Wednesday 10 January 2018

PERANG UHUD [ BAB 16 - BERTEMU JODOH ]






BERTEMU JODOH








Hafsah binti Umar al-Khattab masih bersedih di atas kematian suaminya Khunais bin Huzafah akibat kecederaan yang dialaminya dalam Perang Uhud. Umar al-Khattab sering datang menziarahi anaknya. Dia menghiburkan hati Hafsah dengan mengatakan mereka yang syahid kerana berperang di jalan Allah mendapat balasan syurga.

     "Nabi Muhammad mengatakan sesiapa yang terbunuh dalam Perang Badar dan Perang Uhud adalah mati syahid. Oleh itu, janganlah kamu bersedih di atas kematian suamimu," pujuk Umar al-Khattab.

     "Wahai ayahanda, anakanda redha dengan ketentuan. Namun, anakanda berasa sedih kerana telah kehilangan orang yang tersayang. Anakanda berasa keseorangan untuk meneruskan kehidupan ini," kata Hafsah sambil terus menangis.

     "Wahai anakku Hafsah, mahukah engkau sekiranya ayah carikan seorang suami? Semoga engkau tidak lagi berasa kesunyian," kata Umar al-Khattab. Dia tidak mahu anaknya terus bersedih di atas pemergian suaminya.

     "Jika lelaki itu lebih baik daripada Khunais anakanda sedia menerimanya," jawab Hafsah.

     "Ayah akan berusaha untuk menjodohkan engkau dengan seorang lelaki yang lebih baik daripada Khunais," kata Umar al-Khattab pula. Dia berasa senang hati kerana Hafsah bersetuju dengan cadangannya.

     Khunais suami Hafsah meninggal dunia dua hari selepas pemergian Ruqiyah, isteri Uthman Affan. Oleh itu, pada pendapat Umar al-Khattab, Uthman Affan paling sesuai menjadi suami Hafsah. Alangkah baiknya jika kedua-duanya bertemu jodoh. Bisik hati Umar al-Khattab.

     Ruqiyah Puteri Rasulullah mula-mula dikahwinkan dengan Uthbah anak Abu Lahab. Ummu Kalthum pula dikahwinkan dengan Uthaibah juga anak Abu Lahab. Apabila Nabi Muhammad diutus menjadi pesuruh Allah maka Abu Lahab menyuruh Uthbah menceraikan isterinya Ruqiyah dan Uthaibah menceraikan Ummu Khaltum sebagai tanda kemarahan mereka terhadap Nabi Muhammad.

     Uthbah mengikut kemahuan bapanya lalu menceraikan Ruqiyah. Uthaibah pula menceraikan Ummu Khaltum. Kedua-dua adik-beradik itu dihalau pulang ke rumah Rasulullah.

     Uthman Affan menemui Rasulullah lalu menyatakan hasrat di hatinya ingin melamar Ruqiyah. Baginda kelihatan gembira kerana salah seorang puteri kesayangannya telah dilamar oleh Uthman bin Affan. Tidak lama kemudian, Uthman Affan berkahwin dengan Ruqiyah. Mereka hidup bahagia sebagai suami isteri.

     Apabila berlakunya Perang Badar, Uthman Affan telah mendaftarkan namanya dalam pasukan muslimin. Tetapi, pada saat-saat akhir sebelum berangkat, dia terpaksa meminta kebenaran daripada Rasulullah untuk menarik diri kerana isterinya Ruqiyah sedang sakit. Rasulullah membenarkannya dan nama Uthman Affan dimasukkan dalam pasukan 313 orang pahlawan Badar.

     Ketika berlakunya Perang Badar, Ruqiyah meninggal dunia dan Uthman Affan sendiri yang menjadi imam menyembahyangkan jenazah isterinya. Kesedihan akibat kehilangan Ruqiyah terubat apabila pasukan Islam pulang dari Badar membawa kemenangan.

     Khunais suami Hafsah pula meninggal dunia dua hari kemudian akibat kecederaan yang dialaminya semasa Perang Badar. Kini Hafsah dan Uthman Affan hidup sendirian. Oleh sebab itu, Umar al-Khattab ingin mengahwinkan mereka. Petang itu, selesai sembahyang Asar di Masjid Nabi, maka Umar al-Khattab berjumpa dengan Uthman Affan.

     "Wahai Uthman Affan. Engkau baru saja kehilangan isteri. Anakku Hafsah pula baru saja kehilangan suaminya. Jika engkau bersetuju, aku kahwinkan engkau dengan anakku Hafsah. Semoga kamu berdua hidup bahagia," kata Umar al-Khattab.

     Uthman Affan agak terkejut dengan tawaran yang tidak disangka-sangka itu. Sejak kematian Ruqiyah, memang dia menyimpan hasrat di hatinya hendak mencari pengganti. Tetapi bukan Hafsah pilihan hatinya. Namun dia tidak mahu mengecilkan hati sahabat baiknya itu.

     "Wahai sahabatku Umar al-Khattab, berilah tempoh sehingga pagi esok untuk saya memberikan jawapannya. Jika telah ditakdirkan bertemu jodoh dengan Hafsah saya redha. Tetapi jika bukan jodoh kami, maka kita mesti redha menerima ketentuanNya," kata Uthman Affan. Dia cuba menolak permintaan itu dengan baik.

     "Baiklah," balas Umar al-Khattab dengan harapan Uthman Affan bersetuju dengan cadangannya.

     Keesokan harinya selepas sembahyang Subuh, Umar al-Khattab terus menemui Uthman Affan bagi mendengar jawapannya. Dia berharap permintaannya tidak dihampakan.

     "Aku ingin mendengar jawapan darimu seperti yang dijanjikan semalam," kata Umar al-Khattab.

     "Wahai Umar al-Khattab. Saya belum mahu berkahwin lagi. Oleh itu, carilah orang lain yang lebih baik daripada saya," akhirnya Uthman Affan berterus terang.

     "Baiklah," ujar Umar al-Khattab.

     Dia tidak tersinggung dengan jawapan itu kerana Uthman Affan memberi alasan masih belum mahu berkahwin. Dia pula tidak boleh memaksanya. Kemudian Umar al-Khattab berjumpa pula dengan Abu Bakar as-Siddiq. Dia berpendapat, selain Uthman Affan maka Abu Bakar as-Siddiq adalah lelaki yang baik untuk menjadi suami anaknya.

     "Wahai Abu Bakar as-Siddiq, anakku Hafsah memerlukan seorang suami untuk menjaganya. Sekiranya engkau bersetuju, aku kahwinkan engkau dengan anak aku Hafsah," kata Umar al-Khattab berterus terang.

     Abu Bakar as-Siddiq kelihatan terkejut mendengar kata-kata itu. Kemudian dia termenung seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Umar al-Khattab mengulangi sekali lagi tawarannya.

     "Wahai Abu Bakar as-Siddiq. Jika engkau setuju ambillah Hafsah menjadi isterimu. Dia memerlukan seorang suami dan aku yakin engkau suami yang baik untuknya," kata Umar Al-Khattab.

     Tiba-tiba Abu Bakar as-Siddiq berpaling ke arah lain seolah-olah tidak mahu mendengarnya. Umar al-Khattab berasa tersinggung dengan sikap sahabat baiknya itu.

     "Aku berniat ikhlas wahai Abu Bakar," ujar Umar al-Khattab.

     Namun Abu Bakar as- Siddiq tidak mengendahkan kata-kata Umar al-Khattab itu. Dia berasa tersinggung.

     "Aku akan adukan perkara ini kepada Rasulullah," kata Umar al-Khattab.

     Dia terus berjumpa dengan Nabi Muhammad lalu menceritakan apa yang berlaku antara dirinya dengan Uthman Affan dan Abu Bakar as-Siddiq. Umar al-Khattab berharap Rasulullah dapat menyelesaikannya.

     "Wahai Rasulullah, Uthman Affan dan Abu Bakar as-Siddiq sahabat baik saya. Selama ini saya tidak pernah menghampakan permintaan mereka dan mereka juga tidak pernah menghampakan permintaan saya. Tetapi hari ini kedua-duanya telah meghampakan harapan saya. Tetapi saya tidak marah kepada Uthman Affan kerana dia telah berterus teran belum mahu berkahwin. Saya marah kepada Abu Bakar as-Siddiq kerana dia langsung tidak menghiraukan kata-kata saya," kata Umar al-Khattab mengadu kepada Rasulullah.

     Rasulullah kelihatan tersenyum mendengarnya. Umar al-Khattab menjadi hairan dengan sikap yang ditunjukkan Rasulullah itu. Seolah-olah ada rahsia dalam rahsia.

     "Wahai Umar al-Khattab. Adakah engkau setuju sekiranya Hafsah berkahwin dengan seorang lelaki yang lebih baik daripada Abu Bakar as-Siddiq dan Uthman Affan?" tanya Rasulullah sambil tersenyum.

     "Tentulah saya setuju. Siapakah lelaki itu, wahai Rasulullah?" tanya Umar al-Khattab pula.

     Lalu Nabi Muhammad menyatakan hasrat hatinya hendak melamar Hafsah menjadi isterinya. Alangkah gembiranya hati Umar al-Khattab kerana anaknya mendapat seorang suami yang paling baik. Lebih baik daripada Abu Bakar as-Siddiq dan Uthman Affan. Selepas Rasulullah dikahwinkan dengan Hafsah, maka Umar al-Khattab berkata kepada Abu Bakar.

     "Wahai Abu Bakar as-Siddiq, aku pernah mempelawa Uthman Affan supaya berkahwin dengan anakku Hafsah. Tetapi dia menolak. Kemudian aku tawarkan pula kepada engkau, tetapi engkau hanya berdiam diri tidak memberi apa-apa jawapan. Sampai sekarang aku masih berasa marah dengan sikapmu itu."

     Sambil tersenyum, Abu Bakar as-Siddiq pun berkata, "Wahai sahabatku Umar al-Khattab, saya pernah mendengar Rasulullah berkata dia hendak melamar anakmu Hafsah menjadi isterinya. Oleh itu, saya berdiam diri apabila engkau bertanya perkara itu. Sekiranya Rasulullah tidak berkata ingin melamar Hafsah, sudah tentu saya yang akan melamarnya."

     "Maafkan saya wahai sahabatku Abu Bakar as-Siddiq," kata Umar al-Khattab.

     Barulah Umar al-Khattab faham keadaan yang sebenar. Dia tidak marah lagi kepada Abu Bakar dan Uthman Affan. Perbualan mereka terhenti apabila melihat Uthman Affan datang. Mereka bersalaman mesra bagaikan saudara.

     "Saya baru saja pulang dari rumah Rasulullah. Ada perkara menarik yang hendak saya ceritakan," beritahu Uthman Affan.

     Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab begitu tertarik hati hendak mendengarnya. Menurut Uthman Affan, Rasulullah hendak mengahwinkannya dengan puterinya Ummi Kalthum.

     "Kerana itu saya menolak permintaan Umar Al-Khattab hendak mengahwinkan saya dengan Hafsah. Tambahan pula, saya pernah mendengar Rasulullah hendak melamarnya," kata Uthman Affan.

     Umar al-Khattab tersenyum mendengarnya lalu berkata, "Ketika itu saya berasa malu dan tersinggung kerana menyangka kamu tidak sudi menjadikan anak saya isteri kamu. Tetapi sekarang saya berasa paling gembira kerana Rasulullah sudah menjadikan Hafsah isterinya. Saya tidak marah lagi dengan kamu berdua."

     "Alangkah untungnya Uthman Affan kerana dikahwinkan dengan dua orang puteri Rasulullah," kata Abu Bakar as-Siddiq pula.

     "Allah telah menentukan jodoh kami," kata Uthman Affan.

     Menurut cerita Uthman Affan, dia berasa sedih dengan kehilangan Ruqiyah lalu pergi ke rumah Rasulullah. Kebetulan ketika itu, Rasulullah dengan Aisyah berada di rumahnya.

     "Wahai Uthman Affan, mengapa engkau menangis?" tanya Rasulullah.

     "Saya sedih kerana mengenangkan Ruqiyah telah meninggal dunia. Saya menjadi lebih sedih kerana tidak lagi menjadi menantumu wahai Rasulullah," jawab Uthman Affan berterus terang.
   
     "Wahai Uthman Affan, bergembiralah kamu kerana Malaikat Jibril telah datang kepada aku menyampaikan perintah Allah supaya aku mengahwinkan engkau dengan Ummu Kalthum saudara Ruqiyah," kata Nabi Muhammad.

     Uthman Affan kelihatan gembira. Dia tidak lagi menangis. Malah dia bersyukur kerana Allah Taala telah menjodohkannya dengan seorang wanita yang paling mulia iaitu puteri Rasulullah.

     Tidak lama kemudian, maka Uthman Affan dikahwinkan dengan Ummu Khaltum. Mereka hidup bahagia. Ummu Khaltum gembira kerana mendapat seorang suami yang jauh lebih baik daripada suami pertamanya Uthbah bin Abu Lahab.

     "Wahai Umar al-Khattab, Allah telah menemukan jodoh anakmu Hafsah dengan lelaki yang lebih baik daripada Abu Bakar dan Uthman. Allah juga telah menemukan jodoh Uthman dengan wanita yang lebih baik daripada anakmu Hafsah iaitu Ummu Khaltum," kata Nabi Muhammad.

     "Wahai Rasulullah, alangkah beruntungnya Uthman Affan kerana dapat berkahwin dengan dua orang puterimu," puji Abu Bakar as-Siddiq.

     "Sekiranya aku mempunyai 40 orang anak perempuan, aku sanggup mengahwinkannya dengan Uthman Affan seorang demi seorang sehingga kesemuanya menjadi isterinya," kata Rasulullah.

     Sejak itu Uthman Affan digelar Dzur al-Nurain kerana dapat mengahwini dua orang cahaya mata Rasulullah. Peristiwa itu berlaku selepas Perang Uhud.

     Tidak lama kemudian, berlaku satu lagi peristiwa yang menggembirakan hati Rasulullah, apabila Fatimah, puteri Rasulullah yang dikahwinkan dengan Ali bin Abi Talib melahirkan anak sulung mereka lalu dinamakan Hassan. Kelahiran anak sulung Fatimah itu sangat bermakna kepada Rasulullah. Beliau sangat sayang kepada cucunya.

     Rumaisah atau Ummu Sulaim pula seorang ibu tunggal sejak kematian suaminya Anas. Kemudian dikahwinkan dengan Abu Talhah dan hasil dari perkahwinan itu lahir seorang anak diberi nama Abu Umair.

     Pada suatu hari, Abu Umair jatuh sakit tetapi Abu Talhah terpaksa keluar juga untuk satu urusan yang mustahak dan ketika itu dia sedang berpuasa. Sepeninggalan Abu Talhah, anaknya Umair meninggal dunia. Ummu Sulaim memandikan bayi itu kemudian membalutnya dengan kain lalu ditempatkannya di tempat tidur.

     Kemudian Ummu Sulaim menyediakan makanan untuk suaminya berbuka puasa. Dia juga menghiaskan dirinya supaya kelihatan cantik. Apabila Abu Talhah pulang, Ummu Sulaim tidak mahu menceritakan keadaan anaknya mereka kerana bimbang menyedihkan hati suaminya yang baru pulang dari perjalanan yang jauh dan sedang berpuasa.

     "Bagaimana keadaan anak kita?" tanya Abu Talhah sebaik saja sampai di rumah.

     "Anak kita sekarang berada dalam keadaan aman," jawab Ummu Sulaim.

     "Di mana dia sekarang?" tanya Abu Talhah lagi.

     "Di atas tempat tidur," jawab Ummu Sulaim.

     Abu Talhah senang hati mendengarnya. Dia mandi dan membersihkan diri sebelum berbuka puasa. Pada malam itu, Ummu Sulaim melayan suaminya dengan baik dengan harapan suaminya berasa gembira.

     Keesokan harinya, Ummu Sulaim bertanya kepada suaminya, "Adinda ada satu perkara yang hendak dimaklumkan kepada kekanda."

     "Katakanlah apa dia?" kata Abu Talhah.

     "Jika seseorang itu mengamanahkan kita menjaga sesuatu barang, kemudian orang itu datang semula untuk mengambil barangnya dari kita, patutkah kita memberinya?" tanya Ummu Sulaim.

     "Kita mesti mengembalikan barang yang diamanahkan itu apabila tuannya hendak mengambilnya semula. Kita tidak ada hak untuk menyimpannya," jawab Abu Talhah.

     "Abu Umair telah diamanahkan oleh Allah untuk kita menjaganya. Kini Allah telah mengambilnya kembali," kata Ummu Sulaim lalu memberitahu suaminya bahawa anak mereka telah meninggal dunia.

     "Mengapa sekarang baru engkau beritahu aku?" marah Abu Talhah.

     "Adinda tidak mahu kekanda susah hati," kata Ummu Sulaim.

     Abu Talhah mengadukan perkara itu kepada Rasulullah lalu berkata, "Mudah-mudahan Allah akan memberkati pergaulanmu dengan isterimu itu."

     Berkat doa Rasulullah itu Abu Talhah dan Ummu Sulaim dikurniakan seorang lagi anak lelaki diberi nama Abdullah. Dari Abdullah, lahir sembilan orang anak yang kesemuanya menjadi ulama.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment