Saturday 20 January 2018

PERANG KHANDAQ [ BAB 5 - TRAGEDI DI BIR MA'UNAH ]






TRAGEDI DI BIR MA'UNAH








Setahun sebelum Perang Khandaq atau bulan Safar Tahun 4 Hijrah

Malam itu beberapa orang lelaki yang tidak dikenali menceroboh masuk ke perkampungan Bani Amir yang terletak di utara Kota Mekah lalu mencuri kuda dan unta kepunyaan penduduk kampung. Pada keesokan harinya orang Bani Amir gempar kerana kehilangan haiwan ternakan mereka.

     "Saya tahu siapa yang punya angkara. Mari kita adukan ini kepada ketua kabilah Huzail," kata Amir bin Tufail, ketua Bani Amir.

     "Orang Bani Sulaim mencuri ternakan kami. Perbuatan mereka tidak boleh dibiarkan. Mereka perlu ditangkap dan dihukum," kata Amir bin Tufail, membuat aduan kepada bapa saudaranya Amir bin Malik atau lebih dikenali dengan panggilan Abu Barra'.

     "Jangan menuduh sembarangan sekiranya tidak ada bukti. Tuduhan itu dapat mencetuskan peperangan antara orang Bani Amir dengan orang Bani Sulaim. Apakah kamu sanggup memusnahkan hubungan baik yang terjalin sekian lama?" marah Abu Barra'.

     "Hubungan baik? Janganlah bermimpi di siang hari. Antara Bani Amir dengan Bani Sulaim tidak pernah terjalin hubungan baik sejak dahulu," kata Amir pula.

     "Apabila tidak berlakunya peperangan antara Bani Amir dengan Bani Sulaim sudah dikira sebagai hubungan baik. Kerana itu jangan dikeruhkan suasana yang jernih itu," kata Abu Barra'.

     Beliau baru dilantik menjadi ketua kabilah Huzail yang di dalamnya ada Bani Amir, Bani Sulaim, Bani Zakwan, Bani Usyayah, Bani Ri'al, dan Bani Barra'. Sebagai ketua kabilah, Abu Barra' tidak mahu mereka yang berada di bawah pemerintahannya kacau bilau apatah lagi berperang sesama sendiri.

     "Sekiranya bukan orang Bani Sulaim yang mencurinya siapa lagi? Mereka yang tahu selok belok jalan di perkampungan kami. Mereka juga yang tahu di mana letaknya kandang ternakan kami," kata Amir bin Tufail sambil meluahkan kemarahannya.

     "Daerah Najd ini bukan sahaja didiami oleh Bani Amir dan Bani Sulaim, tetapi juga didiami oleh Bani Zakwan, Bani Usyayah, Bani Ri'al dan Bani Barra'. Kerana itu kita tidak boleh menuduh sesiapa tanpa bukti," kata Abu Barra' pula.

     "Apakah perkana ini hendak didiamkan sahaja? Sebagai ketua Bani Amir, saya perlu bertindak menangkap pencuri itu. Perkara ini sudah sering berlaku dan kali ini tidak boleh dibiarkan. Saya akan bertindak sendirian," kata ketua Bani Amir itu berbaur ugutan.

     "Apakah kamu ada bukti bagi menangkap mereka yang melakukannya? Saya tidak mahu ada sesiapa yang teraniaya, nanti buruk padahnya," kata Abu Barra' sambil mengingatkan Amir supaya jangan bertindak terburu-buru.

     "Pak Cik memang penakut. Tidak layak menjadi ketua kabilah Huzail," kata Amir melepaskan rasa geramnya.

     "Kamu juga tidak layak menjadi ketua Bani Amir," balas Abu Barra' pula.

     Amir segera pergi dari situ sambil bersungut kerana tidak puas hati apabila aduannya tidak mendapat layanan daripada bapa saudara yang juga ketua kabilah Huzail itu. Abu Barra' juga tidak berdiam diri. Dia memanggil semua ketua keluarga yang berada di bawah kabilah Huzail.

     "Tujuan kita berkumpul bagi membincang serta mencari jalan penyelesaian pada masalah yang timbul dalam kalangan penduduk Najd. Kita jangan marah apabila orang di luar sana menganggap penduduk Najd jahat dan sering melakukan kerosakan," kata Abu Barra'. Kemudian katanya lagi, "Ketahuilah yang kita ini daripada keturunan yang satu iaitu daripada moyang kita yang bernama Huzail. Daripada keturunannya lahirlah Bani Amir, Bani Sulaim, Bani Zakwan, Bani Usyayah, Bani Ri'al dan Bani Barra'. Sepatutnya kita hidup bersatu padu saling tolong menolong antara satu sama lain. Tetapi kita sering berbalah malah sering terjadi pertumpahan darah sehingga penduduk Najd tidak pernah berasa aman.

     "Beberapa malam yang lepas berlaku kecurian di perkampungan Bani Amir. Sebelum itu sering juga berlaku beberapa kecurian, perkelahian dan pertengkaran sehingga hampir terjadi pertumpahan darah sesama kita. Kerana itu marilah kita mencari jalan bagi mengatasi masalah ini. Saya sebagai ketua Kabilah Huzail tidak senang hati sekiranya masalah ini tidak dapat diatasi."

     Abu Salim, ketua Bani Sulaim bangun lalu berkata, "Kami orang Bani Sulaim berasa marah apabila kami dituduh menceroboh dan mencuri ternakan orang Bani Amir. Sedangkan itu adalah fitnah yang berniat jahat. Kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Kami sanggup berperang apabila maruah kami dicemar."

     "Kami ada bukti orang Bani Sulaim yang melakukannya," kata Amir pula mempertahankan tuduhannya.

     Maka berlaku perbalahan antara Amir dengan Abu Salim sehingga hampir terjadi pergaduhan. Keadaan menjadi bertambah kecoh apabila ada yang menyokong Amir dan ada pula yang menyokong Abu Salim. Bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini maka Abu Barra' terpaksa menangguhkan mesyuarat itu.

     Namun peristiwa itu tidak melemahkan semangat Abu Barra' yang mahu melihat penduduk Najd hidup aman damai. Dia mengadakan mesyuarat dengan para pembantu yang dipercayainya.

     "Suatu ketika dahulu penduduk Madinah juga sering berperang sesama sendiri. Suku Aus dan Khazraj berperang selama berpuluh tahun. Tetapi sekarang mereka sudah hidup aman damai. Mereka hidup bagaikan sebuah keluarga," kata Abu Barra' sambil memuji penduduk Madinah.

     "Mereka berjaya didamaikan oleh Nabi Muhammad dan para pengikutnya. Kerana itu alangkah baiknya sekiranya penduduk Najd juga dapat didamaikan oleh mereka," kata Abdullah, pembantu Abu Barra'.

     "Maksud kamu kita menjadi pengikut Muhammad? Dan menganut agama yang dibawanya? Sungguh aku tidak setuju," bantah Malik pula.

     "Kita tidak perlu menjadi pengikut Muhammad. Kita cuma mahu penduduk Najd dididik oleh mereka supaya menjadi baik dan kita dapat hidup aman damai. Itu sahaja," kata Abu Barra'.

     "Sekiranya begitu saya setuju. Hantarlah utusan ke Madinah bagi menjemput Nabi Muhammad dan para pengikutnya datang ke sini. Semoga mereka dapat mendidik penduduk Najd menjadi baik," sokong Abdullah.

     "Sebaiknya jangan pergi bersendirian kelak mudah dipujuk Muhammad supaya menjadi pengikutnya," pesan Abdullah.

     "Siapa antara kamu yang bersedia menemani saya?" tanya Abu Barra'.

     Ramai antara mereka yang menyatakan kesanggupan menemani Abu Barra' pergi ke Madinah bertemu dengan Nabi Muhammad. Jumlah mereka seramai 25 orang.

     "Sebaiknya kita bawakan hadiah bagi diberikan kepada Muhammad. Dengan itu dia pasti bersetuju dengan permintaan kita," kata Malik yang turut menyertainya.

     "Pada pendapat kamu apakah hadiah yang dapat membuat Muhammad berasa gembira?" tanya Abu Barra' pula.

     "Pastinya kuda yang muda dan bersih bulunya serta unta betina yang masih belum beranak," jawab Malik.

     Abu Barra' bersetuju dengan cadangan itu. Dia membawa dua ekor kuda berwarna putih dan dua ekor unta betina yang belum beranak. Kemudian mereka berangkat menuju ke Madinah. Kedatangan mereka disambut dengan baik lalu dibawa menghadap Nabi Muhammad. Selepas memperkenalkan dirinya maka Abu Barra' pun berkata.

     "Kami datang kerana mahu menjalin persahabatan. Terimalah hadiah daripada kami sebagai hubungan baik antara kita," kata Abu Barra' dengan harapan Nabi Muhammad gembira dengan hadiah yang diberikan itu.

     Nabi Muhammad menolak pemberian itu dengan berkata, "Saya tidak dapat menerima hadiah daripada orang musyrik."

     "Apakah itu petanda yang kamu menolak tali persahabatan yang kami hulurkan?" tanya Abu Barra' yang berasa agak tersinggung.

     Nabi Muhammad menjawab dengan mengatakan peraturan atau pantang larang seorang utusan Allah dalam menerima hadiah daripada menerima hadiah daripada mereka yang bukan Islam.

     "Sekiranya kamu memeluk Islam dan menjadi pengikut Nabi Muhammad pasti hadiah itu diterimanya," kata Abu Bakar yang turut berada di situ.

