Thursday 25 January 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 10 - DENDAM BANI NADHIR ]






DENDAM BANI NADHIR








5 Syawal Tahun Kelima Hijrah

Malam itu bulan mengambang penuh. Cahayanya terang menyinari kediaman kaum Yahudi di Khaibar. Orang ramai berkumpul di satu kawasan lapang berhampiran dengan Sungai Khaibar. Mereka adalah kaum Yahudi Bani Nadhir yang kini menjadi pelarian. Tujuan mereka berkumpul bagi membincangkan masa hadapan Bani Nadhir.

     "Bani Nadhir adalah peneroka awal Kota Madinah," kata Huyay bin Akhtab, ketua Bani Nadhir. Kemudian katanya lagi, "Ketika itu Kota Madinah adalah kawasan terbiar yang tidak ada penghuni. Nenek moyang kita yang gagah perkasa itu datang lalu membuka penempatan baru. Dengan usaha dan kerajinan mereka akhirnya Kota Madinah menjadi tumpuran ramai. Kemudian datang pula Bani Qainuqa dan Bani Khuraizah. Akhirnya tanah Madinah yang kering kontang menjadi subur kerana mempunyai sistem pengaliran air yang baik."

     Menurut Huyay bin Akhtab lagi, kaum Yahudi daripada tiga kumpulan itu hidup dengan selesa di Madinah. Tidak lama kemudian, datang orang Arab dari Yaman dan mereka itu asal kaum Aus dan Khazraj. Mereka berpindah ke Madinah selepas empangan Maarib pecah. Orang Yahudi pula berpindah ke Madinah selepas negeri Palestin ditakluk orang Rom.

     "Nenek moyang kita menyambut baik kedatangan orang Arab dari Yaman kerana menyangka kehidupan mereka akan menjadi lebih baik apabila Madinah didiami ramai orang. Tetapi ternyata mereka tersilap perhintungan kerana kedatangan orang Arab itu membawa bala bencana. Kaum Aus dan Khazraj berperang selama berpuluh-puluh tahun dan Madinah tidak lagi pernah aman," kata Huyay lalu mengimbau kembali sejarah kedatangan orang Yahudi dan Arab di Madinah.

     "Orang Arab membawa sial dalam kehidupan kita," teriak Salam bin Abul Haqiq, pembantu Huyay.

     "Memang benar kata kamu, sahabatku," kata Huyay sambil tersenyum. Kemudian katanya lagi, "Dengan usaha saya yang bersungguh-sungguh, akhirnya kaum Aus dan Khazraj berjaya didamaikan. Kedua-dua belah pihak tidak lagi berperang. Tetapi dasar orang Arab memang tidak tahu mengenang budi. Mereka bercadang melantik Abdullah bin Ubai menjadi raja Madinah. Jasa saya yang berjaya mendamaikan mereka langsung tidak dihargai."

     "Boleh saya bertanya?" seorang anak muda mencelah.

     "Silakan anak muda," kata Huyay sambil merenung anak muda yang kelihatan segak dan bergaya itu.

     "Abdullah bin Ubai juga mengaku dia yang berjaya mendamaikan kaum Aus dan Khazraj. Siapa yang benar?" tanya anak muda itu lagi.

     "Abdullah bin Ubai itu seorang yang licik dan pandai berpura-pura. Dia bijak mengambil kesempatan dari sesuatu perkara untuk faedah dirinya sendiri. Apabila berlaku peperangan antara kaum Aus dan Khazraj, Abdullah bin Ubai mengaut kekayaan dengan menjual senjata kepada kedua-dua belah pihak. Dia membeli senjata daripada orang Rom dan Parsi kemudian menjualkannya kepada kaum Aus dan Khazraj yang sedang berperang.

     "Kegiatan Abdullah bin Ubai yang menjual senjata secara haram itu hampir terbongkar apabila saya berjaya memujuk ketua kaum Aus dan ketua kaum Khazraj supaya berdamai. Tiba-tiba Abdullah bin Ubai muncul sebagai wira damai dengan tidak lagi membekalkan senjata kepada kedua-dua belah pihak. Apabila kehabisan senjata dan makanan, kedua-dua belah pihak tidak lagi mampu berperang. Abdullah bin Ubai menawarkan bantuan makanan kepada mereka. Kerana itu kaum Aus dan Khazraj berasa terhutang budi pada Abdullah bin Ubai lalu bercadang melantiknya menjadi raja Madinah," jawab Huyay dengan agak panjang lebar bagi meyakinkan anak muda itu dan semua yang hadir.

     Huyay tersenyum bangga apabila semua yang hadir percaya dengan kata-katanya. Sedangkan hakikat yang sebenarnya, orang Yahudi di Madinah yang mencetuskan peperangan antara kaum Aus dan Khazraj. Huyay turut terlibat memperdagangkan senjata. Dia menjadi orang tengah dengan mendapatkan senjata daripada orang Rom dan Parsi lalu menjualkannya kepada Abdullah bin Ubai.

     "Bukankah kita juga melakukan kesilapan dengan menyambut baik kedatangan Muhammad dan pengikutnya ke Madinah? Sepatutnya kita belajar daripada kesilapan moyang kita dahulu dan tidak membenarkan mereka menjejakkan kaki ke Kota Madinah," kata Jusam Nail seorang lelaki paling tua dalam kalangan mereka.

     "Ketika itu kita tidak ada pilihan kerana kaum Aus dan Khazraj sendiri yang menjemput Muhammad dan pengikutnya datang ke Madinah. Sekiranya kita menentang, pasti timbul perselisihan dengan mereka. Itu pasti membahayakan keselamatan kita. Kerana itu semua kaum Yahudi menyambut baik kedatangan mereka. Namun kita sebenarnya punya rancangan sendiri ketika itu. Tetapi apa yang kita rancang tidak menjadi," kata Huyay mempertahankan keputusannya bersama penduduk Aus dan Khazraj menyambut baik kedatangan Nabi Muhammad dan para pengikutnya ke Kota Madinah.

     "Apa rancangan kamu pada masa itu?" tanya Jusam Nail.

     "Kita berharap Muhammad dan pengikutnya datang ke Madinah akan memberi keuntungan kepada kita kerana ramai antara mereka adalah saudagar yang kaya seperti Abu Bakar, Uthman Affan dan Abdul Rahman Auf. Tetapi mereka datang tidak membawa harta kerana semuanya ditinggalkan di Mekah. Kita juga berharap akan berlaku perbalahan antara Muhammad dan para pengikutnya dengan kaum Aus dan Khazraj kerana mereka berlainan fahaman agama. Sekiranya berlaku peperangan sesama mereka kita beroleh keuntungan dengan membekalkan senjata kepada mereka. Tetapi tidak terjadi peperangan sesama mereka. Muhammad menyatukan kaum Aus dan Khazraj sehingga mereka hidup berkasih sayang," jawab Huyay.

     "Nasib Muhammad dan para pengikutnya lebih baik daripada kita. Kedatangan mereka disambut baik oleh kaum Aus dan Khazraj. Orang Ansar sanggup mengambil orang Muhajirin tinggal di rumah mereka dan dilayan seperti keluarga. Malah Muhammad mempersaudarakan antara orang Muhajirin dengan orang Ansar. Ada orang Ansar yang sanggup memberikan harta dan isteri mereka kepada orang Muhajirin.

     "Tetapi bagaimana pula dengan kita? Bagaimana sambutan penduduk Khaibar terhadap kita? Walaupun kita satu bangsa dan satu agama tetapi penduduk Khaibar menyambut dingin kedatangan kita. Malah ramai yang memandang curiga kepada kita. Kerana apa? Mengapa antara Bani Nadhir dengan penduduk Khaibar tidak wujud kebaikan seperti yang berlaku antara Muhajirin dan Ansar?" tanya Salim bin Abul Haqiq.

     Huyay terdiam. Orang ramai juga terdiam kerana tidak tahu apa yang perlu dijawab terhadap persoalan itu. Memang benar kedatangan Bani Nadhir ke Khaibar tidak disenangi penduduk tempatan. Malah ramai yang kurang senang dengan kehadiran mereka. Tidak seperti orang Muhajirin disambut baik oleh orang Ansar.

     "Mungkin silap kita juga kerana tidak pandai menjalin hubungan yang baik dengan penduduk Khaibar. Kerana itu mulai sekarang kita mesti berusaha menjalin hubungan yang baik dengan mereka. Biarlah mereka yang menyakiti hati kita tetapi jangan kita yang menyakiti hati mereka," akhirnya Jusam Nail bersuara.

     "Kita sudah cuba menjalin hubungan baik dengan mereka tetapi tidak berjaya kerana penduduk Khaibar ini sombong dan bongkak. Mereka memandang hina kepada kita kerana menjadi pelarian ke tempat mereka," kata Abul Haq kawan baik Jusam Nail.

     "Benar kata Abul Haq," sokong Salim bin Abul Haqiq. Kemudian dia menyambung kata-katanya, "Apabila datang ke sini kita perlukan tempat tinggal bagi berlindung dari hujan, panas dan serangan binatang buas. Tetapi tidak ada seorang pun daripada mereka yang mempelawa kita menjadi tetamunya. Pada hari pertama kita bermalam di kawasan lapang ini. Kita tidur beralaskan tanah dan beratapkan langit. Kemudian kita mahu membina rumah kediaman tetapi tidak ada tanah. Mereka menjual tanah mereka dengan harga sepuluh kali ganda daripada harga biasa. Kerana terpaksa, maka kita beli juga."

     "Apabila kita kehabisan bekalan makanan mereka langsung tidak menunjukkan rasa simpati malah sanggup menjual tepung dan kurma kepada kita dengan harga yang tinggi. Kerana kelaparan kita terpaksa juga membelinya," sokong Abul Haq.

     "Di sini kita menjadi pelarian kerana itu kita ditindas oleh bangsa sendiri. Penduduk Khaibar hanya menjadi saudara semasa kita senang tetapi menjadi orang asing di kala kita susah," kata Salim melahirkan rasa kesalnya.

     "Orang yang menjadi punca penderitaan kita sekarang adalah Muhammad. Kerana itu salahkan Muhammad jangan salahkan penduduk Khaibar. Kita sepatutnya mengucapkan terima kasih kerana mereka bersetuju membenarkan kita menumpang di perkampungan mereka. Kamu sudah lupa apa yang berlaku kepada Bani Qainuqa? Mereka merempat di tengah padang pasir dan akhirnya mati kebuluran. Kita masih bernasib baik kerana dapat menumpang di Khaibar. Bagaimana sekiranya mereka menghalau kita keluar dari sini?" bela Huyay pula.

     "Selain Muhammad, kamu juga bersalah dalam perkara ini. Kerana tindakan kamu yang kurang bijak maka kami semua mendapat susah," kata Jusam Nail pula.

     "Mengapa aku pula yang dipersalahkan? Cuba sebutkan apakah kesalahan itu?" jerkah Huyay pula.

     "Bukankah kamu yang merancang hendak membunuh Muhammad? Kamu sanggup mengupah beberapa orang anak muda memanjat tembok bagi menjatuhkan batu di atas kepada Muhammad? Tetapi rancangan itu gagal dan akibatnya kita dihalau keluar dari Madinah," kata Jusam Nail dengan nada yang sangat kecewa.

     "Apa yang saya lakukan itu adalah keputusan mesyuarat. Bukan pendapat saya sendirian," kata Huyay cuba mempertahankan diri.

     "Keputusan mesyuarat? Bila pula kita bermesyuarat bagi membunuh Muhammad?" tanya Jusam Nail pula.

     Menurut Huyay, pada mulanya dia bersetuju memenuhi permintaan Muhammad supaya diberikan wang dan beberapa ekor unta bagi membayar ganti rugi kepada keluarga lelaki yang dibunuh dengan tidak sengaja oleh pengikut Nabi Muhammad. Tetapi ada yang tidak setuju dan mereka merancang membunuh Nabi Muhammad.

     "Kita membuat keputusan berperang dengan orang Islam apabila Abdullah bin Ubai menjanjikan bantuan tentera berjumlah dua ribu orang. Bani Quraizah menjanjikan tentera dua ribu orang dan orang Aus dan Khazraj yang bukan Islam memberikan bantuan seramai dua ribu orang. Kerana itu saya sanggup berperang," jawab Huyay.

     "Mengapa rahsiakan keputusan mesyuarat itu daripada kami? Kenapa mereka tidak membantu apabila kita dikepung oleh Muhammad dan pengikutnya?" tanya Abul Haq pula.

     "Pada mulanya kami menjangka peperangan akan berlaku di Badar ataupun di Uhud ataupun mana-mana tempat terbuka di luar Kota Madinah. Tetapi Muhammad bertindak lebih pantas dengan mengepung benteng kita. Apabila kita terkepung, bantuan dari luar tidak dapat diberikan kerana semua laluan disekat musuh," jawab Huyay.

     "Kami tidak dapat menerima alasan itu," bentak Jusam Nail.

     "Mereka sepatutnya menyerang Muhammad dan pengikutnya dari belakang supaya dapat memecahkan kepungan bagi membolehkan bantuan dihantar ke benteng kita. Tetapi itu tidak berlaku. Abdullah bin Ubai dan ketua Bani Khuraizah mengkhianati kita," kata Abu Haq pula.

     "Musuh kita yang sebenar adalah Muhammad dan para pengikutnya. Abdullah bin Ubai dan yang lain itu tetap sahabat kita. Kerana itu kemarahan kita sepatutnya dihalakan kepada Muhammad. Bukan kepada orang lain," pujuk Huyay yang berusaha menyemarakkan kebencian orang Bani Nadhir kepada Muhammad.

     "Abdullah bin Ubai menunjukkan semangat setia kawannya dengan memaksa Muhammad jangan menjatuhkan hukuman bunuh kepada kita. Kerana itu kita cuma disuruh keluar dari Madinah dan tidak dibunuh. Kerana itu saya setuju dendam kita hanya kepada Muhammad. Kita perlu memerangi Muhammad supaya dapat kembali ke Madinah," sokong Salim.

     "Di sini kita tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Harta yang kita bawa akhirnya akan habis juga. Kerana itu kita perlu lakukan sesuatu supaya kita dapat pulang semula ke Madinah," kata Abul Haqiq.

     "Mustahil kita dapat pulang ke Madinah selagi Muhammad dan pengikutnya berada di sana. Kedudukan mereka bertambah kuat kerana itu mereka berani menghalau kita keluar dari Madinah," kata Salam pula.

     "Kita minta bantuan daripada penduduk Khaibar. Mereka terkenal dengan kemahiran berperang. Sekiranya kita dapat memujuk kita pasti dengan mudah dapat menakluk Madinah," cadang Huyay.

     "Kita tidak boleh harapkan penduduk Khaibar sahaja kerana mereka sukar dipercayai. Sebaiknya kita minta bantuan dari penduduk Madinah yang bukan Islam, penduduk Mekah dan orang Badwi di sekitar tanah Arab." Jusam Nail pula memberi cadangan balas.

     "Saya bersetuju dengan cadangan itu. Apabila semua orang Yahudi, Arab Quraisy dan Badwi bersatu dengan kita maka Muhammad dan pengikutnya dengan mudah dapat dikalahkan," sokong Salim.

     "Saya mahu Muhammad dan semua pengikutnya dibunuh, jangan ada seorang pun yang hidup," kata Abul Haq dengan geram.

     "Saya mahu mereka terseksa dulu sebelum mati. Biar mereka rasakan pula penderitaannya," kata seorang lelaki.

     "Kita bunuh semua orang Islam kecuali Muhammad, Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Mereka berlima kita bawa ke tengah padang pasir kemudian diikat kaki dan tangan mereka lalu dibiarkan mati kekeringan. Biar mereka razabnya," kata Abul Haq pula.

     "Kami setuju," teriak orang ramai.

     Huyay tersenyum kerana orang Bani Nadhir sebulat suara mahu berperang dengan Muhammad. Mereka tidak bertindak sendirian tetapi akan bergabung dengan semua kaum Yahudi, Arab dan Badwi.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment