Friday 16 September 2016

DOSA, KITA PERLU MELIHATNYA SEMULA






DOSA, KITA PERLU MELIHATNYA SEMULA








Ramai yang tertanya-tanya, apakah itu dosa? Ya. Dalam melayari buku ini, yang dikhaskan untuk kita para pendosa, pastinya kita sendiri ingin mengetahui apakah sebenarnya dosa.

     Hakikatnya, dosa adalah perbuatan yang dipalitkan kepada mereka yang melanggar batasan yang Allah tetapkan. Contohnya, Allah melarang kita melakukan pembaziran ataupun boros. Apabila kita ingkar pada arahan-Nya, terpalitlah dosa pada diri kita. Allah memfadhukan kita solat, tetapi kita tidak melakukannya. Dosa pun terpalitlah pada diri kita. Itulah secara mudahnya, apabila kita mahu mengetahui makna dosa.

Biasanya, Kita Tidak Mahu Menilai Semula

Tetapi, malang bagi kita, kebanyakan pendosa tidak rela menilai semula. Ini kerana kita, kita takut berubah. Jauh dalam hati, hakikatnya kita mengetahui bahawa kita bersalah dan berdosa kepada Allah s.w.t.

     Kita tidak mahu menilai. Kita tidak mahu memeriksa. Benarkah kita berdosa? Kita lebih rela tidak mahu mengetahuinya. Kononnya, apabila tidak mengetahuinya, kita tidak perlu lagi bertanggungjawab.

     Sebenarnya kita salah.

     Manusia yang tidak mengetahuinya, manusia yang sering tertipu. Dosa tetap dosa, kerana dosa mempunyai efek. Terdapat sebab yang jelas mengapa Allah melarang kita melakukan perkara-perkara yang ditegah-Nya. Ini kerana, semuanya memberikan keburukan kepada kita. Bayangkan apabila kita bergelumang dengan dosa sehari-hari dalam kehidupan kita? Apa yang akan terjadi pada diri, pada hati, dan pada minda kita?

     Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa sebaik-baik pendosa adalah yang membersihkan dirinya, "Setiap anak Adam melakukan kesalahan, sebaik-baik yang melakukan kesalahan adalah yang bertaubat." Hadith ini direkodkan oleh Ahmad, Tirmizi, dan Ibnu Majah.

     Berdosa bukan penutup kepada pintu rahmat Allah. Tetapi, pintu rahmat Allah s.w.t. tertutup sekiranya berterusan bergelumang dengan dosa. Hidup kita semakin rosak, sekiranya kita tidak segera membersihkan diri daripadanya. Oleh kerana kita, kita perlu bergerak dan menilai semula kehidupan kita. Terus mencuci sisa dan karat-karat dosa ini daripada melekat dengan lebih lama.

Dosa Muncul dari Pelbagai Arah

Dosa bukan hanya muncul pada perkara-perkara tertentu sahaja. Bahkan, dalam segenap sudut dosa mudah memalit kepada kita. Ini kerana, kita juga memahami bahawa dalma kehidupan ini, terdapat dua perkara, iaitu baik dan buruk. Tidak mempunyai pertengahan, hanya dua perkara ini sahaja.

     Dalam Islam, pertengahan itu dinasihatkan supaya kita tidak terlalu biasa melakukannya. Tengah-tengah itu adalah syubhah, iaitu perkara yang kita tidak tahu sama ada Allah benarkan atau tidak. Jadi, apabila kita tidak mengetahuinya, kita lebih cenderung kepada perkara yang Allah tidak benarkan.

     Demi menjaga diri dan jiwa kita, Abu Abdullah melaporkan, Rasulullah s.w.a. menyatakan bermaksud, "Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan antara kedua perkara itu ada perkara-perkara syubhah, kebanyakan orang tidak mengetahui kesamarannya. Sesiapa menjaga perkara syubhah, sesungguhnya dia membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Sesiapa yang terjatuh dalam perkara syubhah, dia jatuh dalam perkara haram, umpama seorang penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Setiap raja ada sempadan dan sempadan Allah itu adalah perkara-perkara yang diharamkan-Nya. Setiap jasad ada seketul daging. Apabila daging itu baik, baiklah seluruh jasad dan apabila daging itu rosak, rosaklah seluruh jasad. Ia adalah hati." Hadith ini direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

     Mengapa kita dinasihatkan supaya berhati-hati dengan perkara yang kita tidak sahih haram ataupun tidak? Ini kerana, di hadapan Allah tidak ada perkara yang dinamakan sebagai pertengahan. Di hadapan Allah, semuanya adalah halal ataupun haram. Sekiranya kita selalu berada di tengah, dan kita menyangka yang tengah itu pula adalah haram, ini bermakna kita bergelumang dalam perkara haram.

     Hadith itu menyebut, "Umpama seorang penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya."

     Jelas pada kita, tempat utama penyerangan dosa adalah hati.

Neraca Penilaian Itu Dosa ataupun Tidak

Bagaimana mahu mengetahui sesuatu perkara itu adalah dosa ataupun tidak? Bagaimana mahu memeriksa sama ada perbuatan harian kita adalah berdosa ataupun tidak? Gaya dan cara hidup harian kita adalah berdosa ataupun tidak?

     Mudah. Tidaklah Allah s.w.t. menurunkan Al-Quran dan rasul itu melainkan bagi menjadi petunjuk kepada kita, hamba-Nya. Allah menjelaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud:

     "Bulan Ramadan diturunkan Al-Quran, dijadikan petunjuk                                                  untuk sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan                                            yang menjelaskan petunjuk, dan menjelaskan perbezaan antara                                        yang benar dan yang salah."

     Allah menegaskan dalam surah Al-Baqarah, ayat 151 yang bermaksud:

     "Sebagaimana Kami menyempurnakan nikmat Kami                                                            kepadamu, Kami mengutus kepadamu rasul di antara kamu                                              yang membacakan ayat-ayat Kami dan mensucikan kamu                                                  dan mengajarkan kepadamu Al-Kitab dan Al-Hikmah, iaitu                                                As-Sunnah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum                                            kamu ketahui."

Mudah sahaja, perkara yang ditegaskan oleh Allah sebagai larangannya, itu adalah larangan untuk kita. Walaupun pada zahir kelihatan baik. Manakala perkara yang diperintah oleh Allah, itu adalah kebaikan untuk kita. Walaupun kita menganggap perkara itu tidak baik untuk kita.

     Itu adalah penilaiannya. Sebagaimana kata-kata masyur yang menyatakan, "Baik itu adalah perkara yang dikatakan baik oleh syarak. Buruk itu adalah perkara yang dikatakan buruk oleh syarak."

     Mari kita kaji dan melihat semula kehidupan kita. Apakah perkara yang sering kita lakukan, bagaimana dengan pemakaian kita, bagaimana cara kita bercakap, apakah makanan dan minuman kita, dan apakah ibadah dan kepercayaan kita. Adakah kita berada dalam lingkungan yang dikatakan baik oleh Allah s.w.t?

     Sekiranya kita berada di luar lingkungan itu, nyata kita melakukan perkara yang berdosa.

Bermula Sebuah Penyucian

Apabila kita mengetahui bagaimana menilai sesuatu perkara itu sama ada dosa ataupun tidak, barulah kita dapat mengetahui bagaimana memulakan penyucian dan pembersihan diri.

     Akhirnya, kita mengetahui dosa itu adalah apa yang tidak disukai, dilarang, dan ditegah ke atas kita oleh Allah s.w.t. Jelas di sini, sekiranya kita mengetahui itu adalah perkara yang mendatangkan dosa, segeralah berlari daripadanya. Ini bermakna kita menuju kepada perintah dan suruhan Allah s.w.t.

     Di sini kita bermula.

     Membersihkan diri kita.

     Bergerak menjadi hamba sejati.




N / F : DARIPADA "UNTUK KITA PENDOSA, HARAPAN SELALU ADA", OLEH HILAL ASYRAF.    

No comments:

Post a Comment