     Abu Barra' berpaling ke arah Nabi Muhammad lalu berkata, "Wahai Muhammad, kamu berjaya menyatupadukan penduduk Madinah yang sebelumnya bersengketa. Alangkah baiknya sekiranya kamu dapat menyatupadukan penduduk Najd pula. Mereka tidak pernah hidup aman kerana sering bersengketa."

     "Nabi Muhammad diutuskan bagi mengajak manusia menyembah Allah," kata Abu Bakar As-Siddiq pula.

     "Ajaklah penduduk Najd menyembah Allah semoga mereka menjadi manusia yang baik," kata Abu Barra' pula.

     "Nabi Muhammad diberi tanggungjawab supaya menyebarkan agama Islam," kata Umar Al-Khattab pula.

     "Sebarkanlah Islam di kalangan penduduk Najd semoga agama itu dapat menyatukan hati-hati mereka," balas Abu Barra'.

     "Bagaimana pula dengan kamu sendiri? Alangkah baiknya sekiranya kamu dulu memeluk Islam supaya diikuti oleh penduduk Najd." Uthman Affan pula menyampuk.

     "Kami datang bukan bagi memeluk Islam tetapi mahu menjalin persahabatan dengan Muhammad. Kami juga mahu menjemput beliau ataupun sahabat-sahabat beliau berdakwah kepada orang Bani Amir, Bani Sulaim, Bani Zakwan, Bani Usyayah, Bani Ri'al, dan Bani Barra' yang terdapat di Najd," kata Abu Barra' pula.

     "Jangan tuan bimbang kerana saya akan menjamin keselamatan mereka selama berada di sana. Hantarlah para sahabat tuan bagi menyeru penduduk Najd ke dalam agama tuan," pinta Abu Barra' bersungguh-sungguh.

     Kemudian dia berkata lagi, "Saya datang dengan membawa 25 orang lelaki yang lengkap bersenjata. Mereka adalah pembantu saya yang jujur dan setia. Mereka akan menjaga keselamatan pendakwah tuan."

     "Wahai Abu Barra', tidakkah kamu tahu lapan bulan yang lalu kami dikhianati Bani Al-Adhal dan Al-Qarrah? Akibatnya enam orang pendakwah kami menemui syahid," kata Abu Bakar lalu menceritakan tragedi air mata Raji'.

     Abu Barra' menyatakan rasa simpatinya kepada apa yang berlaku di Ar-Raji'.

     "Kami jujur dalam persahabatan dan tidak pernah mungkir janji. Kami juga tidak pernah membuat khianat terhadap kawan," kata Abu Barra'.

     "Kami orang Islam juga dilarang menipu, bercakap bohong dan jujur dalam persahabatan. Tetapi musuh-musuh kami tidak menghargainya. Mereka mengambil kesempatan di atas kejujuran kami. Namun kami tetap bersabar dan redha dengan apa yang berlaku," kata Abu Bakar As-Siddiq.

     "Sekiranya dibenarkan Rasulullah, kami mahu perangi mereka yang mengkhianati sahabat-sahabat kami itu. Rasulullah menyuruh kami bersabar dan jangan membalas dendam," kata Umar Al-Khattab pula yang turut berada dalam pertemuan itu.

     "Penduduk Najd pasti tertarik dengan Islam. Hantarlah pendakwah ke sana. Mungkin ramai yang akan menjadi pengikutmu," pujuk Abu Barra' bersungguh-sungguh.

     "Benar kata Rasulullah. Penduduk Najd terkenal dengan perlakuan ganas mereka yang suka berbunuh-bunuhan. Oleh sebab itu, mereka bersahabat baik dengan orang Quraisy Mekah yang memusuhi kami," kata Abu Bakar As-Siddiq pula.

     "Memang benar kata kamu itu, kami menjalin hubungan yang baik dengan orang Quraisy Mekah. Tetapi sesama kami, penduduk Najd sering bertelingkah. Kami tidak pernah sepakat walau sama-sama mendiami kawasan Najd. Perkampungan kami terletak bersebelahan antara satu dengan yang lain. Namun kami tidak pernah menjalin hubungan baik sejak dahulu. Malah kami juga pernah berperang beberapa kali. Oleh itu, kami suka sekiranya mereka menjadi orang Islam supaya mereka menjadi baik. Sekiranya mereka masuk Islam, maka kami juga ikut serta," kata Abu Barra'.

     "Bagaimana sekiranya mereka mengkhianati kami?" tanya Umar Al-Khattab pula.

     "Saya yang menjamin keselamatan mereka," janji Abu Barra' yang terkenal sebagai pahlawan kabilah Huzail dan pelontar lembing yang mahir.

     "Penduduk Najd pasti tidak berani mengganggu mereka yang berada di bawah perlindungan kami," sokong pembantu Abu Barra' pula.

     Seperti biasa sebelum membuat keputusan, Nabi Muhammad berbincang dahulu dengan sahabat-sahabatnya. Mereka sebulat suara menyokong permintaan Abu Barra' supaya dihantar pendakwah kepada penduduk Najd.

     Selepas mendapat kata sepakat, maka Nabi Muhammad menghantar 70 orang pendakwah yang diketuai Mundzir bin Amru. Turut serta dalam pasukan itu, beberapa orang qari antara Haram bin Milham, Harits bin Shammal, Salim bin Milham, Amir bin Fuhairah, Hakam bin Kaisan, Sahal bin Amir, Thufail bin Asad, Anas bin Tsabit, Sufyan bin Tsabit, Amr bin Umayyah, Kaab bin Zaid, Mundzir bin Muhammad, dan Uqwbah bin Jallah.

     Nabi Muhammad juga menyuruh Ali bin Abi Talib menulis surat kepada kabilah-kabilah Arab dan Badwi yang terdapat di sekitar Najd, menyeru mereka menyembah Allah serta mengakui Muhammad seorang Rasulullah. Surat itu diberikan kepada Mundzir bin Amru supaya diberikan kepada mereka. Pendakwah-pendakwah itu juga dibekalkan senjata bagi menjaga keselamatan mereka sepanjang perjalanan.

     Sejak mula meninggalkan Kota Madinah, tidak ada apa-apa yang berlaku kerana perjalanan lancar. Apabila sampai Bir Ma'unah suatu tempat yang terletak di sempadan perkampungan Bani Amir dan Bani Sulaim mereka berhenti rehat.

     "Kami akan bermalam di sini. Sekiranya kamu mahu boleh sahaja bersama kami ataupun pulang ke perkampungan kamu," kata Mundzir kepada Abu Barra'.

     "Perkampungan kami tidak jauh dari sini. Oleh itu, saya dan orang saya mahu pulang ke rumah masing-masing. Kamu berehatlah di sini. Jangan khuatir kerana kami sudah memberi perlindungan kepada kamu," kata Abu Barra'.

     Mundzir senang hati mendengarnya. Kemudian dia bertanya berkenaan kabilah-kabilah yang terdapat di sekitar kawasan itu.

     "Di sebelah kanan adalah perkampungan Bani Amir. Itulah perkampungan kami. Di sebelah kiri perkampungan Bani Sulaim. Agak jauh di belakang sana kediaman orang Bani Zakwan, Bani Usyayah, Bani Ri'al dan Bani Barra'," kata Abu Barra' menerangkan.

     "Esok kami mulakan dengan menghantar surat Nabi Muhammad kepada ketua Bani Amir. Semoga dia dan pengikutnya mendapat hidayah," kata Mundzir.

     "Adakah kamu kenal siapa ketua Bani Amir?" tanya Abu Barra' pula.

     "Tidak pernah berjumpa kerana itu saya tidak mengenalinya," jawab Mundzir.

     "Dia anak saudara saya, namanya Amir bin Tufail. Dia seorang yang jahat dan suka berkelahi," kata Abu Barra' lalu mengatakan dia sendiri sering bertengkar dengan Amir.

     "Kami akan sampaikan surat Nabi Muhammad kepadanya semoga dia mendapat hidayah," kata Mundzir pula.

     "Sebaiknya jangan temui Amir dahulu kerana dia keras hati. Sekiranya berlaku sesuatu kepada kamu nanti, saya tidak akan bertanggungjawab," kata Abu Barra' pula.

     "Bukankah kamu berjanji melindungi kami?" tanya Mundzir.

     "Memang benar saya melindungi keselamatan kamu. Tetapi ketua Bani Amir itu selalu bertindak sendirian. Walaupun dia anak saudara saya namun kami sering tidak sefahaman," jawab Abu Barra'.

     Menurut Abu Barra' ketua Bani Zakwan dan Bani Barra' lebih baik daripada Amir bin Tufail.

     "Dia seorang pemabuk dan sikapnya sukar diramal. Kamu perlu berhati-hati apabila berurusan dengannya," pesan Abu Barra' sebelum beredar dari situ.

     Kemudian Mundzir mengadakan perbincangan dengan para pembantunya berkenaan surat yang dikirim Rasulullah.

     "Walau apapun yang terjadi, surat Rasulullah itu perlu kita berikan kepada Amir bin Tufail. Siapa antara kamu yang secara sukarela sanggup menyampaikan surat ini?" kata Mundzir selaku ketua rombongan pendakwah itu.

     "Aku sanggup," kata Harram bin Milhan menawarkan dirinya.

     Mundzir pun memberikan surat Rasulullah itu kepada Harram bagi diserahkan kepada ketua Bani Amir itu.

     "Saya dan Amru bin Umaiyah akan pergi ke perkampungan Bani Sulaim bagi mendapatkan bekalan makanan. Kamu berehatlah sementara menunggu kami pulang," pesan Mundzir kepada orangnya.

     Kemudian dia dan Amru menuju ke perkampungan Bani Sulaim bagi mendapatkan bekalan makanan. Kebetulan ketika itu Abu Barra' berada di perkampungan Bani Sulaim. Dia bersetuju memberikan bekalan makanan pada keesokan harinya.

     Pada masa yang sama, Harram bin Milhan dan dua orang kawannya terus berjalan menuju ke perkampungan Bani Amir. Apabila sampai di pintu gerbang perkampungan itu maka Harram berpesan kepada kawannya supaya berhenti di situ.

     "Khabarnya Amir bin Tufail itu seorang yang keras hati dan memusuhi Rasulullah. Kerana itu lebih baik kamu berdua tunggu di sini biar saya menemuinya seorang diri. Sekiranya saya selamat, saya akan kembali ke sini sebelum waktu zohor. Sekiranya saya tidak kembali bermakna saya dikhianati oleh Amir. Kamu berdua segera tinggalkan tempat ini," pesan Harram kepada dua orang kawannya.

     "Bukankah kami disuruh menemani kamu?" tanya Abdullah pula yang berasa ragu.

     "Kita diperintahkan oleh Rasulullah supaya berdakwah kepada penduduk Najd dan saya menawarkan diri bagi menyampaikan surat Rasulullah kepada Amir bin Tufail. Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini lebih baik kehilangan seorang daripada bertiga," jawab Harram lalu memujuk dua kawannya itu bersetuju dengan cadangannya.

     "Baiklah, kami menunggu di sini sehingga masuk waktu sembahyang zohor. Sekiranya kamu masih tidak pulang, kami akan tinggalkan tempat ini dan kembali ke Bir Ma'unah," kata Abdullah.

     Kemudian Harram terus memasuki perkampungan Bani Amir lalu menghadap Amir bin Tufail. Ketua Bani Amir itu tidak senang hati dengan kedatangan tetamu yang tidak dikenalinya itu.

     "Mungkin dia datang hendak mengintip keadaan kampung kita bagi membolehkan dia dan kawan-kawannya mencuri pada waktu malam. Kerana itu kamu bersiap sedia dengan senjata. Bunuh dia apabila mendapat isyarat daripada aku," pesan Amir bin Tufail kepada pembantunya. Kemudian baru dibenarkan Harram datang menghadap.

     "Kedatangan saya adalah bagi menyampaikan surat daripada Nabi Muhammad. Semoga kamu mendapat hidayah," kata Harram lalu menyerahkan surat itu kepada Amir.

     "Bukankah nabi kamu itu seorang yang tidak tahu membaca dan menulis? Bagaimana dia menulis surat ini?" tanya Amir pula yang enggan menerima surat tersebut.

     "Surat itu ditulis oleh Ali bin Abi Talib dengan perintah Nabi Muhammad," jawab Harram bin Milhan.

     "Sekiranya begitu, surat ini daripada Ali bukan Muhammad," kata Amir lalu mempersendakan Nabi Muhammad.

     "Demi Allah, surat itu daripada Nabi Muhammad pesuruh Allah," kata Harram.

     "Bagaimana kami hendak percaya seorang yang buta huruf mengaku menjadi pesuruh Allah?" tanya Amir sambil tersenyum sinis.

     "Setiap nabi dan rasul dikurniakan mukjizat. Nabi Muhammad juga dikurniakan mukjizat. Itu bukti dia memang pesuruh Allah," jawab Harram.

     Lalu dia menceritakan beberapa mukjizat Nabi Muhammad, antaranya bulan terbelah dua, berlakunya Israk dan mikraj, pokok dapat keluar dari batu dan sebagainya.

     "Mukjizat Nabi Muhammad yang paling besar adalah Al-Quran," kata Harram lalu membacakan beberapa ayat Al-Quran.

     "Berhenti kerana aku tidak mahu mendengarnya," herdik Amir bin Tufail.

     Kemudian dia mengambil surat dari tangan Harram lalu mencampakkannya ke tanah tanpa mahu membacanya.

     "Engkau akan dicampakkan ke dalam neraka," kata Harram yang berasa tersinggung dengan perbuatan Amir yang mencampakkan surat Rasulullah itu.

     Tiba-tiba Amir memberi isyarat kepada seorang pembantunya yang sedang berdiri di belakang Harram. Tanpa berlengah lagi lelaki itu menikam belakang Harram dengan tombaknya hingga tembus.

     "Allahu Akbar! Aku beruntung kerana mendapat syurga," kata Harram sambil menahan kesakitan. Tidak lama kemudian dia meninggal dunia.

     "Selepas ini kita bunuh kawan-kawannya yang berada di Bir Ma'unah," kata Amir bin Tufail.

     Kemudian Amir mengumpulkan beberapa orang pengikutnya lalu mengajak mereka membunuh pendakwah yang sedang berada di Bir Ma'unah.

     "Pengikut Muhammad ini tidak datang seorang diri. Kawan-kawannya sedang menunggu di Bir Ma'unah. Mari kita bunuh mereka semuanya," kata Amir bin Tufail dengan semangat yang berkobar-kobar.

     "Sebaiknya kita ajak semua lelaki Bani Amir menyertai kita," kata salah seorang pengikutnya.

     Amir bin Tufail bersetuju dengan cadangan itu. Dia mengajak semua lelaki Bani Amir menyertainya.

     "Engkau sudah melakukan kesalahan kerana membunuh seorang utusan," marah salah seorang Bani Amir.

     "Lelaki itu pengikut Muhammad. Musuh aku dan musuh kita," kata Amir bin Tufail pula.

     "Jangan apa-apakan mereka kerana Abu Barra' menjadi pelindung mereka," kata Nafil pula. Dia salah seorang yang mengiringi Abu Barra' menghadap Nabi Muhammad.

     "Sekarang pengikut Muhammad itu berada di kawasan Bani Amir. Kawasan itu di bawah kekuasaan saya. Oleh itu, saya dapat memerangi mereka. Kamu jangan masuk campur," kata Amir sambil memberi amaran kepada Nafil.

     "Baiklah saya tidak akan masuk campur tetapi saya adukan perkara ini kepada Abu Barra'," kata Nafil.

     Apabila mendengar kata-kata Nafil itu maka orang Bani Amir enggan membantu Amir menyerang pengikut Nabi Muhammad yang sedang berehat di Bir Ma'unah.

     "Saya akan ajak orang Bani Usyayah, Bani Ri'al dan Bani Zakwan memerangi mereka. Muhammad tidak berani menyerang sekiranya kami bersatu," kata Amir pula.

     Kemudian dia pergi perkampungan Bani Usyayah, Bani Ri'al dan Bani Zakwan lalu memujuk mereka membantunya.

     "Pengikut Muhammad itu yang menceroboh perkampungan kita, mencuri harta kita dan cuba menimbulkan huru-hara di kawasan Najd. Sekarang mereka sedang bersembunyi di Bir Ma'unah. Apakah kita hendak biarkan sahaja? Marilah menyertai saya bagi memerangi mereka," kata Amir bin Tufail dalam usaha memujuk penduduk Najd menyebelahinya.

     Dia begitu bersungguh-sungguh memujuk kerana orang Bani Ri'al, Bani Usyayah dan Bani Zakwan terkenal mahir memanah dan membaling tombak. Amir yakin dengan bantuan mereka pasti pengikut Nabi Muhammad itu dengan mudah dikalahkan.

     Mereka akhirnya terpengaruh dan bersetuju membantu Amir bin Tufail menyerang pengikut Nabi Muhammad yang sedang berada di Bir Ma'unah. Nafil pula segera ke Bir Ma'unah bagi menyampaikan berita itu kepada Mundzir.

     "Saya nasihatkan kamu pulang segera ke Madinah kerana mereka akan menyerang kamu tidak lama lagi," kata Nafil lalu menyuruh para pendakwah itu meninggalkan segera tempat itu.

     "Kami tidak akan meninggalkan tempat ini selagi ketua kami belum pulang," kata Salim bin Milhan.

     "Kami diperintahkan Rasulullah supaya keluar berdakwah. Kami tidak akan pulang selagi tugas itu belum kami lakukan," kata Thufail bin Asad pula.

     "Kami bersedia menghadapi apa sahaja yang berlaku," kata Malik bin Tsabit pula.

     Mereka sebulat suara tidak akan meninggalkan tempat itu. Nafil berasa kecewa lalu berkata, "Kerana kamu enggan mendengar amaran saya, maka saya akan minta Abu Barra' menarik semula perlindungan ke atas kamu. Kami tidak akan melindungi kamu lagi."

     "Kami berlindung dengan Allah kerana dia sebaik-baik pelindung," kata Athiyah bin Abdu Amar. Nafil segera meninggalkan tempat itu lalu menuju ke perkampungan Bani Sulaim bagi menemui Abu Barra'.

     "Bersiap sedialah menghadapi serangan mereka," kata Salim bin Milhan.

     Pendakwah itu pun bersiap sedia menghadapi serangan daripada musuh mereka. Tidak lama kemudian, seramai 500 orang lelaki yang bersenjatakan tombak, pedang dan panah menyerang mereka.

     Bir Ma'unah sebuah kawasan lapang yang dijadikan tempat pesinggahan para pedagang dan musafir bagi berehat dan mendapatkan air minuman. Di situ terdapat kolam dan sungai, akan tetapi tempat itu tidak ada batu-batu besar yang dapat dijadikan tempat perlindungan. Maka mereka mudah menjadi sasaran senjata musuh.

     Pahlawan-pahlawan Bani Zakwan, Bani Usyayah dan Bani Ri'al memulakan serang. Mula-mula mereka yang mahir memanah melepaskan anak-anak panah sehingga beberapa pendakwah menjadi mangsa. Melihat keadaan itu, maka Salim bin Milhan mengajak kawan-kawannya menyerbu ke arah musuh.

     "Sekiranya kita berada di tempat ini, kita akan terus menjadi sasaran anak-anak panah mereka. Oleh itu, lebih baik kita menyerang mereka," kata Salim.

     "Allahu Akbar!" teriak mereka beramai-ramai lalu menyerbu ke arah musuh.

     Kedatangan mereka disambut dengan balingan tombak oleh orang-orang kabilah Zakwan, Ri'al dan Usyayah. Ramai pula yang menjadi mangsa. Pertempuran menjadi semakin sengit. Akhirnya selepas berlaku pertempuran selama beberapa jam, semua pendakwah itu terbunuh kecuali Ka'ab bin Zaid. Dia pura-pura mati dan terbaring di samping kawan-kawannya yang syahid.

     Ketika itu Mundzir dan Amru sedang dalam perjalanan kembali ke pasukannya. Kedua-duanya tidak tahu apa yang sedang berlaku. Apabila sampai di Bir Ma'unah mereka lihat pertempuran sudah selesai dan mayat-mayat bergelimpangan.

     "Kita sudah dikhianati. Semua sahabat kita sudah syahid. Lebih baik kita tinggalkan tempat ini dan pulang ke Madinah," kata Amru bin Umaiyah.

     "Saya diberi tanggungjawab oleh Rasulullah menjadi ketua. Saya tidak akan tinggalkan tempat ini. Biarlah saya syahid bersama mereka," kata Mundzir.

     Kemudian dia menyerbu ke arah musuh-musuh yang membunuh kawan-kawannya. Amru juga turut serta. Kedua-dua pahlawan Islam itu menentang musuh mereka yang lebih ramai dengan gagah berani sehingga ramai yang dapat dibunuhnya. Namun akhirnya, selepas berlaku pertempuran, Mundzir syahid dan Amru ditawan.

     "Saya daripada kabilah Mudhar. Mereka pasti datang menuntut bela sekiranya kamu membunuh saya," beritahu Amru.

     "Saya tidak mahu bermusuhan dengan kabilah Mudhar. Bebaskan dia," kata Amir.

     Maka Amru dibebaskan. Kemudian Amir dan orangnya segera meninggalkan Bir Ma'unah lalu pulang ke perkampungan masing-masing.

     Ka'ab bin Zaid yang masih hidup dan pura-pura mati bersama-sama mayat-mayat kawan-kawannya yang lain bangun lalu mendapatkan Amru bin Umaiyah yang masih berada di situ. Kemudian kedua-duanya segera meninggalkan tempat itu kerana bimbang Amir bin Tufail dan orangnya datang semula.

     Amir bin Tufail pula pulang ke perkampungan Bani Amir dan dengan rasa bangganya menceritakan kepada orang ramai berkenaan kejayaannya membunuh pengikut Nabi Muhammad.

     "Hanya seorang yang saya biarkan hidup supaya dia dapat pulang ke Madinah bagi memberitahu perkara itu kepada Muhammad. Saya yakin Muhammad tidak berani lagi menghantar orangnya ke wilayah Najd," kata Amir bin Tufail dengan bangganya.

     "Apa yang kamu lakukan itu sangat memalukan dan mendukacitakan hatiku. Saya malu kerana sudah berjanji melindungi mereka selama berada di Najd. Saya berdukacita kerana kamu bertindak tanpa persetujuan saya. Muhammad dan pengikutnya pasti tidak akan berdiam diri. Mereka pasti datang menuntut bela," kata Abu Barra' sambil menyatakan rasa kesalnya.

     Mendengar kata-kata Abu Barra' itu orang ramai menyalahkan Amir bin Tufail. Tambahan pula mereka tidak terlibat dalam tragedi di Bir Ma'unah. Mereka yang melihat orang Bani Zakwan, Bani Usyayah, Bani Ri'al dan Bani Barra'.

     "Tentu Nabi Muhammad menyangka orang Bani Amir yang membunuh pengikutnya di Bir Ma'unah. Mereka pasti datang ke sini menuntut bela," kata seorang pembantu Abu Barra' yang turut bersama pergi ke Madinah.

