Tuesday 9 January 2018

PERANG UHUD [ BAB 14 - KEMBALI DARI MEDAN PERANG ]





KEMBALI DARI MEDAN PERANG








Bahang mentari terasa sudah agak reda kerana awan-awan hitam menyelimuti sebahagian wilayah langit. Penduduk Madinah ternanti-nanti khabar berita berkenaan pertempuran yang berlaku di Gunung Uhud. Mereka berdoa pasukan Islam mencapai kemenangan dan Nabi Muhammad selamat pulang ke pangkuan mereka.

     "Wahai penduduk Madinah. Aku mendapat berita yang menyedihkan. Pasukan Islam sudah tewas dan Nabi Muhammad terbunuh," teriak Jayasyi lelaki Yahudi yang disuruh oleh Abdullah bin Ubai memaklumkan berita itu.

     Orang ramai tersentak mendengarnya. Mustahil pasukan Islam boleh dikalahkan kerana bilangan mereka lebih ramai daripada jumlah mereka dalam Perang Badar. Lebih mustahil Nabi Muhammad terbunuh kerana beliau dilindungi Allah Taala. Ramai yang berkeyakinan jika Nabi Muhammad memimpin pasukan perang, pasti beroleh kemenangan dengan mudah kerana doanya makbul dan dibantu para malaikat.

     "Jika benar pasukan Islam kalah dan Nabi Muhammad terbunuh puncanya daripada kamu kerana lari dari medan perang," marah salah seorang penduduk Madinah.

     "Kamu penakut dan munarik," marah yang lain pula.

     "Kami bukan penakut untuk berperang. Kami hanya berbeza pendapat dengan Muhammad. Kami mahu bertahan dari dalam Kota Madinah. Tetapi nabi kamu terpengaruh dengan cadangan orang muda supaya berperang di luar Kota Madinah," kata Abdullah bin Ubai yang mempertahankan tindakannya.

     "Walau apapun alasan kamu, kami tetap mengatakan kamu penakut dan munafik kerana lari dari medan perang," kata Yazie seorang lelaki tua yang tidak ikut berperang.

     "Tidak mengapa kamu tuduh kami penakut. Pasukan Quraisy akan menyerang Kota Madinah tidak lama lagi. Jika kamu berani hadapilah mereka. Kami akan berlepas tangan," kata Abdullah bin Ubai pula.

     "Kami akan meminta bantuan daripada Allah. Bukan daripada orang munafik macam kamu," marah Yazier.

     "Hei orang tua. Jaga mulut kamu. Nanti aku belasah," tempik Abdullah bin Ubai.

     "Kalau engkau berani cubalah. Aku tidak takut. Walau aku sudah tua tetapi aku tidak gentar dengan orang munafik macam kamu," balas Yazier.

     Abdullah bin Ubai hendak memukul orang tua itu tetapi orang ramai menghalangnya.

     "Jika kamu sanggup memukulnya maka kami juga sanggup memukul kamu," kata Abdullah bin Hakam kawan baik Yazier.

     "Lebih baik kita jangan bergaduh kerana pasukan Quraisy akan menyerang Madinah pada bila-bila masa. Kita mesti bersiap sedia," kata Jahsyi.

     "Memang benar mereka sedang dalam perjalanan ke mari. Kita mesti bersiap sedia," kata Abdullah bin Ubai.

     Penduduk Madinah bertambah bimbang dan cemas apabila mendengar pasukan Quraisy akan menyerang mereka. Jika Kota Madinah diserang, siapa yang akan mempertahankannya?

     "Jika pasukan Quraisy menyerang Madinah, kita menyerah kalah sahaja kerana tidak mampu menentang mereka," kata Abdullah bin Ubai.

     "Aku sokong pandanganmu. Jika kita menentang, kita akan terbunuh tetapi jika kita menyerah, kita akan selamat," sokong Jayasyi pengikut setianya.

     "Jika benar Nabi Muhammad sudah terbunuh, kami juga mahu bertemu dengannya di alam sana. Kami akan menentang orang Quraisy. Kami tidak akan menyerah kalah," kata Abdullah bin Hakam pula.

     Dia juga tidak dapat menyertai pasukan Islam ke Uhud kerana sudah tua. Kanak-kanak di bawah umur dan mereka yang tua tidak dibenarkan menyertainya.

     "Kamu sudah tua dan tidak larat mengangkat senjata. Lebih baik jadi penggembala unta sahaja," kata seorang lagi pengikut Abdullah bin Ubai.

     "Jadi penggembala unta pun mereka tidak layak. Yang layak hanya jadi penjaga kandang unta sahaja," kawan yang lain pula lalu tertawa terkekeh-kekeh.

     "Kamu semua memang penakut kerana lari dari medan perang. Kami yang kecil ini pun sanggup pergi berperang tetapi tidak dibenarkan kerana masih di bawah umur. Tetapi kamu yang sudah dewasa lebih penakut daripada seekor anjing," kata Said bin Habbah yang datang ke situ bersama kawan-kawannya.

     Mereka sekumpulan anak-anak yang berani ingin menyertai Perang Uhud tetapi disuruh pulang oleh Rasulullah kerana masih di bawah umur. Namun mereka adalah anak-anak yang berani.

     "Mereka juga biadab kerana tidak tahu menghormati orang tua. Kami juga akan bersikap biadab terhadap kamu golongan munafik," kata Abdullah bin Umar al-Khattab pula.

     "Kamu jangan masuk campur urusan kami. Pergi dari sini," tengking Abdullah bin Ubai.

     "Ayah aku Umar al-Khattab berpesan supaya kami menjaga kota Madinah. Kami sanggup menentang sesiapa sahaja yang buat kacau termasuk mereka yang munafik seperti kamu," balas Abdullah bin Umar al-Khattab.

     "Biadab sungguh budak itu. Biar aku pukul dia," kata salah seorang pengikut Abdullah bin Ubai.

     "Jangan apa-apakan dia kerana dia anak Umar al-Khattab. Aku tidak mahu bapanya bertindak balas terhadap kita," kata Abdullah bin Ubai.

     "Jika pasukan Quraisy datang menyerang Kota Madinah maka kami yang akan menentang mereka. Kemudian, jika kamu yang buat kacau maka kami yang akan menentang kamu," kata Zaid bin Harithah pula.

     Kata-kata Zaid itu disokong oleh kawan-kawannya yang berjumlah 20 orang. Mereka membawa senjata kerana menjaga keselamatan Kota Madinah. Melihat keberanian kanak-kanak itu, maka Abdullah Hakam dan Yazier naik semangat.

     "Kamu tidak bersendirian kerana kami golongan tua yang tidak ikut Nabi Muhammad berperang di Bukit Uhud. Kami akan bersama kamu mempertahankan Kota Madinah," kata Abdullah bin Hakam.

     "Kami kaum wanita juga akan bersama kamu memerangi musuh Allah dan Rasulnya," kata Ummu Salamah pula yang datang ke situ bersama kawan-kawannya.

     Tidak lama kemudian orang ramai datang ke situ dan masing-masing membawa senjata. Melihat keadaan itu maka Abdullah bin Ubai bersama pengikutnya segera beredar dari situ.

     Di medan Perang Uhud pula, kaum muslimin bersiap-siap untuk pulang ke Madinah setelah selesai mengebumikan para syuhada serta mengumpulkan harta rampasan perang. Kemudian mereka disuruh berbaris kerana Nabi Muhammad hendak berdoa.

     "Ya Allah, segala puji dan syukur adalah hanya kepadaMu ya Allah. Tidak ada yang dapat menahan sesuatu yang engkau limpahkan dan tidak ada yang dapat memberi sesuatu yang Engkau tahan. Tidak ada orang yang dapat memberi hidayah kepada orang yang Engkau sesatkan. Dan tidak ada orang yang dapat menyesatkan orang yang Engkau beri hidayah. Tidak ada yang dapat memberi sesuatu yang Engkau cegah dan tidak ada yang dapat mencegah sesuatu yang Engkau berikan. Tidak ada yang dapat mendekatkan sesuatu yang Engkau jauhkan. Dan tidak ada yang dapat menjauhkan sesuatu yang Engkau dekatkan. Ya Allah, limpahkanlah kepada kami keberkatan, rahmat, kurnia dan rezeki-Mu.

     "Ya Allah, aku mohon limpahkan kurnia nikmat-Mu yang tetap tidak berubah dan tiada habis-habisnya. Ya Allah, aku memohon pertolongan-Mu di saat penderitaan. Aku memohon pertolongan-Mu di saat ketakutan. Ya Allah, aku berhutang kepada-Mu dari keburukan yang timbul dari sesuatu yang Engkau berikan kepada kami dan daripada keburukan sesuatu yang engkau tidak berkenan memberikannya kepada kami. Ya Allah, jadikan iman sebagai kecintaan dan perhiasan dalam hati kami dan jadikanlah kekufuran, kefasikan dan kederhakaan sesuatu yang kami tidak sukai. Jadikanlah kami orang yang selalu mengikut perintah-Mu.

     "Ya Allah, hidupkanlah kami sebagai orang Islam dan gabungkanlah kami dengan orang soleh, bukan orang yang hidup nista dan bukan pula orang kafir iaitu orang yang mendustakan nabi dan rasulMu dan mereka yang merintangi jalanMu. Turunkanlah malapetaka dan azabMu kepada mereka."

     Selesai Nabi Muhammad membacakan doa maka mereka pun berangkat pulang ke Madinah. Sepanjang perjalanan itu mereka bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Taala. Wakaupun mereka mengalami kekalahan di medan perang tetapi mereka yakin mendapat kemenangan di akhirat kelak.

     Di pertengahan jalan, mereka berjumpa dengan Hamnah binti Jahsy iaitu isteri kepada Mush'ab bin Umair pembawa bendera pasukan Muslimin yang telah syahid. Hamnah segera menghadap Nabi Muhammad.

     "Wahai Rasulullah. Di mana keluarga saya?" tanya Hamnah.

     "Saudara kamu Abdullah bin Jahsy telah syahid," jawab Rasulullah.

     Hamnah kelihatan tenang menerima berita itu lalu mengucapkan Innalillah Wainna ilaihirajiun sambil mendoakan keselamatan abangnya di alam sana.

     "Bagaimana dengan Hamzah?" tanya Hamnah lagi.

     "Bapa saudara kamu Hamzah bin Abdul Mutalib telah mendapat syahid," jawab Rasulullah.

     Hamnah juga masih nampak tenang lalu mengucapkan Innalillah wainnailahi rajiun dan berdoa.

     "Bagaimana pula dengan suami aku?" tanya Hamnah lagi.

     Mendengar nama suaminya telah syahid maka Hamnah meraung dan meratap hiba. Kemudian datang pula beberapa orang wanita lagi yang bertanyakan berkenaan suami mereka. Apabila mendapat tahu suami masing-masing telah syahid, semuanya menangis meratap hiba. Rasulullah melarang mereka berbuat begitu. Sejak itu umat Islam dilarang menangis serta meratap hiba di atas kematian seseorang. Boleh bersedih tetapi dilarang meratap hiba.

     Kemudian Rasulullah menghiburkan hati mereka dengan mengatakan sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, akan mendapat balasan syurga. Barulah senang hati mereka mendengarnya.

     Kemudian mereka bertemu pula dengan seorang wanita Bani Diar lalu bertanyakan tentang suami, anak dan bapanya yang turut menyertai Rasulullah dalam Perang Uhud.

     "Mereka semuanya telah syahid," beritahu salah seorang lelaki Bani Diar.

     Wanita itu dapat menahan perasaan sedihnya dan tidak meratap hiba di atas kematian suami, anak dan bapanya.

     "Bagaimana pula dengan Rasulullah?" tanya wanita itu.

     "Nabi Muhammad dalam keadaan baik," jawab lelaki itu.

     "Tunjukkan aku di mana Rasulullah kerana aku ingin melihatnya," pinta wanita itu.

     Wanita itu ditunjukkan kepada Nabi Muhammad. Selepas melihatnya maka wanita itu kelihatan gembira kerana Rasulullah dalam keadaan selamat.

     "Apabila beliau selamat maka musibah yang lain bagiku terasa kecil," kata wanita itu.

     Tiba-tiba seorang wanita berjalan cepat untuk menemui Rasulullah.

     "Itu ibuku wahai Rasulullah," kata Sa'ad bin Muadz.

     "Wahai Rasulullah. Dua orang anakku menyertai kamu di Uhud. Mana seorang lagi?" tanya Ummu Sa'ad.

     "Anak kamu Amru bin Muadz telah syahid," beritahu Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, apabila aku melihat kamu selamat, musibah itu terasa kecil bagiku," kata wanita itu yang menunjukkan kecintaannya terhadap Rasulullah melebihi anaknya.

     "Wahai ibu Saad, semua yang gugur syahid akan bertemu di syurga dan semuanya memberi syafaat kepada keluarga mereka," kata Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, doakan kami orang yang ditinggalkan mereka," pinta wanita itu.

     Nabi Muhammad pun mendoakan mereka. "Ya Allah, hilangkan kesedihan yang ada dalam hati mereka. Gantikanlah apa yang hilang daripada mereka dan berilah ganti yang lebih baik bagi orang-orang yang ditinggalkan."

     Kemudian mereka meneruskan perjalanan hingga sampai ke Kota Madinah. Walaupun mereka pulang membawa kekalahan tetapi penduduk Madinah tetap menyambut kepulangan mereka secara besar-besaran. Semua keluar bagi menyambut kepulangan keluarga masing-masing. Bagi yang masih hidup, kepulangan mereka disambut sebagai pahlawan. Bagi yang telah syahid pemergian mereka diiringi dengan doa kerana Nabi Muhammad melarang mereka meratap hiba.

     Nabi Muhammad terus pulang ke rumah lalu menyerahkan pedangnya kepada Fatimah lalu berkata, "Wahai puteriku, bersihkanlah darah pada pedang ini. Demi Allah ia telah membuat aku bertempur bermati-matian."

     "Baiklah wahai ayahanda," ujar Fatimah sambil menyambut pedang pemberian ayahnya.

     Datang pula Ali bin Abi Talib lalu berkata. "Ini pedangku wahai Fatimah. Bersihkanlah darahnya. Demi Allah, ia telah membuat aku bertempur bermati-matian."

     Rasulullah tersenyum lalu berkata, "Kamu telah bertempur bersungguh-sungguh. Maka Sahl bin Hanif dan Abu Dujanah juga bertempur bermati-matian denganmu."

     Ali gembira kerana kata-kata pujian itu diucapkan Rasulullah di hadapan Fatimah. Ali dan Fatimah telah dikahwinkan sebelum berlakunya Perang Uhud.

     Walaupun baru pulang dari medan perang dan baru bertemu dengan keluarga masing-masing, mereka tidak lupa tugas menjaga keselamatan Rasulullah dan penduduk Madinah.

     "Wahai Rasulullah, kami bimbang pasukan Quraisy menyerang kota Madinah. Oleh itu, kami sentiasa bersiap sedia untuk menghadapinya," kata Abu Ubaidah al-Jarrah.

     Malam itu mereka berjaga-jaga hingga ke pagi. Ada yang berada di pintu masuk Kota Madinah dan ada pula yang meronda di lorong-lorong kota itu bagi memastikan keadaan terkawal dan selamat. Mereka juga tidak lupa menjaga keselamatan rumah Rasulullah. Rumah baginda dikawal ketat pada malam itu.

     Pasukan Quraisy juga telah sampai ke Mekah. Kepulangan mereka juga disambut dengan besar-besaran. Semua penduduk Kota Mekah keluar di jalan-jalan bagi menyambut kepulangan pahlawan mereka.

     "Kami telah berjaya mengalahkan Muhammad dan para pengikutnya. Tujuh puluh orang pengikut Muhammad dapat kami bunuh. Pahlawan-pahlawan mereka seperti Hamzah bin Abdul Mutalib dan Abdullah bin Jahsy dapat kami bunuh. Dengan itu berbalas sudah dendam kami terhadapnya," kata Abu Sufian dengan bangga.

     "Bagaimana pula Abu Bakas As-Siddiq," tanya salah seorang penduduk Kota Mekah.

     "Abu Bakar masih hidup," jawab Abu Sufian.

     "Bagaimana pula dengan Umar al-Khattab?" tanya seorang lagi.

     "Dia juga masih hidup," jawab Ikramah.

     "Bagaimana pula dengan Uthman Affan?" tanya seorang lagi.

     "Dia juga masih hidup," jawab Safwan bin Umaiyah.

     "Bagaimana pula dengan Muhammad," tanya Al-Sahl.

     "Muhamamd masih hidup," jawab Abu Sufian dengan nada kecewa.

     "Apakah gunanya kemenangan kalian jika Muhammad masih hidup," kata Al-Sahl.

     "Apakah maknanya kemenangan kalian jika Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali masih hidup? Mereka yang akan menguatkan semula kedudukan Muhammad. Aku menjangka kedudukan Muhammad menjadi lebih kuat," kata Al-Sahl.

     "Apa yang harus kami lakukan?" tanya Ikramah bin Abu Jahal.

     "Sepatutnya kamu tidak pulang ke Mekah tetapi terus menyerang Kota Madinah. Kota itu pasti mudah kamu tawan kerana Muhammad dan pasukannya masih berada di Gunung Uhud. Abdullah bin Ubai pasti sanggup membantunya dari dalam. Kamu telah mensia-siakan peluang keemasan di depan mata," jawab Al-Sahl.

     "Betul katanya kerana kita sepatutnya terus menyerbu Kota Madinah, bukannya pulang ke Mekah," kata Abu Sufian seperti menyesal dengan tindakannya membawa pasukan tenteranya pulang ke Mekah.

     "Tebus semula kesilapan kamu itu dengan menyerang kota Madinah pagi esok," kata Al-Sahl memberi cadangan.

     "Kami baru saja pulang dari medan perang. Letih kami masih belum hilang dan baru saja dapat bersama keluarga. Apakah kami akan dipaksa berperang sekali lagi?" tanya salah seorang pasukan Quraisy.

     Akibatnya mereka berbalah sesama sendiri. Ada yang bersetuju mereka menyerang Kota Madinah pada keesokan harinya kerana yakin Nabi Muhammad dan pasukannya masih berada di Gunung Uhud. Namun, ada pula yang tidak bersetuju.

     Tetapi Abu Sufian tetap dengan keputusannya hendak menyerang Kota Madinah pada keesokan harinya.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment