Tuesday 2 January 2018

PERANG UHUD [ BAB 8 - BERSIAP SEDIA UNTUK BERPERANG ]






BERSIAP SEDIA UNTUK BERPERANG








6 Syawal tahun ke-3 Hijrah

Malam itu Abbas bin Abdul Mutalib tidak dapat tidur nyenyak kerana risau mengenangkan apa yang akan berlaku pada Nabi Muhammad dan para pengikutnya di Madinah. Walaupun dia tahu Nabi dan para pengikutnya di Madinah. Walaupun dia tahu Nabi Muhammad sentiasa dilindungi Allah Taala dan mengetahui perkara-perkara ghaib yang disampaikan melalui malaikat namun hatinya tetap bimbang dengan keselamatan Rasulullah terutamanya para pengikutnya. Kebimbangan yang sama juga pernah dirasai Abu Talib yang sentiasa berusaha melindungi keselamatan Nabi Muhammad walaupun dia tahu beliau dikurniakan mukjizat.

     "Apa yang kekanda fikirkan sehingga tidak lena tidur?" tanya isterinya Ummu Al-Fadhl.

     "Pasukan perang Mekah sudah bersiap sedia menyerang Madinah. Mereka sudah pun bergerak petang tadi. Kekanda bimbang tentang keselamat Muhammad termasuk keluarga kita yang berada di Madinah," jawab Abbas lalu meluahkan rasa kesalnya kerana tidak dapat menghalang rancangan orang Quraisy menyerang Madinah.

     "Maklumkan segera kepada Muhammad supaya mereka boleh bersiap sedia," kata Ummu Al-Fadhl.

     "Itu yang sedang kekanda fikirkan. Namun kekanda harap tidak berlaku peperangan kerana apabila berlaku pertempuran pasti ada yang terbunuh dan cedera. Kekanda sudah melihat betapa dahsyat pertempuran di Badar. Oleh sebab itu, kekanda tidak mahu turut serta walaupun dituduh penakut dan pembelot. Tambahan pula kekanda sudah menjadi pengikut Nabi Muhammad. Semasa dibebaskan daripada tawanan perang, kekanda sudah berjanji tidak menyebelahi orang Quraisy yang memusuhinya," kata Abbas.

     "Kebanyakan mereka yang pernah terlibat dalam Perang Badar tidak mahu lagi berperang dengan Muhammad kecuali beberapa orang yang memang degil dan keras kepala seperti Ikramah dan beberapa orang kawannya. Abu Izzah pula berjaya dipujuk oleh Safwan dengan janji-janji palsu untuk diberikan harta kekayaan setelah pulang dari medan perang," kata Ummu Al-Fadhl.

     Kemudian katanya lagi, "Adinda yakin mereka akan menerima nasib seperti Abu Lahab dan kawan-kawannya. Mereka yang menentang Allah dan Muhammad pasti menerima balasannya. Adinda sangka setelah mereka itu terbunuh, permusuhan itu akan lenyap tetapi diteruskan pula oleh Abu Sufian, Safwan dan Abdullah bin Rabi'ah."

     Kedua-duanya terus berbual sehingga menjelang pagi. Kemudian keesokan harinya Abbas memanggil khadamnya lalu berkata, "Aku perintahkan kamu pergi ke Madinah dan sampaikan surat ini kepada Nabi Muhammad. Ambil kudaku ini dan tunggang dengan pantas supaya kamu lebih dahulu sampai ke Madinah dari pasukan perang Quraisy."

     "Baik tuan, saya pergi sekarang," kata Abdullah lalu memecut laju kuda tunggangannya. Dengan ketangkasannya menunggang kuda, maka perjalanan dari Mekah ke Madinah boleh sampai dalam masa tiga hari sahaja.

     Kebetulan ketika itu Nabi Muhammad berada di Masjid Qubak ditemani Ubai bin Ka'ab. Orang suruhan Abbas terus menyerahkan surat itu kepada Nabi Muhammad dan beliau menyuruh Ubai bin Ka'ab membacanya. Selepas dibacakan surat itu, Rasulullah mengambil keputusan untuk pulang segera ke Madinah supaya dapat berunding dengan sahabatnya daripada kalangan Ansar dan Muhajirin. Beliau juga berpesan supaya mereka merahsiakan kandungan surat itu sehingga selesai mengadakan mesyuarat. Perintah itu dipatuhi.

     Setelah sampai di Madinah Nabi Muhammad segera mengadakan mesyuarat dengan para sahabatnya yang terdiri daripada orang Ansar dan Muhajirin. Selepas surat itu dibacakan dan selepas mengetahui angkatan perang Quraisy sedang dalam perjalanan menyerang Madinah, mereka mencapai kata sepakat untuk menghadapinya. Sebagai langakah berjaga-jaga maka semua kaum lelaki diminta membawa senjata ke mana saja berada. Malah ketika bersembahyang mereka meletakkan senjata di sisi dan bersiap sedia jika berlaku pertempuran.

     Demi menjaga keselamatan Rasulullah, orang Ansar mengawal beliau siang dan malam. Setiap malam Sa'ad bin Muadz, Usaid bin Hudair dan Sa'ad bin Ubadah tidur di depan pintu rumah Rasulullah sambil memegang senjata. Orang Muhajirin yang diketuai Hamzah bin Abdul Mutalib berkawal di pintu masuk Kota Madinah. Manakala yang lain pula meronda-ronda di jalan-jalan yang mungkin dilalui musuh. Mereka bersiap sedia untuk mempertahankan Madinah daripada serangan pasukan tentera Quraisy.

     Pasukan tentera Quraisy tidak dapat berjalan pantas kerana membawa barang-barang yang banyak termasuk makanan, air minuman dan senjata. Sepanjang perjalanan pula kaum perempuan menghiburkan mereka dengan paluan gendang dan nyanyian untuk menaikkan semangat berperang. Mereka sengaja melalui jalan darat yang biasa dilalui oleh orang ramai supaya kedatangan mereka diketahui Muhammad. Apabila sampai di suatu tempat bernama Abwa' maka Hindun menyuruh mereka berhenti.

     "Wahai orang Quraisy. Di sini terdapat kubur Aminah iaitu ibu Muhammad. Aku mencadangkan kita gali kubur itu dan bongkar tulang-belulangnya kemudian kita bakar supaya Muhammad tahu betapa marahnya kita terhadapnya," kata Hindun mencadangkan.

     "Aku tidak setuju kerana itu hanya akan melambatkan perjalanan kita. Tambahan pula membongkar kubur lama bertentangan dengan adat nenek moyang kita. Aku bimbang timbul perbalahan sesama kita. Kita tinggalkan saja Abwa' dan perjalanan diteruskan," kata Abu Sufian. Hindun terpaksa akur dengan perintah suaminya yang juga ketua tertinggi pasukan perang Quraisy itu. Namun dendamnya kepada Nabi Muhammad semakin membara.

     Selepas lebih sepuluh hari berjalan akhirnya angkatan perang Quraisy itu sampai di suatu tempat bernama Ainian yang terletak tidak jauh dari Gunung Uhud. Abu Sufian menyuruh mereka berhenti rehat serta memasang khemah.

     "Sepatutnya kita terus melancarkan serang mengejut ke atas Kota Madinah. Aku tidak sabar melihat Muhammad dan semua pengikutnya dibunuh," kata Hindun seolah-olah tidak sabar lagi untuk melihat berlakunya pertempuran antara pasukan Quraisy dengan Nabi Muhammad dan pengikutnya.

     "Mereka kepenatan kerana melalui perjalanan yang jauh. Oleh itu, mereka perlu berehat dahulu. Selepas itu baru kita bincangkan tindakan selanjutnya," kata Abu Sufian pula.

     "Bagaimana jika Muhammad tahu kedatangan kita?" tanya Hindun yang berasa tidak puas hati kerana cadangannya ditolak.

     "Biarlah mereka tahu kedatangan kita. Dengan itu mereka boleh memilih untuk menyerah ataupun berperang," jawab Abu Sufian.

     "Jika Muhammad dan pengikutnya menyerah diri apakah kita lepaskan mereka begitu saja?" tanya Hindun lagi.

     "Mereka tetap akan dibunuh," jawapan Abu Sufian itu memuaskan hati Hindun.

     Sejak mendapat berita angkatan perang Quraisy hendak menyerang Madinah, Nabi Muhammad menyuruh pasukan perisik yang diketuai oleh Abu Ubaidah al-Jarrah memantau kedatangan musuh. Kedatangan angkatan perang Quraisy itu dapat dikesan oleh mereka. Laporan terakhir yang disampaikan kepada Nabi Muhammad mengatakan musuh sedang berkhemah di Ainian berhampiran dengan Gunung Uhud.

     Nabi Muhammad segera mengadakan mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin Ansar dan Muhajirin. Baginda juga memberitahu berkenaan mimpinya dengan berkata, "Demi Allah, sungguh aku telah bermimpi yang baik. Aku bermimpi melihat sapi disembelih, mata pedangku sumbing dan aku memasukkan tangan ke dalam baju besi," katanya.

     "Apakah tafsiran mimpimu itu, wahai Rasulullah?" tanya Hamzah bin Abdul Mutalib.

     Nabi Muhammad menjawab dengan mentakwilkan sapi yang disembelih itu adalah sekumpulan sahabat-sahabat yang akan terbunuh atau gugur syahid, mata pedangnya sumbil ditakwilkan ada di kalangan keluarganya yang terluka dan baju besi itu adalah Madinah. Dengan erti kata lain, tafsiran mimpi Rasulullah itu adalah ramai antara para sahabat baginda akan gugur syahid di medan perang, salah seorang ahli keluarganya gugur syahid dan Kota Madinah tetap dikuasai Rasulullah.

     "Wahai Rasulullah, ada antara kami yang tidak sempat menyertai Perang Badar. Sejak itu kami begitu teringin terjadi sekali lagi peperangan dengan musuh Allah dan RasulNya. Inilah yang kami tunggu dan kami akan berperang bersamamu," kata seorang lelaki Ansar yang tidak ikut serta dalam Perang Badar.

     "Kami juga begitu wahai Rasulullah. Walaupun kami tahu ada antara kami yang akan gugur syahid namun itu tidak menakutkan kami. Malah itu yang kami inginkan. Bawalah kami keluar untuk berperang dengan musuh yang berkhemah di Ainian," kata seorang lelaki Muhajirin pula.

     Nabi Muhammad mengusulkan dua pilihan, pertama mereka bertahan dari dalam kota Madinah. Sekiranya musuh tidak jadi menyerang mereka tidak rugi apa-apa sebaliknya musuh yang rugi. Sebaliknya jika pasukan Quraisy menyerang, mereka akan menentang musuh dari lorong ke lorong. Kaum wanita pula boleh membantu membaling musuh dari atas rumah. Usul yang kedua pula mereka akan menentang musuh di luar Kota Madinah. Baginda meminta mereka memberi pendapat masing-masing walaupun baginda lebih cenderung dengan usul yang pertama.

     Orang yang pertama bangun adalah Abdullah bin Ubai.

     Dia cuba menakut-nakutkan orang ramai dengan berkata, "Aku mendapat berita angkata perang Quraisy itu jumlahnya terlalu ramai berbanding dengan kita. Mereka membawa banyak kelengkapan senjata, makanan dan air minuman. Mereka dibantu seluruh kabilah Arab dan Badwi sekitar Kota Mekah. Sekarang mereka sedang mengintip kita untuk melancarkan serangan pada bila-bila masa.

     "Kerana itu jika kamu ingin juga berperang maka aku menyokong usul yang pertama kita bertahan dari dalam kota Madinah sahaja. Kita tidak perlu keluar untuk menghadapi musuh yang sangat ramai itu. Kita bertahan sahaja dari dalam kota Madinah. Apabila musuh menyerang kita membalas serangan mereka. Apabila musuh bertahan maka kita turut bertahan. Aku yakin itu adalah yang terbaik dan semua penduduk Madinah akan bersama-sama mempertahankan Kota Madinah ini," kata Abdullah bin Ubai.

     Beberapa hari sebelum itu Abdullah bin Ubai juga sudah didatangi seorang utusan yang dihantar Abu Sufian memaklumkan satu serangan secara besar-besaran akan dilakukan. Abdullah bin Ubai dan orang Yahudi diminta berdiam diri di dalam rumah masing-masing dan jangan keluar ikut berperang. Abdullah bin Ubai menyokong cadangan mereka bertahan dari dalam Kota Madinah kerana dia dan kawan-kawannya tidak akan keluar berperang.

     "Wahai Rasulullah, kami golongan muda tidak sempat bersama kamu berperang di Badar. Sejak itu kami selalu berdoa kepada Allah supaya mendatangan kesempatan jihad ini. Allah telah memperkenankan doa kami. Kami lebih suka kita berperang di luar Kota Madinah. Kami akan menentang musuh bermati-matian tanpa perlu risaukan keselamatan keluarga kami yang berada dalam kota Madinah," kata Yaser mewakili golongan muda.

     Hamzah bin Abdul Mutalib menyokong cadangan itu. Dia mengangkat pedangnya lalu berkata, "Demi Allah yang telah mengutus kepada kami seorang Rasul dan menurunkan Al-Kitab kepada kami. Aku tidak akan menjamah makanan sebelum aku memenggal musuh di luar kota Madinah."

     Oleh sebab ramai yang menyokong cadangan berperang di luar Kota Madinah, maka Nabi Muhammad bersetuju dengan cadangan itu. Tetapi Abdullah bin Ubai kelihatan tidak berpuas hati kerana cadangannya ditolak. Kemudian Rasulullah menyeru orang ramai supaya menyertai angkatan perang Madinah. Jumlah mereka seribu orang.

     Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya juga terpaksa mendaftarkan diri kerana bimbang dituduh penakut. Tetapi dalam diam-diam mereka merancang untuk menggagalkan pasukan Madinah.

     Selepas sembahyang Jumaat, mereka yang telah menyertai pasukan perang Madinah berkumpul di Masjid Nabi. Kemudian Rasulullah memberi nasihat dan kata-kata semangat kepada mereka. Baginda mengatakan mereka pasti mendapat pertolongan Allah Taala jika mereka sanggup menghadapi musuh. Baginda juga berpesan supaya patuh kepada perintah yang diberikan dan jangan berundur dari medan perang. Nabi Muhammad terus memberi kata-kata nasihat sehingga masuk waktu sembahyang Asar.

     Selepas sembahyang Asar Nabi Muhammad masuk ke dalam rumah ditemani Abu Bakar dan Umar al Khattab. Tidak lama kemudian mereka keluar mendapatkan orang ramai. Abu Bakar dan Umar al Khattab memakai serban serta menyandang pedang masing-masing. Nabi Muhammad pula memakai baju besi serta menyandang sebilah pedang.

     Pada ketika itu timbul penyesalan dalam hati kaum Muslimin kerana seolah-olah memaksa Nabi Muhammad mengikut kehendak mereka berperang di luar Madinah.

     Salah seorang daripada mereka mendapatkan Rasulullah lalu berkata, "Wahai Rasulullah, kami tidak memaksa kamu mengikut kehendak kami berperang di luar Kota Madinah. Kami tidak akan membantah perintahmu. Lakukanlah apa yang kamu kehendaki. Jika kamu mahukan kami berperang dari dalam kota Madinah kami akan patuh dengan perintah kamu," katanya.

     "Seorang nabi apabila telah mengenakan baju besi tidak patut menanggalkannya sehingga Allah memberi keputusan antara dia dengan musuhnya," kata Nabi Muhammad.

     Barulah senang hati mereka mendengarnya kerana Nabi Muhammad tidak merasakan dia dipaksa menurut kehendak golongan muda yang mahu berperang di luar Kota Madinah. Kemudian Nabi Muhammad menyuruh Ali bin Ali Talib mengira semula jumlah anggota pasukan. Kesemuanya seribu orang kerana tidak seorang pun yang menarik diri.

     Kemudian Nabi Muhammad membahagikannya kepada tiga pasukan iaitu kumpulan Muhajirin berasal dari Mekah benderanya dipegang oleh Mush'ab bin Umair, kumpulan Aus daripada kaum Ansar benderanya dipegang Usaid bin Hudlair dan kumpulan Khazraj daripada kaum Ansar benderanya dipegang Al-Habbab bin Al-Mundzir. Kemudian Nabi Muhammad menyerahkan urusan Madinah kepada Abdullah bin Ummi Makhtum.









N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.

No comments:

Post a Comment