     "Saya akan hantar dua orang utusan ke Madinah bertemu dengan Nabi Muhammad supaya dapat dimaklumkan perkara yang sebenar. Selepas Nabi Muhammad tahu, pasti mereka tidak menyerang kita," kata Abu Barra' lalu menghantar dua orang utusan ke Madinah menemui Rasulullah SAW. Kedua-dua orang utusan itu juga mengikat perjanjian persahabatan dengan Nabi Muhammad sebelum pulang ke Najd.

     Pada masa yang sama Ka'ab bin Zaid dan Amru bin Umaiyah pula dalam perjalanan pulang ke Madinah. Mereka agak lambat sampai kerana terpaksa berjalan hanya pada waktu malam kerana bimbang ditangkap musuh.

     Apabila sampai di Qarqarah yang terletak tidak jauh dari Madinah, kedua-duanya berhenti rehat kerana hari sudah siang. Tiba-tiba mereka ternampak dua orang lelaki sedang tidur nyenyak di bawah sebatang pokok. Amru dan Ka'ab menyangka mereka adalah orang Najd yang telah membunuh kawan-kawannya. Mereka mahu menuntut bela lalu menikam kedua-dua lelaki itu. Kemudian meneruskan perjalanan hingga selamat sampai ke Madinah.

     Ka'ab dan Amru menceritakan kepada Nabi Muhammad kisah yang berlaku di Bir Ma'unah. Kemudian Ka'ab menceritakan kejayaan mereka membunuh dua orang lelaki dengan harapan baginda akan terhibur mendengarnya.

     "Wahai Rasulullah, jangan berasa sedih kerana kami sudah dapat membunuh dua orang musuh," kata Ka'ab lalu menceritakannya kepada Nabi Muhammad.

     "Kami dapat membunuh keduanya dengan mudah kerana ketika itu mereka sedang tidur nyenyak kerana penat mengejar kami," beritahu Amru pula dengan harapan Rasulullah SAW akan terhibur mendengarnya.

     Namun sangkaan mereka meleset. Menurut Rasulullah SAW dua lelaki itu adalah utusan daripada Abu Barra' bagi memberitahu orang Bani Amir tidak terlibat dalam pembunuhan itu.

     "Mereka telah mengikat perjanjian dengan Rasulullah," kata Abu Bakar As-Siddiq pula.

     Amru dan Ka'ab berasa menyesal kerana bertindak terburu-buru. Namun tujuannya baik iaitu mahu membela kematian kawan-kawannya dan menyelamatkan diri.

     Nabi Muhammad berkata, "Kamu membunuh kerana keliru. Saya perlu membayar ganti rugi kepada keluarganya."

     "Wahai Rasulullah, kami yang melakukan kesilapan itu biarlah kami yang membayar ganti ruginya," kata Amru.

     Menurut Rasulullah, Amru dan kawan-kawannya pergi menjalankan perintah Rasulullah bagi berdakwah. Apa-apa yang berlaku di bawah tanggungan Rasulullah.

     Jika dibiarkan Amru dan Ka'ab sendiri yang berurusan dengan keluarga mangsa, dikhuatiri mereka akan membalas dendam dengan membunuh kedua-duanya.

     Bulan Safar tahun keempat Hijrah itu benar-benar menguji umat Islam dengan peristiwa di Raji' dan tragedi di Bir Ma'unah. Umat Islam berasa sangat sedih dengan kejadian itu. Mereka baru sahaja kehilangan tujuh puluh orang dalam Perang Uhud. Kita mereka kehilangan enam orang pendakwah di Raji' dan tujuh puluh orang lagi di Bir Ma'unah.

     Ekoran tragedi di Raji' dan Bir Ma'unah, Nabi Muhammad mengadakan qunut nazilah setiap kali selepas sembahyang. Mereka mendoakan kebinasaan kepada mereka yang terlibat membunuh pendakwah itu.

     Di perkampungan Bani Amir, Abu Barra' berasa sangat susah hati kerana dua orang utusan yang dihantar ke Madinah masih belum pulang. Dia menyangka tentu sudah dibunuh oleh Nabi Muhammad sebagai membalas dendam kematian para pengikutnya di Bir Ma'unah.

     Kerana berasa terlalu sedih akhirnya Abu Barra' jatuh sakit lalu meninggal dunia. Rabiah anak lelaki Abu Barra' berasa sangat sedih dengan kematian bapanya kerana dia tahu berpunca daripada perbuatan Amir bin Tufail. Dia bertekad mahu menuntut bela di atas kematian ayahnya. Pada suatu malam dia pergi ke rumah Amir dengan membawa sebatang lembing. Apabila sampai di rumah Amir sedang tidur lalu ditikamnya dengan lembing sehingga Amir bin Tufail mati di tempat tidurnya.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment