Friday 5 January 2018

PERANG UHUD [ BAB 11 - PAHLAWAN-PAHLAWAN PERANG UHUD ]






PAHLAWAN-PAHLAWAN PERANG UHUD








Matahari semakin garang memancarkan sinarnya. Darah pahlawan pasukan Quraisy dan pasukan Muslimin juga semakin mendidih apabila bertembung dengan lawan masing-masing. Pasukan Quraisy datang untuk menebus kekalahan dalam perang Badar di samping mahu membalas dendam di atas kematian ahli keluarga mereka. Pasukan Islam pula datang dengan satu keyakinan mereka berjuang di jalan Allah bagi mempertahankan Islam. Mereka yakin, jika syahid mereka akan mendapat balasan syurga.

     Hari itu Gunung Uhud menyaksikan peristiwa bersejarah di mana tumpahnya darah syuhada dalam mempertahankan akidah mereka. Tumpahnya darah orang Quraisy kerana mahu menebus kekalahan mereka dalam Perang Badar dan mahu membalas dendam. Kedua-dua pasukan bertempur bermati-matian bagi mencapai matlamat masing-masing.

     Abu Dujanah atau nama sebenarnya Sammak bin Kharsyah terkenal dengan gelaran pahlawan berkuda Khazraj yang mengikat kepalanya dengan kain merah dan memegang kejap pedang yang diberikan Rasulullah. Kemudian dia berteriak,

     "Aku telah berjanji dengan kekasihku Muhammad
     Ketika kami berdiri di kaki bukit di bawah pohon kurma
     Tidak sudi aku berada di barisan belakang
     Aku mesti berdiri di barisan depan
     Aku memukul musuh
     Dengan pedang Allah
     Dan pedang Rasul-Nya."

     Pasukan Muslimin tambah bersemangat apabila melihat kehebatan Abu Dujanah. Tambahan pula apabila melihat kain merah yang mengikat kepalanya. Pada tepi kain sebelah kanan ditulis kata-kata hikmah berbunyi, Pertolongan daripada Allah, kemenangan telah dekat dan pada tepi sebelah kiri bertulis, Takut berperang itu tercela, siapa yang melarikan diri tidak selamat dari neraka.

     Kemudian Abu Dujanah menggempur tentera Quraisy yang datang menyerang. Dia berjuang bermati-matian tanpa takut. Setiap yang berdepan dengannya pasti menemui ajal selepas terkena libasan pedangnya. Seorang demi seorang tentera Quraisy gugur di tangannya. Namun kehebatan Abu Dujanah itu langsung tidak menakutkan tentera Quraisy. Seorang terbunuh, datang yang lain bagi membela kematian kawannya. Mereka berasa sangat marah lalu berusaha untuk membunuh Abu Dujanah.

     Tiba-tiba Abu Dujanah melihat seorang kawannya cedera parah ditetak musuh. Kemudian datang seorang tentera Quraisy menyerangnya sehingga pahlawan itu syahid. Abu Dujanah berasa sangat marah lalu menerpa ke arah tentera Quraisy itu. Maka berlaku pertarungan antaranya kedua-duanya.

     Pahlawan Quraisy itu menetak Abu Dujanah dengan pedangnya. Dengan pantas Abu Dujanah menangkis dengan perisainya. Kemudian dia menyerang lawannya hingga akhirnya beroleh kemenangan.

     "Bunuh lelaki itu!" teriak Abu Sufian.

     Maka, semakin ramai tentera Quraisy mengerumuninya. Abu Dujanah bagaikan singa yang lapar sedang berdepan dengan sekumpulan kambing. Dia menerkam ke kiri dan ke kanan sambil melibaskan pedangnya. Semakin ramai tentera Quraisy mati di tangannya. Tiba-tiba Abu Dujanah melihat seorang tentera Quraisy yang menutup mukanya dengan kain datang menyerangnya. Tetapi serangan itu dapat ditangkisnya. Malah Abu Dujanah dapat menjatuhnya penyerangnya. Dia menghunus pedang supaya dapat memenggal leher lawannya. Tiba-tiba terdengar jeritan suara seorang wanita. Abu Dujanah merentap kain yang menutup muka tentera Quraisy itu. Dia terpegun seketika kerana lawannya itu seorang perempuan. Abu Dujanah segera melepaskan wanita itu.

     "Kenapa tidak dibunuh?" tanya Amer yang melihat kejadian itu.

     "Aku menghormati pedang yang diberikan Rasulullah. Oleh itu aku tidak mahu membunuh seorang wanita," jawab Abu Dujanah.

     "Tahukah kamu wanita itu adalah Hindun, isteri Abu Sufian bin Harb?" tanya Amer.

     "Walau siapa pun dia aku tidak akan membunuhnya kerana aku menghormati pedang yang diberikan Rasulullah," kata Abu Dujanah.

     Di suatu kawasan lapang di kaki Gunung Uhud, Hamzah bin Abdul Mutalib sedang bertempur dengan tentera Quraisy. Hamzah juga berjuang bermati-matian. Dia mengamuk bagaikan singa yang terluka membaham setiap mangsa yang ditemuinya. Beberapa orang tentera Quraisy tersungkur dikerjakannya. Namun Hamzah masih belum berpuas hati. Dia masih hauskan darah mereka yang memusuhi Allah dan rasulNya.

     Ketika pertempuran berlaku dengan hebatnya, seorang lelaki berkulit hitam sedang mencari-mencari seseorang. Dia adalah Wahsyi seorang hamba berkulit hitam yang sudah dijanjikan tuannya Jubair bin Muth'am dimerdekakan jika dapat membunuh Hamzah bin Abdul Mutalib. Selain Jubair, maka Hindun Binti Uthbah juga mahu membalas dendam terhadap Hamzah kerana membunuh bapanya Uthbah dalam Perang Badar.

     "Kalau kamu dapat membunuh Hamzah bapa saudara Muhammad maka kamu akan merdeka."

     Wahsyi teringat kata-kata tuannya Jubair sebelum berangkat ke medan perang Uhud.

     "Jika kamu dapat membunuh Hamzah yang telah membunuh ayahku maka engkau akan hidup merdeka dan kaya raya," janji Hindun binti Uthbah pula.

     Kata-kata itu membuat Wahsyi begitu nekad hendak membunuh Hamzah bin Abdul Mutalib. Sebelum berangkat ke medan Uhud, Wahsyi mengasah mata tombaknya sehingga tajam berkilat. Kemudian disapukannya racun yang bisa supaya mangsanya cepat mati apabila ditikam mata tombak itu. Wahsyi juga mempunyai kemahiran membaling tombak hingga setiap kali dia membaling tombaknya tidak pernah tersasar.

     Selepas puas mencari akhirnya Wahsyi ternampak Hamzah sedang berperang dengan gagah dan beraninya. Seorang demi seorang tentera Quraisy berjaya dibunuhnya. Wahsyi terus mengekori Hamzah dari belakang menunggu peluang untuk merejamkan tombaknya. Wahsyi ternampak ada sebuah batu besar tidak jauh dari situ. Di berlindung di sebalik batuk itu sambil memerhatikan Hamzah yang bagaikan singa lapar membaham mangsanya. Wahsyi sedar dia tidak mampu berdepan dengan Hamzah. Oleh sebab itu, dia cuba menyerangnya dari belakang.

     Tiba-tiba muncul Siba' bin Abdul Uzza, anak Abu Lahab. Dia juga terkenal sebagai salah seorang pahlawan Quraisy yang diharapkan dapat membantu pasukan Quraisy meraih kemenangan.

     Apabila ternampak Siba' maka Hamzah pun berteriak, "Mari kita bertarung wahai anak tukang khatan."

     Ibu Siba' seorang tukang khatan kaum perempuan. Hamzah memanggilnya anak tukang khatan bagi menaikkan kemarahan Siba' supaya menyahut cabarannya.

     "Aku akan potong lidah kamu wahai singa yang tidak bertaring!" balas Siba' pula.

     Maka kedua-duanya pun bertarung bermati-matian. Ketika itu Siba' memakai baju besi sedangkan Hamzah tidak. Siba' tertawa mengejek apabila beberapa kali tetakan pedang Hamzah yang ditujukan kepada tubuhnya tidak mengena. Namun Hamzah tidak berputus asa. Dia mencari peluang untuk memenggal leher Siba'. Selepas beberapa ketika berlaku pertempuran maka Hamzah dapat menjatuhkan Siba'. Apabila lawannya hendak bangun dengan pantas Hamzah memenggal leher Siba' hingga terpelanting kepalanya. Ketika itu kedudukan Hamzah begitu dekat dengan Wahsyi. Tanpa membuang masa, Wahsyi melontarkan tombaknya tepat mengenai perut Hamzah hingga mata tombak itu tembus ke belakang. Menyedari dirinya sudah luka parah, Hamzah berusaha untuk membunuh Wahsyi tetapi dia tersungkur sebelum sempat mendapatkan Wahsyi.

     Melihat Hamzah sudah terkapar syahid maka Wahsyi mencabut tombak yang tertanam pada perut Hamzah sehingga tali perutnya terburai. Wahsyi segera berlalu dari situ untuk memaklumkannya kepada Hindun.

     "Mari saya tunjukkan," kata Wahsyi lalu membawa Hindun kepada mayat Hamzah.

     Dengan rasa marah geram serta dendam kesumat Hindun membelah dada Hamzah lalu diambil hatinya. Kemudian Hindun memakan hati Hamzah tetapi tidak dapat ditelannya lalu dimuntahkannya. Kemudian dia segera beredar dari situ kerana dendamnya telah berbalas.

     Kematian Hamzah menaikkan semangat pahlawan-pahlawan Islam. Abu Bakar As-Siddiq, Umar al-Khattab, Ali bin Abi Talib, Zubair bin Awwam, Mush'ab bin Umair, Thalhah bin Ubaidillah, Abdullah bin Jahsyi, Sa'ad bin Muaz, Sa'ad bin Rabi', Anas bin Nadhar, Ubaidah al-Jarrah, Sa'ad bin Abi Waqqas dan beberapa orang lagi bertempur secara bermati-matian sehingga berjaya memporak-perandakan pasukan Quraisy.

     Pada satu sudut yang lain, Hanzalah bin Abi Amir juga sedang bertempur bermati-matian. Dia menyerbu ke tengah pasukan Quraisy lalu menggempur mereka dengan gagah berani. Selepas berjaya menumbangkan beberapa orang tentera Quraisy, akhirnya Hanzalah bertemu dengan Abu Sufian bin Harb.

     "Aku bunuh kau wahai kepala musyrikin," teriak Hanzalah lalu menyerang Abu Sufian bin Harb.

     "Tolong aku!" Abu Sufian menjerit apabila menyedari dia dalam bahaya dan hampir tewan di tangan Hanzalah.

     Mendengar jeritan ketua pasukan Quraisy itu maka Syaddad bin Aswad datang membantu. Maka terjadi pertarungan dua melawan satu. Akhirnya Hanzalah gugur syahid.

     Hanzalah seorang pemuda yang baru saja melangsungkan perkahwinan. Selepas dia bersama isterinya, panggilan jihad menjemputnya untuk menyertai pasukan Muslimin. Selepas Hanzalah gugur syahid, Malaikat datang memandikan jenazahnya. Salah seorang sahabatnya melihat mayat Hanzalah dalam keadaan basah seperti baru dimandikan. Beliau bertanya kepada Rasulullah akan peristiwa itu. Namun, Rasulullah menjawab bahawa mayat Hanzalah telah dimandikan malaikat.

     Khalid Al-Walid yang memimpin pasukan berkuda Quraisy cuba menghancurkan pertahanan pasukan Islam di bahagian sayap kiri. Dia membawa pasukan tentera berkudanya melalui lembah Qanat. Tiba-tiba mereka dihujani anak panah yang dilepaskan pasukan pemanah Muslim yang berkubu di Bukit Rumat. Khalid Al-Walid terpaksa mengundurkan pasukannya selepas ramai yang tercedera akibat terkena panah. Tidak lama kemudian Khalid Al-Walid cuba sekali lagi membawa pasukan tentera berkudanya menyerang dari sisi sebelah kanan pula. Namun gagal juga apabila diserang oleh pasukan pemanah yang berada di Bukit Rumat. Khalid Al-Walid memerintahkan beberapa orang tenteranya memanjat bukit tersebut tetapi mereka dapat dipanah oleh 50 pemanah yang mahir memanah itu.

     Khalid Al-Walid masih tidak berputus asa. Dia menyerang untuk kali yang ketiganya. Tetapi masih gagal juga kerana pasukan pemanah yang berada di atas Bukit Rumat dapat menghentikan pergerakan mereka. Pasukan Quraisy kini diambang kekalahan.

     Hindun dan kawan-kawannya menyedari pasukan Quraisy hampir dikalahkan. Mereka cuba memberi kata-kata semangat tetapi semuanya sudah terlambat. Menyedari pasukan Quraisy akan kalah maka Hindun dan kawan-kawannya melarikan diri dari medan perang. Mereka terpaksa menanggalkan gelang-gelang kaki dan gelang tangan lalu mencampakkannya ke tanah dengan harapan tentera Islam tidak mengejar mereka.

     Melihat kaum wanita yang ditugaskan memberi semangat kepada pasukan Quraisy melarikan diri maka tentera Quraisy juga ramai yang melarikan diri dengan meninggalkan harta mereka.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment