Sunday 14 January 2018

PERANG UHUD [ BAB 20 - BANI NADHIR DIUSIR DARI MADINAH ]






BANI NADHIR DIUSIR DARI MADINAH








Rabiul Awal tahun 4 hijrah / Ogos tahun 625 masihi.

Umat Islam Madinah masih bersedih di atas tragedi di Bir Ma'unah yang mengorbankan 70 nyawa. Tetapi orang Yahudi berasa gembira. Mereka berharap umat Islam akan menjadi lemah selepas kalah dalam Perang Uhud dan dengan tragedi di Bir Ma'unah. Mereka berharap pada masa akan datang lebih banyak lagi pengkhianatan yang dilakukan pada Nabi Muhammad dan pengikutnya.

     Kemudian Nabi Muhammad mengadakan mesyuarat dengan para sahabatnya bagi membincangkan ganti rugi yang perlu dibayar kepada keluarga dua orang lelaki Bani Kilab yang dibunuh Amru kerana keliru.

     "Saya yakin keluarga dua lelaki itu akan menuntut bayaran ganti rugi yang banyak sedangkan harta kita sudah habis dibelanjakan untuk Perang Uhud," kata Uthman Affan.

     "Kita juga tidak sanggup meminta derma daripada orang ramai kerana mereka baru bersedih dengan kekalahan Perang Uhud dan menangisi keluarga mereka yang syahid di Bir Ma'unah," kata Ali bin Abi Talib pula.

     Nabi Muhammad mencadangkan mereka meminta bantuan daripada orang Yahudi Bani Nadhir. Tambahan pula mereka telah mengikat perjanjian saling membantu apabila menghadapi sesuatu masalah. Mereka bersetuju dengan cadangan itu.

     Keesokan harinya, Nabi Muhammad diiringi Abu Bakar As-Siddiq, Umar al-Khattab, Ali bin Abi Talib, Uthman Affan dan Abu Ubaidah al-Jarrah pergi ke perkampungan Yahudi Bani Nadhir untuk meminta bantuan bagi membayar ganti rugi terhadap Bani Kilab.

     Kedatangan mereka disambut baik oleh orang Yahudi Bani Nadhir. Namun dalam diam-diam, mereka memang sudah lama menaruh rasa dengki dan dendam terhadap Nabi Muhammad. Mereka berpura-pura baik bagi melindungi niat jahat mereka.

     Nabi Muhammad mengingatkan mereka berkenaan perjanjian yang telah dibuat antara Bani Nadhir dengan baginda. Antara kandungan perjanjian itu adalah mereka saling membantu apabila memerlukan.

     Menurut Nabi Muhammad, mereka memerlukan bantuan Bani Nadhir bagi membayar ganti rugi kepada dua orang lelaki Bani Kilab yang dibunuh kerana salah sangka.

     "Jika kamu menuntut semula pemberian itu, maka kami akan membayarnya apabila kami sudah mampu," kata Abu Bakar As-Siddiq.

     "Kami juga melantik kamu menjadi orang tengah untuk menyelesaikan masalah ini," beritahu Umar al-Khattab pula.

     "Kami akan memenuhi permintaan kamu. Tetapi kami memerlukan masa yang agak lama untuk mengumpulkan harta yang kamu perlukan itu. Sementara menunggu urusan kami selesai, maka duduklah di bawah tembok itu," kata Huyay bin Akhtab, ketua Bani Nadhir.

     Nabi Muhammad dan sahabat-sahabatnya bersetuju menunggu di situ. Huyay bin Akhtab pula segera mengadakan rancangan jahat dengan orangnya.

     "Telah datang ke perkampungan kita, Muhammad bersama pengikut-pengikutnya yang setia. Mereka datang untuk meminta bantuan tetapi aku ada cadangan yang lebih baik dan pastinya menguntungkan kita," kata Huyay bin Akhtab.

     "Apakah cadangan kamu?" tanya Amru bin Jashy seorang lelaki yang paling berani di kalangan Bani Nadhir.

     "Muhammad adalah musuh kita dan musuh mereka yang menjadi sahabat kita. Aku merancang hendak membunuh mereka. Apabila Muhammad dan pengikut setianya sudah terbunuh, maka Madinah akan jatuh ke tangan kita dan agama Islam akan lenyap," jawab Huyay bin Akhtab.

     "Bagaimana kita hendak melakukannya?" tanya Dhamdur pula.

     "Mereka sedang duduk di bawah benteng. Aku hanya memerlukan beberapa orang lelaki yang berani untuk menghempapkan batu di atas kepala mereka," jawab Huyay bin Akhtab.

     "Bagaimana jika batu yang dijatuhkan itu tidak mengenai sasarannya?" tanya Dhamdur ragu-ragu.

     "Kita akan menyediakan 20 orang pasukan pemanah. Mereka akan memanah Muhammad dan para pengikutnya jika membunuh mereka dengan batu itu tidak berjaya," jawab Huyay pula.

     "Jika begitu bukankah lebih baik terus dipanah sahaja? Tidak perlu bersusah payah memanjat benteng," kata Dhamdur pula.

     "Jika Muhammad dan para pengikutnya mati dihempap batu, kita boleh beritahu pengikutnya yang lain bahawa mereka terbunuh akibat terhempap runtuhan batu. Dengan itu, mereka tidak menyalahkan kita dan mereka tidak membalas perbuatan kita. Sebaliknya, jika mereka mati dipanah sudah tentu seluruh umat Islam di Madinah memerangi kita," jawab Huyay.

     "Bukankah tadi engkau mengatakan jika Muhammad terbunuh, pengikutnya lemah semangat dengan mudah kita mengalahkan mereka," kata Dhamdar lagi.

     "Benar, tetapi aku bimbang jika mereka hilang akal lalu menyerang kita," kata Huyay lalu mengulangi semula pertanyaan siapa yang sanggup melakukannya.

     "Aku sanggup melakukannya," kata Amru bin Jashy.

     "Bagaimana kamu akan melakukannya?" tanya Huyay pula.

     "Aku akan mengajak beberapa orang kawanku memanjat tembok itu kemudian kami jatuhkan batu ke atas kepala Muhammad dan pengiringnya. Tugas itu paling mudah untuk kami lakukan," jawab Amru bin Jashy.

     "Kamu akan mendapat upah yang lumayan untuk melakukan pekerjaan yang mudah tetapi paling disanjung tinggi oleh kaum kita," kata Huyay sambil tersenyum kerana yakin rancangan itu pasti berjaya.

     Tetapi rancangan itu dibantah oleh Salam bin Musykam seorang lelaki yang paling tua di kalangan mereka.

     "Jangan kamu lakukan perkara itu kerana Muhammad seorang pesuruh Allah yang dikurniakan mukjizat dan banyak kelebihan. Sesungguhnya apa yang kamu sedang perkatakan ini diketahui oleh Allah, tuhan Muhammad. Jika kamu melakukannya juga nescaya Allah akan mengkhabarkan rancangan jahat kamu itu kepada Muhammad. Dengan ini kamu akan dituduh melanggar perjanjian," kata Salam bin Musykam.

     "Lebih baik kamu diam wahai orang tua yang penakut. Biar kami orang yang berani saja melakukannya," marah Huyay bin Akhtab.

     "Tahukah kamu, apa hukuman ke atas kamu jika melanggar perjanjian dengan Muhammad?" tanya Salam bin Musykam.

     "Apabila Muhammad sudah mati, maka perjanjian itu tidak berguna lagi," kata Huyay pula.

     Mereka tetap mahu meneruskan rancangan itu. Tambahan pula Amru bin Jashy dan beberapa orang kawan-kawannya yang berani sanggup melakukannya. Tetapi Allah Maha Mengetahui. Dia tidak mengizinkan perkara itu berlaku ke atas Nabi Muhammad rasul pilihannya. Lalu pakatan jahat orang Bani Nadhir itu disampaikan kepada Rasulullah melalui malaikat Jibrail.

     Apabila Nabi Muhammad mendapat tahu rancangan hendak membunuhnya, maka beliau mengajak sahabat-sahabatnya segera beredar dari situ tanpa memaklumkan kepada orang Bani Nadhir.

     Amru bin Jashy dan kawan-kawannya pula sudah mengumpulkan beberapa buah batu untuk digunakan bagi membunuh Nabi Muhammad dan para pengikutnya. Mereka memanjat tembok itu hingga sampai ke puncaknya. Tetapi alangkah hampanya mereka apabila Nabi Muhammad dan para pengikutnya sudah tidak ada.

     "Kenapa Muhammad dan pengikutnya pergi tanpa memaklumkan kepada kita," tanya Huyay.

     "Mungkin mereka sudah tahu rancangan kita," jawab Amru bin Jashy.

     "Mustahil dia boleh tahu kerana pakatan rahsia ini hanya kita saja yang tahu," kata Huyay pula.

     "Bukankah aku sudah beri amaran kepada kamu bahawa tuhan Muhammad tahu apa yang kamu bincangkan? Kemudian Allah mengkhabarkan kepada Nabi Muhammad rancangan jahat kamu itu," tempelak Salam bin Musykam.

     "Mungkin juga Muhammad tidak tahu rancangan kita. Mereka balik kerana sudah lama menunggu di bawah tembok itu. Semua itu secara kebetulan sahaja. Jangan kamu risau," pujuk Salim bin Haqiq, pembantu Huyay.

     Namun Huyay bin Akhtab tetap berasa takut dan cemas. Dia menunggu apakah hukuman yang akan dijatuhkan terhadap Muhammad kepada mereka kerana merancang membunuhnya.

     Beberapa hari kemudian, Nabi Muhammad mengutus Muhamad bin Maslamah kepada Bani Nadhir. Dia terus menemui Huyay bin Akhtab lalu berkata, "Kamu diperintahkan keluar dari Madinah dalam masa sepuluh hari. Jika masih berada di sini, maka leher kamu akan kami penggal."

     "Apa salah kami?" kata Huyay bin Akhtab, berpura-pura tidak tahu.

     "Apabila kamu merancang hendak membunuh Nabi Muhammad bermakna kamu telah melanggar perjanjian. Mereka yang melanggar perjanjian mesti dihukum. Oleh itu, kamu diperintahkan keluar dari Madinah," kata Muhamad bin Maslamah.

     "Itu semua fitnah. Kami tidak pernah merancang hendak membunuh Muhammad," nafi Huyay bin Akhtab dengan harapan Muhamad percaya.

     "Allah mengetahui apa yang kamu rancang kepada Nabi Muhammad. Sebelum terlaksananya perkara itu ia sudah dikhabarkan Allah," kata Muhamad bin Maslamah pula.

     "Kami tidak pernah berbuat begitu dan kami menafikannya," bantah Huyay bin Akhtab.

     "Kami taat perintah Allah dan rasulNya. Apabila kamu disuruh berpindah, maka segera kamu berpindah. Apabila kami diperintahkan memenggal leher kamu, maka kami akan melakukannya," kata Muhamad bin Maslamah.

     Akhirnya Huyay bin Akhtab mengaku bersalah lalu meminta maaf. Tetapi Muhamad mengatakan sudah terlambat kerana Rasulullah telah mengeluarkan perintah menyuruh mereka keluar dari Madinah.

     "Baiklah kami akan keluar. Tetapi berilah kami masa yang lebih lama untuk menyiapkan perbekalan," kata Huyay bin Akhtab.

     "Kamu diberi masa hanya sepuluh hari. Perintah itu tidak boleh diubah lagi," tegas Muhamad bin Maslamah lalu segera beredar dari situ.

     Orang Bani Nadhir tidak ada pilihan selain keluar dari Madinah. Mereka pun bersiap-siap untuk berpindah. Tetapi apabila Abdullah bin Ubai mendapat tahu perkara itu, dia mengirim seorang utusan menemui Huyay bin Akhtab.

     "Kamu jangan keluar dari sini. Kami sanggup membantu kalian dengan menghantar dua ribu tentera untuk mempertahankan benteng ini. Mereka sanggup mati untuk mempertahankan kalian. Tetapi jika kamu diusir juga, maka kami rela diusir bersama kalian. Kami selamanya tidak akan tunduk kepada sesiapa. Jika kalian diperangi kamu akan dibantu oleh Bani Qunaizah dan Bani Ghathfan," kata utusan itu.

     Yakin dengan janji itu, maka Bani Nadhir tidak jadi keluar dari perkampungan mereka. Huyay bin Akhtab mengirim wakil menemui Nabi Muhammad dengan membawa pesanan.

     "Kami tidak akan keluar dari tempat tinggal kami. Buatlah sesuka hati kamu."

     Apabila mendengar kata-kata utusan Bani Nadhir itu, maka Rasulullah bertakbir diikuti para sahabat. Mereka bertekad untuk memerangi Bani Nadhir. Utusan itu disuruh pulang bagi menyampaikan pesan kepada Huyay bahawa angkatan perang muslimin akan menyerang Bani Nadhir.

     Nabi Muhammad menyerahkan urusan Madinah kepada Abdullah bin Ummi Maktum. Bendera angkatan Muslimin dipegang Ali bin Abu Talib. Mereka berangkat ke perkampungan Bani Nadhir.

     Apabila Huyay bin Akhtab mendengar berita itu, dia memerintahkan semua orang Yahudi Bani Nadhir masuk ke dalam benteng-benteng pertahanan mereka yang dibina kukuh. Mereka yakin Nabi Muhammad dan pasukannya tidak dapat menembusinya. Sebelum itu, mereka telah bawa masuk bekalan makanan, air dan senjata ke dalam benteng itu.

     Nabi Muhammad memerintahkan pasukannya mengepong benteng Bani Nadhir. Mereka tidak dapat menghampirinya kerana dihujani dengan anak-anak panah dan tombak.

     Pada hari pertama, orang Yahudi Bani Nadhir begitu bersemangat kerana yakin mendapat bantuan daripada Bani Quraizah dan Bani Ghathfan. Abdullah bin Ubai juga berjanji mengirimkan dua ribu pejuang untuk membantu mereka. Tetapi kerana ketatnya pengepungan yang dilakukan, menyebabkan Bani Nadhir tidak mendapat bantuan daripada luar.

     Bagi menakutkan Bani Nadhir, Nabi Muhammad menyuruh ditebang pokok-pokok kurma yang terdapat di sekitar benteng tersebut. Sehubungan dengan itu, turun ayat al-Quran surah Al-Hasyr ayat 5.

     "Apa saja yang kamu tebang dari pohon kurma (milik orang kafir) atau kamu biarkan (tumbuh) berdiri di atas akarnya maka (semua itu) adalah dengan izin Allah."

Orang Bani Nadhir mula cemas apabila bantuan yang dijanjikan masih tidak kunjung tiba. Ramai pula yang berasa tidak selesa terkurung di dalam benteng itu. Akhirnya mereka sebulat suara menyerah kalah.

     Huyay menghantar utusan menemui Nabi Muhammad menyatakan keinginan mereka untuk menyerah kalah dan memohon dibenarkan meninggalkan Madinah dengan selamat.

     Nabi Muhammad membenarkan mereka meninggalkan Madinah dengan syarat tidak boleh membawa senjata tetapi dibolehkan membawa barang-barang lain termasuk harta benda. Orang Yahudi merobohkan rumah-rumah mereka untuk dibawa pergi kayu, tiang, pintu dan tingkapnya. Mereka juga membawa semua harta yang berharga. Sebanyak 600 ekor unta digunakan untuk membawa barang-barang mereka keluar dari Madinah. Sebahagian daripada mereka berpindah ke Khaibar dan sebahagian lagi berpindah ke Syam.

     Pemimpin Bani Nadhir iaitu Huyay bin Akhtab dan Salam bin Abul Haqiq turut dibenarkan berpindah. Tetapi ada dua orang antara mereka yang masuk Islam iaitu Yamin bin Amru dan Abu Sa'ad bin Wahb. Kedua-dua mereka dipulangkan semula semua hartanya dan boleh hidup bebas bersama keluarga masing-masing.

     Semua tanah yang ditinggalkan Bani Nadhir menjadi hak milik Nabi Muhammad dan boleh digunakan mengikut kehendaknya. Barang-barang lain yang dirampas termasuk 50 perisai, 50 topi besi dan 340 bilah pedang. Terdapat juga beberapa ekor kuda perang yang tidak sempat dibawa pergi oleh Bani Nadhir.

     Rasulullah memberikan harta itu kepada kaum Muhajirin kerana mereka belum mempunyai tanah dan rumah selama berhijrah di Madinah. Selain itu, dua orang Ansar yang miskin juga diberikan harta peninggalan Bani Nadhir itu hingga mencukupkan bekalan mereka selama setahun.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment