Monday 15 January 2018

PERANG UHUD [ BAB 21 (AKHIR) - DIGERUNI LAWAN ]






DIGERUNI LAWAN








"Ketika berada di Madinah kita dipandang mulia dan hidup kita senang dan kaya-raya. Tetapi keadaan sekarang sudah berubah. Kita menjadi pelarian menumpang hidup di negeri orang. Mereka memandang hina terhadap kita," kata Julai meluahkan kemarahannya.

     "Semua ini salah kamu juga kerana cuba mengkhianati Muhammad. Bukankah aku sudah beri amaran supaya jangan cuba membuat pakatan membunuh Muhammad kerana tuhanNya pasti akan memberitahu dia. Sesungguhnya Muhammad dijaga oleh Allah yang maha berkuasa," kata Salam bin Musykam.

     "Jika kamu takut dengan Muhammad, mengapa ikut kami berpindah ke sini? Mengapa itdak tinggal saja di Madinah dan menjadi pengikut Muhammad?" marah Huyay pula.

     "Aku sayang kepada Bani Nadhir sebab itu aku masih bersama kamu. Walaupun aku yakin Muhammad itu memang seorang rasul dan agama yang dibawanya adalah benar, namun aku lebih suka berada dengan kaumku Bani Nadhir," kata Salam bin Musykam.

     "Dia sudah tua kerana itu jangan pedulikannya," kata Salam bin Abul Haqiq pula.

     Kemudian katanya lagi, "Kita mesti berusaha untuk kembali ke tanah air kita. Madinah mesti kita rebut semula dari Muhammad dan pengikutnya. Mereka akan kita bunuh atau kita usir dari Madinah."

     "Aku sudah merancang untuk melaksanakannya. Tetapi kita tidak boleh melakukannya bersendirian. Kita mesti meminta bantuan daripada kabilah yang lain. Aku yakin mereka bersimpati dengan kita," kata Huyay pula.

     "Jangan minta bantuan daripada Bani Quraizah dan Bani Ghathafan kerana mereka tidak boleh dipercayai. Mereka telah mungkir janji serta mengkhianati kita. Kita juga jangan percaya kepada Abdullah bin Ubai kerana dia seorang penipu besar," marah Julai.

     "Aku juga tidak percaya lagi dengan mereka. Kita akan meminta bantuan daripada orang Arab Badwi dari Bani Muhari dan Bani Tsa'laba," kata Huyay pula.

     Menurut Huyay, dia mempunyai hubungan yang baik dengan mereka. Mereka sering bersama pergi berniaga di Syam. Orang Bani Nadhir bersetuju dengan cadangan itu.

     Keesokan harinya, Huyay dan Salam bin Abul Haqiq menuju ke perkampungan Arab Badwi Bani Muhari yang terletak tidak jauh dari Khaibar. Kedatangan mereka disambut dengan baik.

     "Kami bersimpati dengan apa yang sudah menimpa kamu. Apa yang boleh kami bantu?" tanya Jusam, ketua Bani Muhari.

     "Muhammad dan pengikutnya mengusir kami dari Madinah. Tanah dan hasil tanaman kami dirampas. Rumah dan ternakan kami juga mereka ambil. Malah senjata dan perisai kami juga mereka rampas. Kami keluar dari Madinah hanya sehelai sepinggang," kata Huyay dalam usaha untuk mendapat simpati Jusam, yang juga kawan baiknya.

     "Kami tidak ada berdiam diri selagi Muhammad dan pengikutnya belum dihapuskan dan harta kami yang mereka rampas dapat semula," kata Huyay.

     "Marilah membantu kami menyerang Madinah. Sebagai balasannya, kamu akan dibenarkan memiliki tanah-tanah yang subur di Madinah. Kamu tidak perlu lagi hidup berpindah-randah," pujuk Salam pula.

     "Tawaran kamu itu sungguh menarik. Kami sudah lama ingin memiliki tanah yang subur, rumah yang cantik dan kuda tunggangan yang baik," kata Jusam.

     Orang Badwi Bani Muhari juga memang sudah lama menaruh rasa dengki terhadap Nabi Muhammad dan para pengikutnya. Apabila mendapat tawaran itu dengan mudah mereka menerimanya.

     "Kami sanggup membantu dengan syarat apa yang kamu janjikan tadi ditunaikan," kata Jusam lalu menyatakan kesediaannya menyerang Madinah.

     Kemudian Huyay dan Salam menemui ketua Arab Badwi Bani Tsa'labah pula. Mereka juga dapat dipujuk oleh Huyay dan Salam dengan janji-janji yang manis. Sejak hari itu, Bani Muhari dan Bani Tsa'labah membuat persiapan untuk menyerang Madinah.

     Apabila Nabi Muhammad mendapat tahu berita itu, baginda segera membentuk pasukan perang bagi menggagalkan rancangan itu. Baginda berpendapat, ada masanya musuh perlu diperangi dahulu sebelum mereka menyerang kita. Namun jika boleh diadakan perdamaian, itulah pilihan yang terbaik. Ramai yang ingin menyertai pasukan itu tetapi Nabi Muhammad memilih 700 orang sahaja yang terdiri daripada kaum Ansar dan Muhajirin.

     Selepas persiapan dibuat maka Nabi Muhammad memimpin pasukannya keluar dari Madinah. Beliau melanitik Uthman bin Affan menggantikannya menjaga Madinah. Bendera pasukan pula dipegang oleh Ali bin Abi Talib.

     Menurut Nabi Muhammad, tujuan sebenar mereka keluar bukan untuk menyerang musuh tetapi lebih kepada menakut-nakutkan musuh supaya mereka tidak jadi menyerang Madinah. Tetapi jika terpaksa, mereka bersedia untuk berperang. Nabi Muhammad membawa pasukannya ke suatu tempat bernama Nakla yang terletak di sempadan antara perkampungan Bani Muhari dan Bani Tsa'labah. Mereka berhenti di situ serta memasang khemah.

     Apabila Bani Muhari dan Bani Tsa'labah mendapat tahu angkatan perang Madinah sedang mara hendak menyerang, mereka pun berasa gentar kerana perancangan awal mereka hendak menyerang Madinah tetapi sekarang mereka yang akan diserang. Maka timbul perbalahan sesama mereka kerana Bani Muhari mahu Bani Tsa'labah membantu mereka mempertahankan perkampungan Bani Muhari. Tetapi Bani Tsa'labah pula mahu Bani Muhari membantu mereka mempertahankan perkampungan mereka. Akhirnya mereka membuat kata putus mempertahankan perkampungan masing-masing. Kemudian mereka mendapat tahu angkatan perang Islam berkumpul di Naklah.

     "Muhammad dan pasukan tenteranya berada di Naklah. Inilah masa yang paling baik kita menyerang Madinah. Dengan mudah kita dapat menaklukinya kerana Muhammad dan pasukan tenteranya tidak ada di sana," kata Huyay yang datang ke perkampungan Bani Muhari.

     Jusam bersetuju dengan cadangan itu. Kemudian mereka mengajak Bani Tsa'labah turut serta.

     "Bagaimana jika Muhammad dan pasukan tenteranya menyerang perkampungan kita? Siapa yang akan mempertahankannya kerana kita tidak ada?" kata Khalid ketua Bani Tsa'labah.

     "Benar kata Khalid. Jika kita menyerang Madinah, sudah tentu Muhammad menyerang perkampungan kami pula. Oleh itu, lebih baik kita pertahankan perkampungan kita sahaja," kata Jusam pula. Huyay berasa kecewa kerana cadangannya tidak berjaya.

     "Jika begitu, kita ke Naklah menyerang Muhammad dan pasukannya," pujuk Huyay.

     Jusam dan Khalid bersetuju. Maka bergabunglah pasukan Bani Muhari, Bani Tsa'labah dan Bani Nadhir hingga jumlah mereka lebih tiga ribu orang. Mereka berangkat ke Naklah dan mengepung kawasan itu. Kebetulan pula ketika itu, masuk waktu sembahyang Asar maka Bilal pun azan. Suara azan yang dilaungkan Bilal itu turut didengar oleh orang Bani Mahuri, Bani Tsa'labah dan Bani Nadhir yang sedang mengintip pergerakan pasukan muslimin. Selepas Bilal menyerukan iqamat maka pasukan Islam berbaris di belakang Rasulullah.

     Orang Bani Muhari dan Tsa'labah berasa kagum apabila melihat orang Islam bersembahyang berjemaah. Mereka melihat orang Islam bersembahyang dengan penuh khusyuk. Apabila Nabi Muhammad rukuk mereka turut rukuk. Apabila Rasulullah sujud mereka ikut sujud. Mereka hanya bergerak setelah Nabi Muhammad memulakan pergerakannya. Perlakuan itu menimbulkan rasa kagum orang Bani Muhari dan Bani Tsa'labah.

     "Alangkah menariknya cara mereka beribadat. Inilah cara yang paling bagus. Mereka beratur dalam barisan yang lurus. Tumit bertemu tumit dan bahu bertemu bahu. Mereka tidak bercelaru walaupun ketika rukuk dan sujud. Betapa hebatnya Muhammad mendidik pasukan tenteranya," kata Jusam dengan rasa kagum.

     "Mereka tetap bersembahyang walaupun tahu kita sedang mengepung mereka dan pada bila-bila masa akan diserang. Mereka seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan apabila bersembahyang," puji Khalid pula yang turut berasa kagum melihat situasi itu.

     "Jangan kamu rasa kagum kerana mereka musuh kita. Mari kita serang Muhammad dan pasukannya yang sedang bersembahyang," kata Huyay yang seolah-olah tidak sabar lagi untuk membalas dendam terhadap Nabi Muhammad dan para pengikutnya.

     "Kami Bani Muhari tidak menyerang mereka yang sedang beribadat. Tambahan pula mereka tidak memegang senjata. Jika kamu hendak menyerang, persilakanlah tetapi kami tidak masuk campur," kata Jusam.

     "Kami juga tidak akan menyerang mereka yang sedang beribadat. Itu pegangan kami sejak dahulu," kata Khalid ketua Bani Tsa'labah pula. Jawapan itu mengecewakan Huyay dan Salam.

     "Jika kamu tidak mahu tidak mengapa. Biar kami saja yang akan menyerang mereka," kata Huyay.

     "Jika begitu kami akan berlepas tangan. Kami akan pulang ke perkampungan kami. Kamu lakukanlah sendirian," jawab Jusam.

     "Aku juga akan membawa orangku pulang ke perkampungan kami," kata Khalid pula.

     Ketika itu Nabi Muhammad dan pasukannya terus bersembahyang hingga selesai. Mereka yang di belakangnya masih belum berganjak dari tempat masing-masing walaupun sesudah memberi salam. Selepas Nabi Muhammad bergerak, barulah mereka bersurai dan segera mengambil senjata masing-masing dan bersedia untuk berperang.

     Tidak lama kemudian orang Bani Muhari dan Bani Tsa'labah meninggalkan Naklah pulang ke perkampungan mereka. Tinggal orang Bani Nadhir yang jumlahnya tidak sampai 500 orang. Huyay dan Salim berasa takut lalu pulang semula ke Khaibar.

     Malam itu Nabi Muhammad bermalam di Naklah dan keesokan harinya selesai sembahyang Subuh, mereka bergerak ke perkampungan Bani Muhari dan Bani Tsa'labah. Sebelum itu, pasukan Islam dibahagikan kepada dua pasukan. Pasukan pertama menuju ke perkampungan Mahuri dan pasukan kedua menuju ke perkampungan Bani Tsa'labah.

     Orang Bani Muhari dan Bani Tsa'labah terkejut apabila mendapati orang Islam sudah berada di perkampungan mereka. Dengan tergesa-gesa, mereka melarikan diri ke lereng-lereng bukit di sekeliling perkampungan itu. Mereka meninggalkan kaum perempuan dan kanak-kanak.

     Nabi Muhamamd menyuruh semua kaum perempuan dan kanak-kanak dikumpulkan pada suatu tempat tetapi mereka dilarang menyakiti tawanan itu. Mereka dilayan dengan baik.

     Jusam dan Khalid menyangka Nabi Muhammad dan pasukannya telah membunuh kanak-kanak serta memperkosa kaum wanita. Maka mereka pun keluar dari tempat persembunyian untuk berdepan dengan pasukan Islam.

     Apabila Jusam dan Khalid mendapat tahu kaum wanita dan kanak-kanak dalam keadaan selamat dan mereka tidak diapa-apakan, maka mereka membatalkan niat untuk menyerang. Mereka kembali berundur ke lereng-lereng bukit.

     Keesokan harinya Nabi Muhamamd dan pasukannya pulang ke Madinah.




=============================================



Bulan Sya'ban tahun ke-4 Hijrah / Januari tahun 626 Masihi.

Musim kering melanda Kota Mekah. Cuaca sangat panas menyebabkan ramai yang mengeluh. Pada waktu siang, mereka lebih selesa berada di dalam rumah masing-masing.

     "Apakah engkau sudah lupa janji yang diucapkan kepada Muhammad dan pengikutnya semasa Perang Uhud?" tanya Safwan kepada Abu Sufian.

     "Banyak janji yang aku ucapkan. Yang mana satu engkau maksudkan?" tanya Abu Sufian pula.

     "Bukankah kamu berjanji hendak berperang sekali lagi dengan Muhammad di Badar. Sekarang sudah sampai masa yang dijanjikan itu," kata Safwan mengingatkan.

     Abu Sufian kelihatan serba salah. Masakan dia lupa janji itu. Tetapi sekarang keadaan sudah berubah. Muhammad dan pasukannya semakin kuat dan digeruni lawan dan kawan.

     "Jika engkau tidak penuhi janji itu, engkau akan dituduh penakut oleh Muhammad dan pengikutnya. Penduduk Mekah juga akan mentertawakan kamu," kata Safwan.

     Abu Sufian pun berusaha mengumpulkan pasukan perang. Tetapi ramai penduduk Kota Mekah yang keberatan untuk keluar berperang. Tambahan pula ketika itu musim panas. Cuaca kering kontang. Abu Sufian pun mencari helah untuk memperdayakan Nabi Muhammad.

     "Pergilah kamu ke Madinah dan beritahu Muhammad bahawa aku telah menunaikan janjiku hendak berperang dengannya di Badar. Beritahu Muhammad yang aku menunggu kedatangan mereka di Badar dengan pasukan tentera berjumlah 10 ribu orang," kata Abu Sufian kepada Nu'aim bin Mas'ud.

     "Benarkah kita akan berperang sekali lagi dengan Muhammad? Tidakkah engkau tahu sekarang tidak sesuai untuk kita keluar berperang?" kata Nu'aim minta kepastian.

     "Itu hanyalah helah aku sahaja bagi menakutkan Muhammad. Aku yakin dia juga tidak berani keluar dalam cuaca yang sangat panas begini. Tambahan pula, apabila mereka tahu aku membawa ramai tentera," terang Abu Sufia yang berasa yakin helahnya berjaya menakutkan Nabi Muhammad.

     Akhirnya Nu'aim faham tujuan sebenar Abu Sufian. Dia besetuju selepas dijanjikan upah yang lumayan. Keesokan harinya, Nu'aim pergi ke Madinah. Apabila sampai, dia terus menemui Nabi Muhammad.

     "Aku diutus oleh Abu Sufian kepada kamu untuk memaklumkan dengan janji yang diucapkannya dalam Perang Uhud dulu. Sekarang Abu Sufian sedang menunggu kedatangan kamu di Badar untuk berperang sekali lagi. Mereka datang dengan 10 ribu tentera," kata Nu'aim yang sengaja menambah cerita bagi menakutkan Nabi Muhammad.

     Sehubungan dengan itu turun ayat quran surah Ali Imran ayat 173.

     "Sesungguhnya mereka (Quraisy) telah mengumpulakan pasukan untuk menyerang kamu kerana itu takutlah kepada mereka. Perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab, cukuplah Allah menjadi pelindung kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung."

Berita yang disampaikan Nu'aim itu tidak menakutkan Nabi Muhammad. Malah beliau menyahut cabaran itu dengan mengatakan kepada utusan bohong itu, bahawa umat Islam bersedia berperang sekali lagi dengan orang Quraisy Mekah.

     "Beritahu Abu Sufian, kami akan datang ke Badar untuk berperang dengan mereka," kata Ali bin Abi Talib kepada Nu'aim.

     "Katakan juga kepada Abu Sufian bahawa semua penduduk Madinah akan keluar untuk membantu kami berperang," kata Abu Ubaidah al-Jarrah pula. Nu'aim segera pulang ke Mekah lalu melaporkan perkara itu kepada Abu Sufian.

     Kemudian Nabi Muhammad segera membentuk pasukan perang seramai 1500 orang. Sepuluh orang antara mereka menunggang kuda. Urusan menjaga Madinah diserahkan kepada Abdullah bin Rawaha dan Ali bin Abi Talib memegang panji pasukan Islam. Kemudian mereka bergerak menuju ke Badar.

     Walaupun ketika itu musim panas dan cuaca kering kontang, namun ia tidak menghalang pasukan Islam meredah padang pasir menuju ke medan jihad. Semangat yang ditunjukkan pasukan Islam itu menakutkan Abdullah bin Ubai dan orangnya. Mereka bertekad untuk menjaga keselamatan Madinah sepanjang ketiadaan Rasulullah.

     Apabila Nabi Muhammad dan pasukannya sampai di Badar, mereka dapati tidak ada seorang pun orang Quraisy berada di situ. Namun mereka terus menunggu di situ selama beberapa hari.

     Di Mekah pula apabila Abu Sufian mendapat tahu Nabi Muhammad dan pasukan tenteranya sudah berada di Badar, maka dia berasa malu dan serba salah kerana tipu helahnya tidak berjaya. Malah menaikkan semangat orang Islam untuk berperang sehingga sanggup keluar walaupun dalam cuaca yang panas terik.

     Untuk menjaga maruahnya, maka Abu Sufian berusaha juga mengajak penduduk Mekah keluar berperang. Tetapi hanya dua ribu orang sahaja yang menyatakan kesanggupan mereka.

     Abu Sufian tidak yakin dengan kekuatan pasukannya. Dalam perang Uhud, jumlah mereka tiga ribu orang tetapi sekarang jumlah mereka hanya dua ribu orang sahaja.

     "Seluruh penduduk Madinah telah keluar menuju ke Badar untuk berperang dengan kita," kata Nu'aim pula yang menambahkan lagi rasa takutnya Abu Sufian.

     Dia lebih kecewa kerana ramai pahlawan-pahlawan Quraisy termasuk Safwan tidak turut serta dalam pasukan itu. Semangatnya untuk berperang semakin luntur.

     Apabila sampai suatu tempat bernama Majannah maka timbul perbalahan di kalangan pasukan Quraisy. Sebahagian daripada mereka ingin pulang semula ke Mekah kerana tidak sanggup berjalan dalam cuaca yang panas terik. Akhirnya Abu Sufian terpaksa tunduk dengan kehendak ramai. Mereka pulang semula ke Mekah.

     "Demi tuhan, aku pernah melarang kamu berjanji dengan Muhamamd untuk berperang. Lihatlah sekarang apa yang terjadi. Mereka telah menyahut cabaran kamu tetapi kamu yang tidak berani menentang mereka. Dalam keadaan sekarang, kita yang mungkir janji kerana takut berperang dengan mereka," kata Safwan apabila melihat Abu Sufian dan pasukan tenteranya pulang ke Mekah.

     "Selepas perang Badar, kami pulang membawa kekalahan. Tetapi kami terubat dalam Perang Uhud kerana pulang membawa kemenangan. Kali ini kami pulang membawa rasa malu dan penghinaan," kata Amir salah seorang pasukan Quraisy yang ikut serta dalam pasukan itu.

     "Alangkah hinanya kamu yang mengaku kalah sebelum berperang dengan Nabi Muhammad," kata Abbas bin Abdul Mutalib pula.

     Kata-kata itu menambah lagi rasa malunya Abu Sufian. Sejak itu dia jarang keluar dan lebih suka berkurung dalam rumahnya.

     Di Badar pula, Nabi Muhammad dan pasukannya terus menunggu kedatangan pasukan Quraisy. Setelah menunggu selama lapan hari, tetapi pasukan Quraisy tidak juga datang akhirnya mereka pulang ke Madinah. Jika kepulangan pasukan Quraisy ke Mekah diejek dan dihina tetapi kepulangan pasukan Islam ke Madinah disambut dengan kegembiraan dan kesyukuran. Sehubungan dengan itu turun ayat al-Quran surah Ali Imran ayat 174.

     "Maka mereka kembali dengan nikmat dan kurnia (yang besar) dari Allah. Mereka tidak mendapat apa-apa bencana (kerana) mereka mengikut keredaan Allah dan Allah mempunyai kurnia yang besar."








N / F : DARIPADA "PERANG-PERANG YANG BENAR", OLEH ABDUL LATIP TALIB.



No comments:

Post a Comment