan berpindah ke Kaherah," kata Imam Ahmad Al-Banna.

     Sebelum Imam Ahmad Al-Banna berangkat ke Kaherah, penduduk Mahmodiyah mengadakan majlis perpisahan di Masjid Mahmodiyah. Ramai yang hadir sehingga orang ramai melimpah keluar dari masjid. Keesokan harinya, orang ramai menghantarnya hingga ke stesen kereta api. Imam Ahmad Al-Banna berasa amat terharu dengan kebaikan penduduk Mahmodiyah.

     Imam Ahmad Al-Banna sanggup meninggalkan segalanya di Mahmodiyah demi masa depan Hasan Al-Banna dan adik-adiknya. Dia mahu kesemua anaknya berjaya dalam pelajaran.

     Apabila sampai di Kaherah, Imam Ahmad Al-Banna dan keluarganya disambut oleh Aziz Efendy, kawan baik Yazid yang membeli kedai jamnya.

     Rupa-rupanya Yazid sudah menghubungi kawan-kawannya di Kaherah supaya membantu Imam Ahmad Al-Banna. Kerana itu kedatang mereka ke Kaherah tidak menghadapi masalah. Malah Aziz Efendy dapat mencari sebuah kedai yang terletak berhampiran dengan Darul Ulum.




N / F : DARIPADA "HASAN AL-BANNA", OLEH ABDUL LATIP TALIB. 

No comments:

Post a Comment